Sabtu, 1 Januari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Selamat datang 2011

Posted: 31 Dec 2010 10:19 AM PST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam meminta seluruh masyarakat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang, serta meletakkan negara di kedudukan yang sepatutnya.

Najib, dalam perutusan Tahun Baru 2011 berkata, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, segala yang dirancang dan mahu dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan menemui kejayaan. "Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini. "Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya," katanya.


Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagang atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah. "Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang sudah terbukti berkesan," katanya. Kata Najib, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban. "Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua," katanya. Perdana Menteri berkata sememangnya mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek tetapi untuk tempoh masa panjang, rakyat yang sebenarnya akan menderita. "Mengambil iktibar daripada kekhilafan sekeliling, sepanjang 2010, kita telah merancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan," katanya. Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011-yang merupakan peta laluan komprehensif untuk mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia. "Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara. "Sayangnya terdapat pihak yang menangguk di air keruh dengan sewenang-sewenangnya menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan kata-kata itu tidak benar sama sekali," tegasnya. Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai pembinaan beberapa projek seperti pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata pihak sama kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana terbukti projek yang dilaksanakan kerajaan itu sudah memberi manfaat kepada rakyat terbanyak. "Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka? "Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara," soal Perdana Menteri. - Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Rumah dihujani bateri, batu

Posted: 31 Dec 2010 10:18 AM PST

SEGAMAT: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Siapa sangka peribahasa itu menjadi pengalaman unik dan menakutkan bagi penduduk Ladang Bukit Dato Tenang Station, Labis, dekat sini, apabila kediaman mereka dihujani batu dan bateri sejak dua bulan lalu.

Kejadian misteri dan menyeramkan itu mengakibatkan enam keluarga resah dan tidak dapat tidur malam apabila batu gravel, batu landasan kereta api dan juga bateri lampu picit dibaling menghentam dinding dan tingkap hingga pecah.


Malah, kejadian turut disaksikan anggota dari Balai Polis Tenang yang menyiasat tempat kejadian pada malam Rabu lalu.

Seorang mangsa, Ellan Senaya, 39, berkata kejadian misteri itu dikatakan bermula kira-kira dua bulan lalu selepas seorang bomoh dikatakan menangkap makhluk halus sebelum memenjarakannya di dalam botol sebelum ditanam di kawasan perkuburan masyarakat India di situ.


Namun, pada awalnya, kejadian baling batu itu tidak dihiraukan sangat oleh kira-kira 450 penduduk ladang berkenaan kerana mereka beranggapan ia perbuatan kanak-kanak nakal.


"Sebelum ini, hanya bumbung rumah yang dilempar batu dan ia hanya membabitkan enam rumah bahagian dapurnya menghadap pokok getah di lereng bukit di ladang itu.

"Batu dan objek lain disyaki dilempar dari ladang getah menyebabkan ada juga cermin tingkap rumah yang pecah.


"Sejak kebelakangan ini, kejadian misteri itu semakin menjadi-jadi tidak mengira siang atau malam. Pada waktu malam sehingga awal pagi semakin rancak menyebabkan ada jiran saya yang cedera di kepala serta cermin tingkap rumah banyak yang pecah akibat dibaling batu," katanya.

Ellan yang tinggal di ladang itu hampir 39 tahun berkata, keluarganya amat takut dengan kejadian misteri yang pertama berlaku sejak dia tinggal dan dibesarkan di ladang itu.


Katanya, semua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tenang pada Rabu lalu dan dua orang anggota polis pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.


Seorang anggota polis, Konstabel Saifudin Yacob, 25, terpaksa memakai topi keledar ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah malam apabila menyaksikan beberapa cermin tingkap yang pecah tanpa di ketahui sebabnya.


Seorang anggota polis bantuan, Veloo Punusamy, 47, yang berkawal di tempat kejadian pada tengah malam kelmarin turut menyaksikan beberapa batu memecahkan cermin tingkap rumah seorang penduduk.


Apabila beliau bertindak balas dengan cuba memeriksa lokasi arah datangnya batu itu, semakin banyak pula cermin tingkap pecah akibat dibaling dengan batu gravel, batu landasan kereta api dan bateri lampu picit seolah-olah tindakan Veloo menyebabkan kemarahan kepada pihak yang membaling batu berkenaan.


Jiran Ellan, Sathia Kumar, 28, berkata dua sempat merakamkam beberapa gambar yang memaparkan objek misteri berbentuk pancaran cahaya panjang.


Manakala rakannya mendakwa pernah melihat bayangan makhluk setinggi 1.2 meter berwarna putih di tempat kejadian.


Sementara itu, Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali menasihatkan penduduk supaya lebih waspada dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai perkara itu kerana polis sedang menjalankan siasatan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan