Selasa, 31 Mei 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Tiada kenaikan guna 300 kWj

Posted:

Tiada kenaikan guna 300 kWj

Tiada kenaikan guna 300 kWj



PUTRAJAYA 30 Mei – Kerajaan hari ini mengumumkan struktur tarif baru elektrik yang menyaksikan 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil bulanan sekiranya mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada 300 kilowatt sejam (kWj) atau kurang.

Kerajaan terus memberi bekalan elektrik percuma kepada pengguna yang bil elektriknya di bawah RM20. Kerajaan dijangka menanggung kos RM122 juta setahun untuk membiayai bekalan percuma ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, penyelarasan yang berkuat kuasa 1 Jun itu dilakukan selari dengan penyemakan semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung yang berkuat kuasa pada tarikh sama.

Menurut beliau, kerajaan menjangkakan kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan minimum kepada kadar inflasi iaitu sebanyak 0.27 peratus.

Katanya, pihak yang menggunakan antara 301 hingga 1,000 kWj sebulan atau 23.5 peratus pengguna domestik pula mengalami kenaikan bil elektrik antara RM0.07 hingga RM30.30.

"Bagi pengguna komersial voltan rendah seperti restoran kecil yang penggunaannya tidak melebihi 200 kWj sebulan, kadar kenaikan maksimum adalah sebanyak 6.2 peratus atau RM4.60 sebulan.

"Pengguna industri voltan rendah termasuk pengusaha memproses makanan kecil-kecilan pula mengalami kenaikan tarif maksimum sebanyak 6.2 peratus atau RM4," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, tarif industri khas yang ditawarkan kepada sektor industri yang perbelanjaan bil elektrik mereka melebihi lima peratus daripada kos operasi masih dikekalkan.

"Sektor industri yang layak akan terus menikmati kadar tarif yang rendah walaupun jurang perbezaannya dengan kadar industri biasa akan dikurangkan secara berperingkat selari dengan dasar kerajaan yang menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap.

"Kerajaan akan memperkenalkan insentif tertentu dalam tempoh terdekat untuk menggalakkan pengguna membeli peralatan elektrik cekap tenaga," katanya.

Berikut merupakan maklumat penstrukturan tarif elektrik yang diumumkan Peter Chin hari ini, iaitu:

* Kerajaan meluluskan permohonan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menaikkan tarif asas sebanyak dua peratus. Semakan diperlukan untuk menampung kos pembekalan elektrik semasa serta membolehkan TNB mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

* Menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi storan tenaga termal daripada 1.5 sen kWj kepada 3.5 sen kWj.

* Memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagian oleh kerajaan seperti mana yang diberi kepada rumah ibadat dan institusi kebajikan.

* Syarikat rawatan dan pengagihan air serta pembentungan diletakkan di bawah kategori tarif industri.

* Mengekalkan tarif khas pertanian yang mula diperkenalkan pada tahun 2006.

* Kerajaan memutuskan agar kutipan tambahan satu peratus daripada bil bulanan disumbangkan kepada Dana Tenaga Boleh Baharu. Kutipan ini tidak termasuk pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 300 kWj sebulan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Indonesia tarik balik pembekuan amah

Posted:

Indonesia tarik balik pembekuan amah

Indonesia tarik balik pembekuan amah

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

BANDUNG 30 Mei - Selepas dua tahun membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, kerajaan Indonesia hari ini menarik semula pembekuan tersebut.

Ia dimuktamadkan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara di sini hari ini.

Malaysia dan Indonesia diwakili oleh menteri masing-masing iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam dan rakan sejawatannya di sini, Muhaimin Iskandar.

Muhaimin pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu memberitahu, Indonesia memerlukan tempoh dua minggu untuk memastikan urusan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia kelak memenuhi standard yang dikehendaki.

"Kami (Indonesia) memerlukan masa dua minggu untuk menyiapkan segala urusan dokumentasi, penempatan serta persediaan pembantu rumah yang akan bekerja di Malaysia," kata beliau.

Selain menarik balik pembekuan itu, MoU berkenaan turut menetapkan gaji yang perlu dibayar kepada pembantu rumah dari Indonesia pada masa depan bukan lagi RM600 seperti yang dituntut sebelum ini.

Sebaliknya, kerajaan Indonesia bersetuju dengan pandangan Malaysia bahawa gaji pembantu rumah tertakluk pada tuntutan pasaran semasa.

Namun pihak Indonesia akan menentukan bahawa gaji yang bakal ditawarkan majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia.

Gaji minimum di Indonesia berbeza mengikut kawasan dan yang paling tinggi ialah di Jakarta iaitu Rp1.2 juta (RM420) tetapi masih ada pembantu rumah di Jakarta yang dibayar gaji lebih rendah daripada kadar itu.

Menerusi MoU itu juga, majikan Malaysia dijamin mendapat pembantu rumah ganti atau ganti rugi wang pendahuluannya daripada agensi pekerjaan berkaitan jika pembantu rumah mereka melarikan diri, tidak cekap atau tidak lulus pemeriksaan kesihatan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Subramaniam berkata, ketetapan baru dalam MoU juga menyaksikan persetujuan untuk mengurangkan kos pembayaran kepada ejen-ejen yang membekalkan pembantu rumah kepada RM4,511.

Sebelum ini, majikan Malaysia perlu membayar kepada ejen pekerjaan sehingga RM8,000 jika ingin mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia.

Subramaniam turut memberitahu, pembantu rumah Indonesia juga akan diberikan hak memegang pasport, kelayakan satu hari rehat serta perlindungan yang sewajarnya ketika bekerja di Malaysia.

Berhubung aspek perlindungan pembantu rumah, beliau berkata, kesemua pekerja asing akan diberikan taraf perlindungan yang sebaik-baiknya berlandaskan lunas undang-undang Malaysia.

"Aspek perlindungan merupakan usaha berterusan kerajaan Malaysia sama seperti yang dinikmati oleh pekerja tempatan.

"Bagaimanapun, pekerja asing yang layak menerima perlindungan hanya diberikan kepada mereka yang memasuki Malaysia secara sah," tegas Subramaniam.

Pada masa sama, beliau berkata, untuk memastikan ketetapan dalam MoU berkenaan dicapai, kedua-dua kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama dalam usaha menangani isu pembantu rumah berkenaan.

"Jawatankuasa itu akan memantau segala persepakatan yang dicapai dalam MoU yang berkuat kuasa hari ini," katanya.

Jawatankuasa Kerja Bersama tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua Kementerian Sumber Manusia serta wakil pelbagai agensi lain dan kedutaan Malaysia dan Indonesia. - UTUSAN

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nur Jazlan tidak gentar disiasat oleh SPRM

Posted:

Nur Jazlan tidak gentar disiasat oleh SPRM

Nur Jazlan tidak gentar disiasat oleh SPRM


Nur Jazlan Mohamed
Pengerusi UDA Holdings Bhd.


KUALA LUMPUR 30 Mei – Pengerusi UDA Holdings Bhd. (UDA), Datuk Nur Jazlan Mohamed bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemberian kontrak pembangunan Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Pada masa sama, beliau juga mahu SPRM melakukan siasatan terhadap Datuk Musa Sheikh Fadzir yang didakwa mempunyai agenda tertentu kerana sengaja menjadikan isu itu sebagai polemik menjelang mesyuarat Lembaga Pengarah UDA, esok.

Mesyuarat esok bakal membincang dan memutuskan mengenai kontrak pembangunan BBCC.

"Saya tidak gentar untuk disiasat kerana saya juga mahukan ketelusan tetapi pihak yang menjadikan projek BBCC sebagai isu juga perlu bersedia disiasat.

"Saya khuatir pihak tersebut mempunyai agenda tertentu disebabkan mesyuarat bagi memutuskan keputusan kontrak BBCC akan dibentang kepada Lembaga Pengarah esok," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelas beliau, pemberian kontrak BBCC tidak sepatutnya menjadi isu kerana semua pembida telah membuat penjelasan berhubung cadangan masing-masing.

"Saya sebenarnya pun hairan kenapa perkara yang belum dimuktamadkan telah dipertikaikan, tidak tahulah saya kalau ada mana-mana yang 'bocor'," ujarnya.

Nur Jazlan yang begitu kesal kerana isu tersebut sengaja dipanjangkan menyifatkan tindakan Musa adalah satu bentuk serangan kepadanya berbanding terhadap UDA.

Tegas beliau, UDA telah membuat penjelasan terperinci berhubung projek itu namun Musa didakwa sengaja mewujudkan pelbagai pendekatan untuk membuat serangan terhadapnya.

Lebih menghairan mengapa isu tersebut diperbesar-besarkan oleh individu yang menggunakan jawatan dalam UMNO sedangkan pandangan itu bukan daripada parti.

"Saya tidak hairan kalau isu ini dibesar-besarkan oleh pembangkang tetapi nampaknya ia datang dalam kalangan UMNO sendiri.

"Musa perlu ingat, UDA bukan saya seorang kerana ia mempunyai ahli Lembaga Pengarah yang dilantik oleh Kementerian Kewangan.

"Adakah Kementerian Kewangan tidak bijak dalam memilih ahli Lembaga Pengarah UDA untuk membuat keputusan yang berwibawa sehingga memerlukan kritikan pihak luar yang langsung tidak mengetahui apa yang berlaku dalam agensi ini?," soalnya.

Secara sinikal, Nur Jazlan mempertikai mengapa Musa langsung tidak membuka mulut mengenai memperjuangkan nasib kontraktor bumiputera dalam projek berbilion ringgit yang sudah dimeterai di Pulau Pinang, baru-baru ini.

"Tidak kiralah lokasi projek kalau benar-benar hendak perjuangkan kontraktor bumiputera, kenapa tidak serang Lim Guan Eng kerana walaupun projek itu dibuat di Pulau Pinang tetapi dana turut disumbang oleh kerajaan Pusat.

Nur Jazlan mengingatkan BBCC adalah projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan kerajaan dan UDA tidak boleh gagal untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, dalam kewangan yang terhad adalah mustahil bagi UDA membangunkan BBCC yang menelan kos antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

Malah, tiada satu pun syarikat bumiputera atau bukan bumiputera yang mampu melabur dalam BBCC mengikut syarat yang ditetap iaitu tanpa mencagarkan tanah tapak projek.

Tambah beliau, atas alasan itu UDA perlu menjalinkan kerjasama dengan pelabur asing selaku pelabur utama dalam projek BBCC.

"Maksudnya, syarikat pelabur ini mesti datang kepada UDA dengan duit sebagai satu jaminan untuk mereka melaksanakan BBCC," katanya.

Nur Jazlan berkata, pelabur yang mahu membina BBCC dikenakan syarat supaya membina aset UDA yang bernilai RM600 juta terlebih dahulu sebelum membina hartanah mereka.

"Syarikat milik kerajaan (GLC) pun tidak mampu memenuhi syarat ini, adakah syarikat bumiputera atau bukan bumiputera mampu membuat pelaburan sebanyak itu?

"Semua syarat ini dibuat kerana UDA tidak mahu menanggung liabiliti kerana UDA tidak mempunyai tunai lagi untuk menanggung sebarang permasalahan pada kemudian hari.

"Aliran tunai UDA hanya berjumlah RM90 juta dan kami terpaksa meminjam bank untuk membayar premium tapak Penjara Pudu berjumlah RM130 juta dan setakat ini baru bayar RM32 juta, tidak termasuk kadar faedah," katanya.

Jadi, soal beliau, adakah menjadi satu kesalahan bagi UDA membangunkan tanahnya tanpa menggunakan wang sendiri demi kelangsungan operasi agensi pada masa depan.

"UDA bukan saya tetapi nasib 1,400 kakitangannya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan