Utusan Online - Timur |
- Sistem perparitan punca banjir kilat
- perkembangan pelancongan perlu direbut
- Krisis minyak masak di Kelantan pulih sebelum Tahun Baru Cina
| Sistem perparitan punca banjir kilat Posted: Sistem perparitan punca banjir kilatOleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
TANAH MERAH 23 Jan. - Penduduk Kampung Ayer Lanas Block Machang dekat sini, meminta kerajaan membaiki sistem perparitan di kampung berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku sehingga menenggelamkan rumah mereka. Penduduk terbabit mendakwa, sistem perparitan yang ada, tidak mampu menampung limpahan aliran air hujan dari bukit berdekatan dan Sungai Plor setiap kali hujan lebat, menyebabkan kawasan rumah mereka akan digenangi banjir kilat. Seorang penduduk, Drs. Kamaruddin Mat Jusoh, 62, mendakwa, rumahnya pasti digenangi air dan ada ketikanya sehingga melebihi semeter apabila hujan lebat berlanjutan selama dua atau tiga jam. "Keadaan itu berlaku kerana saliran atau gelung yang digunakan bagi mengalirkan air dari kawasan bukit berdekatan ke Sungai Plor terlalu kecil, menyebabkan air melimpah dan menggenangi rumah penduduk," katanya ketika ditemui di sini. Dia mendakwa, apa yang mengecewakan penduduk adalah masalah tersebut telah berlarutan sejak tiga tahun lalu dan banyak aduan dibuat kepada pihak berwajib tetapi tiada jalan penyelesaian diambil. "Kami penduduk di Block Machang Sungai Plor ini tidak tahu lagi untuk mengadu kepada sesiapa bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang naik hingga paras dada jika hujan lebat tanpa henti," ujarnya. Seorang lagi penduduk, Zaidi Abdullah, 43, berkata, banjir kilat yang berlaku turut menjejaskan ternakan ikan air tawar yang diusahakannya. "Apabila hujan lebat, air akan melimpah masuk ke dalam kolam menyebabkan ikan-ikan terlepas atau dibawa oleh arus. ''Saya pening memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah ini kerana perbelanjaan membuat kolam bukan murah, tetapi tidak memperoleh hasil setiap kali berlaku banjir kilat," katanya. Jamaluddin Jusuh, 44, pula berharap, pihak kerajaan segera membaiki sistem perparitan di kampung berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda itu. "Mungkin kerajaan boleh membesarkan lagi sistem perparitan atau gelung yang digunakan bagi memudahkan aliran air dari bukit berdekatan apabila berlaku hujan lebat," katanya. Sementara itu, setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Azmi Stapa ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghubungi jurutera Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan bagi membolehkan tindakan segera diambil. "Kita telah meminta supaya pihak berkenaan mengkaji cara terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk terbabit. "Sekiranya sistem perparitan atau gelung itu perlu diperbesarkan, kita berharap dia dapat ditukar segera," katanya. | ||
| perkembangan pelancongan perlu direbut Posted: perkembangan pelancongan perlu direbutKUALA TERENGGANU 23 Jan. - Peluang masih terbuka luas untuk rakyat negeri ini memajukan diri melalui sektor sokongan seperti perkhidmatan bagi menampung limpahan pelancong ke negeri ini pada masa depan. Pemangku Pengarah Tourism Malaysia negeri Terengganu, Zaini Sulaiman berkata, ia termasuk penyediaan penginapan seperti calet dan hotel, inap desa, di samping pemandu pelancong dan pengendali pakej lawatan. ''Daripada 36 juta pelancong yang disasarkan oleh negara menjelang 2020, sekurang-kurangnya tujuh juta akan melawat negeri ini. ''Ia akan melibatkan pertambahan lebih sekali ganda berbanding angka tahunan semasa," ujarnya di sini hari ini. Katanya, jangkaan jumlah kemasukan pelancong itu seiring dengan pelbagai usaha kerajaan negeri mempelbagaikan produk dan mengetengahkan daya tarikan baru di samping peningkatan promosi. ''Ini termasuk usaha menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dapat melonjakkan perkembangan industri ini jika ia berjalan lancar kelak. ''Justeru lebih banyak perkhidmatan diperlukan dan semua ini memerlukan mereka yang serius dan bergerak aktif untuk bersama-sama menjayakan hasrat negeri dan negara," ujarnya. Katanya, ia juga perlu mengambil kira soal kualiti, bukan sekadar wujud tetapi memuaskan hati seperti kemudahan penginapan yang selesa dan tempat makan yang bersih dan menyelerakan. ''Begitu juga keperluan terhadap pemandu pelancong yang bukan sahaja memahami resam dan keadaan setempat tetapi juga dapat menguasai pelbagai bahasa. ''Pelancong datang dari pelbagai pelosok dunia, justeru penguasaan bahasa akan memberi nilai tambah. ''Rakyat negeri ini juga lebih mesra pelancong dan ini antara faktor yang akan mendorong lebih ramai kemasukan mereka kelak," ujarnya. | ||
| Krisis minyak masak di Kelantan pulih sebelum Tahun Baru Cina Posted: Krisis minyak masak di Kelantan pulih sebelum Tahun Baru CinaBACHOK 23 Jan. - Krisis bekalan minyak masak yang melanda negeri ini hampir dua bulan lalu dijangka pulih sepenuhnya menjelang sambutan Tahun Baru Cina awal Februari ini. Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan, Fauzi Haron berkata, sehingga pertengahan bulan ini pihaknya berjaya menyelesaikan 85 peratus masalah bekalan minyak masak yang dilaporkan berlaku di negeri ini. Beliau berkata, Kelantan memerlukan bekalan minyak masak sebanyak 3,389 tan metrik sebulan dan setakat Khamis lalu, simpanannya sudah berada pada tahap 2,421 metrik tan. "Ini bermakna walaupun tidak sepenuhnya (diselesaikan) tapi isu krisis minyak ini telah berjaya diatasi sehingga 85 peratus," katanya selepas melawat kilang pembungkus minyak masak Syarikat Tanjung Paoh di Kampung Beris dekat sini, hari ini. Sempena lawatan itu, Fauzi turut menyampaikan bantuan barang keperluan harian iaitu minyak masak, beras dan gula kepada 30 orang miskin sekitar kampung berkenaan sumbangan Syarikat Tanjong Pauh. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Tanjong Pauh Group Sdn. Bhd., Datuk Hilmi Yusoff serta pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan. Katanya, dengan perkembangan yang ditunjukkan sekarang, beliau percaya bekalan itu tidak akan menjadi masalah pada musim perayaan berkenaan. Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya sentiasa membuat pemantauan supaya tidak berlaku ketirisan dalam pengagihan bekalan minyak masak di negeri ini sehingga mencetuskan krisis kepada pengguna. Beliau berkata, pemantauan itu akan dibuat secara berterusan oleh pegawai penguat kuasa tanpa mengikut musim tertentu sahaja. "Operasi pemantauan secara berterusan ini sebenarnya kita sudah lakukan sejak dulu lagi. Cuma sekarang ini kita perlu tingkatkan lagi pemantauan bagi memastikan agihan bekalan minyak masak tidak berlaku ketirisan terutama diseludup ke negara jiran," jelasnya. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan