Utusan Online - Pahang |
- Tempoh pajakan kini 99 tahun
- Kami Prihatin - prihatinkah anda ke arah sifar buang bayi
- RM3 juta bina bangunan tambahan dua SJKT Tamil di Bera
| Posted: Tempoh pajakan kini 99 tahunOleh Mohd. Fairuz Yusof
KUANTAN 23 Jan. - Kerajaan negeri bersetuju meningkatkan tempoh pajakan mana-mana tanah untuk perumahan di Pahang daripada 66 tahun kepada 99 tahun. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan berkuatkuasa serta-merta. Menurut beliau, sebelum keputusan itu dibuat, perkara itu dibawa kepada Jawatankuasa Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencari jalan penyelesaiannya. "Kalau tempoh luput geran pajakan itu adalah 66 tahun, pemilik geran berkenaan boleh memohon kepada kerajaan negeri menyambung tempoh suratan hak miliknya kepada 99 tahun. "Bagaimanapun, tempoh lanjutan itu mempunyai kiraan tertentu dan mereka boleh membuat permohonan untuk tindakan lanjut," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Baru Sri Teruntum di sini hari ini. Adnan berkata, walaupun tempoh pajakan itu dilanjutkan para pemilik geran terbabit perlu membayar premium yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Menurut beliau, kelulusan itu dibuat memandangkan terdapat perkampungan baru di Bentong yang akan tamat tempoh pajakan kira-kira 15 tahun lagi. Tambahnya, orang kampung terbabit telah berjumpa dengan beliau dan meminta supaya perkara itu diselesaikan. Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan negeri mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pelaburan ke Pahang berjumlah RM2.08 bilion pada tahun lalu. Menurut beliau, jumlah itu adalah tertinggi kerana pada setiap tahun kerajaan negeri hanya menerima pelaburan sekitar RM1.12 bilion. Tmbahnya, peningkatan sebanyak RM96 juta itu adalah kerana sebuah syarikat dari Singapura, Eco Tower (Malaysia) Sdn. Bhd. membuka pelaburan di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada tahun lalu untuk membina turbin angin untuk dieksport. | ||
| Kami Prihatin - prihatinkah anda ke arah sifar buang bayi Posted: Kami Prihatin - prihatinkah anda ke arah sifar buang bayiKES pembuangan bayi bagaikan bukan lagi berita untuk disiarkan. Saban hari, ada sahaja kes seumpama itu dilaporkan sama ada di media cetak atau elektronik. Sepanjang tahun lalu, berpuluh malah beratus kes pembuangan bayi dilaporkan menerusi media arus perdana. Jika tidak silap, dalam tempoh dua hari kita menyambut tahun baru, satu mayat bayi perempuan ditemui dalam sebuah tangki tandas oleh seorang pencuci tandas di Hospital Serian, Sarawak pada 2 Januari lalu. Mayat bayi seberat satu kilogram dan cukup sifatnya itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh pencuci terbabit. Berdasarkan tali pusatnya, bayi terbabit baru sahaja dilahirkan oleh ibunya yang tidak berperikemanusiaan itu. Sebenarnya jika hendak dituliskan mengenai kes pembuangan bayi, memang tidak mampu dicoretkan di ruangan yang terhad ini. Statistik pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak ketika ini memang cukup menyedihkan. Dilaporkan sejak empat tahun lalu, sebanyak 407 kes pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara. Mujurlah di Pahang, kes-kes pembuangan bayi tidak begitu serius. Seingat penulis, hanya satu atau dua kes pembuangan bayi dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lalu. Apa pun, isu pembuangan bayi perlu diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak. Di mana silapnya sehingga kes pembuangan bayi terus menghantui masyarakat sehingga dilihat seolah-olah sukar dibendung. Jawapannya mudah - tiada pegangan agama yang kukuh. Kerapuhan itu ditambah lagi dengan pergaulan bebas di kalangan remaja sehingga ada yang semakin berani untuk bersekedudukan. Lantaran kerapuhan pegangan agama , kecanggihan teknologi komunikasi maklumat (ICT) sering menjadi mangsa untuk dipersalahkan apabila ia disalahgunakan oleh kelompok berkenaan. Faktor-faktor lain termasuklah keruntuhan institusi kekeluargaan dan peranan media picisan yang sebenarnya tidak perlu lagi dikupas panjang lebar kerana telah terlalu banyak diperbincangkan di pelbagai peringkat. Menyedari hakikat bahawa tanggungjawab menyedarkan masyarakat terhadap gejala pembuangan bayi bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, akhbar Utusan Malaysia menyahut cabaran dengan menggerakkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membuktikan kesungguhannya menangani masalah tersebut. 'Kami Prihatin' yang dilancarkan pada 22 Mac tahun lalu melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan stesen televisyen berbayar, Astro. Kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak itu turut mendapat perhatian artis-artis terkemuka tanah air. Kini usia kempen tersebut telah mencecah hampir setahun dan semakin banyak pihak yang berminat untuk berganding bahu menggerakkan misi kesedaran berkonsep jaya waris yang membawa makna 'anak orang anak kita' itu. Hari ini sejarah tercipta di bumi Pahang apabila kempen tersebut diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, Kuantan. Kempen tersebut dianggap begitu penting apabila isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor sendiri turun padang merasmikannya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil . Kempen kali ini bukan sekadar majlis keramaian. Ia juga bukan satu majlis hiburan hedonistik yang lenyap sebaik sahaja berakhirnya program tersebut. 'Kami Prihatin' di UMP membawa mesej penting bahawa masyarakat perlu terus memandang serius gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak ini supaya ia tidak terus menjadi barah dalam komuniti'' ujarnya. Mungkin matlamatnya masih belum dapat dicapai sepenuhnya buat masa ini tetapi percayalah, objektifnya akan dicapai jika ada kesungguhan dan lebih banyak pihak berganding bahu menjayakannya. Syabas juga kepada UMP yang bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan kempen 'Kami Prihatin' kali ini. Meskipun baru setahun jagung berbanding universiti lain yang tersohor, UMP memberi respons yang amat baik dalam menghidu pergolakan semasa di sekelilingnya. Selaras dengan namanya juga, anda sebagai pembaca juga perlu prihatin untuk sama-sama menjayakan kempen kesedaran ini dalam usaha mencapai matlamat sifar buang bayi di negara ini. Persoalannya, prihatinkah anda? | ||
| RM3 juta bina bangunan tambahan dua SJKT Tamil di Bera Posted: RM3 juta bina bangunan tambahan dua SJKT Tamil di Bera
BERA 23 Jan. - Peruntukan RM3 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat untuk dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sini sudah digunakan untuk membina bangunan tambahan bagi membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dengan selesa. Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM1.5 juta digunakan untuk pembinaan bangunan tambahan di SJKT Ladang Menteri dan bakinya untuk SJKT Kemayan. Katanya, bangunan baru itu sudah mula digunakan untuk sesi persekolahan tahun ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan masyarakat India di negara ini. "Kedua-dua sekolah itu memerlukan bangunan tambahan memandangkan pelajarnya semakin ramai dan mereka tidak dapat belajar dengan selesa jika tiada bangunan tambahan. "Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pendidikan termasuk pendidikan di sekolah Tamil dan Cina kerana hanya melalui pendidikan mampu mengubah nasib sesuatu kaum itu menjadi lebih berjaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa dan Wanita MIC Daerah Bera di Triang dekat sini hari ini. Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, kerajaan juga tidak meminggirkan masyarakat minoriti termasuk Orang Asli dalam pemberian bantuan. Dalam perkembangan lain beliau berkata, usaha kerajaan menaik taraf Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) bertujuan mempercepatkan usaha meningkatkan taraf hidup mereka. "Tohmahan pembangkang kononnya kerajaan meminggirkan mereka selama ini adalah palsu yang bertujuan membangkitkan kemarahan kaum terbabit kepada kerajaan," jelasnya. Katanya, gagasan 1Malaysia adalah untuk semua kaum tanpa mengambil kira budaya dan amalan agama supaya keamanan terus kekal di negara ini. Tambahnya, adalah menjadi kewajipan setiap rakyat mengukuhkan hubungan itu kerana ia senjata paling berkesan bagi mematahkan niat jahat pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan kestabilan negara. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan