Isnin, 24 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Adun Sri Muda hantar surat mohon menghadap Sultan Selangor

Posted: 24 Jan 2011 12:44 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei mengesahkan telah menghantar surat memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya menerusi satu laman blog.

Shuhaimi berkata surat berkenaan dihantar secara serah tangan oleh wakilnya kepada pihak istana pagi ini.

"Saya akan menunggu perkenan daripada pihak istana," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat di sini hari ini.

Shuhaimi pada 12 Januari lepas memberitahu media beliau dalam proses membuat draf surat untuk memohon menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu berhubung satu entri dalam blognya srimuda.blogspot.com yang didakwa menghina baginda.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada 4 Januari lepas, berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-olah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Shuhaimi bagaimanapun menafikan kenyataannya itu bertujuan menghasut rakyat dan menghina sultan.

Entri kontroversi Shuhaimi itu adalah rentetan daripada rasa tidak puas hati kerajaan Selangor berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pelaburan: Respons Mukhriz tak masuk akal, kata Guan Eng

Posted: 24 Jan 2011 12:29 AM PST

Lim Guan Eng: "Kerajaan negeri dikritik hebat."

GEORGE TOWN, 24 Jan — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan sebagai "tidak masuk akal" kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa 99 peratus pelaburan di negeri ini adalah atas usaha promosi kerajaan pusat.

Lim berkata adakah ini bermakna kalau Pulau Pinang tidak mendapat pelaburan, itu juga tanggungjawab kerajaan pusat.

"Kalau Mukhriz yang cakap begitu, beliau juga mesti bertanggungjawab kalau Pulau Pinang tidak berjaya (menarik pelaburan). Tak kan kalau berjaya beliau hendak dapat kredit dan kalau tidak berjaya itu salah orang lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid, di sini hari ini.

Katanya enam bulan pertama tahun lepas, kerajaan negeri dikritik hebat oleh pihak pembangkang negeri iaitu dari Barisan Nasional (BN) kerana hanya mampu mencapai RM1.5 bilion pelaburan.

"Masa itu, kita dikritik hebat dan mengapa BN tidak keluar untuk mengaku itu salah mereka. Sekarang bila Pulau Pinang dapat mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi tahun lepas, itu dia punya kredit dan itu dia punya kepandaian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diteraju pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS tidak harus cepat "mengambil kredit" di atas usaha orang lain dalam mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi  pelaburan.

Sebelum ini, Pulau Pinang berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus pelaburan pada tahun 2010  berbanding dengan tahun 2009. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan