Utusan Online - Timur |
- Serunding Mek Nah bertahan 50 tahun
- Jangan jual peralatan bantuan
- 320 VCD, DVD cetak rompak dirampas
Serunding Mek Nah bertahan 50 tahun Posted: Serunding Mek Nah bertahan 50 tahunRAHANA MOHD DAHARI
TUMPAT 22 Mei – Serunding yang satu masa dahulu popular serta enak dimakan dengan ketupat atau lemang pada pagi hari raya, kini mudah diperoleh di pasaran apabila makanan tradisional Melayu itu dikomersialkan. Dalam kalangan masyarakat Melayu, serunding adalah makanan warisan yang istimewa kerana tidak semua orang mampu menguasai teknik penyediaannya yang mengambil masa lebih empat jam. Lazimnya, kebolehan menyediakan masakan ini diturunkan kepada anak-beranak dan cucu-cicit oleh generasi warga emas yang memiliki kemahiran membuatnya bagi memastikan serunding terus bertahan sebagai salah satu resipi turun-temurun. Sesetengah pihak mendakwa, serunding berasal dari Kelantan dan buat masa ini diusahakan besar-besaran secara komersial di Kampung Laut, Jajahan Tumpat kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu. Kampung Laut juga dikatakan menjadi pusat pembuatan dan pengeluaran serunding terbesar di negeri ini apabila lebih 50 keluarga mengusahakannya dan dipasarkan ke seluruh negara. Kesempatan menjejakkan kaki ke Kampung Bendang Pauh, Kampung Laut, Tumpat baru-baru ini, mengesahkan dakwaan penglibatan kebanyakan penduduk kampung dalam pembuatan serunding apabila ia turut diakui oleh salah seorang pengusaha yang ditemui. Mek Nah Hassan, 70, warga emas yang lebih 50 tahun melibatkan diri dalam pembuatan serunding di sini berkata, sejak kecil lagi, dia melihat orang kampungnya membuat serunding dan dipasarkan ke beberapa daerah. "Sejak umur 18 tahun, saya mula mengambil upah membuat serunding menggunakan ramuan yang dibekalkan oleh orang tua dengan seorang tauke di sini kerana keluarga tidak mampu menyediakan modal. "Ketika itu perusahaan membuat serunding di kampung ini telah pun bermula, tetapi saya tidak tahu tarikh sebenarnya. "Ada yang mengatakan ia dipelopori oleh Allahyarham Mek Som Ismail atau lebih dikenali Mak Som Pak Soh Lotri oleh penduduk setempat," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Selepas beberapa tahun bekerja dengan tauke berkenaan, Mek Nah memberanikan diri mengeluarkan serunding sendiri tetapi dipasarkan oleh orang lain. "Selepas berpuluh tahun membekalkan serunding daging, ayam dan ikan kepada pembekal yang datang ke rumah, sejak lima tahun lalu anak ketujuh saya, Rohana Ibrahim, 39, berminat mempelajari teknik membuat serunding dan memasarkannya sendiri. "Sebagai orang tua, saya lega kerana akhirnya serunding yang diwarisi sejak zaman datuk moyang dulu kini dipraktikkan oleh darah daging sendiri. Saya sudah tidak mampu membuatnya kerana semakin uzur," kata ibu kepada lapan orang anak itu. Lebih menarik, anak keenamnya, Azli Ibrahim, 41, juga menyertai perusahaan tersebut, tetapi lebih menjurus kepada bidang jualan dan pemasaran melalui syarikat AIE Enterprise. Ditanya keistimewaan serunding buatan keluarganya yang berjenama Serunding Kampung Laut, Tumpat sehingga mampu bertahan lebih setengah abad di pasaran, Mek Nah menjelaskan, setiap resipi serunding yang disediakan oleh penduduk Kampung Laut mempunyai petua masing-masing. "Masing-masing ada kelebihan dan mungkin juga rahsia yang disimpan bagi memastikan serunding yang dimasak lebih enak, tahan lebih lama dan menepati cita rasa pelanggan. "Bagi saya, bukanlah terlalu berahsia, cuma ikut petua. Misalnya, jika memasak santannya, pastikan ia betul-betul mendidih supaya serunding yang dihasilkan tahan lama dan aroma baunya tidak berubah. "Kami di sini juga menggunakan kayu api sepenuhnya supaya serunding yang dihasilkan lebih enak, tahan lama kerana ia betul-betul kering dibandingkan dengan penggunaan dapur gas," katanya. Menceritakan penyediaan serunding, menurut Mek Nah, daging tempatan atau import yang direbus kemudiannya dicarikkan halus, dicampurkan dengan ramuan seperti bawang putih, bawang besar, lada kering dan santan mengikut kemahiran orang yang membuatnya. "Semasa memasak pastikan serunding dikacau tanpa henti lebih kurang empat hingga lima jam dan betul-betul kering di bawah api yang sederhana besar bagi memastikan ia mampu bertahan lebih tiga bulan selepas dibungkus dalam bekas kedap udara," katanya. Bagi Rohana pula, minat terhadap pengeluaran serunding sejak lima tahun lalu berputik apabila melihat kesungguhan ibunya yang dibantu arwah ayah, menjadikan serunding sebagai sumber pencarian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. "Sayang jika dibiarkan hasil kerja emak selama ini ditinggalkan begitu sahaja. Apabila suami dan abang menunjukkan minat sama, saya bersetuju mewarisinya kerana percaya perniagaan ini mempunyai potensi untuk terus dimajukan," katanya. Mereka yang berminat menjadi pembekal, boleh menghubungi Azli Ibrahim di talian 019-9868572. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Jangan jual peralatan bantuan Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI KUALA TERENGGANU 22 Mei - Para peserta e-Kasih diingatkan agar bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan pemberian peralatan bantuan yang disalurkan kerajaan bagi membantu memajukan kehidupan mereka. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, mereka yang mendapat kemudahan setelah menyertai program latihan dan keusahawanan e-Kasih tidak sepatutnya menjual peralatan itu. Beliau menegaskan, jika mereka didapati melakukan perkara tersebut, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan selain membekukan bantuan untuk mereka pada masa hadapan. Katanya, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana masih ramai peserta yang benar-benar mahu menjalankan perniagaan, namun tidak memperoleh kemudahan itu. "Saya berharap mereka bekerja keras untuk mengubah ekonomi keluarga dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menjual bantuan yang diterima," katanya selepas menutup Program Kemahiran dan Keusahawanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dekat sini kelmarin. Program yang dikendalikan oleh Kelab Wanita Kijang Kelantan itu diadakan selama tujuh hari melibatkan seramai 165 peserta e-Kasih di daerah Kuala Terengganu bertujuan membasmi kemiskinan bagi kalangan penduduk bandar. Menurut Adnan, kementeriannya menyasarkan 75 peratus daripada jumlah peserta yang menyertai program tersebut berjaya dibawa keluar daripada senarai miskin bandar yang kini mencecah hampir 90,000 orang di seluruh negara. Katanya, program itu akan diadakan di 146 bandar di seluruh negara secara berperingkat. "Sehingga kini seramai 454 peserta telah menyertai program ini yang melibatkan lebih 10 kursus dan kemahiran seperti jahitan, tata rias, gunting rambut, pembantu tadika dan usahawan. "Kita akan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa dan kita yakin dalam tempoh dua hingga tiga bulan kita akan dapat melihat kejayaan mereka," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
320 VCD, DVD cetak rompak dirampas Posted: 320 VCD, DVD cetak rompak dirampas
KOTA BHARU 22 Mei - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri merampas 320 keping video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM3,000 dalam serbuan ke atas sebuah gerai di Pasar Mundok, Pasir Mas dekat sini Khamis lalu. Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Hamir Syafei berkata, ia merupakan rampasan pertama untuk tahun ini melibatkan operasi bersepadu pihaknya dengan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguat Kuasaan KDN Terengganu. "Ketika diserbu, gerai tersebut ditinggalkan kosong dan kami percaya penjaga atau pemiliknya baru sahaja melarikan diri. "Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita merampas VCD dan DVD berkenaan selain menjumpai sebuah bilik dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan barang tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya hari ini. Tambah beliau, rampasan ini dibuat hasil maklumat dan risikan yang dilakukan oleh anggotanya selama beberapa hari di kawasan berkenaan. Hamir memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18(5) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya. "Kita akan teruskan operasi ini dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan cetak rompak di negeri ini," ujarnya. Beliau turut meminta orang ramai supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu dengan menghubungi talian 09-7413320. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan