Sabtu, 21 Mei 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Melaka masih perlu RM78 juta

Posted:

Melaka masih perlu RM78 juta

Melaka masih perlu RM78 juta

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my


MOHD. Ali Rustam (tengah) bersama peserta Kembara Rumpun Melayu ke Singapura, Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia anjuran Gapena dan ISMMA di Melaka, semalam.


MELAKA 20 Mei - Melaka masih memerlukan peruntukan RM78 juta daripada kerajaan Pusat dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, masih banyak lagi kawasan khasnya di pusat bandar memerlukan sistem pengairan sempurna bagi mengelak banjir besar berulang.

Menurutnya, fasa pertama yang melibatkan RM50 juta bagi mengatasi masalah banjir kilat sudah siap sepenuhnya.

"Jika dahulu apabila hujan lebat saya sering menerima aduan berkaitan banjir kilat, tetapi selepas memperbaiki sistem pengairan, keadaan banjir kilat sudah tidak lagi berlaku di pusat bandar.

"Bagaimanapun, kita memerlukan peruntukan itu untuk projek fasa kedua bagi membina benteng dan tebatan banjir lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kembara Rumpun Melayu ke Singapura, Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) serta Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) di sini, hari ini.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan peruntukan banjir yang diperlukan oleh kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion bagi menangani permasalahan tersebut menjelang 2020.

Beliau berkata, peruntukan itu juga turut diperlukan untuk membina empangan dan kolam takungan banjir di Sungai Gangsa, Belimbing Dalam di Alor Gajah, Lipat Kajang di Jasin dan Sungai Rambai.

Pada masa yang sama kata beliau, pihaknya akan menimbang cadangan membina benteng penghalang air khas di sepanjang pesisiran pantai Selat Melaka, termasuk sungai di negeri ini bagi mencegah kejadian luar jangka seperti hakisan serta kenaikan air secara mendadak.

Usaha itu katanya, dilihat mampu mengatasi keraguan yang timbul dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan keadaan air laut yang dikatakan semakin meningkat hingga mampu menenggelamkan beberapa bandar utama di negara ini, termasuk di Melaka.

"Kejadian air laut yang meningkat ini akan berlaku antara 25 hingga 35 tahun dan Melaka pernah mengalami kejadian itu pada 1971 yang menyebabkan Jalan Hang Tuah dilimpahi air laut.

"Fenomena terbaru ini akan diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri dan cadangan awal kita adalah membina benteng khas penghalang air sebagai persediaan mengatasi kejadian serupa berulang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Enam lelaki, seorang wanita ditahan kes dadah

Posted:

Enam lelaki, seorang wanita ditahan kes dadah

Enam lelaki, seorang wanita ditahan kes dadah


R. Ravichandran (kiri) menunjukkan senjata kejutan elektrik 'Stunt Gun' dan pelbagai jenis dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, semalam.


SEREMBAN 20 Mei - Enam lelaki dan seorang wanita, termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas dipercayai terlibat kes dadah dalam empat kes berasingan di negeri ini, semalam dan Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R.Ravichandran berkata, dalam kes pertama, sepasukan polis bertindak menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 51 tahun pukul 10.45 malam selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Tiong dekat Gemas di Tampin di sini, semalam.

Jelasnya, hasil serbuan pihaknya menemui dadah jenis heroin 448.9 gram (g) bernilai RM149,633.

"Salah seorang suspek cuba menyerang polis dengan senjata renjatan elektrik. Bagaimanapun, polis berjaya menumpaskannya dan menahan kedua-dua mereka yang berasal dari Segamat, Johor itu.

"Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Turut dirampas dua buah kereta Toyota dan Proton Wira serta sebuah motosikal Yamaha LC," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.

Ravichandran memberitahu, dalam kes kedua pada hari yang sama, polis turut menahan dua lelaki berusia 30-an pada pukul 12.45 tengah hari selepas menyerbu sebuah rumah di Park Avenue, Seremban 2 di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 563g dan heroin 40.3g di rumah tersebut yang kesemuanya bernilai RM15,992.

"Kes ketiga pada hari yang sama juga polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 20-an pada pukul 5.45 petang di sebuah rumah di Pinggir Senawang di sini selepas menerima maklumat awam.

"Hasil tangkapan polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 16.9g bernilai RM5,866 di rumah suspek," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ravichandran berkata, kes keempat Selasa lalu pula, sepasang suami isteri berusia 30-an ditahan oleh polis kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Desa Anggerik di Nilai di sini.

"Hasil tangkapan polis menemui dadah jenis ganja 490g bernilai RM1,200 dan suami kepada wanita terbabit turut disahkan positif dadah menerusi ujian air kencing," ujarnya.

Kata beliau, kes semua kes dadah terbabit disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Antologi puisi hasil Kembara Rumpun Melayu diterbitkan Oktober ini

Posted:

Antologi puisi hasil Kembara Rumpun Melayu diterbitkan Oktober ini

Antologi puisi hasil Kembara Rumpun Melayu diterbitkan Oktober ini

MELAKA 20 Mei - Kembara Rumpun Melayu ke Indonesia dan Singapura melibatkan 50 penulis puisi tempatan dan luar negara di bawah gagasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bertujuan menghasilkan himpunan antologi puisi yang dijangka diterbitkan Oktober ini.

Pengerusi Biro Sosio Budaya DMDI, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, program anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan penulis dari Singapura, Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia bakal bekerjasama untuk menghasilkan karya tersebut.

Menurutnya, penghasilan antologi puisi itu bertujuan untuk membentuk sambungan warisan tamadun Melayu antara negara DMDI terlibat.

"Di bawah negara-negara rumpun ahli DMDI melalui kesatuan dan perpaduan, kita memfokuskan antologi bercorak sebegini untuk terus menghidupkan sejarah-sejarah Melayu.

"Malah, memberi ruang kepada orang muda khasnya untuk berkarya melalui pengalaman masing-masing sempena kembara ini," katanya pada majlis pelancaran Kembara Rumpun Melayu ke Singapura, Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, setiap lapisan masyarakat berpeluang menghayati antologi berkenaan, termasuk pelayar laman web sosial Facebook.

Katanya, 50 penulis yang terlibat dalam program itu akan diberi kesempatan menemui penulis puisi dari Indonesia dan Singapura untuk berkongsi pengalaman sebelum ia dibukukan dalam bentuk antologi puisi nanti.

''Kita mahu mewujudkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin adat dan penggiat seni melalui kegiatan budaya di samping bertukar pandangan dalam bidang masing-masing," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan