Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


70 guru, pelajar pondok agama isytihar keluar Pas

Posted: 31 Mar 2013 09:59 PM PDT

HANAPI Mamat (tiga kanan) menerima borang keahlian UMNO daripada bekas penyokong Pas, Mohd. Hafni Zaini dalam satu majlis ringkas di Tendong, Pasir Mas, Kelantan malam tadi. - UTUSAN

PASIR MAS 1 April - Sebanyak 70 anggota Pas yang terdiri daripada guru dan pelajar sebuah sekolah pondok di sini, malam tadi mengisytiharkan mereka keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO sebagai wadah perjuangan.

Bagi mereka tiada parti lain selain UMNO yang mampu memartabatkan sinar Islam selepas Pas gagal berbuat demikian sejak memerintah Kelantan pada 1990.

Selain itu bagi mereka lagi terlalu banyak janji palsu yang ditaburkan pemimpin Pas dan selama itu mereka melihat jasa kerajaan Pusat dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat benar-benar telah menambat hati.

Wakil guru dan pelajar pondok di Tal Tujuh di sini, Mohd Zaidi Shafie berkata budi UMNO dan kerajaan pusat dalam memartabatkan sinar Islam dan membantu rakyat telah menyebabkan mereka bertukar fikiran untuk keluar daripada Pas.

"Memang betul saya pengikut setia Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan selalu mengikut programnya. Apabila saya membuat perbandingan akhirnya kami sepakat Pas tidak boleh membela nasib kami dan tidak mampu memartabatkan Islam.

"Jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat besar terutama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan banyak lagi.

"Ini telah membuka hati kami para guru dan pelajar pondok di sini dan kami yakin UMNO boleh membawa negara, bangsa dan agama ke tempat yang selayaknya," katanya pada majlis penyerahan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat di Kampung Hutan Chengal, Tendong di sini malam tadi.

Mohd Zaidi berkata lebih menyedihkan Pas hanya pandai menabur janji namun tidak pernah ditunaikan demi rakyat di Kelantan.

Sementara itu Hanafi berkata keikhlasan guru dan pelajar pondok itu untuk menyertai UMNO bukan dipaksa oleh mana-mana pihak tetapi lahir daripada kehendak mereka sendiri.

"Saya jangka lebih ramai anggota Pas akan keluar parti dan menyertai UMNO.

Penyertaan guru dan pelajar sekolah pondok ini diharap dapat membuka mata anggota Pas untuk sama-sama berjuang dalam UMNO," katanya. - BERNAMA

60 anggota PKR kawasan Bayan Lepas sertai UMNO

Posted: 31 Mar 2013 08:55 PM PDT

GEORGETOWN 1 April - Sebanyak 60 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari kawasan Bayan Lepas di sini keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan parti itu untuk membela nasib rakyat Pulau Pinang.

Wakil kumpulan itu, Mohd Eruwan Yusof, 35, berkata, selama lebih lima tahun bersama dengan PKR, beliau mendapati perjuangan parti itu tidak mempunyai makna untuk rakyat.

"Dahulu kami terlalu ghairah inginkan perubahan kerana itu kami beri sokongan penuh tetapi akhir-akhir ini kami merasakan keadaan di Pulau Pinang ini bukannya bertambah baik sebaliknya menjadi kelam-kabut dan bergolak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Syed Ameruddin Syed Ahmad di Flat Taman Emas, Sungai Batu, di sini.

Katanya, keputusan beliau dan rakan-rakannya keluar daripada PKR dibuat dengan kerelaan hati tanpa paksaan atau sogokan dari mana-mana pihak.

Sementara itu Syed Ameruddin berkata, tindakan Mohd Eruwan dan rakan-rakannya memilih UMNO membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional kini semakin kuat.

Katanya, rakyat mulai sedar bahawa permainan politik kerajaan pakatan pembangkang hanya membuang masa dan kerajaan negeri itu tidak mampu melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat.

- BERNAMA

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kerajaan sedia RM3.7 juta

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

MARAN 31 Mac - Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi membina Pejabat Agama Islam Daerah Maran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, projek pembinaan bangunan itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap pertengahan tahun hadapan.

Katanya, bangunan baharu tersebut sangat perlu bagi menggantikan bangunan lama setelah berlakunya pertambahan hampir 30 kakitangan, selari dengan pertambahan penduduk daerah ini.

"Kerajaan Pahang pada tahun 1999 telah bersetuju meletakkan peranan pejabat agama Islam daerah lebih menyeluruh yang berkaitan undang-undang dan enakmen Islam.

"Ini secara langsung mempengaruhi ruang pejabat dan pertambahan kakitangan, selari dengan transformasi pentadbiran yang cekap kepada rakyat," katanya Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Munawar berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu Pejabat Agama Islam Daerah Maran.

Yang hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh, Ketua Polis daerah, Deputi Superitendan Sulaiman A.Hamid dan Pegawai Agama Islam daerah, Syarifuddin Mohamad Said.

Menurutnya, bangunan lama yang turut menempatkan Mahkamah Syariah Maran sudah berusia lebih 50 tahun tidak dapat lagi menampung pertambahan kakitangan.

Tambah beliau, bangunan baharu dua tingkat yang dibina bersebelahan bangunan lama akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti auditorium.

Menurut beliau, perubahan enakmen dan undang-undang berkaitan memerlukan bahagian penguatkuasaan dan penghakiman dipisah dengan pejabat pentadbiran masing-masing.

"Ini bermakna bangunan lama yang masih kukuh akan dikekalkan sebagi mahkamah syariah, sekali gus menonjolkan kecekapan pentadbiran," jelasnya.

Orang Asli terus dibela di bawah BN

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

KUALA LIPIS 31 Mac - Kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di peringkat Pusat mahupun negeri akan terus membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini menerusi dasar agenda transformasi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel berkata, masyarakat minoriti itu tidak perlu ragu tentang perkara ini kerana kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti amat prihatin kepada semua kaum.

"Sehingga kini, kerajaan telah menghulurkan banyak bantuan melalui pelbagai program dan saya yakin etnik Orang Asli di negeri ini berada pada landasan yang betul ke arah mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

"Orang Asli akan terus menikmati kemajuan sekiranya mereka bersatu-padu dan memberikan sokongan kuat untuk kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk Orang Asli di Pos Kuala Koyan dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Cameron Highlands, Baharuddin Saaid.

Pada majlis sama, Palanivel yang juga Presiden MIC turut menyumbangkan sebanyak 200 kampit beras dan hamper makanan kepada ketua keluarga Orang Asli serta meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Pos Kuala Koyan.

Menurut Palanivel, kemampuan kerajaan BN membantu penduduk Orang Asli tidak mampu disanggah oleh pembangkang yang bersandarkan tohmahan dan hasad dengki terhadap program transformasi pembangunan yang terbukti cemerlang mengubah kehidupan rakyat di luar bandar.

"Jangan percaya dakyah pihak tertentu yang datang masuk ke kampung kita menjelang pilihan raya umum ini dengan menjanjikan sesuatu habuan menarik, tetapi ternyata tidak mampu ditunaikan seperti yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan pembangkang," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, keharmonian dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini perlu dipertahan dan mengelak daripada menimbulkan isu-isu yang dianggap sensitif.

Tambahnya, masyarakat Orang Asli mempunyai masa depan yang cerah dengan pengenalan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan termasuklah pendidikan.

Terap penjagaan alam sekitar

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh AMIR SARIFUDIN
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian daripada murid-murid yang menyertai gotong-royong membersihkan kawasan pantai pada Bubble Camp 2013 di Pulau Tioman.

PULAU TIOMAN 31 Mac - Pelbagai pengisian dan program diadakan sempena cuti persekolahan baru-baru ini supaya murid-murid tidak mensia-siakan masa yang terluang.

Satu daripada pengisian amat berfaedah ialah penjagaan alam sekitar meliputi mengenali spesies hidupan laut, menjaga keselamatan diri ketika aktiviti air, menerapkan rasa yakin pada diri, berinteraksi sesama murid dari berlainan sekolah dan banyak lagi.

Ini dilakukan melalui penganjuran Bubble Camp 2013 di Pulau Tioman, Pahang dari 25 hingga 28 Mac lalu.

Seramai 42 murid dari beberapa buah sekolah kebangsaan menyertai program tersebut yang diadakan di Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Pulau Tioman.

Apa yang menarik, murid-murid berusia enam hingga 12 tahun itu datang dari pelbagai latar belakang keluarga.

Namun, kehadiran murid-murid itu berjaya menyesuaikan diri dalam program berkenaan.

Kalangan murid terbabit datang dari beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan Kampung Tekek, Pulau Tioman; Sekolah Kebangsaan Sri Mersing; Sekolah Kebangsaan Paichee, Mersing dan beberapa buah sekolah lain termasuk Selangor.

Bubble Camp 2013 merupakan penganjuran kali kedua dan tahun ini penyertaan murid bertambah berbanding siri pertama pada tahun lalu.

Program anjuran Villagers Travel & Tours itu mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pelancongan Tioman.

Pengarah program, Syed Rizalman Syed Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, antara fokus program ialah memberi keyakinan kepada murid semasa menjalankan aktiviti berkaitan air selain mengenali spesies hidupan laut.

"Sepanjang program, kita juga mengadakan ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar yang berkaitan hidupan laut.

"Kita terapkan pengetahuan pemuliharaan bagi melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

Turut menarik perhatian mengenai Bubble Camp tersebut ialah kalangan murid juga diajar mengenai teknik-teknik snorkeling dan skuba.

"Pada mulanya ramai murid yang agak gementar apabila melakukan dua aktiviti berkenaan.

"Ada yang takut dan tidak yakin pada diri sendiri. Tetapi melalui tunjuk ajar serta diterapkan keyakinan serta percaya pada diri sendiri, kesemua murid berjaya melalui aktiviti berkenaan dengan selamat.

"Bagi mereka, aktiviti seperti skuba seolah-olah mereka berada dalam sebuah dunia yang baharu. Aktiviti yang pada mulanya agak menimbulkan rasa gementar itu akhir menjadi aktiviti menyeronokkan," katanya.

Menurutnya, murid-murid yang menyertai Bubble Camp itu juga dipertontonkan gambar-gambar mengenai spesies laut termasuk yang boleh memudaratkan keselamatan.

Menurut Syed Rizalman, pengetahuan sedemikian sangat penting terutama apabila mereka berada di kawasan percutian dan sebagainya.

Menjadi harapan pihak penganjur, murid-murid yang menyertai program tersebut dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama rakan-rakan lain apabila pulang nanti.

"Generasi muda sekarang dapat bertukar-tukar pengetahuan dari program seperti ini dengan rakan-rakan lain menerusi facebook atau laman sosial lain,'' katanya.

Menjawab pertanyaan, Syed Rizalman berkata, pihaknya bercadang memperluaskan program tersebut pada masa hadapan melibatkan penyertaan ibu bapa.

"Kita akan aturkan program berasingan bagi ibu bapa. Selain mereka dapat memantau anak-anak yang menyertai program ini, ibu bapa juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Secara langsung, pihak pengajur dengan sokongan Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Tioman dapat memperkenalkan pulau ini sebagai destinasi percutian keluarga,'' katanya.

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Ibu bapa tuntut janji

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
pengarang@utusan.com.my

Demonstrasi oleh para pendidik yang diketuai oleh Ketua Urusetia, Dr. Nordin Tahir melontarkan perasaan tidak puas hati mereka kepada Kerajaan Selangor mengenai janji sebanyak RM50 sebulan di Taman Seri Serdang, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kira-kira 200 ibu bapa di Parlimen Serdang dan Parlimen Puchong berhimpun secara aman di kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang dekat sini hari ini, bagi mendesak kerajaan Selangor memberikan bantuan RM50 kepada pendidikan prasekolah yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, biarpun sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto pada pilihan raya sebelum ini, namun kerajaan negeri itu sudah memberi harapan baharu kepada ibu bapa dengan memperkenalkan Program Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang akan diberikan secara berperingkat.

Katanya, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Program Tunas pada Julai tahun lalu, adalah dilihat sebagai menutup kegagalan menunaikan janji manifesto terutama berhubung pemberian RM50 bagi pendidikan prasekolah.

"Program Tunas tersebut kononnya bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah yang mempunyai pendapatan RM1,500 ke bawah, sedangkan kerajaan Selangor dalam manifesto pilihan raya yang lalu tidak pula menyebut jumlah pendapatan isi keluarga," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyertai perhimpunan tersebut.

Yang turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Puchong, Ir. Rosli Idrus.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor sebelum ini, menjanjikan pemberian RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dan kebajikan rakyat.

Menurut Said Anuar, janji tersebut hanya merupakan satu lagi 'gula-gula' pembangkang untuk menipu rakyat bertujuan meraih undi dalam pilihan raya akan datang.

"Ada 130,000 kanak-kanak prasekolah di negeri Selangor, 30,000 kanak-kanak belajar di tadika Kemas tapi kerajaan negeri hanya peruntukkan 5,000 sahaja dan bantuan tersebut cuma disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sahaja," katanya.

Beliau berkata, hari ini sahaja sebanyak 2,800 permohonan diterima dan menjadikan jumlah keseluruhan 16,000 permohonan saman bernilai RM63 juta akan difailkan melalui ibu bapa di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 April ini.

Showcase Anak Muda beri Anugerah Tokoh Muda

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur 30 Mac - Majlis Belia Selangor (MBS) akan menyampaikan Anugerah Tokoh Muda Lumba Basikal Malaysia kepada pelumba remaja negara, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya meraih empat emas dan satu perak dalam Kejohanan Basikal Remaja Asia 2 baru-baru ini.

Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, anugerah itu akan disampaikan sempena majlis Showcase Anak Muda di Shah Alam, esok.

"Dia anak jati Kuala Selangor, jadi kita beri anugerah kepada Muhammad Firdaus di daerah kelahirannya," katanya.

Sebagai anak Selangor, kata Irmohizam, seluruh ahli dan kepimpinan MBS ingin menzahirkan rasa kagum terhadap Muhammad Firdaus yang berjaya mengharumkan nama negara pada usia 17 tahun.

Sementara itu katanya, Showcase Anak Muda kini melangkah siri ke-10 dan telah mencapai matlamat untuk menemui 150,000 anak muda Selangor yang tidak menyertai persatuan dan pertubuhan.

"Kehadiran anak muda di Puncak Alam, malam esok adalah bonus untuk MBS," katanya.

Selain penyampaian anugerah itu kata Irmohizam, SAM akan turut menyiarkan klip khas 10 petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu keamanan dan perpaduan negara.

"Kesemua 10 amanat Perdana Menteri penting untuk meningkatkan semangat patriotik dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan terutama dalam insiden di Lahad Datu, Sabah," katanya.

SAM di Puncak Alam akan diadakan di Tapak Pasar Malam Shah Alam 2, Puncak Alam bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Klinik kesihatan Bandar Tun Hussein Onn siap 2015

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sebuah klinik kesihatan dengan kos RM20 juta akan dibina di Persiaran Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, projek pembinaan klinik kesihatan di atas tapak seluas 1.8 hektar dijangka memberikan kemudahan kesihatan kepada kira-kira 200,000 penduduk di sekitar kawasan tersebut.

"Projek tersebut dijangka memberikan manfaat kepada penduduk kawasan sekitar Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan Balakong.

"Setelah klinik ini siap dibina, kami akan menempatkan lebih ramai pegawai perubatan yang dijangka dapat menampung 300 hingga 500 pesakit pada satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pengesahan Tapak untuk Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Farida Mohd. Ali dan Ketua Penyelaras kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon.

Jelas beliau, projek tersebut adalah antara cadangan Pian Hon selaku Ahli Parlimen Serdang pada tahun 2006 selepas klinik di Batu 11 Cheras musnah dalam satu kebakaran.

Katanya, tempoh masa diambil untuk meluluskan projek tersebut agak panjang kerana pembinaan itu memerlukan perancangan, pemilihan tapak dan kelulusan pemindahan hak milik tanah kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Tiong Lai juga mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan sebanyak 88 projek lagi pada tahun ini bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak lapan projek akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor.

"Projek tersebut termasuklah pembinaan hospital di Tanjung Karang, Klinik Pergigian Tanjung Karang; Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters di Gombak Setia; Klinik Kesihatan dan Kuarters di Kapar, Klang; Klinik Kesihatan Puchong; Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tun Hussein Onn dan menaik taraf Klinik Pergigian di Bukit Chagar," katanya.

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Geng Fikri terbongkar

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh amran mulup
pengarang@utusan.com.my

Raja Shahrom Raja Abdullah (dua kiri) menunjukkan senjata termasuk tukul besi yang digunakan oleh Geng Fitri dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, semalam.

MELAKA 30 Mac - Kegiatan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Fikri yang menjadikan vendor surat khabar sebagai sasaran samun, terbongkar selepas empat ahli mereka diberkas polis di sekitar Bukit Baru dan Duyong di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, empat lelaki berusia 19 hingga 24 tahun itu ditangkap dalam serbuan bermula pukul 4.30 petang hingga 8 malam tadi.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 21 tahun ditahan di sebuah restoran di Bukit Baru, disusuli tangkapan tiga lagi rakannya termasuk ketua kumpulan itu berusia 22 tahun di sekitar Duyong.

"Polis turut merampas empat motosikal, tukul besi, spanar, pisau, telefon bimbit dan topi keledar yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika menyamun vendor surat khabar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan mendapati ketua kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala suspek lain tidak mempunyai sebarang rekod dan kesemua mereka tidak bekerja.

Menurutnya, sejak awal Februari lalu, polis telah menerima 20 laporan kes samun melibatkan vendor surat khabar di Melaka Tengah pada awal pagi yang mana modus operandi penjenayah ialah melakukan samun secara berkumpulan antara dua hingga empat orang menggunakan motosikal.

Katanya, suspek bersenjatakan besi dan pisau akan mengekori mangsa seawal 4 pagi dan apabila tiba di kawasan sunyi, mereka akan mengugut dan mengancam mangsa menggunakan senjata tersebut sebelum merompak barang-barang berharga dan wang milik vendor berkenaan.

"Sasaran kumpulan ini ialah vendor yang menghantar surat khabar ke rumah pelanggan pada awal pagi, selain individu-individu yang bersenam waktu itu."katanya.

Tong sampah beroda pastikan pantai bersih

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

TELOK KEMANG 30 Mac - Sebanyak 20 unit tong sampah beroda (TSB) berkapasiti 120 liter ditempatkan di sepanjang Pantai Saujana dekat sini bagi memelihara kebersihan pantai umum berkenaan.

Kemudahan itu disediakan oleh syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri.

Pengarah PPSPPA, Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi masalah lelehan air sampah daripada tong sampah lama yang terdapat di lokasi pejalan kaki sekali gus menangani masalah bau busuk di pantai berkenaan.

''Kita meletakkan tong sampah beroda berkapasiti 120 liter dengan sasaran pengunjung akan membuang sampah ke tong yang disediakan ini.

''Ini adalah salah satu usaha kami dalam membantu menjaga kebersihan pantai ini," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, penggunaan TSB juga akan memudahkan kerja pengutipan sampah yang diangkat menggunakan lori kompaktor berteknologi moden yang dilengkapi dengan sistem pengangkut tong hidraulik.

''Pekerja kutipan sisa pepejal juga tidak perlu menggunakan tangan untuk memasukkan sampah ke dalam lori kompaktor dan masalah sampah tidak dikutip dengan sempurna dapat diatasi melalui penggunaan tong sampah beroda ini," ujarnya.

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Peluang belia ceburi automotif

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir (tengah) bersama Mohd. Madani, Halim Azhar, Abdul Latif dan Abu Hasan menunjukan surat perjanjian kolaborasi peluang pekerjaan golongan belia Jerlun untuk menceburi bidang automotif sempena Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Jerlun 2013, semalam.

KUBANG PASU 30 Mac - Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Jerlun di Dataran Ayer Hitam di sini yang berakhir hari ini menyaksikan satu majlis penyerahan surat perjanjian kerjasama peluang pekerjaan kepada belia untuk berkecimpung dalam industri automotif negara.

Kerjasama itu adalah antara Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas).

Penyerahan surat perjanjian tersebut turut disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

ILP diwakili pengarahnya, Halim Azhar Mohd. Yatim manakala Polimas, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Abdul Latif Halim.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan berkongsi sumber dan kemudahan dalam organisasi masing-masing yang mampu memberi manfaat kepada pelajar memperoleh pekerjaan di syarikat automotif manakala syarikat pula mendapat sumber tenaga berkemahiran tinggi.

Mukhriz berkata, kerjasama pintar itu merupakan situasi 'menang-menang' antara tiga pihak iaitu pelajar, institut pengajian dan industri automotif, sekali gus dilihat mampu melonjakkan nama negara dalam bidang tersebut.

Katanya, negara juga boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing separa mahir dan mahir kerana menjadi dasar kerajaan untuk membangunkan industri itu menerusi tenaga mahir tempatan.

"Industri automotif pesat berkembang walaupun saingan sengit negara jiran, namun Malaysia dilihat sebagai pusat industri ini di rantau Asia yang menjadi pilihan pelabur asing.

"Permintaan tenaga kerja dalam bidang ini tidak putus malah berterusan dan ini memberi peluang kepada tenaga muda tempatan bagi memperoleh kemahiran tinggi serta pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita sempena majlis itu.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohd. Madani Sahari.

Fiesta yang bermula sejak Khamis lalu adalah anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Jerlun, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu serta Majlis Belia Daerah Kubang Pasu.

Mangsa kebakaran dibantu

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

ABDUL Azeez Abdul Rahim (tengah) melawat rumah Irwan Md. Nayan di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh, Baling, Kedah, semalam. - MINGGUAN/AZMAN MD. NOOR.

BALING 30 Mac - UMNO Bahagian Baling menyalurkan bantuan sebanyak RM36,000 untuk membina rumah baharu kepada sebuah keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh pada 11 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, rumah milik Irwan Md. Nayan, 32, musnah dijilat api manakala anak keduanya, Adam Ikmal, 5, maut kerana terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

Irwan berkata, selepas rumahnya hangus, mereka sekeluarga terpaksa menumpang rumah saudara terdekat buat sementara waktu dan bersyukur apabila dimaklumkan UMNO Baling akan membantu mereka membina sebuah rumah.

"Saya berasa lega atas keprihatinan pemimpin setempat membantu meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga.

"Saya tidak mampu membina sebuah rumah baharu dalam sekelip mata memandangkan keadaan hidup saya juga susah dan bergantung dengan makan gaji setiap bulan," katanya yang bertugas sebagai anggota tentera di Pengkalan Hulu, Perak.

Menurutnya, meskipun anak keduanya meninggal dunia dalam kejadian itu, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah dan berharap dapat menjalani kehidupan baru di rumah berkenaan.

"Kami sekeluarga juga berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana mengambil tindakan segera untuk membantu bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Irwan berkata, sumbangan diterima amat bermakna kepada mereka sekeluarga yang kehilangan tempat berteduh selepas kejadian itu.

"Alhamdulillah, semua turut membantu termasuk penduduk kampung, pihak tentera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pemimpin setempat," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu sedang dijalankan dan dijangka siap pada 15 April ini.

"Sebagai tanda peringatan kepada arwah anaknya, kediaman yang bakal didudukinya dinamakan teratak Adam Ikmal," katanya.

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Tambah 1,000 lagi motosikal

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

P. Pinang dah ada dua jambatan - Pak Lah

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

207 tangkapan unit rondaanmotosikal

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Sanggup hina Nabi untuk kepentingan politik

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Dipetik dari akaun Twitter @fahmipkg milik Khairul Fahmi Mat Som.

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.

Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan.

"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah.

"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.

"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah.

"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut.

Wanita BN tubuh pasukan khas kawal keselamatan pengundi PRU-13

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pergerakan Wanita UMNO akan menubuhkan pasukan khas bagi mengawal keselamatan orang ramai, sekali gus menangkis strategi kotor mana-mana pihak yang cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penubuhan pasukan itu penting bagi memastikan hak mengundi rakyat tidak dicuri oleh parti pembangkang yang didakwa begitu licik merancang pelbagai angkara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.

Jelasnya, ketika ini Wanita sudah mula menyusun strategi dan akan mengerakkan pasukan khas itu ke semua pusat mengundi seluruh negara.

"Saya beri amaran awal kepada parti pembangkang, Wanita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk anggota keselamatan bagi memastikan pengundi dapat keluar mengundi dan melunaskan hak mereka di bawah undang-undang Malaysia dalam suasana aman.

"Kemungkinan besar mereka mahu mencipta suasana huru-hara itu kerana cemas dan takut tewas dalam pilihan raya umum nanti berikutan sokongan padu yang ditonjolkan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Desa Tasik sempena sambutan Hari Polis Ke-206 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Syed Mohd.; Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat memberikan jaminan kepada pengundi di negara ini bahawa keselamatan mereka akan dijaga dan rakyat tidak perlu sesekali takut dengan rancangan pembangkang itu.

"Jentera Wanita bersiap-sedia menjadi benteng dalam memastikan keamanan dan kemakmuran negara serta keselamatan orang ramai sentiasa terjamin pada hari mengundi nanti," katanya.

Sehubungan itu katanya, Wanita juga akan memulakan gerakan memaklumkan kepada rakyat, sekali gus membongkar rahsia pembangkang untuk mewujudkan kekecohan di pusat mengundi seperti yang didedahkan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di dalam akhbar.

Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut menyampaikan Baucar Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia@Hati Rakyat (Karisma) kepada penduduk perumahan tersebut.

Habis.

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kerajaan sementara wujud

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

Adnan Yaakob (kiri) melihat pertunjukan oleh anggota TLDM ketika hadir pada Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Negeri Pahang di Markas Wilayah Laut Pangkalan (TLDM) Tanjung Gelang, semalam.

KUANTAN 30 Mac - Perjalanan urusan kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang terbubar secara automatik pada 8 April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selepas DUN Pahang terbubar, kerajaan sementara akan diwujudkan dan segala urusan pentadbiran diteruskan sehingga pilihan raya.

"Tetapi kerajaan sementara ini tidak boleh membuat keputusan yang membabitkan beberapa perkara seperti soal dasar dan perbelanjaan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Muda Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam beliau berkata, perbincangan kira-kira 20 minit itu telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding.

"Tetapi senarai nama tersebut boleh ditukar mengikut kesesuaian keadaan sehingga hari penamaan calon," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, program-program tranformasi yang dijalankan oleh Perdana Menteri selama ini menunjukkan kebaikan kepada rakyat.

Naik taraf R&R Temerloh bermula Isnin ini

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KUANTAN 30 Mac - Syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad akan memulakan kerja-kerja menaik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di kedua-dua arah selama tiga bulan bermula Isnin ini.

Menurut Pengarahnya, Wan Razali Muda, kerja-kerja tersebut melibatkan penutupan tandas dan surau di kedua-dua arah kawasan R&R berkenaan manakala gerai makanan, buah-buahan dan stesen minyak beroperasi seperti biasa.

"Kita memberi jaminan akan menyediakan sejumlah tandas dan surau sementara mencukupi bagi pengguna yang singgah di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, sebagai langkah alternatif, pengguna lebuh raya boleh memilih untuk menggunakan R&R terdekat di R&R Gambang atau Hentian Sebelah Maran yang menghala ke Kuantan.

"Bagi yang menghala ke Kuala Lumpur pula, mereka boleh membuat pilihan di Hentian Sebelah Lanchang atau Hentian Sebelah Genting Sempah," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jelas beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada proses naik taraf melibatkan keseluruhan R&R dan hentian sebelah di sepanjang LPT yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun bermula di R&R Temerloh, Gambang dan terakhir di Genting Sempah.

"Langkah ini merupakan inisiatif ANIH sebagai pemegang konsesi LPT dalam usaha berterusan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, kata Wan Razali, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan kerja-kerja berkenaan dengan menaikkan papan tanda di lokasi terbabit untuk kemudahan orang ramai dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 09-5479111.

Gajah rosakkan tanaman kelapa sawit

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

HAIROL Azmi Musa (kiri) bersama Che Ibrahim Omar melihat pokok kelapa sawit yang rosak akibat dimusnahkan sekumpulan gajah di Felda Tekam Utara semalam.

JERANTUT 30 Mac - Para peneroka di Felda Tekam utara di sini bimbang berikutan kehadiran sekumpulan gajah yang masuk ke ladang sawit mereka sehingga merosakkan tanaman tersebut baru-baru ini.

Seorang peneroka, Khairol Azmi Musa, 44, berkata, kejadian tersebut disedari pada 26 Mac lalu dan membabitkan lapan gajah yang menceroboh dua kawasan ladang serta telah memusnahkan sebanyak 15 pokok kelapa sawit yang melibatkan kerugian RM4,000.

Menurutnya, dia menyedari kehadiran haiwan itu pada pukul 8 malam yang dipercayai datang dari arah Hutan Simpan Berkelah berdekatan dengan tanah rancangan ini.

"Kita meminta para peneroka bersatu dengan memberi kerjasama kepada pihak tertentu dalam memasang pagar elektrik di ladang masing-masing.

"Langkah itu bertujuan bagi mengelak haiwan tersebut terus memasuki ladang dan memusnahkan pokok kelapa sawit di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Khairol berkata, sekiranya tiada tindakan diambil, para penduduk bimbang haiwan tersebut akan memasuki kampung dan mengancam keselamatan penduduk di sini.

Bagi seorang lagi penduduk, Che Ibrahim Omar, 60, pada pukul 11 malam kejadian itu, dia bersama beberapa petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah itu masuk semula ke dalam hutan berhampiran.

''Jika ancaman gajah ini berterusan sudah tentu peneroka akan mengalami kerugian besar.

''Oleh itu, saya menyeru peneroka di sini supaya memberi kerjasama kepada pihak berkenaan dalam usaha membina pagar elektrik untuk kebaikan bersama," katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas, 56, berkata, kejadian itu sudah berlarutan sejak 2009 dan kumpulan gajah tersebut akan kembali untuk mendapatkan makanan dengan musnahkan pokok kelapa sawit peneroka.

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Cuba tutup kesalahan sendiri?

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Allan Liew (tengah) memegang kain rentang bersama penduduk bagi mendesak kerajaan negeri dan ADUN Seri Kembangan memberi penjelasan berhubung kegagalan menyiapkan jalan utama di pekan berkenaan di Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

SERDANG 29 Mac - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menyalahkan Kerajaan Pusat dan agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kegagalan projek pembinaan jalan utama di pekan Seri Kembangan hanya mahu menutup kesalahan sendiri.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Serdang, Allan Liew Sin Kim mendakwa, tuduhan Ean Yong seolah-olah pihak terlibat enggan bekerjasama bagi menyelesaikan isu itu amat mengecewakan.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya mengadakan sesi dialog bersama-sama pihak terlibat lebih awal supaya tidak timbul sebarang masalah kemudian hari.

"Sebaliknya semua itu tidak berlakukan, sedangkan agensi terlibat penting bagi kerja-kerja infrastruktur dan utiliti seperti pengalihan kabel, tiang lampu serta paip bawah tanah di tapak projek tersebut," katanya dalam sidang akhbar bagi mendesak kerajaan negeri dan Ean Yong memberi penjelasan berhubung projek tersebut yang gagal disiapkan sehingga kini.

Projek naik taraf jalan utama kepada jalan sehala yang didakwa menelan kos sebanyak RM36 juta itu telah dimulakan pada 23 Disember 2011 dan dijangka siap Mei tahun lalu.

Kegagalan projek itu disiapkan telah menyebabkan para pengguna dan penduduk sekitar terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari.

Menurut Allan, projek itu seolah-olah dibuat tanpa perancangan dan secara tergesa-gesa .

"Sebagai penduduk, mereka berhak untuk dilibatkan sama dalam sebarang pembangunan dan mengetahui perkembangan terkini mengenainya, tetapi dalam isu ini penduduk seolah-olah diketepikan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh tiga hari kepada Ean Yong supaya tampil memberi penjelasan mengenai projek tersebut yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi selain ia turut melibatkan wang rakyat.

Katanya, jika gagal, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Seri Kembangan, Tang Kim Loy berkata, ketiadaan sebarang papan tanda keselamatan diletakkan di sepanjang jalan turut mendedahkan pengguna kepada bahaya.

"Jika ada kemalangan jalan raya berlaku, siapa yang ingin bertanggungjawab? Sepatutnya keselamatan perlu diutamakan bagi melindungi para pengguna," katanya.

Isu flat empat tingkat Kg. Kerinchi jadi iktibar

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Sebahagian penduduk setempat yang hadir dalam majlis penyerahan surat tawaran kepada penduduk bagi pembangunan semula di atas tapak pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 29 Mac - Penduduk Pangsapuri dan Rumah Kos Rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak di sini yang masih tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula di kawasan itu diminta mempertimbangkan semula keputusan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, mereka perlu mengambil iktibar daripada isu flat empat tingkat Kampung Kerinchi yang pembangunannya ditentang sekelompok kecil penduduk dan pada akhirnya merugikan diri mereka sendiri.

"Jangan jadi seperti mereka yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula sehingga membawa kes itu ke mahkamah tetapi akhirnya mereka kalah.

"Pampasan yang diberikan oleh pemaju ketika itu lebih tinggi daripada nilai pampasan yang diputuskan mahkamah iaitu RM73,000, dan atas dasar keprihatinan kerajaan, kita masih memberikan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka.

"Oleh itu saya tidak mahu perkara yang sama berlaku di Bandar Tun Razak ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada penduduk bagi pembangunan semula di atas tapak pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat pemaju SP Setia Bhd., Retro Highland Sdn. Bhd.

Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib mewakili DBKL manakala, Retro Highland Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd., Tan Sri Liew Kee Sin.

Mengulas mengenai surat tawaran itu, Raja Nong Chik berkata, tempoh sebulan diberikan kepadapenduduk untuk memberi jawapan kepada DBKL.

Menurutnya, surat tawaran sebanyak 5669 yang dikeluarkan oleh DBKL itu mempunyai tiga kategori iaitu surat tawaran kepada penyewa, pemilik satu bilik dan pemilik dua bilik.

"Surat tawaran yang diberi kepada penyewa merupakan surat tawaran untuk mereka membeli satu unit rumah gantian tiga bilik dengan keluasan 800 kaki persegi pada harga RM28,000 seunit.

Sekiranya mereka menolak tawaran pembelian itu, mereka boleh terus menyewa unit rumah dengan DBKL setelah rumah siap dibina.

"Bagi pemilik satu bilik, mereka ditawarkan seunit rumah tiga bilik yang berkeluasan 800 kaki persegi sebagai gantian rumah sedia ada. Sekiranya menolak, mereka boleh memilih untuk menjual unit rumah dimiliki kepada DBKL pada harga RM14,000 dan bayaran akan dilaksanakan setelah unit rumah baru siap.

"Manakala bagi pemilik dua bilik, mereka ditawarkan seunit rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi sebagai gantian serta insentif tambahan dalam bentuk wang berjumlah RM14,000," ujarnya.

Sebelum ini, pada 31 Oktober 2012, sebanyak 82 peratus (4,645 penghuni) penyewa dan pembeli bersetuju dengan cadangan pembangunan semula ini manakala selebihnya iaitu 18 peratus (1,024 penghuni) tidak bersetuju dan tidak mengembalikan borang bancian yang dikeluarkan DBKL.

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Tidak tahan bau busuk kilang baja

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penduduk mengadakan perhimpunan aman membantah operasi sebuah kilang memproses baja yang didakwa menyebabkan pencemaran bau di Kawasan Perindustrian Silibin di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 29 Mac - Penduduk di enam taman perumahan berhampiran kawasan Perindustrian Silibin di sini mendesak pihak berkuasa menangani masalah bau busuk berpunca daripada kilang memproses baja yang beroperasi di kawasan itu sejak empat bulan lalu.

Tindakan pemilik kilang tersebut menjadikan sebuah lagi premis lain sebagai tempat memproses bahan berkenaan lebih memburukkan keadaan kerana kawasan perumahan terbabit dicemari bau najis ayam.

Seorang penduduk, Nelson Ng, 60, mendakwa, akibat menghidu bau busuk tersebut, isterinya mengalami jangkitan paru-paru dan terpaksa dibedah kerana dijangkiti bakteria akibat menghidu udara kotor dan tercemar.

"Bayangkan sejak Disember lalu setiap hari kami terpaksa menghidu bau yang sangat busuk umpama bau mayat. Keadaan lebih buruk apabila musim hujan dan angin bertiup kencang kerana bau merebak ke seluruh kawasan perumahan.

"Pekerja di kilang saya turut merungut dan tidak mahu bekerja lebih masa gara-gara tidak tahan dengan bau busuk itu," katanya.

Nelson ditemui selepas mengadakan bantahan bersama kira-kira 100 lagi penduduk di hadapan kilang berkenaan hari ini.

Dalam perhimpunan yang berlangsung hampir 10 minit tersebut, penduduk terbabit yang tinggal di Taman Silibin, Taman Silibin Ria, Taman Pertama, Taman Utama, Taman Tinggi dan Taman Risha membawa sepanduk tertera Tak Nak Kilang Berbau Busuk.

Seorang lagi penduduk, Sarban Singh, 58, berkata, akibat bau busuk yang meloyakan itu, dia dan keluarganya yang baharu tinggal di Taman One Utama dekat sini berasa amat tidak selesa dan sering mengalami sesak nafas.

"Saya membeli rumah bernilai RM600,000 di kawasan belakang kilang itu. Meskipun duduk di rumah yang selesa, namun bau busuk itu amat tidak menyenangkan kami sekeluarga.

"Anak saya sendiri yang pulang bercuti pada setiap hujung minggu enggan pulang ke rumah lagi akibat tidak tahan dengan bau tersebut. Saya amat berharap pihak bertanggungjawab dapat bertindak, kasihanilah kami," katanya.

Jirannya, Chin Wei Asiung, 27, pula berkata, pencemaran bau yang berlaku perlu diatasi segera kerana keadaan itu menjejaskan kesihatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.

"Penduduk telah menghantar surat bantahan kepada kilang tersebut tetapi tidak diendahkan. Kita berhasrat merujuk masalah ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh dan membuat laporan polis jika kilang tersebut terus beroperasi," katanya.

50,000 bakal meriahkan Hari Terbuka ATM

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Md. Dzahir Abd. Rashid (belakang, di tengah) bersama para pegawai 2 Briged menyampaikan risalah Hari Terbuka ATM kepada orang ramai sewaktu kempen publisiti aktiviti berkenaan di Padang Polo, Ipoh, kelmarin.

IPOH 29 Mac - Orang ramai yang berminat untuk mencuba sendiri senjata serta peralatan perang anggota keselamatan negara dipelawa memeriahkan Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan diadakan selama dua hari bermula 6 April depan.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Md. Dzahir Abd. Rashid berkata, program yang diadakan sempena Hari Sukarelawan Komuniti Ketenteraan (MCVD) itu akan diadakan serentak di 39 kem di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 pengunjung disasarkan hadir memeriahkan program yang akan diadakan di tiga lokasi di Perak iaitu di Kem Syed Putra, Tambun; Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut serta di Padang Esplanade, Taiping.

Menurut Md. Dzahir, program yang bertemakan Tentera dan Rakyat Sentiasa Bersama itu antara lain bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara anggota keselamatan negara bersama masyarakat.

"Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran statik melibatkan peralatan ketenteraan serta pameran helikopter Nuri akan diadakan. Kita mahu rakyat daripada seluruh kaum hadir memeriahkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang mempromosikan program tersebut kepada orang ramai di sekitar Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Hari Sukarelawan Komuniti Ketenteraan yang dianjurkan sebagai kesinambungan program My Beautiful Malaysia, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan, Pahang pada 6 April depan.

Di Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir akan merasmikan program tersebut di Pangkalan TLDM Lumut manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim pula akan menyempurnakan majlis perasmian di Padang Esplanade Taiping dan Kem Syed Putra.

Dalam pada itu, Md. Dzahir berkata, pelbagai program lain telah diatur termasuklah sukan rakyat melibatkan anggota tentera dan masyarakat merangkumi tiga kategori iaitu dewasa, kanak-kanak serta pasangan.

Beliau berkata, pihak tentera turut menganjurkan program khidmat masyarakat seperti derma darah serta pemeriksaan pergigian dan kesihatan dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Selain itu, terdapat juga acara senamrobik, persembahan kugiran dan artis jemputan, tarian kebudayaan serta cabutan bertuah," kata beliau lagi.

Gembira dapat rumah baharu

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Toh Chin Leong menunjukkan rumah baharu yang dibina untuk Sukri Mat (tengah) dan ibunya, Rahimah Hamid (di atas kerusi roda) menerusi program MyHome di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 29 Mac - Seorang buruh di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun di sini gembira apabila rumah pusaka keluarganya yang berusia 80 tahun terpilih menerima bantuan pembinaan dan baik pulih oleh IJM Land Berhad melalui program MyHome.

Rumah baharu itu siap dibina oleh IJM Land Berhad pada penghujung tahun lalu dengan kos RM25,000.

Sukri Mat, 45, berkata, dia bersama tiga anaknya kini tinggal dengan selesa setelah rumah papan dua tingkat yang sudah uzur digantikan dengan rumah baharu.

"Banyak bahagian dalam rumah lama telah reput dan bumbung kerap bocor setiap kali hujan.

"Bagaimanapun saya lega kerana permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan beberapa tahun lalu diterima dan IJM Land sudi membina rumah baharu untuk kami," katanya pada majlis penyerahan rumah itu di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun di sini semalam.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengurus IJM Land Berhad Wilayah Utara, Toh Chin Leong.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Korporat) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdullah Abdul Rahman.

Kata Sukri, sebelum rumahnya dibaiki oleh IJM Land, ibunya Rahimah Hamid, 75, turut menetap di situ tetapi kini tinggal bersama kakaknya, Kamisah Mat, 49, di Kulim, Kedah kerana masalah kesihatan.

"Saya hanya buruh di Jabatan Pertanian dengan pendapatan RM800 sebulan dan menggunakan sebahagian gaji untuk membiayai sekolah anak dan kos perubatan ibu.

"Dengan bantuan rumah baharu ini saya tidak lagi bimbang dengan masalah kerosakan dan kebocoran apabila tiba musim hujan," jelasnya yang sudah berpisah dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu.