Isnin, 30 Mei 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Gas asli Malaysia masih murah

Posted: 30 May 2011 04:48 PM PDT

Nasional

 NOR MOHAMED  bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui   ketika   sidang media mengenai Semakan Semula Tarif Elektrik  di Putrajaya, semalam semalam.

NOR MOHAMED bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika sidang media mengenai Semakan Semula Tarif Elektrik di Putrajaya, semalam semalam.

Thailand RM18.23; Indonesia RM21.04; Singapura RM43.32

PUTRAJAYA: Harga gas asli di Malaysia masih murah berbanding negara jiran meskipun dengan kenaikan mulai hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Malah, sebelum atau selepas kenaikan, harga di negara ini murah dibandingkan dengan Thailand sebanyak RM18.23 setiap juta unit termal British (MMBtu), Indonesia RM21.04, Singapura RM43.32 dan Vietnam RM18.70.

Nor Mohamed berkata demikian selepas mengumumkan kenaikan harga gas asli daripada RM10.70 setiap MMBtu kepada RM13.70, di sini semalam, seiring kenaikan harga tenaga global. Beliau berkata kenaikan dalam bekalan gas ke sektor perindustrian adalah wajar, iaitu daripada RM15 setiap MMBtu kepada RM16.07 setiap MMBtu, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (RM19.46), Indonesia (RM18.74) dan Singapura (RM133.45).

PETRONAS akan menaikkan harga gas yang dibekalkan kepada sektor elektrik dan perindustrian sebanyak RM3 setiap MMBtu setiap enam bulan mulai esok sehingga Disember 2015. Namun, mulai 2016, harga gas akan mengikut harga pasaran.

Nor Mohamed juga berkata, sehingga akhir 2010, PETRONAS menyalurkan kira-kira RM131.3 bilion dalam bentuk subsidi gas kepada kedua-dua sektor kuasa dan bukan kuasa.

"Jika harga gas kekal pada RM10.70 setiap MMBtu dalam sektor kuasa dan RM15.35 setiap MMBtu dalam sektor bukan kuasa, sebanyak RM27.22 bilion subsidi perlu ditanggung pada 2011.
"Walaupun ada kenaikan, PETRONAS masih perlu menanggung RM25.64 bilion subsidi. Ini hanya pengurangan sebanyak RM1.58 bilion," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, harga pasaran untuk gas bagi sektor kuasa ialah RM47.42 setiap MMBtu dan PETRONAS membeli kira-kira 36 peratus daripada gas di luar Malaysia.

"Menanggung subsidi gas akan membataskan keupayaan Petronas untuk menyumbang dari segi dividen dan cukai korporat serta mengehadkan kelebihannya untuk melabur semula bagi mengekalkan aliran pendapatan masa depan," katanya. –- BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Semakan tarif kerana kenaikan harga gas

Posted: 30 May 2011 04:44 PM PDT

Nasional

BILAKAH tarif elektrik yang baru akan berkuat kuasa?
Tarif elektrik yang baru akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2011. Semasa tempoh peralihan, iaitu dalam bulan pertama kadar tarif baru berkuat kuasa, bil elektrik akan dikira berdasarkan kaedah prorata. Dengan kata lain, penggunaan elektrik sebelum tarikh kuat kuasa akan dikira berdasarkan kadar tarif lama manakala penggunaan elektrik selepas tarikh kuat kuasa adalah berdasarkan kadar tarif yang baru.
Berapakah kenaikan tarif elektrik pada semakan tarif kali ini?Kadar tarif purata akan meningkat sebanyak 7.12 peratus. Kenaikan ini disebabkan oleh:
  • Kenaikan purata 5.12 peratus disebabkan peningkatan harga gas asli kepada sektor tenaga sebanyak 28 peratus daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU)
  • Kenaikan purata sebanyak 2.0 peratus bagi menampung sebahagian daripada kenaikan kos pembekalan elektrik sejak semakan tarif asas yang kali terakhir dilaksanakan pada Jun 2006
  • Pakej ulangkaji tarif ini juga merangkumi kadar dan diskaun tambahan seperti berikut:
  • Diskaun 10 peratus ke atas bil elektrik bulanan yang sedang dinikmati sekolah dan institusi pengajian tinggi Kerajaan, rumah ibadat dan badan kebajikan yang berdaftar dengan Kerajaan dikekalkan. Diskaun 10 peratus ini juga akan diberikan kepada institusi pengajian yang ditaja sebahagiannya oleh Kerajaan.
  • Pengguna Thermal Energy Storage (TES) akan menikmati kadar diskaun lebih tinggi untuk penggunaan dalam tempoh luar puncak.

Pengurangan kadar Firm Standby untuk Co-generators bagi menggalakkan inisiatif Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency) dan Demand Side Management (DSM).
Syarikat rawatan air, pengagihan air dan pembentungan akan dikategorikan di bawah Tarif Perindustrian.
Sejajar dengan Akta Tenaga Boleh Baharu yang telah diluluskan pada April 2011, Kerajaan akan mengenakan 1 peratus bagi Feed-in-Tariff (FiT) untuk Dana Tenaga Boleh Baharu (RE) yang akan berkuat kuasa mulai 1 September 2011. Dana itu akan digunakan untuk promosi dan pembangunan projek dan inisiatif berhubung Tenaga Boleh Baharu. Dana ini akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority, SEDA) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Berapakah purata kenaikan bil tarif elektrik yang dialami oleh setiap segmen pengguna?

  • Pengguna Perindustrian akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35 peratus (dalam lingkungan 6.2 peratus sehingga sekitar 10 peratus).
  • Pengguna Perdagangan akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35 peratus (dalam lingkungan 6.2 peratus sehingga sekitar 8.35 peratus).
  • Pengguna Domestik/Kediaman dengan penggunaan bulanan tidak melebihi 200kWj tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif. Pengguna Domestik/Kediaman dalam jaluran ini akan terus menikmati kadar subsidi 21.8 sen/kWj.
  • Pengguna dengan penggunaan 300kWj sebulan dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif

Dengan ini, tiada kenaikan tarif kepada 75 peratus pengguna (4.4 juta pengguna):

  • Tiada kenaikan tarif kepada Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) (3.3 juta pengguna)
  • Tiada kenaikan tarif kepada jaluran 201 – 300kWj (1.1 juta pengguna)

Apakah impak terhadap pengguna Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band)?
Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) dikekalkan pada 200kWj sebulan.
Pengguna Domestik/Kediaman dalam jaluran 1 hingga 200kWj sebulan tidak pernah mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik semasa semakan-semakan tarif sejak tahun 1997 lagi. Kira-kira 3.3 juta isi rumah akan terus menikmati kadar subsidi pada 21.8 sen/kWj. Jumlah isi rumah ini meliputi kesemua 200,000 isi rumah miskin (pendapatan tidak melebihi RM750 sebulan).

Apakah rasional utama kenaikan tarif kali ini?
Kenaikan tarif elektrik pada kali ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kenaikan harga gas asli kepada sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU mulai berkuat kuasa 1 Jun 2011.
Kenaikan harga gas asli ini adalah selari dengan keputusan Kerajaan berhubung mekanisme penetapan harga gas asli yang mana harga gas asli disemak secara berkala berpandukan kepada trend harga pasaran semasa.
Memandangkan 50 peratus daripada campuran kos bahan api (fuel cost mix) untuk pembekalan elektrik adalah daripada gas asli (TK2010), pertambahan kos bahan api disebabkan oleh semakan harga gas ini menyumbang kepada kenaikan tarif elektrik pengguna.
Salah satu komponen utama lain dalam kos bahan api TNB ialah kos arang batu ( 48.3 peratus daripada campuran kos bahan api pada TK2010).
TNB hanya mendapat balik sebahagian daripada kos pembelian arang batu kerana semakan tarif kali ini masih berdasarkan kepada harga arang batu pada USD85/tan CIF (CV5500 kcal/kg) (sebagaimana harga yang digunapakai semasa semakan tarif pada Mac 2009) walaupun harga purata arang batu bagi enam bulan pertama TK2011 adalah USD100/tan CIF dan pada ketika ini harga arang batu adalah sekitar USD 120/tan CIF.

Nota: CIF: Cost, Insurance & Freight

Ketika pengumuman keputusan kewangan baru-baru ini, TNB telah mencatatkan keuntungan. Mengapakah TNB masih memerlukan semakan tarif asas?
Kali terakhir semakan tarif asas dibuat ialah pada Jun 2006. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos pembekalan elektrik mengalami peningkatan terutama disebabkan kos yang di luar kawalan termasuklah kos modal, peralatan dan bahan, inflasi, kos pertukaran wang asing dan kos pembangunan infrastruktur pembekalan elektrik.
Pada ketika ini, pulangan (Return on Ratebase, RoRB) TNB adalah jauh lebih rendah daripada kos modalnya (Weighted Average Cost of Capital, WACC) dan dijangka akan terus merosot sekiranya tarif asas semasa dikekalkan. Semakan tarif asas diperlukan untuk memastikan supaya Industri Pembekalan Elektrik di Malaysia terus berdaya maju.
Pinjaman TNB pada masa kini adalah tinggi sekitar RM21.3 bilion pada 2010. TNB juga memerlukan perbelanjaan modal sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun untuk pembangunan infrastruktur pembekalan elektrik pada masa hadapan.

Adakah Kerajaan akan terus memberikan rebat elektrik kepada pengguna Domestik/Kediaman yang menggunakan elektrik kurang daripada RM20 (bersamaan dengan 91.7 kWj) sebulan?
Rebat daripada Kerajaan kepada pengguna Domestik/Kediaman yang menggunakan elektrik sehingga RM20 sebulan akan dikekalkan sehingga 31 Disember 2011.

Mengapa TNB masih menggunakan arang batu sedangkan harga arang batu terus meningkat?
Di bawah Polisi 5- Bahan Api Kerajaan, TNB perlu mempelbagaikan sumber bahan api dan ini termasuklah dengan menggunakan arang batu sebagai salah satu opsyen. Ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan TNB kepada gas asli kerana sumber itu semakin menyusut. Di samping itu, polisi untuk mempelbagaikan sumber bahan api adalah bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga jangka panjang untuk negara.
Keputusan Kerajaan untuk membina loji janakuasa berasaskan arang batu telah dibuat pada awal 1980-an yang pada ketika itu harga arang baru adalah lebih rendah. Walau bagaimanapun peningkatan permintaan komoditi sejak akhir-akhir ini telah menyaksikan peningkatan harga komoditi (arang batu dan lain-lain) sehingga ke paras yang tinggi.

Mengapa TNB tidak mempertimbangkan opsyen penjanaan tenaga yang lain seperti solar, angin dan biomass?
TNB telah menjana elektrik daripada sumber bersih seperti hidro, hidro mini dan sisa-sisa buangan. Di antara projek tenaga boleh baharu (RE) utama yang bakal dilaksanakan kelak ialah projek hidro Hulu Terengganu dan Ulu Jelai dan juga loji janakuasa berasaskan biomass yang dibangunkan dengan kerjasama Felda dan juga projek pilot solar PV berkapasiti 5MW di Putrajaya.
Walau bagaimanapun, penjanaan elektrik daripada sumber RE adalah lebih mahal (iaitu tidak berdaya saing) berbanding dengan sumber konvensional terutama bagi penjanaan elektrik berskala besar. Selain daripada itu, teknologi terkini RE hanya membolehkan penjanaan tenaga dalam kapasiti dan skala yang terhad.
Adalah dijangkakan bahawa pelaksanaan mekanisme Feed-in-Tariff (FiT) kelak akan membantu perkembangan dan pembangunan penjanaan elektrik daripada sumber RE di Malaysia.

Bagaimana saya boleh menjimatkan bil elektrik?
TNB menggalakkan para pengguna untuk menggunakan elektrik secara cekap. Sebagai contoh, pengguna boleh menggunakan lampu dan peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga. Peralatan yang berkadaran kuasa tinggi seperti pemanas, penghawa dingin dan motor industri haruslah digunakan secara berhemah untuk menjimatkan tenaga. Pengguna juga disarankan untuk bertukar kepada peralatan-peralatan yang mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi.

Adakah TNB akan terus memberi diskaun kepada badan-badan kebajikan?
TNB akan terus memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada sekolah-sekolah Kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi Kerajaan, rumah-rumah ibadat dan institusi-institusi kebajikan yang berdaftar dengan Kerajaan. Di samping itu, diskaun sebanyak 10 peratus ini akan turut ditawarkan kepada institusi-institusi pengajian yang ditaja sebahagiannya oleh Kerajaan.

Mengapakah pengguna Tarif Industri Khas (TIK) mengalami peningkatan yang sedikit lebih tinggi berbanding pengguna Perindustrian biasa?
Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pemberian subsidi kepada industri secara berperingkat-peringkat. Walaupun dengan peningkatan kadar tarif yang sedikit lebih tinggi ini, pengguna TIK akan terus menikmati kadar tarif diskaun yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pengguna Perindustrian biasa. Perbandingan tarif Perindustrian di negara serantau menunjukkan bahawa tarif Perindustrian TNB yang baru ini masih lagi kompetitif.

Saya adalah seorang pengguna Co-generator. Bagaimanakah tarif baru ini memberi kesan kepada saya?
Untuk tarif elektrik yang baru ini, kadar baru dikenakan untuk caj Top-Up dan caj Standby. Perbezaan utama dalam tarif baru ini ialah tiada lagi caj-caj Firm dan Non-Firm untuk Standby sebaliknya hanya satu caj Standby sahaja akan dikenakan.

Kadar Standby yang baru (seperti 1 Jun 2011) akan dikenakan kepada pengguna-pengguna berikut:

  • Semua Co-generator yang baru; dan
  • Co-generator sedia ada yang berhasrat untuk bertukar kepada kadar Standby yang baru ini.

Bagi Co-generator sedia ada yang ingin mengekalkan kadar Standby (Firm dan Non-Firm) seperti sebelum ini, mereka akan dikenakan kadar Standby (Firm dan Non-Firm) sebagaimana sebelum ini bersama-sama dengan kadar Top-Up yang baru (bermula 1hb Jun 2011).

Apakah Feed-in-Tariff?
Feed-in-Tariff (FiT) akan diperkenalkan untuk mempromosi pembangunan Tenaga Boleh Baharu (RE) di Malaysia berkuatkuasa 1 September 2011.
Kutipan FiT akan digunakan untuk membiayai Dana RE yang akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority, SEDA) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. SEDA adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal berkaitan RE dan FiT di Malaysia.
Dana RE itu akan digunapakai untuk merangka kadar-kadar FiT yang cukup menarik untuk menggalakkan syarikat dan pihak individu melabur dalam penjanaan daripada Sumber Tenaga Boleh Baharu. Walau bagaimanapun, FiT bukanlah bertujuan untuk membolehkan pemaju-pemaju RE mengaut keuntungan berlebihan. Ia sebaliknya adalah untuk mengatasi halangan-halangan pasaran supaya rakyat boleh bersama-sama Kerajaan menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau, dalam masa yang sama dapat menjamin tahap keselamatan pembekalan elektrik negara di samping menjana peluang ekonomi baru.

Apakah tujuan pelaksanaan FiT?
Pada ketika ini, penjanaan elektrik daripada sumber RE adalah sangat mahal dan tidak kompetitif berbanding loji janakuasa berkapasiti besar yang menggunakan sumber konvesional bahan api fosil. Kos per unit yang lebih tinggi ini menyebabkan pelaburan dalam RE tidak menarik minat para pelabur dan utiliti elektrik.
Pelaksanaan FiT bertujuan menggalakkan pertumbuhan RE di Malaysia. Kutipan FiT ini akan digunakan untuk memberi subsidi perbezaan harga antara kadar tarif premium dengan harga jualan seunit elektrik yang pada ketika ini dinikmati oleh pemaju-pemaju RE di bawah program REPPA (harga jualan maksimum pada 21 sen/kWj).
Mekanisme FiT telah dilaksanakan dengan jayanya di negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol dan telah dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan RE di negara-negara tersebut.

Apakah itu mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass-Through, FCPT)?
Kerajaan akan memperkenalkan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass-Through, FCPT) bagi sektor pembekalan elektrik.
Mekanisme FCPT membolehkan utiliti elektrik memindahkan kos bahan api untuk penjanaan elektrik yang disebabkan oleh ketidaktentuan harga bahan api (gas asli dan arang batu) kepada para pengguna dengan menaikkan atau menurunkan tarif elektrik. Pertambahan kos bahan api disebabkan oleh kenaikan harga bahan api akan menyebabkan tarif elektrik meningkat. Sebaliknya penurunan/penjimatan dalam kos bahan api akan dipulangkan kembali kepada para pengguna dengan pengurangan tariff elektrik. Mekanisme ini telah digunapakai oleh utiliti-utiliti di banyak negara seperti Singapura, Thailand, Filipina, Jepun, USA (contohnya Florida) dan Eropah.
Mekanisme FCPT akan dilaksanakan setiap enam (6) bulan sekali selari dengan kajian semula harga gas asli setiap enam (6) bulan yang mana turut mengambil kira harga pasaran arang batu dan minyak semasa.

Bagaimanakah tarif elektrik yang baru ini dapat menggalakkan lagi Teknologi Hijau?
Pengguna Thermal Energy Storage (TES) ditawarkan kadar diskaun yang lebih tinggi untuk penggunaan elektrik luar puncak (kadar diskaun meningkat daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj).
Selain daripada itu, kadar Firm Standby untuk Co-generator dikurangkan bagi menggalakkan inisiatif-inisiatif penggunaan Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency, EE) dan Demand Side Management (DSM). Pengurangan kadar Firm Standby adalah daripada RM25/kW sebulan kepada RM12/kW sebulan (bagi pepasangan Co-generator Voltan Tinggi) dan RM14/kW sebulan (bagi pepasangan Co-generator Voltan Sederhana).

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

jiji

Kenapa semua harga barangan kita harus berbanding dgn negara jiran??? Adakah negara jiran guna nilai RM jugak...?????

Yangretibase

Rakyat terima sajalah apa jua keputusan kerajaan. Rakyat yakin rakyat didahulukan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan