Berita Harian: Wilayah |
Posted: 24 Jan 2011 02:02 PM PST Wilayah PELBAGAI sisa buangan memenuhi muara Sungai Linggi sejak 10 hari lalu. MASJID TANAH: Ibarat lautan sampah. Itulah pemandangan di muara Sungai Kuala Linggi, dekat sini. Pelbagai sisa buangan termasuk kayu, tunggul dan sampah sarap memenuhi kawasan berkenaan sejak 10 hari lalu. Kejadian yang dipercayai akibat banjir besar di bahagian hulu sungai berkenaan, mengakibatkan aktiviti kira-kira 50 nelayan yang beroperasi di kawasan terbabit terjejas, apabila tidak dapat keluar dari situ untuk ke laut. Ketua Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Kuala Linggi, Mat Sali Jali, berkata sisa buangan itu yang terkumpul di kawasan berkenaan terus bertambah setiap hari sejak ia mula berlaku lebih seminggu lalu. "Keadaan seperti ini jarang berlaku di sini dan dianggap luar biasa kerana ia memenuhi hampir segenap kawasan di muara sungai sehingga nelayan tidak dapat keluar untuk menangkap ikan."Macam-macam terkumpul dan bertimbun di sini, termasuk sisa lampin pakai buang bayi, batang kelapa yang masih ada akar, bekas makanan polisterin, botol minuman ringan dan arak serta dawai," katanya. Mat Sali berkata, pihaknya mengesyaki sisa buangan itu dihanyutkan banjir besar di kawasan hulu Sungai Linggi, sebelum berkumpul di muara. Katanya, masalah itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa terbabit dan berharap tindakan segera diambil bagi mengelak ia terus bertimbun, sekali gus menyukarkan pergerakan nelayan ke laut.
Nelayan, Ishak Harun, 57, berkata masalah berkenaan perlu ditangani segera agar ia tidak menjejaskan aktiviti individu sepertinya yang bergantung hidup dengan menangkap ikan. Sambil membidas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kejadian berkenaan, beliau berkata, masalah itu perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa kerana ia membabitkan sisa buangan yang sangat besar. "Memang kami kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak terbabit sentiasa bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri. Selain kebersihan sungai tercemar, kehidupan di situ juga akan turut tergugat," katanya. |
Posted: 24 Jan 2011 02:01 PM PST Wilayah Laluan motosikal beralun, terdedah kemalangan mautKUCHING: Ada yang menggelarnya sebagai `jalan ombak' dan ada juga yang menganggapnya umpama laluan perlumbaan motosikal lasak, malah ada juga menyifatkan laluan itu sebagai perangkap maut yang sedang menanti mangsa pertama. Tinjauan Edisi Wilayah mendapati, rungutan orang ramai yang sebelum ini mereka lontarkan kepada pihak media memang ada benarnya. Laluan motosikal di Jalan Astana di sini, yang jaraknya kira-kira enam kilometer bukannya laluan sesuai untuk kenderaan dua roda itu, kerana permukaannya yang beralun, boleh membahayakan penunggang. Orang ramai bimbang, permukaan tidak rata itu akan menyebabkan kemalangan seterusnya mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.Laluan motosikal di kiri dan kanan bahu jalan berkenaan disediakan untuk kemudahan penunggang motosikal lebih 10 tahun lalu. Namun kini, penunggang motosikal seakan-akan tidak berani lagi menggunakan laluan itu, sebaliknya lebih rela menunggang di laluan kereta yang sibuk kerana mereka mahu mengelak keadaan jalan yang dianggap hanya sesuai untuk perlumbaan motosikal lasak itu. Seorang penunggang motosikal, Sapuan Ramli, 32, mendakwa laluan motosikal itu mula rosak selepas projek menanam paip dilakukan pertengahan tahun lalu.
"Sebelum projek itu dijalankan, keadaan laluan motosikal ini tidak seteruk sekarang apabila ramai penunggang tidak lagi menggunakan laluan ini kerana bimbangkan keselamatan mereka. "Sepatutnya pihak berkuasa tempatan memeriksa kerja yang dilakukan oleh kontraktor ketika mereka menimbus semula laluan ini selepas mereka korek dulu. Sekarang masalah yang berpunca daripada kerja kontraktor yang tidak sempurna itu terpaksa ditanggung rakyat yang bermotosikal," katanya. Sapuan merayu supaya laluan berkenaan diperbaiki segera dan jangan tunggu sehingga ada kemalangan yang mungkin menyebabkan kecederaan atau kematian, barulah hendak bertindak. "Janganlah budaya tuding-menuding jari itu berterusan kerana kita sudah biasa mendengar, pelbagai pihak tertentu saling mencari kesalahan orang lain apabila nahas berlaku. "Jika jalan ini terus dibiarkan berkeadaan seperti ini, tidak mustahil ada kemalangan teruk berlaku dan sebelum ia berlaku, eloklah baiki semula keadaan laluan motosikal ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan