Berita Harian: Mutakhir |
Insentif diberikan kepada pihak yang bina bangunan hijau Posted: 31 May 2011 02:07 AM PDT Mutakhir PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan lebih banyak bangunan hijau dibina di negara ini memandangkan ia dapat menjimatkan kos serta menjamin kualiti alam sekitar lebih baik.Katanya, kerajaan akan meneliti bentuk insentif kepada pihak yang berminat membina rumah dan bangunan berkonsepkan Indeks Bangunan Hijau (GBI) sebagai galakan. "Kita mungkin tawarkan insentif pada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam pembinaan ini supaya lebih ramai lagi terbabit dalam program seperti GBI. "Ciri-ciri reka bentuk dan penggunaan teknologi yang membolehkan penjimatan tenaga sehingga 60 peratus dan penjimatan air sehingga 65 peratus ini seharusnya dijadikan contoh untuk dilaksanakan dalam projek-projek pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Berlian dan sambutan 10 Tahun Penubuhan Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Muhyiddin berkata, Bangunan Berlian itu adalah bangunan canggih kerajaan yang mengguna pakai konsep bangunan hijau yang mempunyai penggunaan sumber tenaga dan air yang cekap berbanding bangunan konvensional lain. Bangunan itu juga ditauliahkan sijil Platinum GBI dari Malaysia serta Sijil Platinum "Green Mark" iaitu penarafan bangunan hijau yang digunakan di Singapura.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Mahkamah putuskan saman perintah peguam hadir bicara JKHK DUN Selangor terbatal Posted: 31 May 2011 01:58 AM PDT Mutakhir SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan bahawa saman yang memerintahkan peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun hadir pada perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk menjawab tuduhan menghina Dewan adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Hakim Datuk Zaleha Yusof juga memutuskan saman yang diterima Mohd Hafarizam pada 12 April lalu adalah ultra vires (melanggari batasan undang-undang) dan bercanggah dengan undang-undang. Beliau berkata, Mohd Hafarizam hanya menjalankan tugasnya sebagai peguam apabila menghantar surat tuntutan terhadap firma guaman yang mewakili Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan surat tuntutan itu tidak dialamatkan kepada DUN Selangor. "Adalah jelas bahawa cubaan yang didakwa itu tidak menjejaskan kuasa Dewan Undangan Negeri. Ia hanyalah surat tuntutan biasa antara dua peguam bela di bawah Aturan Profesion Perundangan (Amalan dan Etika) 1978 dan saya tidak nampak bagaimana ia menjejaskan kuasa dan hak Dewan Undangan Negeri."Jadual dalam Perkara 77, Dewan Undangan Negeri Selangor hanya memberikan kuasa kepada Dewan untuk memerintahkan seseorang untuk hadir dan memberikan keterangan atau untuk mengemukakan dokumen kepadanya dan bukan untuk menjawab pertuduhan dan saman itu jelas mengandungi pertuduhan itu," katanya dalam penghakiman ringkasnya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Azmil Muntapha Abas. Sehubungan itu, Zaleha membenarkan permohonan saman pemula yang difailkan Mohd Hafarizam, peguam yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 26 April lalu, bagi membatalkan saman JKHK. Dalam saman itu, Mohd Hafarizam menamakan DUN Selangor sebagai responden pertama, Setiausaha JKHK Mohamad Yasid Bidin sebagai responden kedua dan JKHK sebagai responden ketiga.
Selain Aisha, Mohd Hafarizam turut diwakili peguam, Wan Azmir Wan Majid sementara peguam, Morzawani Morni hadir bagi pihak defendan dan Muhammad Afiq Muhammad Noor bertindak sebagai peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia. Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, melahirkan rasa bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya. "Saya kesal dengan dakwaan bahawa saya ialah peguam UMNO kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang peguam. Saya juga kesal dengan Majlis Peguam Malaysia yang hanya bertindak sebagai pemerhati dalam kes ini. Sehingga hari ini tiada tindakan diambil oleh mereka bagi membela nasib saya," katanya. Pada 1 April lalu, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lalu kepada Teng yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak "senonoh, biadap dan mengugut". JKHK, bagaimanapun, pada 29 April lalu memutuskan untuk membebaskan Badrul Hisham daripada tuduhan menghina DUN. Pada 18 Februari lalu, Hakim Zaleha memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong. Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah. - BERNAMA
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan