Utusan Online - Kota |
Posted: Jalan Melayu sempit, sesakOleh NUR NAZLINA NADZARI
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kawasan di sekitar Masjid India sememangnya antara tempat tumpuan warga kota. Jika, pada waktu tengah hari, keadaan semakin sesak, malah boleh dikatakan padat dengan orang ramai yang mahu menjalankan urusan rasmi masing-masing, mahu pun sekadar ke sana untuk mengisi perut atau sekadar melihat barangan di gerai-gerai di kawasan Masjid India. Namun, yang menjadi masalah di kawasan itu ialah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan, terutama di Jalan Melayu sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang bukan kepalang. Keadaan ini sudah pasti membuatkan pengunjung yang berjalan kaki dan peniaga di tepi jalan berasa tidak selesa kerana asap kenderaan yang berkepul-kepul menyesakkan dada mereka. Selain itu, pejalan kaki yang melintas tanpa menggunakan lampu isyarat menambahkan lagi kesesakan di Jalan Melayu. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa kereta dan juga teksi yang diletakkan di tepi jalan walaupun menyedari jalan itu sempit. Seorang pegawai insurans, Ezad Anuar, 23, berkata, jalan tersebut sememangnya selalu sesak dan kesesakan ditambah lagi apabila ada kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di situ. "Dekat sini ada kerja pembinaan sebab itulah jalan menjadi lebih sesak. Kenderaan pula banyak lalu dan ia boleh membahayakan pejalan kaki kerana ada yang melintas tanpa menggunakan lampu isyarat. "Saya minta supaya ada polis yang mengawal keadaan di sini supaya mereka ini dapat mematuhi peraturan," katanya ketika di temui Utusan Malaysia di sini hari ini. Sementara itu, suri rumah, Faridah Mohd., 46, berkata, kesesakan paling teruk di jalan itu ialah pada waktu pagi kerana ramai pekerja yang menggunakan jalan itu untuk ke tempat kerja. "Jalan menjadi sesak juga disebabkan oleh sikap pemandu yang memandu dengan sambil lewa. Saya tengok ada pemandu yang memandu dan tukar lorong tanpa memberi isyarat. "Ramai juga yang suka meletak kereta atau menunggu rakan mereka di tepi jalan. Mereka sepatutnya tidak menunggu di tepi jalan serta perlu lebih prihatin dan cari tempat meletak kereta yang betul," ujarnya. Dalam pada itu, seorang penyelia Tenaga Nasional Berhad, Zaini Nordin, 37, berkata, kenderaan yang semakin bertambah merupakan penyumbang kepada kesesakan pada jalan itu. "Lampu isyarat pada jalan ini juga terlalu dekat antara satu sama lain. Kenderaan pun banyak, jadi makin sesak jalan. "Bagi saya jalan terbaik untuk mengurangkan perkara ialah dengan menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT)," jelasnya. Selain itu, seorang pesara, Azmi Bakar, 55, berkata, kesesakan pada jalan itu bukanlah satu yang luar biasa, malah perkara biasa yang sudah berlaku sekian lama. "Tempat ini terlalu sempit, bangunan antara satu sama lain pun dekat. Jadi jalan pun tidak boleh dibesarkan lagi untuk mengatasi masalah ini," katanya. | ||
Posted: Tapak sampah 'pandu lalu'Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KLANG 26 Jan. - Masalah tabiat rakyat negara ini suka membuang sampah sesuka hati tanpa mempedulikan kesannya kepada alam sekitar kelihatan begitu sukar diubah. Demikian juga berlaku kepada satu kawasan di Jalan Langat, berhampiran Sekolah Kebangsaan Johan Setia dekat sini yang bertukar menjadi tapak pembuangan sampah secara 'pandu lalu' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bagi pengguna Jalan Langat yang menghubungkan kawasan Johan Setia dengan Jalan Klang-Banting serta Jalan Bukit Kemuning, keadaan sampah sarap yang berlonggok di tepi jalan amat menyakitkan pandangan mata. Malah, dalam satu tinjauan, Utusan Malaysia terkejut apabila turut menjumpai satu fail mengandungi sijil asal tamat persekolahan dan sijil Diploma seorang wanita dipercayai telah dicampakkan ke kawasan longgokan sampah itu. Selain menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk, mereka yang tidak bertanggungjawab juga menghumbankan pelbagai perabot lama, cakera padat, buku-buku dan lain-lain. Menurut seorang pengguna jalan tersebut, Mua'azam Yaakop, 38, longgokan sampah sarap itu mendatangkan risiko menjadi sarang lalat dan tempat pembiakan nyamuk aedes. ''Kita risau nanti tempat ini akan bertukar menjadi 'bukit sampah' dan keadaan itu sungguh menyedihkan kerana tidak jauh dari sekolah tempat anak-anak kita menimba ilmu. ''Keadaan kawasan tersebut yang sunyi ketika waktu malam juga menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikannya sebagai tempat pembuangan sampah 'pandu lalu'," katanya dalam nada kesal. M. Zahari Bongsu, 36, yang saban hari melalui kawasan tersebut juga berasa hairan dengan sikap orang ramai yang suka mencari jalan mudah dengan membuang sampah di kawasan yang menjadi laluan orang awam itu. ''Sepatutnya pihak berkuasa mengadakan operasi di waktu malam, agar pihak yang bertindak sesuka hati mencemarkan alam sekitar diberkas dan diheret ke mahkamah. ''Bayangkan, jika ada penunggang motorsikal yang terbabas di bahu jalan yang dipenuhi sampah termasuk cermin pecah dan perabot yang telah rosak, sudah pasti kecederaan yang dialami amat parah," ujarnya. M. Zahari rasa hairan bagaimana kawasan yang sedang membangun dengan pelbagai projek tidak dijaga kebersihannya. Seorang lagi pengguna jalan raya itu, K. Jayaraman, 26, turut berharap timbunan sampah di tepi jalan itu segera dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana bimbang ia akan memudaratkan para pengguna jalan raya. ''Malang tidak berbau, saya khuatir jika sampah yang terdiri daripada bahan pepejal tidak dibersihkan ia akan menjadi semakin banyak dan melimpah ke jalan raya. ''Jika pada waktu siang mungkin kita boleh mengelak sampah yang berselerak di jalan raya tetapi bayangkan kalau pada malam dengan ketiadaan lampu jalan di sini, sudah pasti kawasan ini menjadi laluan nahas," katanya. Seorang mekanik, Saiful Syahnan, 26, yang setiap hari berulang-alik dari rumahnya ke tempat kerja melalui jalan tersebut meminta orang ramai supaya lebih berdisplin dengan tidak mengambil muda membuang sampah di situ. ''Jagalah alam sekitar demi masa depan anak cucu kita dan jangan kita khianati amanah ini dengan membuang sampah sesuka hati hingga menyemakkan pandangan mata dan mendatangkan kemudaratan. ''Pihak berkuasa perlu bertindak segera dan jangan lagi berdiam diri dan buat tidak tahu sahaja, nanti orang ramai akan terus 'berpesta' membuang sampah di sini," katanya. | ||
Tiga keluarga lagi dapat air percuma Posted: Tiga keluarga lagi dapat air percuma
HULU SELANGOR 26 Jan. - Seorang ibu tunggal, Norihan Abu, 36, tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan bantuan jiran tetangga selepas bekalan air dipotong berikutan kegagalan menjelaskan bil berjumlah RM600. Selain tidak mempunyai pekerjaan ketika itu, ibu kepada lima anak berusia empat hingga 15 tahun itu terpaksa menanggung keperluan makan, minum, pakaian serta persekolahan anak-anak sendirian selepas kematian suami sejak empat tahun lalu. Ekoran kesempitan hidup, dia tidak mampu menjelaskan bil air berkenaan menyebabkan bekalan terpaksa dipotong Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sejak setahun lalu. "Saya benar-benar bersyukur dengan kehadiran pihak Syabas untuk membantu kami sekeluarga. Sejak berpindah ke sini pada Januari tahun lalu, saya cuma sempat membayar bil pada bulan pertama, masuk bulan kedua saya terpaksa memikirkan keperluan anak- anak dahulu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bekalan air percuma di bawah Tabung Budi daripada Pengarah Eksekutif Tugas-tugas Khas Syabas, Mohamad Mohd. Isa Yasin di rumah sewanya di Jalan Telipot, Bukit Sentosa di sini baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar Syabas Hulu Selangor, Latip Mustafa. Sambil menangis, Norihan berjanji akan menggunakan sumbangan air percuma selama enam bulan itu secara berhemah. Dia yang baru seminggu bekerja sebagai tukang cuci di salah sebuah sekolah rendah berhampiran berharap wang gaji sebanyak RM500 yang diterima nanti, serta pencen ilat kematian suami sebanyak RM600 serta bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkannya meneruskan kehidupan membesarkan anak-anaknya lebih sempurna. Norihan merupakan salah seorang daripada tiga keluarga yang dipilih menerima sumbangan air percuma menerusi Tabung Budi. Penerima lain ialah bapa tunggal, Muhammad Ramli Sulaiman, 50 dari Taman Garing, Rawang dan Mohd. Rolzaman Mohd. Yusoff, 42, dari Taman Widuri, Bukit Beruntung. Muhammad Ramli bukan sahaja terpaksa melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa, tetapi juga ibu kepada lapan orang anak. Lebih menyedihkan, dua orang anaknya menghidap leukemia dan seorang lagi mengalami masalah pendengaran. Disebabkan desakan hidup, dia tidak dapat membayar bil-bil utiliti termasuk bil air sehingga bekalan dipotong sejak beberapa bulan lalu. Bagi Mohd. Rozalman pula, akibat tiada pekerjaan tetap serta terpaksa menyara isteri dan lima orang anak, dia terpaksa merelakan bekalan airnya dipotong sejak sebulan lalu. Sementara itu, Isa berkata, selain membuat penyambungan bekalan air dan menerima air secara percuma selama enam bulan, tunggakan bil air penerima turut dilangsaikan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan