Utusan Online - Dalam Negeri |
- Akta persaingan bela pengguna
- Kerajaan cadang guna semula wang satu sen
- Dengarlah, cari jalan selesaikan masalah rakyat - TPM
Posted: Akta persaingan bela penggunaKANGAR 19 Mei - Kegiatan berpakat untuk menaikkan harga barang atau mengurangkan bekalan, monopoli dan perlakuan perdagangan tidak adil akan ditangani dengan lebih berkesan apabila Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentuk melalui akta itu akan bertanggungjawab menangani perkara-perkara itu demi kepentingan rakyat. Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini, Muhyiddin berkata, suruhanjaya itu berkuasa untuk memanggil kelompok peniaga yang didapati melakukan perbuatan yang merugikan orang ramai. Katanya kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang yang sepatutnya boleh dikawal dan kerajaan juga berbelanja besar untuk subsidi harga barang yang membabitkan kos lebih RM20 bilion. Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa melaksanakan rasioanalisasi termasuk mengurangkan subsidi diesel bot laut dalam mulai 1 Jun ini. Katanya, mulai Jun pengusaha bot nelayan perlu membeli harga diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.25 pada masa ini. "Syarikat besar yang ada banyak bot laut dalam sudah pasti mendapat hasil besar dan tak wajar mendapat subsidi sama seperti nelayan lain," katanya sambil menjelaskan bahawa hasil penjimatan itu boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain. Mengenai masalah banjir di Perlis, Muhyiddin berkata, beliau telah mendengar taklimat daripada Menteri Besar Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berhubung perkara itu. Katanya, kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan masalah itu secara beransur-ansur kerana ia membabitkan kos besar namun sebagai permulaan sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki saliran di Empangan Timah Tasoh dekat sini bagi mengawal banjir. Sebelum itu, semasa berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan 2020 itu, beliau berharap rakyat sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan tidak mempertikaikan perlembagaan negara sehingga menjadi isu perdebatan dan merungkai perpaduan rakyat. Turut hadir di majlis itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Kerajaan cadang guna semula wang satu sen Posted: Kerajaan cadang guna semula wang satu sen Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI dan SHARIZA ABDULLAH KANGAR 19 Mei - Kerajaan bercadang melaksanakan semula penggunaan syiling satu sen supaya ia dapat membantu mengatasi beban rakyat yang menghadapi kenaikan harga barang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan tersebut akan dibangkitkan dalam satu mesyuarat yang akan dipengerusikan beliau tidak lama lagi. Menurutnya, langkah tersebut untuk membendung kenaikan harga yang tinggi disebabkan kaitan dengan nilai satu sen yang tidak digunakan lagi sejak 2008. "Misalnya, jika harga ditetapkan RM1.71, ia ditambah sebanyak empat sen untuk menjadikannya RM1.75 sen. Sudah tentu memberi keuntungan kepada peniaga tetapi membebankan rakyat," kata beliau selepas berucap kepada lebih 5,000 penduduk yang menghadiri Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri ke Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini. Pada April 2008, syiling satu sen tidak digunakan lagi untuk pembayaran di kaunter, sebaliknya semua bayaran bil digenapkan melalui mekanisme penggenapan kepada lima sen terdekat. Menerusi mekanisme itu, jumlah keseluruhan bil berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh akan diturunkan kepada lima sen terdekat manakala bil berakhir dengan tiga, empat, lapan dan sembilan dinaikkan kepada lima sen terdekat. Bagaimanapun, kata Timbalan Perdana Menteri, keputusan untuk menggunakan semula syiling satu sen bergantung kepada Bank Negara Malaysia sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya. |
Dengarlah, cari jalan selesaikan masalah rakyat - TPM Posted: Dengarlah, cari jalan selesaikan masalah rakyat - TPMKANGAR 19 Mei - Menteri serta pemimpin di peringkat akar umbi perlu mengamalkan pendekatan yang boleh memberi kesan di hati rakyat iaitu mendengar masalah mereka dan mencari jalan menyelesaikannya. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin berkenaan perlu lebih kerap turun padang bagi mendengar dan memberi respons terhadap perkara yang dibangkitkan rakyat. "Rakyat mengharapkan sesuatu yang boleh menambah baik kehidupan mereka. Dengar perkara yang dibangkitkan dan cari jalan untuk mengatasinya. "Ia tidak semestinya melibatkan perbelanjaan besar seperti menziarah orang meninggal dunia, melawat orang sakit, menghadiri kenduri kahwin, membantu mendapatkan rawatan untuk rakyat dan membuat kerja kebajikan. Ia boleh menyentuh perasaan mereka (rakyat)," katanya. Beliau berkata demikian selepas berucap kepada lebih 5,000 penduduk pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri ke Perlis, di sini, hari ini. Mengenai tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang dikatakan mungkin membatalkan pendaftaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu didakwa telah melanggar peraturan sendiri, beliau berkata, mana-mana pertubuhan atau persatuan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh ROS wajar dikenakan tindakan. "Apa sahaja pertubuhan, persatuan atau parti politik yang tidak mematuhi atau memenuhi syarat, maka sewajarnya ROS ambil tindakan. "UMNO pernah diharamkan dahulu. Banyak juga persatuan yang terpaksa dibatalkan kerana tidak mengikut kehendak seperti tidak mengadakan mesyuarat agung dan tidak menghantar laporan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan