Rabu, 25 Mei 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Keselamatan stadium diragui

Posted:

Keselamatan stadium diragui

Keselamatan stadium diragui

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 24 Mei - Perbadanan Stadium Kelantan disaran supaya mengkaji keadaan keselamatan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang dipercayai melebihi kapasiti setiap kali perlawanan bola sepak membabitkan pasukan negeri itu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan, Azmi Othman berkata, jumlah penonton yang melebihi kapasiti sebenar boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku sesuatu insiden buruk.

"Pihak perbadanan wajar beri perhatian serius kepada keadaan ini bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kebakaran. Jika berlaku kebakaran penonton akan berebut dalam kesesakan untuk mencari jalan keluar. Situasi itu akan mengundang bahaya kepada semua.

"Dalam konteks ini kita melihat mencegah itu adalah lebih baik," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Azmi berkata, berdasarkan pemerhatian prarancang kebakaran pihaknya mendapati terdapat beberapa pintu keluar stadium dikunci dan tiada pengawal ketika perlawanan bola sepak berlangsung.

Katanya, jalan keluar yang terdapat di mana-mana stadium seharusnya tidak boleh dihalang oleh apa-apa objek termasuk penonton demi keselamatan semua.

"Pihak stadium perlu menyediakan pintu keluar yang tidak berkunci dan dijaga oleh pengawal keselamatan untuk orang ramai menuju ke pusat perhimpunan apabila berlakunya sesuatu insiden," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama semua pihak supaya kereta diletakkan dengan tersusun di perkarangan stadium supaya tidak menghalang kenderaan bomba sekiranya berlaku kebakaran atau kemalangan di stadium berkenaan.

Pada masa sama, pihak bomba katanya, mengalu-alukan cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah stadium baru memandangkan stadium tersebut tidak lagi sesuai untuk menampung jumlah penonton yang semakin padat.

"Pembinaan itu sememangnya wajar dan perlu dipercepatkan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Khairul Fahmi gamatkan Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di SK Tapang

Posted:

Khairul Fahmi gamatkan Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di SK Tapang

Khairul Fahmi gamatkan Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di SK Tapang


Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (tengah, belakang) menunjukkan simbol 1Malaysia bersama guru dan murid Sekolah Kebangsaan Tapang di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 24 Mei - Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini melakar sejarah dan nostalgia tersendiri dengan kehadiran selebriti sukan negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Kehadiran anak muda ini menarik perhatian para murid, guru dan ibu bapa yang hadir pada karnival tersebut memandangkan Khairul, 23, sendiri menghabiskan alam sekolah rendahnya di situ.

Kemunculannya ke sekolah itu merupakan yang pertama sejak menjadi pemain bola sepak profesional iaitu selaku penjaga gol pasukan Liga Super Kelantan dan skuad kebangsaan.

Khairul ketika ditemui berkata, dia mendapat pelawaan untuk datang ke karnival tersebut bulan lalu dan terus menerima jemputan itu.

"Pihak sekolah hubungi saya untuk menjemput ke karnival ini. Memang sangat gembira apabila mendapat jemputan seperti ini malah sudah lama saya menunggu waktu terbaik untuk datang.

"Saya harap kehadiran saya di sini mampu memberi semangat kepada murid-murid sekolah untuk aktif dalam bidang sukan yang boleh dijadikan sebagai kerjaya," katanya.

Suasana meriah sambutan karnival itu yang bermula pukul 7.30 pagi seolah-olah bertukar menjadi 'histeria' apabila murid-murid sekolah segera mengerumuni Khairul sebaik sahaja dia tiba pada pukul 10 pagi.

Selain para murid yang sibuk meminta beliau menurunkan tandatangan di beg, topi dan buku masing-masing, ibu bapa dan para guru juga dilihat teruja dan tidak melepaskan peluang bergambar dengan Khairul.

Sementara itu, guru besar, Rosmayati Hamat ketika ditemui berkata, selain memupuk semangat kesukanan di kalangan murid, karnival yang pertama kali dianjurkan itu turut dijadikan landasan untuk memilih pemain sekolah yang akan bertanding pada Karnival Futsal Datuk Fatmi pada Jun dan Julai ini.

"Ia membabitkan semua pelajar lelaki darjah satu hingga enam. Sebanyak 29 pasukan bertanding dengan setiap satu diwakili lapan pemain daripada setiap kelas," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Sukan SK Tapang, Pauzi Saat berkata, pada karnival itu, kelas Satu Tekun dan Satu Usaha masing-masing menjadi johan untuk kategori darjah satu manakala Dua Bestari dan Dua Tekun menjadi dua pasukan terbaik untuk kategori darjah dua.

"Bagi kategori darjah tiga, kelas Tiga Tekun menjadi johan selepas menewaskan Tiga Bestari pada perlawanan akhir manakala Empat Bestari menjadi johan untuk kategori darjah empat dan Empat Tekun sebagai naib johan.

"Kelas Lima Usaha pula mengungguli kategori darjah lima diikuti Lima Cemerlang manakala untuk kategori darjah enam, Enam Usaha menjadi johan dan Enam Tekun sebagai naib johan," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Didenda kerana bawa mercun ke stadium

Posted:

Didenda kerana bawa mercun ke stadium

Didenda kerana bawa mercun ke stadium

KOTA BHARU 24 Mei - Seorang penjual ayam didenda RM7,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah memiliki mercun jenis Crazy Robot di pintu masuk Stadium Sultan Muhammed Ke-IV ketika perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Selangor tahun lalu.

Alif Aiman Zulkifli, 20, dikenakan denda tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah setelah diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut oleh Majistret, Nur Zakiyah Shamsuddin.

Tertuduh sebelum ini dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dua biji mercun Crazy Robot tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa di pintu masuk C, Stadium Sultan Muhammed Ke-IV kira-kira pukul 8.10 malam, 15 Oktober tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamed Hasif Hassan.

Dalam keputusannya, Nur Zakiyah berkata, hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya selepas mengambil kira kepentingan awam iaitu keselamatan penonton yang berada di dalam stadium tersebut.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Belukar, Pauh, Panji di sini kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan dan dibebaskan sebaik sahaja membayar denda tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan