Selasa, 24 Mei 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


LPPKN pandang serius kahwin lewat

Posted:

LPPKN pandang serius kahwin lewat

LPPKN pandang serius kahwin lewat

KUCHING 23 Mei – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memandang serius isu sosial yang berkaitan dengan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr. Anjli Doshi Gandhi berkata, fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan.

Beliau berkata, data terkini menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.

"Kami memberi perhatian serius trend perkahwinan yang semakin di lewatkan, khasnya di kalangan wanita yang memberi alasan bahawa mereka tidak ada calon yang sesuai," katanya pada taklimat dan bual bicara Dasar Keluarga Negara (DKN) peringkat negeri Sarawak, yang di hadiri Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi lelaki pula, keadaan kewangan yang belum stabil adalah antara faktor yang menyebabkan lelaki dalam lingkungan umur awal 30-an belum berkahwin.

Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata satu pertiga dari 27.5 juta penduduk di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah dan akan memasuki usia perkahwinan menjelang 2020.

Beliau berkata, satu dasar yang komprehensif amat diperlukan dalam menghadapi cabaran pembangunan keluarga kerana golongan itu akan memberi kesan kepada penambahan isi rumah yang berlipat kali ganda dari jumlah sekitar 6.3 juta yang ada sekarang. – BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sultan Selangor lawat lokasi kejadian tanah runtuh

Posted:

Sultan Selangor lawat lokasi kejadian tanah runtuh

Sultan Selangor lawat lokasi kejadian tanah runtuh

HULU LANGAT 23 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berangkat melawat tapak kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini hari ini.

Baginda tiba kira-kira pukul 10.30 pagi dan diberikan taklimat penuh mengenai kejadian itu oleh Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab dan Pengarah Kanan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JK), Datuk Ir. Ashaari Mohamad.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada waris 16 anak yatim yang terkorban dalam kejadian itu sebanyak RM10,000 seorang masing-masing RM5,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor.

Sebanyak 37 mangsa yang terselamat dalam tragedi itu pula menerima sumbangan sebanyak RM1,000.

Selain bantuan kepada mangsa, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada rumah tersebut yang diterima oleh Yang Dipertua Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia, Dr.Idris Musa.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tanah runtuh berlaku di belakang rumah tersebut ketika sebahagian daripada 49 penghuninya sedang membuat persiapan untuk satu majlis di bawah sebuah khemah.

Seramai 25 daripada mereka tertimbus dalam kejadian itu dengan 16 orang terkorban, manakala sembilan yang lain terselamat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

YKN salur bantuan segera

Posted:

YKN salur bantuan segera

YKN salur bantuan segera

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mei – Kesemua mangsa yang selamat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat kelmarin, akan menerima sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sumbangan itu akan disalurkan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pihaknya turut menawarkan tempat perlindungan kepada mangsa yang hilang tempat perlindungan di Pusat Perkembangan Kemahiran di Serendah, Selangor.

Pihaknya juga, kata beliau, akan memberi tumpuan pada proses pemulihan dan khidmat kaunseling kepada semua yang terlibat terutamanya dua mangsa yang kehilangan sebelah kaki.

"Sokongan dan motivasi amat penting terutamanya kepada dua mangsa yang dipotong kaki untuk memberi kekuatan kepada mereka meneruskan kehidupan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat sembilan mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang, di sini hari ini.

Shahrizat menambah, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang turut melawat mangsa kejadian di hospital itu berjanji untuk menyumbangkan kaki palsu kepada dua mangsa yang kehilangan kaki.

Diminta mengulas status pendaftaran rumah anak yatim itu, Shahrizat berkata, perkara itu akan diperbincangkan minggu depan.

"Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa berhubung isu itu sekarang. Tunggu minggu depan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Ampang, Datin Dr. Aishah Ahmad Makinuddin berkata, setakat hari ini, tiga mangsa termasuk dua daripada mereka yang dipotong sebelah kaki masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemua mangsa itu dalam keadaan stabil.

Sementara itu, enam lagi mangsa, katanya, telah ditempatkan di wad biasa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan