Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kempen cegah nyamuk aedes

Posted:

Kempen cegah nyamuk aedes

Kempen cegah nyamuk aedes

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Penduduk Jelawat bergotong-royong membersihkan semak samun di bahu jalan berdekatan rumah mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan demam denggi.


BACHOK 26 Jan. - "Awas anda berada di kawasan serangan nyamuk aedes. Ingat, nyamuk aedes membawa maut."

Itu adalah antara kata-kata amaran yang kebanyakan daripada kita pasti sering melihatnya pada kain rentang yang dipasang oleh Jabatan Kesihatan negeri di banyak lokasi, mengenai ancaman nyamuk tersebut kepada orang ramai.

Ini kerana, kes demam denggi di Kelantan pada tahun lalu berada di tahap kritikal apabila mencatatkan sembilan kematian setakat September.

Menyedari ancaman wabak denggi itu, maka gotong-royong membersihkan kawasan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat di sini telah diadakan baru-baru ini.

Tujuannya untuk meningkatkan gaya hidup sihat di kalangan penduduk, sekali gus membebaskan persekitaran mereka daripada ancaman nyamuk aedes.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Hussain berkata, kempen yang berterusan dilaksanakan secara berperingkat ke segenap ceruk kampung bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan memiliki halaman rumah yang bersih iaitu tidak memberi ruang kepada nyamuk aedes membiak.

Beliau menegaskan, tugas menghapuskan nyamuk aedes tidak patut dibebankan kepada kakitangan Jabatan Kesihatan sahaja, sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak.

Lebih-lebih lagi sikap mengabaikan kebersihan akan memudahkan jangkitan denggi yang boleh meragut nyawa.

"Aedes merupakan sejenis nyamuk yang biasanya ditemui di kawasan tropika. Ia menyebarkan penyakit berbahaya seperti demam denggi.

''Orang ramai tidak sepatutnya memberi peluang kepada nyamuk ini membiak," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran gotong-royong membersih halaman rumah dan perkampungan di Kampung Teratak Pulai, dekat sini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Ilias berkata, gerakan membersih kawasan dan penerangan mengenai bahaya aedes serta demam denggi turut dijalankan di peringkat sekolah.

Pertubuhan-pertubuhan belia juga terlibat dalam memastikan persekitaran rumah masing-masing berada dalam keadaan bersih dan ia dijadikan rutin.

"Selain itu, bagi kawasan luar rumah seperti tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah, tempayan, pokok pisang, pokok keladi, longkang tersumbat dan tangki septik turut menjadi tempat pembiakan nyamuk yang perlu dibersihkan sekerap mungkin," katanya.

Ilias yang juga Penyelaras Program Menghapus Tempat Pembiakan Aedes Daerah Bachok menambah kempen itu turut mendapat kerjasama daripada pasukan bomba dan penyelamat daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Bachok dan pertubuhan-pertubuhan belia.

Sementara itu, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teratak Pulai, Rosamira Mohd. Daud, 17, berkata, kempen yang dijalankan memberi pendedahan kepadanya supaya bersikap ringan tulang membersihkan persekitaran sekolah dan rumah supaya sentiasa dalam keadaan ceria serta bersih.

"Melalui kempen gotong-royong itu juga pelajar turut didedahkan dengan rupa bentuk nyamuk aedes dan jenis-jenis virus bawaan nyamuk yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Bagi anggota Pertubuhan Belia MAYC Terak Pulai, Wan Mohd. Amiruddin Wan Hassan, 22, pula, penglibatan semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dalam kempen tersebut memberi perangsang kepada anak-anak muda supaya terlibat sama menjayakan aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu beliau berkata, golongan belia juga mendapat banyak informasi disalurkan oleh Jabatan Kesihatan sepanjang program khususnya mengenai kitaran nyamuk aedes dan cara-cara membasminya.

"Jika tidak diberi peringatan tentang bahaya nyamuk aedes, pasti tanggungjawab tersebut tidak dilaksanakan secara berjadual oleh orang ramai dan membiarkan sahaja nyamuk itu terus membiak," katanya.

Seorang penduduk, Hussin Pak Teh, 42, pula berkata, gotong-royong itu memberi impak positif termasuk dalam aspek meningkatkan perpaduan di kalangan penduduk.

"Gotong-royong yang dijalankan membolehkan kami bersama-sama menanam rasa bertanggungjawab untuk membersih kawasan semak termasuk menebas belukar di sekitar bahu jalan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kesihatan berkata, demam denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus denggi 'genus Flavivirus' yang disebar oleh nyamuk aedes betina melalui gigitan.

Menurutnya, terdapat dua jenis denggi yang paling serius iaitu demam denggi hemoragik (DHF) dan sindrom kejutan denggi (DSS).

"Virus denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama tiga hingga 14 hari (purata empat hingga enam hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda serangan penyakit tersebut.

''Pesakit mungkin mengalami demam mengejut diikuti berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus sebelum ia boleh membawa maut," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kesan jalan utama ditutup

Posted:

Kesan jalan utama ditutup

Kesan jalan utama ditutup

Oleh MOHD. ZUHARMAN
MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my


Abdul Rahman termenung di tengah susunan barang perniagaannya yang kian lembab di Kompleks Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu.


KOTA BHARU 26 Jan. - Peniaga di Kompleks Bazar Buluh Kubu di sini mendakwa, keputusan kerajaan negeri menutup jalan utama dekat bazar berkenaan menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Peniaga Kompleks Bazar Buluh Kubu, Abdul Rahman Osman berkata, bazar itu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara terutama pada musim cuti persekolahan, hujung minggu dan musim perayaan.

Bagaimanapun dakwanya, kesan daripada penutupan jalan utama menuju ke kompleks itu oleh kerajaan Pas sejak beberapa tahun lalu menyebabkan aktiviti perniagaan di situ terjejas teruk antara 60 hingga 70 peratus.

Jalan utama menuju ke kompleks berkenaan ditutup sejak beberapa tahun lalu bagi membangunkan satu projek dipanggil Laman Siti Khadijah yang terletak antara Bazar Buluh Kubu dan Pasar Besar Siti Khadijah.

"Perancangan dan pembangunan bandar yang tidak tersusun dengan tertutupnya laluan utama itu telah memberi kesan kepada aktiviti perniagaan di sini. Kalau dulu, pendapatan kami mencecah RM1,000 sehari.

"Tetapi sejak jalan itu ditutup hendak dapat RM100 sehari pun sukar, walaupun waktu berniaga dibuka sepanjang hari tidak kira sama ada hari cuti atau tidak. Tiada orang (pengunjung)," jelas beliau semasa ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, kadar sewa yang dikenakan setiap peniaga di kompleks berkenaan adalah antara RM100 dan RM700 sebulan.

Seorang peniaga, Abdul Aziz Omar, 69, mendakwa, selain faktor pembangunan yang tidak tersusun, masalah kurangnya promosi turut memberi impak besar kepada kelembapan aktiviti perniagaan di bazar berkenaan.

"Dalam persaingan sengit sekarang ini, pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengambil satu inisiatif bagi memajukan pusat perniagaan ini dengan mengadakan promosi-promosi yang sesuai," ujar beliau.

Dia yang sudah lebih 20 tahun berniaga di kompleks berkenaan, mendakwa, pendapatannya kini merosot sehingga 70 peratus berbanding sebelum ini.

"Berniaga hanya untuk bayar sewa dan gaji pekerja sajalah. Kalau berniaga niat untuk cari untung lebih memang tak boleh," katanya.

Seorang lagi peniaga, Rozman Idris, 45, memberitahu, punca pembangunan tidak seimbang dan ruangan letak kereta yang amat terhad termasuk kewujudan premis-premis perniagaan baru di sekitar bandar itu menyebabkan Bazar Buluh Kubu semakin kurang mendapat sambutan.

"Itu mungkin menjadi satu sebab tempat ini kurang mendapat tumpuan, kerana seingat saya, bermula dari situlah kita mula merasai kemerosotan berniaga sejak sekian lama berniaga di sini.

''Apa yang saya nampak tiada promosi oleh pihak berkenaan tentang tempat ini berbanding premis-premis lain seperti pasar-pasar raya yang tidak putus-putus mengadakan pelbagai promosi," katanya.

Rozman tidak menolak kemungkinan kompleks perniagaan itu yang pernah menjadi kebanggaan rakyat akan lenyap sekiranya tidak ada usaha sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bazar Buluh Kubu terletak di tengah bandar Kota Bharu bersebelahan Pasar Besar Siti Khadijah, dibina pada 1980 oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Struktur binaannya , merangkumi empat aras termasuk ruang meletak kenderaan selain dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk, surau dan tandas.

Ia mula beroperasi sepenuhnya pada 1986 dengan menawarkan pelbagai barangan seperti kraf tangan, kain batik, songket, cenderamata, pakaian dan sebagainya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Harga getah beku naik, susu dicuri

Posted:

Harga getah beku naik, susu dicuri

Harga getah beku naik, susu dicuri


Nor Kartini Abu Hassan (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan mangkuk susu getah kosong akibat dicuri di Ladang Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan, semalam.


KUALA KRAI 26 Jan. - Kenaikan harga getah di pasaran dunia menyaksikan komoditi itu menjadi sasaran pencuri sehingga ada yang sanggup meredah ladang getah tanpa mengira waktu siang atau malam bagi mendapatkan susu getah.

Antara ladang getah menjadi sasaran pencuri ialah di Kuala Gris dekat sini, yang diusahakan oleh penduduk kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Bakar Junoh, 70, mendakwa, dia yang mengusahakan ladang getah seluas satu hektar sebelum ini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan ketika harga getah di paras RM4 sekilogram.

Bagaimanapun dakwanya, apa yang mengecewakan ialah apabila harga getah mencecah RM8 sekilogram ketika ini, dia masih memperoleh pendapatan sama disebabkan banyak susu getah dan getah beku dicuri oleh pencuri.

"Sepatutnya saya boleh memperoleh pendapatan sekali ganda disebabkan peningkatan harga getah di pasaran.

''Bagaimanapun, ia tidak berlaku apabila banyak susu getah dan getah beku dicuri oleh pencuri memandangkan permintaan terhadap getah kini meningkat.

"Saya cukup kecewa di atas apa yang berlaku dan lebih mengecewakan ialah tidak ada tindakan daripada pihak berwajib bagi mengatasi masalah tersebut walaupun aduan ada dibuat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Fatimah Omar, 70, pula memberitahu, dia dan suami hanya mengharapkan hasil dari menoreh getah untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Dakwanya, apa yang menyedihkan ialah kebelakangan ini banyak susu getah dan getah beku yang dipungut hilang dilarikan oleh pencuri.

"Pencuri terbabit dikatakan akan menyorokkan susu getah dan getah beku itu di kawasan semak sebelum diangkut pada sebelah malam untuk dijual kepada peraih bagi mengelak dikesan," dakwanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Ladang Kuala Gris, Nor Katini Abu Hassan memberitahu, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan untuk mengatasi masalah itu , termasuk mengadakan operasi menahan pencuri terbabit.

Bagaimanapun katanya, apa yang mendukacitakan ialah, kecurian terus berlaku selepas penjenayah terbabit dibebaskan semula sementara menunggu kes mereka diselesaikan.

Justeru, beliau berharap, pihak berkuasa membuat pemantauan lebih kerap terutama di kawasan pedalaman bagi mengelak penjenayah terus menjadikan hasil usaha penduduk sebagai sasaran mereka.

"Ini untuk memastikan penoreh mendapat hasil yang lebih baik bagi membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan