Selasa, 25 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Suspek utama kes bunuh tiga sahabat menyerah diri

Posted: 24 Jan 2011 11:58 PM PST

MELAKA, 25 Jan — Suspek utama, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikehendaki polis bagi siasatan kes tiga sahabat yang ditemui mati dengan kesan tikaman dan tetakan di Masjid Tanah pada Jumaat lepas telah menyerah diri kepada polis pada Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata suspek itu yang berasal dari Lubok China menyerah diri jam 9.30 malam di Sungai Besi, Selangor kira-kira 48 jam selepas kejadian di Kampung Solok, Pengkalan Balak.

"Suspek telah melihat gambarnya disiarkan oleh media bahawa dia dikehendaki untuk membantu polis, kemudian menelefon ibu bapanya dan mereka memujuknya agar menyerah diri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata suspek telah membawa polis ke Taman Seri Cahaya, Masjid Tanah dan menemui sebilah pisau berukuran 14 inci yang dibuang di kawasan semak.

Dalam kejadian itu, Lan Ee Shen, 20, Chong Sang Keong, 17 dan Tai Chi Yong, 18, maut dengan kesan tikaman dan tetakan di badan dan lengan.

Mayat Lan dan Chong ditemui di bahu jalan di tempat kejadian manakala Tai pula meninggal dunia ketika dibawa bapanya ke Hospital Terendak untuk mendapatkan rawatan.

Ketiga-tiga lelaki itu berasal dari Taman Mengkuang, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Menurut Chuah suspek tidak lagi bersekolah kini ditahan reman sehingga hari Jumaat ini untuk siasatan.

Beliau berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian, mungkin kerana perselisihan faham di antara suspek dan mangsa tetapi bukan antara dua kumpulan sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Beliau berkata selain remaja itu, tujuh suspek lain turut ditahan berumur antara 14 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

 

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Dr. Subramaniam nafï dakwaan kompromi pendirian berhubung Interlok

Posted: 24 Jan 2011 11:45 PM PST

Dr. Subramaniam nafï dakwaan kompromi pendirian berhubung Interlok

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam (gambar) menafikan dakwaan beliau telah mengkompromikan pendiriannya bahawa novel Interlok perlu ditarik balik daripada menjadi buku teks pelajar Tingkatan Lima.

"Menerusi semua perbincangan kabinet dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, saya dengan tegas menyatakan pandangan masyarakat India, dan impak buku itu terhadap minda masyarakat serta golongan muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Sumber Manusia itu juga berkata beliau berulang kali menegaskan pada mesyuarat mingguan kabinet berhubung pendirian masyarakat India bahawa buku berkenaan perlu ditarik balik serta tidak digunakan sebagai buku teks sastera.

"Tidak ada sekelumit kebenaran pun mengenai dakwaan dan khabar angin yang disebarkan berhubung perkara itu," katanya.

Semalam, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mempunyai formula bagi menyelesaikan isu novel Interlok dan akan berbincang dengan pemimpin MIC tidak lama lagi.

Kaum India di Malaysia telah membantah penggunaan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sebagai buku teks bagi mata pelajaran Sejarah Melayu Tingkatan Lima, kerana mendakwa ia mengandungi kenyataan yang tidak tepat dan menghina masyarakat berkenaan. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan