Kosmo Online - Rencana Utama |
Mampukah permata jadi penawar? Posted: Mampukah permata jadi penawar?Oleh NURUL IZZA ROSLY JUTAAN tahun lalu, batu permata telah menarik minat manusia kerana kecantikan dan misteri di sebaliknya. Sejak itu, batu-batu permata menjadi simbol kekayaan, kuasa dan cinta selain ia dikaitkan dengan zodiak. Pada zaman purba, batu permata dipakai sebagai azimat dan tangkal untuk melindungi diri daripada kuasa-kuasa jahat dan syaitan, memelihara kesihatan malah, menjauhkan diri daripada wabak penyakit. Terdapat tiga cara batu permata digunakan iaitu dengan meletakkan batu permata pada bahagian tubuh yang sakit, memakan batu permata yang telah menjadi serbuk dan kehadiran batu permata tersebut sahaja sudah mencukupi untuk mengubati penyakit. Sehingga kini, terdapat segelintir masyarakat menggunakan batu permata sebagai ubat untuk mengubati penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, insomnia, gemuruh, melancarkan perjalanan darah, resdung, darah tinggi, sakit sendi dan banyak lagi. Boleh dikatakan semua batu permata mempunyai khasiat yang tersendiri. Terdapat pelbagai jenis batu permata antaranya delima, jed, zamrud, nilam, topaz, intan, lapis lazuli, turqouise, mutiara, krisoberil, turmalin, akuamarin, baiduri, akik, ametis, mata harimau, hematit, sitrin dan banyak lagi. Penjualan batu-batu permata itu dipelbagaikan dalam bentuk gelang, rantai tangan, loket, batu cincin, pokok hiasan dan sebagainya. ANTARA batu permata yang dijadikan cincin. Kini sudah menjadi trend apabila semakin ramai orang memilih batu permata sebagai gelang tangan, rantai tangan dan loket sebagai aksesori serta untuk tujuan kesihatan. Persoalannya, benarkah batu-batu permata yang banyak dijual dalam pelbagai bentuk itu boleh mempengaruhi kesihatan seseorang atau ia sekadar mitos yang diwarisi turun-temurun? Aura dalaman Kurator Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya, Degor Johia, memberitahu, kesihatan tubuh badan manusia banyak dipengaruhi oleh diet pemakanan dan pengambilan makanan tambahan dalam bentuk vitamin atau zat galian yang diperlukan oleh sistem badan. "Batu-batuan yang dijual dengan kepercayaan bahawa ia mampu merawat, mengawal dan membantu meningkatkan kesihatan badan setakat ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya. "Ia bergantung kepada si pemakai kerana setiap orang mempunyai 'aura dalaman' berbeza, sama seperti sistem ketahanan antibodi dalam badan manusia," katanya. Katanya, kajian saintifik pernah dilakukan berhubung perkara tersebut, walaubagaimanapun para saintis setakat ini masih belum lagi menemui jawapan yang konklusif. "Memang terdapat unsur elektromagnet di dalam batuan. Lebih tinggi kandungan mineral berlogamnya, maka lebih tinggi gelombang elektromagnet yang terhasil. "Selain itu, batuan juga mengandungi unsur radioaktif iaitu peratusan kandungannya bergantung kepada bagaimana dan di mana batuan itu terbentuk," ujarnya.
Sebagai contoh katanya, batu akik, flourit, kalsit dan obsidian untuk sakit belakang, batu garnet, jasper, dolomite dan karang putih untuk penyakit alahan atau alergi manakala batu delima, garnet dan aventurin hijau untuk masalah kesuburan. Contoh di atas hanyalah sebahagian kecil daripada batu-batuan yang digunakan dalam bidang rawatan alternatif kerana Degor memberitahu, ia hanyalah sebahagian daripada ikhtiar untuk mengubati penyakit. Bagaimanapun ia tidak semestinya berkesan 100 peratus. "Keunikan batu-batuan bergantung kepada mineral pembentukannya. Sekiranya kandungan besinya tinggi, batu yang terhasil akan berwarna kemerahan atau jingga karat dan kebiasaannya lebih berat daripada batu-batu biasa. "Teknologi moden telah berjaya menghasilkan batu permata sintetik dan tiruan yang amat halus buatannya sehingga hampir menyamai batu permata asli," jelasnya. Tambahnya amat sukar membezakan di antara batu asli dan tiruan dengan mata kasar kecuali menggunakan alat makmal gemologi iaitu Infrared Spectroscopy yang mampu mengenal pasti kandungan mineral asli dan tiruan di dalam batu permata yang diuji. Namun, untuk memiliki batu-batu permata itu, seseorang perlu melabur wang yang banyak kerana harganya tidaklah murah. Pencinta batu permata Hariyah Halib, 38, mula berjinak-jinak dengan aneka batu permata sejak enam tahun lalu kerana meminatinya untuk digayakan sebagai aksesori. "Aksesori daripada batu permata harganya mahal, tetapi kerana minat yang mendalam saya selalu membelinya apabila melancong ke luar negara. Kemudian saya mula membeli secara pukal daripada pembekal kerana harganya lebih murah berbanding membelinya di kedai-kedai biasa. "Ada dua sebab mengapa seseorang itu memakai batu permata iaitu untuk kesihatan dan sebagai aksesori kecantikan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ibu kepada dua anak itu memberitahu, dia bukan sekadar memakai aksesori yang diperbuat daripada batu permata, malah turut mengumpul maklumat dan mempelajari khasiat dari sudut kesihatan melalui pembacaan. Hariyah juga selalu bertanya kepada penjual batu permata. Sejak memulakan hobinya mengumpul koleksi gelang daripada batu permata enam tahun lalu, Hariyah mempunyai 2,000 hingga 3,000 utas gelang daripada pelbagai jenis batu permata dan sudah berhabis RM100,000.
Selain mempunyai gelang daripada batu permata, Hariyah juga mempunyai koleksi pokok kristal, loket dan batu bukit. "Melalui pembacaan saya dan maklumat yang saya peroleh daripada penjual batu permata, batu-batu ini mempunyai khasiat untuk kesihatan seperti baik untuk kesihatan jantung, kencing manis, artritis, darah tinggi, insomnia dan banyak lagi. "Sungguhpun begitu kita tidak boleh mempercayai kepada kuasa sesuatu tanpa ada bukti yang sahih berdasarkan kajian saintifik dan pandangan agama kerana ia adalah kuasa Allah. "Namun, kita sebagai manusia perlu berusaha untuk mencari penawar bagi setiap sesuatu kerana Allah telah menciptakan setiap kejadiannya di muka bumi ini dengan manfaat masing-masing," ujarnya. Dalam pada itu, Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim memberitahu orang ramai tidak boleh mempercayai bahawa batu permata mempunyai khasiat menyembuhkan penyakit kerana ia tidak dibuktikan secara klinikal dan kajian saintifik. "Apa yang didengar mungkin berdasarkan daripada testimoni seseorang pengguna. Nasihat saya, janganlah terlalu taksub atau bergantung kepada kuasa batu, jika sakit datanglah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital," tegas beliau. | ||||
Posted: Beli batu sampai ke Mesir
MINATNYA terhadap aksesori yang diperbuat daripada batu permata membuatkan gadis berusia 28 tahun ini mula serius mengikut jejak langkah bapanya dalam perniagaan menjual batu permata. Jika dulu, gadis manis bernama Muna Tasnim Mukhtaruddin, hanya tahu menggayakan aksesori daripada batu permata mengikut rona baju setiap kali keluar ke kuliah, kini dia mewarisi legasi perniagaan batu permata milik keluarga yang dimulakan oleh bapanya. "Perniagaan ini dimulakan oleh bapa saya, Mukhtaruddin Hashim, 64, yang merupakan seorang bekas guru sejak 30 tahun lalu di utara Semenanjung Malaysia. "Dia sangat meminati batu permata dan belajar mengenali setiap batu permata melalui pembacaan, bertanya kepada individu yang pakar dan keluar negara untuk mendapatkan bekalan," katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraanbiokimia dan bioteknologi di peringkat Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Menurut Muna Tasnim, permintaan terhadap batu permata di Malaysia semakin meningkat kerana ramai orang mula menyukainya atas pelbagai sebab. Kini, orang ramai bukan sahaja memakai batu permata sebagai aksesori seperti gelang, cincin, loket dan subang untuk kecantikan, malah ada yang memakainya kerana mempercayai batu-batu ini mempunyai khasiat kesihatan. "Batu ini tiada harga tetap kerana terpulang kepada penjual untuk menetapkan harganya. "Saya boleh menjual lebih murah daripada harga yang ditawarkan di pasaran dengan kualiti yang sama kerana saya membelinya secara pukal dari negara pengeluar," ujarnya yang memulakan perniagaannya dengan modal sebanyak RM2,000. Bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai batu permata, Muna Tasnim merujuk kepada bapanya, membaca buku-buku mengenai batu permata, maklum balas daripada pelanggan dan pergi sendiri ke kedai-kedai permata untuk bertanyakan mengenai khasiat serta keistimewaannya. Muna Tasnim mendapatkan bekalan batu-batu permata dari negara Myanmar, Thailand, China, Mesir dan sebagainya. Dia sendiri akan mengikat batu-batu tersebut mengikut kreativitinya untuk dijadikan gelang, subang, loket dan sebagainya. Menjaga batu permata Menyentuh mengenai penjagaan aksesori batu permata pula, Muna Tasnim memberitahu, memadai dengan membersihkannya dengan air biasa sahaja tetapi ada juga yang merendamkannya menggunakan air mineral. "Jika dulu ramai orang berketurunan Cina yang memakai aksesori batu permata, kini orang Melayu juga menggemarinya. "Bagi mereka yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan ini, anda amat dialu-alukan. Katakan sahaja berapa modalnya dan saya akan berikan batu-batu permata dengan nilai tersebut," katanya yang boleh dihubungi di rosequarzmtm@gmail.com. Dalam pada itu, orang ramai yang mahu melihat secara lebih dekat batu-batuan pelik boleh berkunjung ke Pameran Batu-Batuan Pelik sehingga 16 Februari depan di Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya. ANTARA produk batu permata dan kristal yang dijual dalam perniagaan keluarga Muna Tasnim. Pameran anjuran Jabatan Muzium Malaysia itu mempamerkan kira-kira 100 jenis batu yang terbentuk jutaan tahun dahulu merangkumi batuan daripada kategori meteor, amber, fosil dan suevit. Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk melihat batu meteor besi seberat 165 kilogram yang mempunyai kalimah Allah di permukaannya, namun ia sukar dilihat sekali imbas. Kesemua batu-batuan tersebut di bawa khas daripada koleksi Jabatan Mineral dan Geosains, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia, Galeri Meteor, Galeria Perdana dan The Sculptures selain Muzium Alam Semulajadi sendiri. Pameran itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM2 bagi dewasa manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas adalah percuma. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan