Utusan Online - Pahang |
- 4,000 liter diesel subsidi dirampas
- Kenakan kompaun orang ramai buang sampah sesuka hati
- Ahli UMNO perlu transformasi diri
4,000 liter diesel subsidi dirampas Posted: 4,000 liter diesel subsidi dirampasOleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
KUANTAN 22 Mei - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas sejumlah 4,000 liter diesel subsidi bernilai RM7,200 yang diselewengkan di Hutan Simpan Maran, semalam. Bahan bakar itu ditemui berhampiran rumah kongsi pekerja yang dijadikan tempat operasi pembalakan di hutan tersebut. Menurut Pengarah PPDNKK Pahang, Mohd. Aruwan Ab. Aziz berkata, hasil pemeriksaan dibuat pegawainya bersama dua wakil syarikat teknologi nano mendapati, bekalan itu merupakan minyak diesel subsidi. "Bahan bakar itu digunakan untuk operasi pembalakan, namun ia sepatutnya tidak dibenarkan dalam sektor tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini semalam. Ekoran itu, katanya, pihak beliau bertindak menyita bekalan tersebut dan mengambil keterangan 15 pekerja yang berada di tapak pembalakan itu. Tegasnya, kesalahan itu serius kerana kerajaan mengalami kerugian besar di atas subsidi yang diberikan iaitu RM1 bagi setiap liter diesel. "Siasatan lanjut berkaitan kes itu dijalankan dan mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. Menurutnya, tindakan ke atas mereka akan diambil di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun jika didapati bersalah. | ||
Kenakan kompaun orang ramai buang sampah sesuka hati Posted: Kenakan kompaun orang ramai buang sampah sesuka hatiOleh MOHD. FAIRUZ YUSOF KEBERSIHAN Amalan Mulia. Itulah yang boleh disimpulkan dalam ruangan Dari Meja Ketua Biro minggu ini. Aspek kebersihan bukan sahaja diamalkan masyarakat Islam tetapi juga meliputi seluruh agama yang dianuti kaum lain di negara ini. Kerajaan melaksanakan pelbagai kempen kebersihan bagi mendidik masyarakat tentang pentingnya mengamalkan perkara itu kerana dapat mengelak manusia daripada dijangkiti penyakit. Topik yang dibincangkan ini boleh dikatakan antara perkara utama diberi perhatian oleh kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ini kerana ada segelintir masyarakat khususnya generasi muda kurang peka tentang amalan itu sama ada mereka tidak kisah atau buat-buat tidak tahu. Penulis ingin berkongsi bersama pembaca tentang satu kisah yang penulis alami sendiri semasa mengunjungi sebuah pasar malam di Kuantan. Pada waktu itu, penulis mahu meletak kenderaan di salah satu tempat di pasar malam tersebut. Ketika sedang menunggu berbuat demikian, terlihat dua remaja yang baru pulang membeli makanan di pasar tersebut dengan selamba melemparkan bekas minuman di dalam longkang. Terkejut juga dengan perbuatannya. Lalu penulis terfikir adakah sukar mencari tong sampah yang disediakan oleh PBT di pasar malam tersebut sehingga membuangnya ke longkang? Dari gaya pemakaian dan perwatakan, penulis percaya dua remaja terbabit adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Sudah tentu mereka telah dididik dengan aspek tersebut sejak di bangku sekolah lagi. Dalam fikiran penulis mungkin mereka sengaja membuangnya atau malas mencari tong sampah yang terdapat di kawasan tersebut. Sebagai generasi baru yang akan membentuk masa depan negara cemerlang, mereka sepatutnya menyedari perkara itu kerana ia sebahagian daripada amalan kehidupan. Bayangkan sekiranya bekas minuman itu dibuang ke longkang, sudah tentu sistem aliran air akan tersumbat yang boleh menyebabkan banjir di kawasan sekitarnya. Selain itu, ia bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan penduduk akan dijangkiti demam denggi. Pelbagai kempen dilakukan untuk menyedarkan masyarakat mengenai hal itu dan ada sebahagian masyarakat menyedarinya, tetapi ada segelintir pula tidak endah dalam hal itu. Tumpuan harus diberikan terhadap kawasan pasar malam kerana ada juga segelintir pengunjung yang membuang sampah di jalanan. Walaupun bungkusan sampah itu kecil, sepatutnya mereka boleh membuang sampah di dalam tong yang disediakan PBT. Namun, tidak ramai yang mahu berbuat demikian dan dengan sengaja membiarkan sampah itu dibuang di jalanan. Keadaan itu boleh diatasi sekiranya terdapat penguatkuasaan dilakukan dengan mengenakan kompaun terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata. Tindakan kompaun tersebut bukan perkara baru di negara ini kerana terdapat PBT di negeri lain telah memulakannya dengan mengenakan denda RM10 atau lebih terhadap individu yang berbuat demikian. Cadangan itu bukan membebankan tugas PBT, tetapi adalah untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat bahawa tindakan membuang sampah merata-rata bukan suatu sikap yang baik. Mungkin dengan cara itu masyarakat lebih berhati-hati untuk membuang sampah mereka di tempat yang sepatutnya. Secara tidak langsung masyarakat turut serta menjaga kebersihan dan bersama-sama dengan PBT untuk menjadikan kawasan mereka cantik dan bersih. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Ahli UMNO perlu transformasi diri Posted: Ahli UMNO perlu transformasi diriRAUB 22 Mei - Ahli UMNO perlu melakukan transformasi jika mahu parti itu terus kuat dan memenangi pilihan raya umum akan datang. Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, salah satu cara untuk mencapai kemenangan itu adalah dengan menghentikan sikap dan perangai buruk yang boleh merosakkan parti tersebut. "Kita tidak boleh mengharapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja untuk melakukan pelbagai transformasi dalam meneruskan perjuangan bagi memelihara nasib orang Melayu dan rakyat pelbagai kaum. "Sebaliknya, ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi juga mempunyai peranan membantu pucuk pimpinan supaya rakyat dan orang Melayu terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Kompleks Rakan Muda, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan timbalannya, Datuk Aziz Mat Kiram. Mohd. Isa berharap pemimpin di peringkat akar umbi perlu mendekati dan mendengar denyut nadi rakyat supaya mereka dapat merasai kehidupan yang lebih selesa. Sementara itu, Shahiruddin ketika berucap pada majlis itu menyeru ahli UMNO bahagian tersebut supaya tidak leka kerana daerah itu kini menjadi sasaran pembangkang. "PKR, DAP Dan Pas menyerang Parlimen Raub habis-habisan kerana mereka merasakan kekuatan BN semakin lemah. "Kita perlu bekerja keras kerana pembangkang yang bercita-cita untuk menawan Putrajaya membuat pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan