Sabtu, 29 Januari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Ibu didakwa tikam bayi ke Hospital Bahagia

Posted: 28 Jan 2011 10:26 AM PST

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini, semalam, memerintahkan wanita Myanmar yang didakwa membunuh bayinya yang baru dilahirkan dengan menikam bertubi-tubi di tandas rumahnya, Selasa lalu diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemerhatian selama sebulan.

Majistret Zilfinaz Abbas membuat perintah itu terhadap Nuraishah Abdullah, 23, selepas membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Zara Aina Mohd Zawawi. Terdahulu, Nuraishah yang memegang status pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh anaknya di rumah bernombor 4, Lot 9902, Batu 4, Kampung Jawa, dekat sini kira-kira jam 9 pagi, Selasa lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Ketika dihadapkan, ibu muda itu yang masih dalam pantang kelihatan lemah hanya duduk dalam kandang tertuduh dan meminta penghawa dingin dimatikan seketika atas alasan tidak tahan sejuk.


Dia yang memakai baju-T dan kain batik dilihat termenung panjang dan sesekali mengalirkan air mata. Zilfinaz menetapkan 28 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan perubatan. Rabu lalu, akhbar melaporkan seorang ibu tergamak menikam bertubi-tubi bayi perempuan baru dilahirkannya sebelum mayat bayi malang itu ditemui dalam tandas di rumah panjang di Kampung Jawa, dekat sini.

Mayat bayi cukup sifat itu ditemui jam 12.45 tengah hari oleh sepasukan polis sejurus menerima panggilan kecemasan daripada jiran yang curiga dengan tindakan wanita itu berkurung seorang diri dalam rumah.


Hasil siasatan, polis mendapati, wanita itu baru melahirkan bayi kira-kira jam 9 pagi pada hari sama. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika polis tiba di rumah itu, bayi berkenaan sudah meninggal dunia, ditemui terbaring atas plastik dengan kesan tikaman di badan, manakala kawasan itu dipenuhi kesan darah.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ajal di tali air

Posted: 28 Jan 2011 10:25 AM PST

PEKAN: Tindakan seorang isteri berkeras mahu ke Johor untuk pulang ke negara asal, Indonesia berakhir tragedi apabila terbunuh bersama suami dan anak saudaranya selepas kereta dinaiki terbabas di tali air di Kilometer 31, Jalan Pekan-Paloh Hinai, dekat Kampung Pulau Rumput, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Karinah, 56, terbunuh bersama suaminya, Maarof Mat Sham, 73, serta anak saudaranya, Mahmud, 36, ketika mereka dalam perjalanan ke stesen bas di bandar ini untuk ke Johor.


Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta Datsun dipandu Mahmud mengelak seorang penunggang motosikal yang terjatuh di tengah jalan ketika memotong sebuah traktor di depan.

Mahmud dipercayai gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu terbabas ke dalam tali air lalu terbalik.


Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas selepas gagal diselamatkan kerana kemalangan berlaku begitu pantas dalam hujan lebat.


Ibu saudara Karinah, Rahmah Ibrahim, 59, berkata ketika kejadian, arwah dalam perjalanan menjemputnya di Pulau Manis, di sini, untuk bersama-sama menghantar wanita itu ke stesen bas di bandar ini ke Johor sebelum bertolak ke Riau.

"Dia dijadualkan menaiki bas ke Johor jam 10 pagi tadi (semalam), namun kira-kira jam 9 pagi, saya mendapat panggilan telefon memaklumkan arwah meninggal dunia dalam kemalangan bersama Maarof dan Mahmud," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pekan (HP), di sini, semalam.


Menurutnya, Karinah berkeras pulang ke kampung asalnya semalam bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya yang dijadualkan minggu depan.

Katanya, sebelum mengambil tiket bas minggu lalu, dia ada meminta Karinah pulang ke Riau hari ini, namun wanita itu berkeras untuk bertolak lebih awal.


"Bukan apa, saya kasihankan dia kerana pulang seorang diri ke Indonesia tanpa ditemani sesiapa, lagi pun kenduri itu akan diadakan minggu depan.


"Saya memintanya pulang esok (Sabtu) tetapi dia berkeras mahu pulang pagi ini (semalam)," katanya.


Menurutnya, kasihan dengannya, dia mengambil keputusan menghantar mangsa di stesen bas sebelum bertolak ke Johor.


"Saya tidak menyangka rupa-rupanya ada sesuatu menggamitnya, seolah-olah arwah tahu akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya," katanya sebak.


Sementara itu, menantu Maarof, Norehan Hassan, 53, berkata kali terakhir dia bertemu mangsa kira-kira seminggu lalu dan tiada sebarang tanda pelik ditunjukkan bapa mentuanya itu, juga warga Indonesia.


"Saya menetap di Muadzam Shah, Rompin, dan sering menjenguknya yang tinggal berdua dengan Maarof di Pulau Manis memandangkan adik-beradik lain kebanyakannya menetap di Kuala Lumpur.


"Kami reda walaupun sedih pemergiannya," katanya yang memaklumkan jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serambi, Pekan, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata mayat ketiga-tiga mangsa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima maklumat kemalangan itu.


Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan