Khamis, 12 Mei 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Polis tumpaskan Geng Aho

Posted:

Polis tumpaskan Geng Aho

Polis tumpaskan Geng Aho

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my


Mohd. Shukri Dahlan (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas selepas penangkapan ahli Geng Aho di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di Ipoh, semalam.


IPOH 11 Mei - Polis menahan 10 anggota Geng Aho yang dipercayai terbabit dalam 57 kes samun bersenjata tajam, pecah rumah dan mencuri kenderaan termasuk diseludup ke Thailand sejak 18 April lalu.

Kesemua mereka yang ditahan itu berusia 25 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk lima daripadanya pernah dikenakan Perintah Sekatan di Simpang Renggam, Johor.

Polis turut merampas 11 kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu termasuk dua kereta Toyota Camry dan Perdana V6, sebuah Toyota Altis, dua enjin kereta, 10 jam tangan termasuk satu berjenama Rolex, beberapa batu jade, peralatan elektronik dan pelbagai barangan lain yang dilarikan daripada premis yang dipecah masuk di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kumpulan itu ditahan dalam Operasi Pintu/Lejang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sekitar bandar raya ini sejak 18 April lalu.

Beliau berkata, modus operandi anggota kumpulan yang berasal dari sini adalah memecah masuk premis kediaman sebelum melarikan kenderaan bersama pelbagai barangan berharga.

"Sekiranya, pemilik premis terjaga dari tidur, mereka akan menggunakan senjata seperti parang untuk melakukan jenayah kekerasan ke atas mangsa sebelum melarikan kereta dan barangan berharga milik mangsa.

"Kereta yang dicuri itu terutama kereta mewah jenis BMW dijual dan diseludup ke Betong, Thailand," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, dengan penahanan kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 34 kes pecah rumah dan curi, 17 kes curi kereta dan enam kes samun berkawan tanpa senjata api di negeri ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah dan mencuri.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, sebanyak 94 wanita warga negara China dan Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Ops Noda di beberapa pusat hiburan di Daerah Manjung dan Kerian pada 23 dan 24 April lalu.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan mengekang kemasukan rakyat asing daripada terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kanak-kanak dakwa ditampar

Posted:

Kanak-kanak dakwa ditampar

Kanak-kanak dakwa ditampar


Voon Oi Fun memangku Lau Chi Kean pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional di Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 11 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun trauma selepas dipercayai ditampar sehingga pipinya merah dan bercalar oleh pemilik sebuah pusat tuisyen di Taman Pangkalan Barat, di sini pada 4 Mei lalu.

Ibu kanak-kanak itu, Voon Oi Fun, 39, mendakwa kejadian disedari selepas dia mengambil anaknya, Lau Chi Kean, 7, pulang daripada pusat tuisyen terbabit.

"Saya dapati kedua-dua pipi anak saya ada kesan calar, lebam dan berwarna merah seperti kesan ditampar.

"Saya bawa dia ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk pemeriksaan," katanya pada sidang akhbar oleh Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin di sini hari ini.

Menurutnya, dia telah bertanya kepada pemilik pusat berusia 60 tahun itu dan memaklumkan yang anaknya itu dipukul kerana tidak menyiapkan kerja sekolah dan degil.

"Saya tidak berpuas hati dan meminta dia memohon maaf tetapi pemilik itu enggan berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh di sini pada pukul 8.10 malam 4 Mei lalu.

Katanya, akibat kejadian itu anaknya yang bersekolah sesi pagi di Sekolah Rendah China Perak di Pekan Lama di sini, enggan pergi ke sekolah kerana takut.

Sementara itu, Kon Yin berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat sama ada pusat itu beroperasi secara sah atau pun tidak.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Pasir Putih ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Medan selera jadi gajah putih

Posted:

Medan selera jadi gajah putih

Medan selera jadi gajah putih

PULAU PINANG 11 Mei - Tidak ubah seperti gajah putih.

Itu perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan Medan Selera Sungai Pinang yang dibina Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) empat tahun lalu.

Sehingga kini, hanya tujuh peniaga menjalankan perniagaan di situ kerana yang lain tidak mampu bertahan disebabkan hasil pendapatan tidak seberapa.

Peniaga kuih tradisional, Noraida Ramli, 39, berkata, sejak berniaga di situ setahun lalu, dia hanya mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM50 sehari.

"RM50 itu pun tidak menentu, kadang-kadang saya hanya dapat RM30 sehari," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu mengapa medan selera tersebut tidak mendapat sambutan, sedangkan ia jauh lebih selesa berbanding gerai-gerai haram di tepi jalan yang kotor.

Bagi peniaga roti canai, Abdul Majib Abdul Rahman, 40, ia mungkin disebabkan kedudukan medan selera itu yang terlindung daripada pandangan umum.

"Masa mula-mula medan selera dibuka, saya berniaga di bahagian dalam.

"Namun lama kelamaan saya terpaksa menyewa sebuah kereta sorong untuk berniaga di bahagian luar kerana tiada pelanggan," katanya.

Sementara itu, Ketua Badan Bertindak Khas, Parti Cinta Malaysia (PCM), Tham Weng Fatt berkata, beliau berharap MPPP melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Antara faktor yang dikenal pasti kurangnya pelanggan adalah ketiadaan promosi serta usaha bersepadu semua pihak untuk menarik kunjungan orang ramai ke sini.

"MPPP perlu menguar-uarkan premis ini kerana mungkin ramai yang tidak tahu kewujudannya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan