Utusan Online - Dalam Negeri |
- Jangan lupa tradisi silam - PM
- Isu bertindih: China digesa lebih sensitif
- Muhyiddin gesa rakyat semarakkan kerja amal
Jangan lupa tradisi silam - PM Posted: Jangan lupa tradisi silam - PMOleh METRA SYAHRIL MOHAMED KUALA LUMPUR 30 Mei - Rakyat berbilang kaum diingatkan untuk tidak melupakan adat dan tradisi silam yang telah lama bersulam dalam jati diri bangsa Malaysia. Sebaliknya, ujar Datuk Seri Najib Tun Razak, ia perlu sentiasa diingati walaupun Malaysia kini sedang mengejar transformasi untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju. Mengambil contoh Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak yang akan disambut sebahagian besar penduduk di Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri berkata, kekayaan warisan negara itu seharusnya dihayati bersama. ''Tibalah masanya pada tahun ini, sebahagian besar rakyat Malaysia dari negeri-negeri paling jauh di timur menyambut dua perayaan yang begitu unik di wilayah Borneo. ''Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak disambut oleh masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak di Malaysia dan tidak di tempat-tempat lain di dunia ini. ''Tatkala kita berusaha mentransformasi untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya, janganlah kita lupakan tradisi zaman berzaman yang telah begitu lama tersulam indah dalam jati diri kita sebagai satu bangsa,'' katanya. Beliau berkata demikian menerusi entri bertajuk 'Perayaan Malaysia yang unik' di blognya di http://www.1malaysia.com.my. Jelas Najib, Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak merupakan sebahagian daripada pelbagai perayaan yang mampu membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempamerkan kepelbagaian budaya serta etnik kepada dunia. ''Ia bermula dengan kita di tanah tempat tumpah darah kita sendiri, menghayati kekayaan warisan negara. ''Kepada rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak, saya harap anda dapat berkongsi budaya anda dengan megahnya dan membuka pintu anda kepada rakan-rakan senegara dari Semenanjung,'' katanya. Beliau turut meminta penduduk dari Semenanjung agar mengambil peluang daripada perayaan itu untuk saling mengenali dengan lebih mendalam. ''Akhir sekali, saya mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut kedua-dua perayaan ini 'kotobian tadau tagazo do Kaamatan' (Selamat menyambut Kaamatan) dan Selamat Hari Gawai, 'gayu guru gerai nyamai' (semoga panjang umur, diberikan kesihatan dan kemakmuran),'' tambahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Isu bertindih: China digesa lebih sensitif Posted: Isu bertindih: China digesa lebih sensitif
KUALA LUMPUR 30 Mei - Malaysia meminta China supaya sensitif dengan kegelisahan negara-negara ASEAN terhadap pembangunan ketenteraannya, khususnya dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, China selaku kuasa besar perlu menggunakan pengaruh dan kekuatan ketenteraan mereka dengan bijaksana di rantau ini, memandangkan ASEAN adalah negara sahabat. "Pembangunan China yang terlalu pantas khususnya dalam aspek ketenteraan telah meningkatkan kegelisahan di kalangan negara anggota (ASEAN) di rantau ini sehingga berlaku banyak perbincangan mengenainya. "Namun, saya yakin Beijing tidak akan merosakkan hubungan baik dan kepercayaan ASEAN terhadap negara kuasa besar ini dan ia terbukti apabila China mahu berkerjasama dalam isu Laut China Selatan," katanya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-25 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini. Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan hadir pada majlis itu, selain Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan; Pengerusi ISIS, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) ISIS, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin. Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, di sebalik kegelisahan tersebut sebenarnya hubungan antara ASEAN dengan Beijing semakin kukuh sehingga banyak manfaat ekonomi diperoleh hasil limpahan pertumbuhan ekonomi China. Malah katanya, negara kuasa besar itu terbukti rakan yang boleh diharap dan dipercayai apabila banyak membantu ASEAN keluar daripada krisis ekonomi yang melanda dunia pada 1998. Menyentuh mengenai krisis antara Thailand dan Kemboja, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia mengalu-alukan kesudian kedua-dua negara untuk menyelesaikan masalah tersebut secara aman. Katanya, masalah perebutan di kawasan kuil purba Preah Vihear sehingga menyaksikan pertempuran antara kedua-dua negara itu menyebabkan ASEAN berdepan cabaran bagi mencari formula penyelesaian. "Kita mempunyai kewajipan moral untuk memberi contoh kepada rakan ASEAN bahawa penggunaan elemen ketenteraan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan sengketa antara negara anggota," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Muhyiddin gesa rakyat semarakkan kerja amal Posted: Muhyiddin gesa rakyat semarakkan kerja amalKUALA LUMPUR 30 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan setiap anggota masyarakat khususnya badan korporat untuk terus menyemarakkan kerja-kerja amal dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia perlu bagi memastikan golongan berkenaan mampu hidup selesa seperti dinikmati mereka yang berkemampuan. Jelas beliau, dalam mengejar pembangunan material dan sosial, golongan kaya dan berada perlu sedar bahawa masih ada pihak yang memerlukan bantuan serta sokongan. ''Di negara ini, semangat untuk berkorban dan menghulurkan sumbangan di kalangan rakyat adalah sesuatu yang amat dibanggakan. ''Sebagai contoh, dalam bencana tanah runtuh yang menyaksikan 16 nyawa terkorban di sebuah rumah kebajikan dan anak-anak yatim di Hulu Langat, baru-baru ini, ramai yang secara spontan tampil hulur bantuan. ''Kita rasa bertuah kerana gerakan kerja-kerja kebajikan dapat dilaksana dengan berjaya. Ini perlu disemarakkan lagi tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika berucap pada Malam Penghargaan Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) 2011 di sini malam ini. Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Presiden TSMCG, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas. Pada majlis tersebut, TSMCG menghulurkan sumbangan sebanyak RM160,000 kepada beberapa rumah kebajikan, anak yatim, pelajar miskin dan individu yang memerlukan bantuan. Muhyiddin yang juga Pengerusi TSMCG berkata, badan amal tersebut yang telah ditubuhkan sejak 11 tahun lalu akan terus bergiat aktif untuk pembangunan rakyat. ''Kita sudah pun melancarkan pembinaan pusat dialisis di ibu negara dan selepas itu mungkin di Putrajaya dan Pagoh, Johor. Ia akan menjalankan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang berkelayakan. ''Ini adalah usaha kita bersama dan terima kasih kepada mereka yang telah menghulurkan penajaan bagi penubuhan pusat dialisis tersebut," tambahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan