Kosmo Online - Rencana Utama |
Diari penghidap multiple sclerosis Posted: Diari penghidap multiple sclerosisOleh NURUL IZZA ROSLY MASIH segar di dalam memori wanita itu mengenai peristiwa yang menimpanya empat tahun lalu ketika dia berkelana di bumi asing, Bahrain. Nazatul Aqmar Nazri, 26, yang bertugas sebagai chef ketika itu ditahan oleh pihak polis dan hampir masuk ke lokap gara-gara dikatakan mabuk kerana dia berjalan terhuyung-hayang. Walaupun puas meyakinkan anggota polis terbabit bahawa dirinya tidak mabuk, namun anggota polis berkenaan menganggap penjelasannya itu sekadar alasan untuk melepaskan diri. Tidak berang dengan tindakan pihak polis yang hanya menjalankan tugas, Nazatul Aqmar terpaksa menunggu penuh sabar selama enam jam untuk membuat ujian mengesan alkohol melalui nafas. Namun, dia dilepaskan kerana hasil ujian tersebut negatif. "Seminggu selepas kejadian tersebut keadaan saya semakin teruk kerana kaki kiri tidak bergerak dan dimasukkan ke hospital. Pada masa itulah baru saya tahu bahawa saya menghidap sejenis penyakit saraf iaitu sklerosis multipel (MS). "Segala jawapan terhadap apa yang saya alami sejak di bangku sekolah akhirnya terjawab walaupun sebelum ini doktor pernah mengambil cecair tulang belakang saya pada usia 14 tahun, namun misteri penyakit yang saya hidap tidak terungkai," katanya yang lebih mesra dipanggil Nazatul. Menurut Nazatul, dia mengalami beberapa simptom seperti gangguan memori, berjalan tidak betul dan tidak seimbang. Selain itu, dia juga mengalami kebas sebelah muka, kebas kaki kiri sehingga terpaksa menyeret kaki apabila berjalan selain penglihatannya sebelah kanannya kabur. Katanya, ketika di sekolah rendah, dia sangat suka menggigit jari dan mengopek kuku kaki sehingga kukunya tercabut, namun Nazatul tidak merasa sebarang kesakitan walaupun jarinya berdarah. Berfikiran positif "Pada mulanya saya lebih banyak mendiamkan diri selepas disahkan menghidap MS. Namun, saya berfikiran positif kerana banyak lagi penyakit lain yang lebih teruk berbanding penyakit saya ini. SESEORANG itu dapat dikesan menghidap sklerosis multipel selepas hasil ujian MRI. "Serangan MS berlaku di antara tiga hingga empat kali setahun dan ia mengambil masa yang agak lama untuk pulih daripada serangan tersebut," jelas anak keempat daripada lima beradik itu ketika ditemui pada Pelancaran Kempen A Wake Of Hope anjuran Persatuan MS Malaysia dan syarikat farmaseutikal Merck Serono baru-baru ini. MS merupakan penyakit sistem saraf yang menjejaskan otak dan saraf tunjang. Penyakit ini mengakibatkan sistem imun tubuh memusnahkan beberapa tisu lemak yang dipanggil myelin. Myelin berfungsi membantu serat-serat saraf untuk menghantar mesej elektrik dari otak ke bahagian tubuh yang lain. Kemusnahan myelin menyebabkan individu terbabit hilang upaya seperti kelesuan, penglihatan kabur, rasa lemah pada kaki dan kebas. Selain itu, penghidap juga mengalami rasa seperti dicucuk-cucuk pada muka, tangan, kaki atau badan serta kebas di sekitar dada dan abdomen. MS buat julung-julung kalinya dijelaskan oleh Jean-Martin Charcot pada tahun 1868. Sehingga kini, punca sebenarnya penyakit ini tidak diketahui. Ia boleh diklasifikasikan sejenis penyakit autoimun kerana sistem imun menyerang tubuh sendiri. Lazimnya, keseriusan penyakit tersebut pada tahap sederhana, bagaimanapun sesetengah individu hilang keupayaan menulis, bertutur atau berjalan. Pakar Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. V. Shanti memberitahu, MS memberi kesan yang berbeza terhadap individu. "Wanita berisiko tinggi menghidap penyakit MS pada kadar dua kali ganda berbanding lelaki dan biasanya dikesan pada usia di antara 20 hingga 40 tahun. Sungguhpun begitu, MS boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. "Serangannya datang dan pergi. Simptomnya lebih kurang sama dengan penyakit lain seperti hipertensi dan strok menyebabkan ramai yang tidak ambil pusing mengenai penyakit ini," katanya yang menyarankan orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda-tanda MS. Dahulu MS hanya dihidapi oleh orang Kaukasia yang kebanyakannya tinggal di Barat. Ia melibatkan satu atau dua orang dalam 100,000 orang. Antara tanda-tanda MS ialah masalah penglihatan, kesukaran pertuturan, rasa lemah dan letih pada anggota tubuh. Selain itu, mereka juga akan mengalami koordinasi terjejas, sakit dan kebas, kekejangan otot pada tangan atau kaki serta masalah ingatan, penumpuan, kawalan pundi kencing atau usus. Tanda-tanda dan gejala-gejala yang berlaku bergantung kepada lokasi serat saraf yang rosak. "Jika tanda-tanda tersebut berulang, seseorang itu perlu segera berjumpa pakar perunding neurologi untuk memastikan sama ada tanda-tanda tersebut disebabkan MS atau sebaliknya. PERBEZAAN antara sel saraf yang normal dan sel saraf yang rosak akibat skelrosis multipel. "Kebiasaannya, untuk mendiagnosis sama ada seseorang itu menghidap MS, doktor akan melakukan ujian darah, pengimejan resonans magnetik (MRI) dan mengambil cecair tulang belakang," jelasnya. Bagi seorang ibu muda, Farah Diana Mohd. Amin, 25, dia diserang MS buat pertama kalinya ketika berumur 16 tahun. "Badan sebelah kiri saya kebas. Ingatkan kebas-kebas biasa sahaja. Apabila rasa kebas itu berulang saya menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena. "Sebelum didiagnosis menghidap MS, kaki saya bengkak jika terlalu lama berjalan atau jalan jauh dan mengambil masa berhari-hari untuk menghilangkan rasa penat," katanya yang turut mengalami simptom penglihatan kabur. Farah Diana memberitahu, pada sambutan hari raya tahun lalu, bahagian kanan mukanya jatuh sehingga terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Lebih membimbangkan Farah Diana apabila doktor memberitahu, kemungkinan kecacatan pada wajahnya akan kekal. Namun, isteri kepada Mohd. Fariq Salin, 28, yang juga ibu kepada anak lelaki berusia setahun tujuh bulan itu pasrah dengan ujian yang dilaluinya. "Macam-macam saya ikhtiar untuk memulihkan keadaan bentuk muka yang jatuh. Suami pula banyak memberikan sokongan dan menyuruh saya mengunyah gula-gula getah bagi memulihkan keadaan. Syukur, muka saya pulih seperti sediakala selepas beberapa bulan. "Sepanjang kehamilan tiada sebarang serangan berlaku, cuma selepas melahirkan anak, serangan semakin kerap dan teruk. Terbaru, saya mengalami serangan yang sama pada bulan Februari lalu," katanya yang mengalami empat kali serangan MS setahun. Perkara yang paling ditakutinya ialah apabila anaknya menangis ketika suami tiada di sisi. "Bukan tidak mahu dukung dan memujuknya tetapi saya khuatir dia cedera kerana saya tidak kuat untuk mendukungnya," ujarnya yang kini membuka perniagaan menjual aksesori dan barangan bayi serta kanak-kanak secara talian. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Gejala obesiti hantui Tonga
DI rak barangan sebuah pasar raya di Tonga, terdapat banyak tin-tin besar yang menyamai saiz sebuah tin cat. Tin-tin tersebut mengandungi daging kisar bagi menggantikan hidangan tradisi kepulauan tersebut seperti ikan dan kelapa sejak sekian lama. Senario itu menjadi penyumbang kepada masalah obesiti di rantau Pasifik yang kini berada di kedudukan teratas jumlah penduduk obes di dunia. Pasaran daging di Tonga lazimnya didatangkan dalam bentuk tin, sama ada ayam belanda, lembu atau babi. Ia dijual dalam pelbagai bentuk seperti daging salai dicampur cili atau keju untuk rasa lebih lemak. Ketua Pegawai Perubatan, Malakai Ake berkata, daging yang ditinkan itu merupakan makanan ringan yang mempunyai kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi, sekali gus menyebabkan berat badan penduduk di kepulauan itu semakin meningkat. "Ia merupakan masalah terbesar yang dihadapi Tonga," kata Ake sambil memberitahu peningkatan penyakit-penyakit berkaitan obesiti seperti jantung koronari, diabetes dan strok. "Setiap hari ada saja upacara pengkebumian, jiran sebelah rumah, saudara-mara dan kenalan. Selalunya kematian mereka dikaitkan dengan penyakit-penyakit ini, ia langsung tidak masuk akal." Menurut Jabatan Kesihatan Tonga, lebih 90 peratus daripada populasi penduduk di negara itu diklasifikasikan sebagai berat badan yang berlebihan dan 60 peratus obes. Gaya hidup Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun lalu, negara-negara Kepulauan Pasifik berada di tangga kelapan daripada 10 buah negara yang mempunyai populasi lelaki yang obes. Obesiti sering dikaitkan dengan tiga perempat kadar kematian di rantau itu, menurut pakar nutrisi WHO yang berpangkalan di Fiji, Temo Waqanivalu. Katanya, kes-kes diabetes di negara-negara Kepulauan Pasifik meningkat sebanyak 50 peratus. "Sistem kesihatan kita sedang bergelut untuk menangani masalah tersebut," kata Waqanivalu. MAKANAN dalam tin yang tinggi lemak dan kandungan garamnya kini menjadi pilihan penduduk Tonga berbanding makanan tradisional. "Jika anda ke mana-mana hospital di negara-negara Kepulauan Pasifik, sekitar 75 hingga 80 peratus rawatan yang dijalankan adalah berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti. Pakar memberitahu, gabungan faktor ekonomi, budaya dan gaya hidup menyebabkan obesiti kini menjadi satu wabak yang membimbangkan di peringkat global khususnya di Pasifik. Waqanivalu berkata, gaya hidup tradisional seperti aktiviti perladangan dan menangkap ikan mewujudkan bidang pekerjaan baru sejak beberapa tahun lalu dan kemunculan kenderaan di jalan raya. "Ketika saya muda dahulu, semua orang berjalan kaki sekiranya hendak ke mana-mana atau berenang. "Hari ini mereka lebih suka berkereta walaupun ia tidak begitu jauh." Diet tradisional di Tonga seperti ikan dan akar-akar kayu kini digantikan dengan makanan berlemak yang diimport dari negara-negara Barat. Makanan tersebut dilihat lebih mudah disediakan dan kelihatan lebih berprestij. "Makanan tradisi sukar bersaing dengan makanan import yang lebih glamor dan popular," kata Waqanivalu, sambil menambah kemiskinan dalam kalangan penduduk di Pasifik menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan dalam memilih diet harian yang sesuai. "Di sesetengah negara, harga minuman bergas lebih murah berbanding sebotol air mineral. "Apabila mereka ke pasar raya, lazimnya perkara terakhir yang mereka akan lihat ialah maklumat nutrisi yang dipaparkan, sebaliknya mereka hanya melihat harganya." Ada kalangan penduduk-penduduk di kepulauan itu berpendapat, oleh kerana rangka tubuh mereka yang besar, maka mereka lebih mudah menambah berat badan berbanding orang yang mempunya rangka tubuh yang normal. Bukan kebanggaan Bagaimanapun, teori itu ditolak sama sekali oleh Waqanivalu. GOLONGAN remaja di Tonga melakukan senaman sebagai usaha untuk mencegah obesiti. Katanya, mempunyai ukuran badan yang besar merupakan satu simbol status di rantau itu suatu ketika dahulu. Namun tradisi itu kian terhakis kerana memiliki tubuh yang besar bukan lagi satu kebanggaan. "Kami mahu beritahu masyarakat tidak mengapa memiliki rangka tubuh yang besar, namun menjadi obes adalah satu perkara berbeza dan ia adalah sesuatu yang kami tidak mahu lihat di sini," katanya. Bekas Raja Tonga, King Tupou IV, yang mangkat pada tahun 2006 telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tentang obesiti sekitar tahun 1990-an. Baginda telah menganjurkan diet kebangsaan dan rutin senaman selepas diberi amaran oleh doktor tentang masalah berat badannya. Tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai antara monarki yang terberat di dunia iaitu 210 kilogram (kg), baginda berjaya mengurangkan berat badannya kepada 70 kg. Bagaimanapun, Perdana Menteri Tonga, Lord Tu'ivakano berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memerangi obesiti dan pihak pemerintah akan melakukan sekatan pengimportan makanan seperti daging kambing yang murah dan hirisan biri-biri berlemak yang popular di negaranya. "Kita perlu kembali semula kepada cara lama, makan makanan berkhasiat seperti keladi, keledek dan ubi kayu," katanya. "Adalah penting untuk berkata, 'Maaf, anda perlu mencari alternatif lain', seelok-eloknya makan ikan berbanding hirisan daging kambing." - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan