Sabtu, 1 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Teguk arak depan penguat kuasa

Posted: 31 Dec 2010 09:23 AM PST

SUBANG JAYA: Puluhan pengunjung beragama Islam yang leka berpesta 'ladies night' sambil meneguk arak di sebuah pusat hiburan terkemuka, di sini, tergamam dan tidak sempat menyembunyikan botol arak apabila diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi semalam.

Ketika serbuan, terdapat pengunjung yang seolah-olah tidak peduli kehadiran pihak berkuasa, malah menghabiskan sisa minuman keras di hadapan mereka.


Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu diketuai Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali dan disertai 77 anggota dan pegawai MPSJ, 14 pegawai Jais dan 18 penguat kuasa AADK.

Seramai sembilan lelaki dan dua wanita Islam ditahan kerana minum arak di khalayak ramai manakala 61 pengunjung diberi surat arahan untuk hadir di pejabat Jais bagi sesi kaunseling.


Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata operasi bagi membanteras kegiatan pusat hiburan yang melanggar syarat lesen serta menjadi tumpuan pengunjung Islam meneguk arak.


"Dalam operasi ini sebuah pusat hiburan yang diperiksa membenarkan gadis bawah umur untuk memasukinya dan kami akan ambil tindakan kerana melanggar syarat lesen," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Menurutnya, pusat hiburan terbabit diberi amaran supaya tidak membenarkan pengunjung bawah umur berada di situ.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Lirik lagu lucah, maki hamun

Posted: 31 Dec 2010 09:15 AM PST

KUALA LUMPUR: Atas nama kreativiti, perkataan lucah dan maki hamun menjadi sebahagian daripada lirik segelintir band 'bawah tanah' yang membawa muzik metal sehingga mengejutkan beberapa pihak termasuk pendengar lagu bergenre itu.

Antara perkataan yang menjadi inti pati lirik itu termasuk bangsat, babi serta anjing dan ia menjadi ikutan segelintir peminat setia muzik metal terutama di tempat berlangsung gig mereka.


Peminat muzik yang hanya mahu dikenali sebagai Jat berkata, dia terkejut apabila mendapati lirik sebuah kumpulan 'underground' tempatan penuh maki hamun dan mencarut.

"Mereka menyanyi lagu itu dalam bahasa Melayu, dari segi muzik tidak ada masalah, namun liriknya amat keterlaluan dan penuh kemarahan.


"Ketika menyedari kewujudan band ini, saya fikir lagu itu mungkin dicipta sekadar suka-suka, namun apabila mereka muncul dengan beberapa lagu baru yang menggunakan lirik maki hamun, saya bimbang ia menjadi ikutan," katanya yang dihubungi, semalam.


Menurutnya, selain membuat persembahan di gig, band terbabit memuat turun lagu mereka di YouTube.

"Band itu terdiri daripada anggota yang berusia 20-an dan saya tidak mengetahui latar belakang kumpulan itu, tetapi lagu mereka dipenuhi kemarahan.


"Tidak salah untuk bermain muzik, tetapi kenapa perlu memaki hamun dan mencarut sedangkan lirik lebih baik tanpa memasukkan elemen sebegitu boleh dihasilkan," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai perkara itu, komposer, Damian Mikhail Seet, berkata penghasilan seni muzik mesti disertai tanggungjawab.

"Dalam berkarya kita tidak boleh terlalu mengikut cara Barat umpamanya untuk muzik bergenre R&B dan hip-hop, memang di negara lain terdapat band yang menggunakan lirik negatif dalam lagu mereka.


"Tetapi, kita orang Timur, kita ambil yang baik menggunakan acuan kita, jangan terlalu mengikut apa saja yang diperkenalkan Barat," kata anggota kumpulan VE itu.


Menurutnya, cukup merugikan apabila kreativiti itu tidak diiringi rasa tanggungjawab kerana ia boleh membawa kepada banyak perkara negatif.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan