Rabu, 25 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Belia melakar sejarah zaman

Posted:

Belia melakar sejarah zaman

Belia melakar sejarah zaman

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MARK Zuckerberg melakar sejarah apabila mencipta laman sosial facebook yang mendapat sambutan luar biasa dari segi kegunaannya.

Tentu sekali anak muda ini tidak boleh melupakan peristiwa sewaktu berada di alam persekolahan apabila individu terkaya di dunia, Bill Gates menawarkan satu juta dolar kepadanya. Dan orang lain akan mengingati peristiwa itu kerana dia menolaknya.

Namun dengan penciptaan facebook, dalam usia 26 tahun, Zuckerberg muncul sebagai orang ke-35 paling kaya di dunia dengan nilai AS$6.9 bilion (lebih dari RM20 bilion). Inilah yang dikatakan belia yang telah melakar sejarah - meninggalkan kesan yang besar bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi kepada dunia.

Zuckerberg adalah contoh terbaik individu dalam kategori belia diungkapkan oleh Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan apabila bercakap tentang topik Himpunan Sejuta Belia yang akan berlangsung di Putrajaya hujung minggu ini.

Sohaimi, 42, menarik perhatian bahawa untuk melakar sejarah, ia mestilah bermula dari alam belia.

"Ia tidak semestinya di alam persekolahan, tetapi langkah mesti dibuat apabila sahaja kita memulakan kehidupan sebagai belia. Ya, definisi belia ialah remaja seawal usia 15 tahun dan paling tua ialah 40 tahun, namun kekuatan mental dan fizikal yang bermula di awal usia 20-an adalah masa yang paling sesuai untuk melakar sejarah kehidupan," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi anak muda dalam lingkungan belia dan remaja, kata Sohaimi, mereka mempunyai tenaga. Mereka mempunyai akal dan fizikal yang mantap bagi mempertahankan idealisme mereka.

"Ini adalah zaman yang paling sesuai untuk melakar sejarah bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.

"Setelah usia meningkat, fizikal akan menjadi semakin lemah, daya berfikir menjadi semakin perlahan dan dalam teori kreativiti manusia, yang tinggal hanya dua peratus. Apakah yang boleh dibuat oleh orang yang melampaui usia belia?" soal Sohaimi.

Bagi Sohaimi, jihad yang paling besar dan berkesan di zaman ini ialah jihad ekonomi. Anak-anak bangsa mesti berjuang untuk memantapkan ekonomi dan diri yang seterusnya akan membantu memantapkan ekonomi bangsa dan negara.

"Siapakah orang yang kita boleh harapkan untuk memperjuangkan agenda bangsa, kalau tidak dari kalangan belia?

Mereka sahaja yang boleh melakar sejarah besar yang sedang kerajaan gerakkan kini sebagai kesinambungan perjuangan pahlawan dahulu," kata beliau.

Sohaimi memberi contoh, selain Zuckerberg, ramai lagi golongan muda belia yang boleh dibanggakan. Tidak terkecuali belia tempatan. Beliau menyorot perkembangan "Restoran Sekinchan Ikan Bakar" yang diterajui seorang anak muda, Datuk Jamal Md. Yunos yang secara kebetulan berada dalam industri makanan dan restoran.

Bermula dengan kegiatan perniagaan menyediakan khemah untuk majlis-majlis keraian, ia bertukar menjadi saudagar ikan bakar. Kalau dikira dari segi membakar dan memasak makanan sebegitu yang dikira tradisional, tentulah orang tua, yang mahir dan pakar, tetapi kenapa anak muda yang menjalankan perniagaan ini?

"Pertamanya untuk menjalankan perniagaan sebegitu memerlukan tenaga, keduanya, yang paling penting ialah memerlukan kreativiti.

"Kedua-duanya ada pada belia, dan kebetulan belia tersebut ialah Datuk Jamal - orang yang telah melakar sejarah. Seorang rakan saya pernah berseloroh, "Sekinchan Ikan Bakar membuka cawangan baru setiap minggu," katanya.

Sekali lagi, beliau menarik perhatian tentang seorang lagi belia contoh iaitu Pengarah Urusan Sani United Sdn. Bhd. (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh yang membuka syarikat pengangkutan Bas Sani Ekspres. Ceritanya, Wan Mohammad Sani pernah bankrap dan beberapa kali jatuh dalam perniagaan.

"Tetapi usia mudanya ada satu kelebihan. Beliau masih mampu dan bertenaga untuk bangkit kembali dalam melakar sejarah dan saya percaya ini adalah sejarah bangsa.

"Kini syarikat bas Sani Ekspres boleh bergaya dengan pemilikan sebanyak lebih daripada 50 buah bas dua tingkat yang canggih teknologinya dan telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Muda oleh dua buah institusi pendidikan, iaitu Universiti Malaya dan Kolej Poly-Tech Mara," kata Sohaimi lagi.

Ramai lagi anak-anak muda kita yang telah melakar sejarah baik di dalam atau di luar negara. Jika pada zaman dahulu mereka muncul sebagai pahlawan perang yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir dalam menegakkan maruah bangsa. Kini, mereka di arena sendiri yang kadang kala pentasnya tidak mereka faham.

Kita melihat sekarang kebanyakan anak muda menjadi begitu taksub dengan gajet komputer, permainan siber dan facebook. Kenapa tidak di dalam berseronok dan bersuka-ria itu, kita tanamkan sedikit wawasan untuk mencipta kewangan.

Bagaimana Irfan Khairi dan Azizi Ali menggunakan kemudahan internet dalam mencipta wang. Ia tentu sekali bermula dengan keseronokan berdepan dengan komputer sehingga mereka berupaya melakar sejarah mencipta wang untuk mereka.

Menurut pakar kanak-kanak, golongan itu memang dilahirkan kreatif. Tetapi apabila mereka tamat pengajian di universiti, kreativiti mereka hanya tinggal 25 peratus. Dan apabila mereka tamat perkhidmatan, kreativiti mereka paling tinggi pun masih ada cuma dua peratus sahaja. Ini bermakna untuk seseorang melakarkan sejarah dalam kehidupan mereka, ia hanya boleh berlaku dalam usia muda.

Pada masa zaman kanak-kanak, walaupun kreativiti seseorang itu tinggi tetapi kemampuan fizikal dan mental terbatas. Mereka tidak mampu menolak sergahan orang yang lebih dewasa daripada mereka. Sebab itu kanak-kanak gagal melakarkan sejarah mereka.

Contoh yang paling tepat ialah peristiwa Hang Nadim dibunuh kerana cuba menunjukkan kebijaksanaannya menggunakan batang pisang bagi menangani masalah serangan ikan todak di pantai Singapura pada zaman dahulu.

Sohaimi sekali lagi menarik perhatian bahawa masa kini adalah era teknologi dan dunia tanpa sempadan.

"Leftenan Muda Adnan Saidi menjadi wira negara dan meninggal dunia dibunuh askar Jepun dalam usia 28 tahun, begitu juga Datuk Sagor Pasir Salak dikatakan mati di tali gantung pada usia yang muda kerana menentang Inggeris.

"Para pejuang yang lahir di zaman era perjuangan bersenjata adalah dari golongan muda dan remaja. Mereka mencipta sejarah yang sukar dinukil dengan kata-kata, tetapi sejarah itu tetap terpahat dalam khazanah bangsa.

"Tidak ada lagi perjuangan bersenjata yang senang untuk dimenangi, semuanya menjadi canggih dan sofistikated, seolah-olah ilmu adalah punca segala kuasa," kata beliau.

Kata Sohaimi: "Masa yang ada amat singkat, usia remaja adalah terbatas dan masa ini sahaja kita mempunyai tenaga dan daya pemikiran yang kreatif untuk melakar sejarah bangsa. Belia tidak sepatutnya menjadi generasi yang berpeleseran tanpa arah dan tujuan."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Obama kecewakan masyarakat Islam

Posted:

Obama kecewakan masyarakat Islam

Obama kecewakan masyarakat Islam

Oleh Azmi Hassan

SALAH satu sebab mengapa ucapan Presiden Barack Obama mengenai Asia Barat dan Afrika Utara minggu lepas dianggap begitu penting adalah kerana ia mungkin boleh dijadikan asas dasar luar Amerika Syarikat (AS) dalam hal ehwal kedua-dua rantau tersebut.

Semenjak revolusi rakyat Arab melanda Tunisia dan Mesir, kedudukan AS sebagai pendokong demokrasi jatuh merudum kerana kegagalan bertindak mengikut arus revolusi tersebut.

Tambahan pula AS yang dilihat begitu berwaspada dan kadang kala terkeliru apabila berhadapan dengan gelombang yang serupa melanda Libya, Bahrain, Yemen dan Syria. Kenyataan dasar Obama tersebut sememangnya dinanti-nantikan setelah hampir dua tahun ucapan bersejarah beliau di Kaherah mengenai isu hubungan AS dengan dunia Islam berlalu tanpa sebarang kemajuan.

Mungkin ramai yang merasa agak kecewa dengan ucapan terbaru Obama kerana tiada dasar atau strategi baru yang direncanakan oleh beliau untuk membuktikan kepada dunia Islam bahawa AS kini sedang berusaha untuk berlaku lebih adil.

Seperti mana ucapan beliau di Kaherah pada 2009, ucapan terkininya yang mengandungi 5,400 patah perkataan banyak berkisar kepada harapan, iaitu tema yang begitu gemar dimainkan Obama.

Tetapi satu perkara yang agak menarik adalah apabila Obama menyentuh proses damai Palestin-Israel dengan menegaskan garis sempadan sebelum perang 1967 perlu digunakan sebagai asas dan diikuti dengan pertukaran kawasan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.

Memang benar tiada yang baru apa yang dihasratkan oleh Obama kerana bekas Presiden Bill Clinton juga menggunakan asas yang serupa ketika perbincangan di antara Ehud Barak dan Yasser Arafat di Camp David pada tahun 2000.

Begitu juga dengan bekas Presiden George W. Bush, walaupun beliau tidak begitu mengambil berat tentang proses damai, tetapi menggunakan dasar garis sempadan 1967 dalam setiap perbincangan dengan Perdana Menteri Israel iaitu Ariel Sharon dan Ehud Olmert.

Perlu ditekankan penggunaan garis sempadan 1967 adalah penting kerana ketika Perang Enam hari yang bermula 5 Jun dan tamat pada 10 Jun 1967, Israel telah merampas Semenanjung Gaza dan Sinai dari Mesir, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dari Jordan dan Golan Heights dari Syria.

Apa yang menjadikan kenyataan Obama lebih menarik ialah jika selama ini Clinton dan Bush menggunakan asas sempadan 1967 hanya secara tersirat, tetapi Presiden terbaru AS ini menyatakan pendirian tersebut secara tersurat untuk tatapan masyarakat antarabangsa.

Sebab itu agaknya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dari awal lagi menolak cadangan Obama itu dengan memberi alasan bahawa sempadan sedemikian rupa bakal memberi ancaman kepada Israel.

Pertemuan antara Obama dan Netanyahu yang berlangsung sehari selepas ucapan Obama seperti yang dijangkakan tidak menghasilkan sebarang persetujuan.

Netanyahu begitu angkuh berani menempelak cadangan Obama secara terbuka kerana beliau akur bahawa Presiden AS tidak mampu bertahan lama tanpa sokongan daripada masyarakat Yahudi Amerika. Tambahan pula Obama baru sahaja mengisytiharkan akan bertanding jawatan Presiden untuk penggal kedua.

Sokongan masyarakat Yahudi adalah kritikal kerana kumpulan tersebut merupakan penyumbang terbesar kepada dana kempen Obama.

Jika ketegasan Obama mempertahankan dasar beliau begitu terserlah ketika pertemuan dengan Netanyahu, tetapi akhirnya beliau terpaksa akur dengan pengaruh masyarakat Yahudi Amerika. Ketika berucap di hadapan penyokong pertubuhan pelobi Yahudi (AIPAC), Obama menegaskan bahawa cadangan sempadan 1967 itu telah disalah tafsir.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Obama adalah Israel tidak semestinya terpaksa menyerahkan kembali semua penempatan haram yang dibina di Tebing Barat. Begitu juga dengan Golan Heights tidak semestinya akan dipulangkan kepada Syria. Baitulmaqdis Timur yang diidamkan oleh rakyat Palestin untuk menjadi sebahagian negara Palestin yang merdeka juga bukannya sesuatu yang tidak boleh diubah.

Ucapan Obama di hadapan penyokong AIPAC mendapat tepukan gemuruh kerana sekali lagi dibuktikan bahawa tidak kira siapa yang mendiami White House, Washington sama sekali tidak akan mengabaikan kepentingan Israel.

Obama menegaskan selagi keselamatan Israel tidak terjamin, maka garis sempadan 1967 boleh dipinda sehingga matlamat tersebut tercapai.

Masyarakat antarabangsa agak kecewa dengan pendirian berdolak-dalik dan kurang tegas Obama akibat tekanan Yahudi Amerika. Sebenarnya saranan supaya sempadan 1967 digunakan sebagai asas rundingan bukan sesuatu yang melampau kerana Resolusi 242 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memberi maksud yang serupa, iaitu Israel hendaklah menyerahkan kembali semua wilayah yang ditakluk semasa perang 1967.

Sememangnya ada kebenaran tentang tuduhan Bush yang tidak mengambil kisah mengenai proses rundingan damai yang mengakibatkan tiada kemajuan selama lapan tahun era White House beliau. Tetapi lain pula dengan Obama walaupun dilihat begitu mengambil berat mengenai kemelut Palestin-Israel, tetapi sebenarnya apa yang selama ini diusahakan oleh beliau hanya berlandaskan harapan dan bukannya ketegasan.

Sudah acap kali Obama mengecewakan umat Islam bermula dengan ucapan beliau di Kaherah sebaik sahaja dilantik menjadi Presiden AS. Begitu juga apabila berhadapan dengan revolusi rakyat Arab, Obama mengamalkan demokrasi terpilih. Persetujuan di antara Hamas dan Fatah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan Palestin tidak disambut oleh Obama malah diperlekehkan pula. Kemuncaknya adalah Obama sekali lagi mempermainkan harapan rakyat Palestin apabila berhadapan dengan isu garis sempadan 1967.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG),

Universiti Teknologi Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan