Jumaat, 20 Mei 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Johns Hopkins Malaysia tarikan luar biasa: PM

Posted: 20 May 2011 04:52 PM PDT

Nasional

     NAJIB menunjukkan  ‘The Dean’s Special Recognition Award’ yang disampaikan  Edward (tengah) pada majlis penubuhan Institut Pendidikan Perubatan Antarabangsa Johns Hopkins Dr Mohan Swami di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, semalam.

NAJIB menunjukkan 'The Dean's Special Recognition Award' yang disampaikan Edward (tengah) pada majlis penubuhan Institut Pendidikan Perubatan Antarabangsa Johns Hopkins Dr Mohan Swami di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, semalam.

Program perubatan di Serdang tumpuan rantau lain

WASHINGTON: Pembukaan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di Malaysia September ini dijangka mendapat sambutan hebat di rantau itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, institut yang akan ditubuhkan di Serdang itu dijangka menarik penuntut bukan saja dari negara di rantau itu, malah dari Asia Barat dan benua kecil India.

"Saya yakin program perubatan Johns Hopkins ini akan menjadi satu tarikan luar biasa," katanya pada satu majlis sempena penubuhan Institut Pendidikan Perubatan Antarabangsa Johns Hopkins Dr Mohan Swami di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, kira-kira sejam perjalanan dari sini. Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; ahli perniagaan, Tan Sri Mohan Swami dan ketua pegawai eksekutif universiti itu, Edward D Miller.

Program perubatan Johns Hopkins itu adalah hasil kerjasama dengan Universiti Perdana yang menawarkan hospital pengajian swasta yang mempunyai kemudahan perubatan kelas pertama. Ia dibina di Serdang oleh kumpulan Chase Perdana diterajui Mohan.

Najib berkata, beliau gembira kerana hospital itu akan mempunyai tenaga kerja bukan saja dari Baltimore, malah dari seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, pentadbiran beliau sudah merangka pelan untuk mencari dan menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut untuk pulang berkhidmat di Malaysia, pada masa sama, meningkatkan usaha ke arah latihan kemahiran.
"Inilah sebabnya saya secara peribadi amat teruja dengan perkongsian ini," katanya.

Johns Hopkins terkenal kerana merintis pelbagai hasil bidang perubatan antaranya penggunaan sarung tangan getah untuk pembedahan.

"Ini memberi kesan positif kepada industri getah di Malaysia yang kini menjadi pengeluar dan pengeksport terbesar sarung tangan getah untuk perubatan," kata Najib.

Beliau berkata, penubuhan kampus itu di Malaysia akan mendorong lebih ramai graduan terbaik dari universiti di Malaysia untuk kekal di negara sendiri kerana mereka kini berpeluang mengikuti pengajian dari sekolah perubatan terbaik di dunia dan juga menjalankan penyelidikan klinikal lanjutan tanpa perlu ke luar negara.

Mohan pula berkata, pengambilan pertama 100 penuntut adalah pada September ini dan mereka ditempatkan di kampus sementara berdekatan ibu pejabat MARDI sehingga kampus tetap siap pada 2013.

"Kita akan mengambil 75 penuntut dari Malaysia. Seramai 50 pemegang biasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dijangka belajar di universiti kami," kata Mohan yang juga Canselor pertama Universiti HIHT di India pada 2008. – BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Polis tingkat kawalan kekang kes serangan asid

Posted: 20 May 2011 04:51 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil beberapa pendekatan proaktif, termasuk menambah bilangan pegawai di lokasi yang dikenal pasti bagi mengekang kegiatan simbah cecair yang kini sebanyak 23 kes sudah direkodkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata selain itu, pihaknya juga menyebarkan maklumat kepada masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan melalui operasi yang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya sudah mempunyai maklumat tertentu berhubung kes berkenaan, tetapi tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat berikutan dikhuatiri mengganggu siasatan polis. "Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Polis Kuala Lumpur dan Selangor sudah berbincang bersama bagi mengesan individu yang mendalangi puluhan kes simbah cecair itu, namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"Hasil perbincangan berkenaan juga, polis mengambil beberapa pendekatan terbuka, termasuk menyebarkan kes berkenaan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan menambah bilangan anggota di kawasan yang dikenal pasti, selain melalui operasi," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Ismail berkata, sejak langkah itu dimulakan minggu lalu, terbukti ia berkesan apabila tiada lagi kes dilaporkan membabitkan mangsa yang disimbah cecair oleh lelaki bermotosikal.

"Bagaimanapun, sehingga minggu lalu, sebanyak 23 kes di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor direkodkan menggunakan modus operandi sama. Polis tidak berdiam diri dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan dalang kejadian itu berjaya ditumpaskan dan masyarakat berada dalam keadaan selamat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihaknya sedang berusaha menyelamatkan ahli perniagaan yang dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata di wilayah Sulu, Filipina, 8 Mei lalu.

Terdahulu, Ismail menyaksikan majlis serah tugas membabitkan Datuk Salleh Mat Rasid yang dilantik sebagai Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan Datuk Zulkifli sebagai Pengarah Logistik.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan