Utusan Online - Politik |
| Pembangkang kekeringan idea politik Posted: Pembangkang kekeringan idea politik
LABIS 23 Jan. - Selepas 'merampas' kad pengenalan warga tua, Pas meneruskan taktik kotor mereka dengan menyebarkan pula risalah kononnya 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' menolak calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim. Risalah itu yang tertera lambang BN berbunyi, 'Kami penyokong Linda (Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh) menolak Tok Ai (Mohd. Azahar)' dikesan ditaburkan di kawasan Kampung Mambai oleh beberapa penduduk hari ini. Taktik jahat itu kemudian didedahkan sendiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu majlis di sini hari ini sebelum beliau kecewa dengan pendekatan politik terdesak jentera Pas, sebaik kempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bermula semalam. Sejurus pendedahan itu, Haslinda sendiri membuat laporan polis di Balai Polis Labis di sini pada pukul 1.30 petang ini. Pendedahan taktik jahat terbaru pembangkang itu hanya kurang 12 jam selepas seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mendedahkan jentera Pas 'merampas' kad pengenalan warga tua kononnya bertujuan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan tetapi sebaliknya mahu menghalang warga tua keluar mengundi pada 30 Januari ini. Ketika mendedahkannya, Mohd. Shafie berkata, Pas sudah kekeringan idea politik dan tiada modal untuk meraih sokongan pengundi di Tenang sehingga pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan fitnah demi memecahkan perpaduan ummah. "Mereka ini jelas terdesak sehingga sanggup menyamar demi memecahkan jentera UMNO dan BN. Kononnya Pergerakan Wanita UMNO di Labis ini menolak calon kita kerana tidak meletakkan wanita sebagai calon sebagaimana Pas lakukan. "Apakah hanya ini yang mampu dilakukan oleh Pas untuk meraih undi, inikah parti yang kononnya mahu mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat, bukan ini caranya, gunalah pendekatan berhemah," katanya. Beliau ditemui selepas menyerahkan kunci rumah kepada penduduk miskin yang dibina RISDA, di Kampung Lembah Bakti di sini hari ini. Dalam pada itu, Haslinda yang ditemui selepas membuat laporan polis menafikan kononnya beliau dan penyokongnya menolak Mohd. Azahar sebagai calon BN. Sebaliknya, kata beliau, mereka memberi sepenuh sokongan kepada Mohd. Azahar dan tidak pernah mempersoalkan pencalonannya. Selain itu, beliau menafikan kewujudan 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' seperti ditulis dalam risalah yang dipercayai dicetak oleh pihak pembangkang itu. "Saya kesal kerana pembangkang sanggup menipu rakyat dengan cara kotor ini. Namun, saya yakin ahli-ahli Wanita UMNO dan pengundi di DUN Tenang tidak akan terpengaruh dengan fitnah ini," tambahnya. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bakti, Ahmad Abd. Rani, iaitu antara individu pertama menemui risalah tersebut berkata, beliau kecewa dengan fitnah ditaburkan oleh Pas. Beliau berkata, rakyat tidak menolak kehadiran jentera Pas tetapi biarlah kedatangan itu secara berhemat dan bukan dengan niat mahu memecah-belahkan masyarakat. | ||
| Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi Posted: Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi
LABIS 23 Jan. - Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi pilihan raya di seluruh negara sekiranya mereka ingin terus memainkan fatwa bahawa mengundi UMNO adalah haram. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, jika benar fatwa itu untuk menyelamatkan umat Islam di negara ini, parti pembangkang berkenaan harus berani untuk bertanding di semua kerusi di seluruh negara. "Mengundi Pas wajib syarie dan mengundi UMNO haram syarie. Itu jelas fatwa politik yang songsang dan amat merbahaya. Ia hanya fatwa politik dan kalau betul mereka begitu, kenapa tidak bertanding di semua kawasan pilihan raya untuk selamatkan semua umat Islam. "Kenapa perlu bergabung di tempat tertentu dan bagi DAP bertanding. Apakah di tempat DAP bertanding tidak ada umat Islam? Ia memang hanya fatwa politik songsang dan amat dikesali kerana terus dimainkan pada ketika ini," katanya kepada Utusan Malaysia semasa mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Taman Suria dan Taman Sinar Emas di sini hari ini. Pada lawatan itu, Ahmad bukan sahaja mengedarkan risalah mengenai calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim, 39, malah turut memberikan senaskhah akhbar Mingguan Malaysia kepada pengundi di rumah-rumah yang dilawatinya. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengulangi 'fatwa' itu bahawa haram mengundi UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini. Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jika Pas tidak boleh berbuat demikian, memang sah itu fatwa politik sahaja kerana untuk bersekongkol dengan DAP, mereka mengenepikan fatwa tersebut. Beliau berkata, fatwa yang dibuat Pas sentiasa berubah-ubah semata-mata untuk meraih undi pada pilihan raya. Pada PRK DUN Tenang, Pas mencalonkan calon wanita, Normala Sudirman, 38, bagi menghadapi BN. "Dulu kata wanita tidak boleh bertanding, tapi sekarang boleh pula. Dulu tak boleh bersama dengan orang bukan Islam, sekarang dia yang berpakat bukan main. "Dulu tak boleh kerja malam, sekarang ini kalau tak boleh kerja malam, macam mana nak jadi wakil rakyat. Jadi wakil rakyat ini kena kerja siang malam, pagi petang, subuh senja. Kalau tak boleh buat, lebih baik tak payah bertanding," katanya. Dalam pada itu, beliau menasihati pengundi Tenang supaya tidak terpengaruh kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu meletakkan peluang menang pada PRK DUN Tenang 40 peratus sahaja. Menurutnya, para pengundi di Tenang harus berhati-hati dengan taktik berkenaan yang disifatkannya sebagai 'jerangkap samar' politik Pas untuk meraih undi simpati rakyat. Beliau berkata, pada mulanya Pas mengatakan hanya bertanding untuk mengurangkan majoriti, kemudian sekadar mendapatkan undi diperoleh seperti pada Pilihan Raya Umum 2008 dan kini hanya menaruh harapan 40 peratus. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan