Isnin, 24 Januari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Sampah haram undang risiko penyakit

Posted:

Sampah haram undang risiko penyakit

Sampah haram undang risiko penyakit

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my


Seorang penduduk menunjukkan sampah yang dilonggok dan dibuang secara haram di Taman Setali Indah, Kuantan.


KUANTAN 24 Jan. - Masalah pembuangan sampah secara haram kini dilihat sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat di bandar ini terutama di kawasan perumahan, tanah lapang dan di pinggir jalan raya.

Selain bau busuk dan mencacatkan pemandangan, tapak pembuangan sampah haram itu turut menjadi faktor peningkatan kes denggi di bandar ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati banyak tapak pembuangan sampah haram dilihat wujud di premis perniagaan, kawasan lapang dan paling kritikal di kawasan perumahan seperti di Taman Setali Indah dan di Jalan Galing Kem, di sini.

Lebih mengejutkan terdapat segelintir individu yang sanggup membuang penutup keranda di situ selain sampah lain seperti almari usang, rak lama dan sebagainya.

Tidak hairan sekiranya kawasan itu menjadi salah satu punca pembiakan nyamuk aedes di daerah ini yang kemudiannya paling berisiko diserang wabak denggi.

Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah mendedahkan kawasan berkenaan kepada risiko penyakit tertentu yang boleh membawa maut.

Seorang penduduk di Taman Setali Indah, Rosni Sulong, 42, berkata, dia tidak tahan lagi dengan longgokan sampah yang dibuang dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan rumahnya itu.

"Selain menyakitkan mata memandang, bau busuk sehingga menusuk hidung dan meloyakan tekak sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.

"Sampah yang dilonggokkan di tepi taman permainan akan mengganggu ketenteraman penduduk di sini. Ia memang satu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Seorang penduduk, Mohd. Hairudin Nazar, 28, berkata, berikutan masalah tersebut, rata-rata penduduk bimbang ancaman wabak denggi memandangkan ia berisiko tinggi untuk dijangkiti.

"Aktiviti membuang sampah secara haram itu sudah lama berlarutan mungkin individu terbabit tidak rasa bersalah walaupun pihak berkuasa tempatan sering kali memberi peringatan.

"Tambahan pula, bukan selalu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menjalankan pemeriksaan. Harap pihak MPK melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Bagi seorang lagi penduduk taman itu, A. Logeswary, 32, MPK perlu mengambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"MPK juga perlu bertegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang suka membuang sampah secara haram itu.

"Apa salahnya jika mereka buang sampah dengan betul, buang dalam plastik dan masukkan ke dalam tong sampah," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

PKB model terbaik tingkatkan pendapatan penduduk miskin

Posted:

PKB model terbaik tingkatkan pendapatan penduduk miskin

PKB model terbaik tingkatkan pendapatan penduduk miskin


Najib Tun Razak melihat seorang suri rumah membuat beg yang dihasilkan daripada anyaman plastik di Pusat Komuniti Bersepadu, Bukit Kenau, Pulau Manis, Pekan, baru-baru ini.


PEKAN 24 Jan. - Pusat Komuniti Bersepadu (PKB) Bukit Kenau, Pulau Manis dekat sini mampu menjadi model terbaik bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Ibrahim berkata, PKB merupakan yang pertama dibangunkan di negeri ini bagi menaik taraf golongan berpendapatan rendah.

Katanya, sebanyak 80 unit rumah dibina dan diagihkan kepada golongan yang layak selepas mereka menjalani temuduga yang dikendalikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Sejak enam bulan PKB dibangunkan, seramai 60 keluarga terdiri daripada fakir miskin menduduki rumah berkenaan.

"MUIP masih dalam proses menemu duga mereka yang layak bagi mengisi baki 20 rumah lagi yang masih belum diduduki," katanya kepada pemberita sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di PKB, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam melawat beberapa projek yang dijalankan bagi menambah pendapatan komuniti di PKB.

Antara projek yang dijalankan oleh peserta PKB termasuk perusahaan ikan keli salai, proses membuat baja tahi kambing, penanaman tembikai jenis rock melon dan kraf tangan berasaskan tali plastik.

Menurutnya, pihaknya difahamkan lawatan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ke PKB sebagai melihat persiapan sebelum semua menteri Kabinet dibawa melawat ke pusat berkenaan pada 9 Februari depan.

Katanya, menteri Kabinet dibawa melawat PKB supaya mereka melihat sendiri keberkesanan projek yang dilaksanakan bagi membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Pusat itu akan dijadikan contoh kepada menteri terbabit supaya diwujudkan di kawasan masing-masing bagi membasmi kemiskinan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

YTWP salur bantuan RM95,000

Posted:

YTWP salur bantuan RM95,000

YTWP salur bantuan RM95,000

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


Rajmin Rashid (kiri) dan Tan Mohd. Aminuddin Ishak (tengah) menyampaikan bantuan peralatan sekolah dan wang tunai kepada Mohd. Amar Ahmad di Dewan SMK Tengku Ampuan Afzan Chenor, semalam.


MARAN 24 Jan. – Yayasan Takwa Wilayah Persekutuan (YTWP) membelanjakan lebih RM95,000 untuk membantu 301 murid yang berasal daripada keluarga miskin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, di sini bagi meringankan beban ibu bapa mereka pada tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah YTWP, Puan Sri Rajmin Rashid berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada RM2.1 juta yang diperuntukkan YTWP bagi tujuan tersebut pada tahun ini.

Menurut beliau, murid terbabit diberi bantuan wang tunai, kelengkapan peralatan dan pakaian sekolah.

"Bagi tahun ini, YTWP memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta untuk disumbangkan kepada murid yang memerlukan.

"Di DUN Chenor, seramai 301 murid terpilih menerima sumbangan wang tunai RM100 seorang, set kelengkapan asas sekolah berupa pakaian dan alat tulis bernilai RM215 seorang.

"Jumlah keseluruhan yang diterima setiap pelajar adalah RM315,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian kelengkapan pakaian sekolah dan wang tunai kepada murid sekolah agama rakyat (SAR) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor dan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia, Tun Bahardin Tun Mohd. Sohor.

Rajmin memberitahu, pihaknya membelanjakan sebanyak RM5.8 juta kepada 63,000 individu termasuk pelajar sekolah agama dan anak yatim di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan itu diperoleh daripada kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

Objektif utama program itu, jelasnya, bertujuan memberi galakan dan dorongan serta membantu anak-anak yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan agama yang sempurna.

"Program seumpama ini bukan sahaja diadakan di Wilayah Persekutuan tetapi juga melibatkan semua negeri sejajar dengan pendekatan mendidik dan berdakwah," katanya.

Rajmin menambah, program itu juga sempena sesi persekolahan yang baru dibuka awal tahun ini bagi membantu pelajar sekali gus menyemarakkan lagi semangat umat Islam untuk membayar zakat.

Katanya, pihaknya beriltizam menjadi sebuah institusi yang meletakkan aspek ketakwaan sebagai asas penting dalam segenap sudut kehidupan selain memegang prinsip keadilan sosial kepada masyarakat.

Dengan pendekatan ini, katanya, ia dapat melahirkan generasi berkualiti yang menyumbang ke arah kesejahteraan.

"Di samping itu, falsafah yayasan adalah untuk menjadi sebuah institusi berteraskan konsep hisbah iaitu mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagai pemangkin kesejahteraan masyarakat," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan