Harian Metro: BeritaUtama |
Posted: 29 Jan 2011 09:31 AM PST SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami. KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama 'binatang'. Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan. Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, 'dipercepatkan' bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin. Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam 'dihasilkannya' hanya masalah dalaman rumah tangga.
"Saya menaiki bas untuk bertemu bakal suami di sebuah negeri di utara tanah air. Saya tiba jam 4 pagi, tetapi dia tidak dapat dihubungi. Saya menunggu sehingga jam 8 pagi di stesen bas. Saya kemudian nekad ke pejabat tempat dia bekerja dan menemuinya. Dia bawa saya ke dalam kereta dan dalam perjalanan di dalam kereta, tanpa disangka-sangka dia mengamuk dan membelasah saya. Saya dipukul dan ditumbuk, malah kepala dihentak ke papan pemuka kereta sehingga papan itu pecah. Dia mengamuk kerana tidak suka kedatangan saya. Dia menganggap saya cemburu dan menyangka saya datang bertemunya untuk memastikan dia tiada perempuan lain. Sebelum itu memang saya tahu dia ada perempuan lain. Selepas puas membelasah saya sehingga lebam, dia meninggalkan saya di sebuah stesen bas dan menyuruh saya tidur di surau. Saya tidak tidur kerana takut dan hanya duduk di sebelah seorang pengawal keselamatan wanita di stesen bas berkenaan sementara menunggu hari siang." "Saya sekali lagi ke pejabat bakal suami dan disambut dengan kata makian dan sekali lagi saya dipukul. Saya kemudian 'disimpan' di rumah mak cik angkatnya." "Pada sebelah pagi, tiba-tiba bakal suami membawa saya ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin. Dia bimbang saya membuat laporan polis berhubung perlakuannya. Dia yakin pihak berkuasa akan menganggap saya berdepan masalah rumah tangga jika membuat laporan polis. Pada masa sama, dia mengugut akan memukul saya dengan lebih teruk jika saya tidak merahsiakan perkahwinan kami. Kerana terlampau takut dipukul dan sayangkannya, saya ikuti kehendaknya dengan harapan dia akan berubah selepas kami bergelar suami isteri. Tanpa dokumen perjalanan sah, saya masuk ke Thailand bersama bakal suami dan apabila tiba di lokasi tempat berkahwin semuanya sudah disediakan. Kami dinikahkan." "Saya dan suami masih menetap di rumah mak cik angkat suami. Sangkaan saya dia berubah, tetapi saya tetap dipukul. Jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Bertambah-tambah lebam di badan saya." "Saya dibawa ke rumah sewa suami. Lagilah teruk perangainya. Saya dipukulnya sesuka hati. Bukan saja menggunakan kaki dan tangan, dia turut menggigit saya. Sebelum pergi kerja jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Selepas pulang daripada kerja, saya sekali lagi dipukul. Saya dapat tahu dia masih ada hubungan dengan teman wanitanya dan jika dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya menjadi mangsa lepas geramnya. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut. Jika saya menjerit ketika dipukul, saya dibelasah dengan lebih teruk. Satu ketika, entah apa anginnya dia bersetuju dengan permintaan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur menziarahi keluarga saya dan memberitahu perkara sebenar. Dia bersetuju untuk ke Kuala Lumpur sambil kakinya memijak kepala saya." "Di rumah ibu bapa saya, dia memberitahu hal sebenar dan mengakui memukul saya atas alasan saya terlalu cemburu. Pandai dia berlakon, sampai menangis-menangis dan berguling-guling seperti orang kena sawan. Ibu bapa saya mempercayainya dan menasihati saya. Suami saya turut dinasihati supaya tidak lagi memukul saya dan dia berjanji akan berubah." "Kami kembali ke utara di rumah sewanya. Pada awalnya, dalam satu dua hari saya tidak dipukul, tetapi dibuat bagaikan tawanan di rumah. Selepas itu setiap hari saya dipukul. Selepas saya dipukul, dia pujuk, selepas itu keesokannya dia pukul lagi. Hampir tiga minggu saya dilayan umpama hamba abdi. Paling menyedihkan, dia menyedari saya sudah lama tidak datang bulan dan dia menjadi bertambah ganas. Dia belum mahukan cahaya mata dan kerana bimbang saya mengandung dia suruh saya buat pelbagai perkara, antaranya makan nanas muda. Apabila datang anginnya dia belasah saya dengan menendang perut saya. Mujur saya tidak mengandung, jika mengandung entah apa berlaku kepada kandungan saya. Kerana tidak tahan menjadi hamba abdi, saya hubungi keluarga supaya mengambil saya. Pada 27 Ogos, saya kembali ke Kuala Lumpur dan dia memberitahu akan berkunjung ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri untuk menyelesaikan masalah kami. Saya sudah membencinya dan tidak mahu lagi bersamanya. Saya dapat tahu, dia sanggup memukul saya kerana dihasut teman wanitanya." |
Posted: 29 Jan 2011 09:31 AM PST SETINGGI mana dia terbang memperdagangkan bakat, sebesar itu juga kontroversi yang mengulit. Bukan kehendaknya, namun rencah anak seni yang bernafas di bawah limpahan populariti, Fasha Sandha akur meskipun setiap inci peribadinya dibogelkan. Peluh dan kerut dahinya yang sukar disembunyi kerana berlari ke lokasi penggambaran drama siri terbaru lakonannya, Samson Delaila dan kembali menguruskan salun miliknya, Salon Chinta yang bakal beroperasi tidak lama lagi, Fasha terus diasak dengan berita mengejut perpisahannya dengan kekasih, Rizal Ashram Ramli atau Jejai. Tidak terhenti di situ, sehari kemudian aktres kelahiran Johor Bahru ini berdepan pula kemelut berbalas kenyataan dengan bekas isteri kepada Jejai yang juga dramatis, Nora Danish. Sejak awal pagi Khamis lalu sejurus segala pengumuman dan perang kenyataan di dada akhbar, aktres terkenal ini tidak henti-henti mendedahkan status 'berani' yang cenderung menyerang pihak lawannya di ruangan sosial peribadi Twitter miliknya, @FashaSandha1.
Ternyata, saya terpaksa berbuat demikian bagi menegakkan kebenaran dan keadilan diri sendiri. Saya tidak mahu ada pihak lain sewenang-wenangnya menindas saya dengan bergayut sekali dalam permasalahan yang saya hadapi. Jujurnya, memang ia sedikit mengganggu perjalanan rutin harian, lebih-lebih saya sibuk di lokasi penggambaran dan terpaksa berlari-lari memantau salun yang hampir siap. Namun itulah harga yang terpaksa saya bayar atas segala kegemilangan dikecapi. Saya akur dan terpaksa menelan semua itu meskipun rasanya sangat pahit. Selepas pengumuman pihak Jejai dan saya berhubung perpisahan kami, tidak sepatutnya ada pihak lain yang sibuk ingin merasa tempias publisiti dengan memberi kenyataan atau komen. Cerita itu merungkai segala spekulasi ramai pihak. Namun ada pula yang sengaja ingin memanjangkan isu itu hingga mencabar tahap kesabaran saya sebagai wanita. Berita di muka depan mengenai perpisahan kami itu sudah cukup dan tidak perlu pula ada orang yang tidak tahu-menahu untuk menambah fakta dan bercakap lebih, sedangkan dia tidak tahu kisah di sebaliknya. Bagai menjolok sarang tebuan, usah bising jika sengatnya membunuh secara perlahan. Saya terpaksa mendedahkan semua bukti yang saya ada seperti senarai panggilan, mesej dalam telefon bimbit dan beberapa keping gambar bagi membuka dimensi mata peminat atau sesiapa yang tekun mengikuti sorotan kisah ini supaya persepsi kononnya saya hanya bersembunyi di sebalik helah adalah salah. Saya tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang ia akan mengaibkan sesiapa, namun jika keadaan mendesak seperti mana pernah dicanangkan sebelum ini, saya tidak akan teragak-agak. Bukan saya ingin membuktikan siapa menang atau dalang mana yang cuba membelit fakta, sebaliknya saya perlu memikirkan soal reputasi yang seolah-olah sengaja dicalarkan berhubung perkara ini. Saya tidak peduli soal perasaan sesiapa kerana keutamaan adalah diri sendiri. Saya perlu berdiri untuk menegakkan apa yang benar dan mana yang sepatutnya dibicarakan. Peminat saya arif dan bijak. Mustahil mereka leka dan berbuai dengan segala macam cerita yang timbul. Alhamdulillah, mereka tidak sesekali lari atau merasa benci, sebaliknya semakin kerap pula peminat menghantar kata-kata semangat dan dorongan kepada saya melalui Twitter. Twitter adalah ruangan peribadi untuk saya berkongsi rasa atau apa saja yang ingin disembangkan. Ia adalah komunikasi bersama peminat dan mereka yang ingin mengikut perkembangan saya. Justeru, saya tidak melihat perkara itu sebagai satu peperangan atau mencerminkan sifat peribadi seseorang. Usah terlalu dalam memikirkan soal itu. Saya hanya ingin berkongsi perasaan bersama peminat dan begitu juga dengan sesiapa yang lain. Masing-masing punya hak untuk menaikkan status di Twitter bagi meluahkan perasaan. Senario itu bukan satu peperangan, sebaliknya hanya medium berkongsi rasa." |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: BeritaUtama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan