Jumaat, 20 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Madah berhelah Anwar berterusan

Posted:

Madah berhelah Anwar berterusan

Madah berhelah Anwar berterusan

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SESIAPA juga yang mengikuti segmen interaktif Yahoo! Malaysia Question Time menerusi platform Cover It Live, kelmarin yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi panelnya - akan membuat satu sahaja kesimpulan iaitu hujah Anwar penuh madah berhelah.

Ia kerana sepanjang tempoh interaktif itu berlangsung, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut tidak menjawab persoalan yang dikemukakan oleh orang ramai dengan jujur dan ikhlas.

Sebaliknya Anwar terus menggambarkan dirinya sebagai insan teraniaya, menjadi mangsa konspirasi, dihumban dalam penjara kerana mahu memperjuangkan keadilan dan semua sistem dalam negara ini tidak boleh dipercayai.

Malahan Anwar juga seolah-olah ingin menggambarkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejahat-jahatnya kerajaan di muka bumi Allah ini.

Ternyata sekali lagi, kita terpaksa menyaksikan gelagat madah berhelah Anwar dalam menjawab kontroversi yang melibatkan dirinya.

Bagi Anwar, kes liwat pembantu peribadinya dan rakaman video seks yang dikatakan mirip wajahnya, segala-galanya adalah konspirasi.

Malahan untuk menyelamatkan diri atau menyembunyikan kebenaran, ada ketikanya dalam interaktif tersebut Anwar membidas kembali mereka yang bertanya soalan sensitif kepadanya.

Turut diseret bagi mempertahankan dirinya ialah fatwa Dr. Yusuf Qaradawi terutamanya dalam isu liwat. Anwar juga tidak mahu mengiktiraf keputusan dua pakar luar negara yang mengesahkan rakaman video seks tersebut adalah tulen.

Jelaslah, Anwar kini semakin tersepit dan tertekan. Namun beliau masih mahu terus bersandiwara dengan menggunakan kepetahannya berhujah.

Dalam hujah-hujahnya tiada satu pun menunjukkan bahawa beliau ikhlas ingin menegakkan kebenaran, apa yang lebih ditekankannya ialah beliaulah insan yang teraniaya kononnya akibat konspirasi UMNO, Perkasa dan BN.

Tetapi apa yang anehnya, Anwar tidak pula mengemukakan bukti terhadap setiap tuduhannya kepada UMNO termasuklah dalam soal rakaman video seks tersebut.

Anwar sengaja cuba menutupi fakta sebenar bahawa rakaman itu tiada kaitan sama sekali dengan UMNO mahupun BN.

Tetapi ia adalah pendedahan orang yang pernah menjadi sahabat baiknya, Datuk Shazryl Eskay Abdullah oleh itu kenapa pula hendak dikaitkan dengan kedua-dua pihak tersebut?

Kalau Anwar begitu yakin bahawa dirinya teraniaya kenapa beliau tidak mahu melaksanakan empat perkara yang boleh membersihkan namanya seperti mana dicadangkan oleh bekas rakan seperjuangannya dalam PKR iaitu Senator Ezam Mohd. Noor.

Empat perkara tersebut ialah sumpah laknat, menjalani ujian poligraf bagi membuktikan dirinya tidak berbohong, menyaman Shazryl Eskay Abdullah dan tuduh Shazryl Ezkay sebagai pembohong.

Namun Anwar tidak mahu melakukan perkara itu biarpun dalam interaktif tersebut beliau antara lain ketika ditanya buku apa dan tulisan siapa yang paling banyak mempengaruhi beliau dengan penuh bangga menjawab, ''Al-Quran, kitab hadis...''

Jika benar pemikiran Anwar dipengaruhi oleh al-Quran dan hadis kenapa takut jika berada di pihak yang benar.

Tidakkah Anwar memahami hadis Qudsi yang mana Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan-Ku, Aku akan tolong orang yang teraniaya itu dalam waktu dekat."

Malahan Allah juga berjanji bahawa doa orang teraniaya tidak ada hijab antaranya dengan Allah SWT.

Oleh itu kenapa Anwar takut jika beliau begitu yakin dan cuba meyakinkan orang lain bahawa dirinya tidak bersalah dan semua yang berlaku adalah konspirasi politik.

Anwar sememangnya sedang berusaha menggunakan segala saluran termasuklah interaktif di Yahoo! tersebut bagi menunjukkan kepada dunia bahawa dirinya tidak bersalah.

Kita percaya gelagat Anwar dalam berhadapan isu moral melibatkan dirinya tidak akan terhenti begitu sahaja.

Ia kerana keinginan Anwar untuk menawan Putrajaya dan sekali gus meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri tidak pernah pupus.

Impian Anwar itu jelas apabila dalam interaktif itu beliau mahu orang ramai membaca buku jingga yang dikeluarkan oleh pakatan pembangkang.

Buku itu mengandungi perancangan pakatan pembangkang jika berjaya menawan Putrajaya.

Malahan Anwar juga memberikan keyakinan bahawa bukan sahaja Perak akan ditawan semula malahan Putrajaya juga akan berada dalam genggaman.

Demikianlah hebatnya mainan politik putar belit Anwar. Isu moral yang dihadapi tidak dijawab dengan telus sebaliknya cuba mengajak rakyat mempercayai pembohongannya bahawa kerajaan BN adalah dalang di sebalik apa yang berlaku ke atas dirinya.

Anwar juga menuduh pemimpin-pemimpin yang meninggalkan perjuangan PKR adalah orang yang sudah dibeli oleh UMNO biarpun hakikatnya golongan tersebut yang suatu ketika dulu sanggup menggadaikan segala-galanya demi mempertahankan beliau.

Mereka meninggalkan Anwar bukan kerana wang atau kedudukan tetapi melihat Anwar seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi Perdana Menteri.

Namun semua itu tidak diketengahkan, sebaliknya Anwar terus berbohong dan berbohong. Medan interaktif tersebut bagaikan satu lagi platform beliau untuk memutar-belitkan fakta, biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak memihak kepadanya.

Tetapi Anwar perlu faham bahawa dalam kehidupan ini pembohongan tidak akan mampu menghalang munculnya kebenaran. Kepetahan bercakap tidak selamanya mampu menutupi kebatilan dan fikiran manusia tidak selamanya boleh dikelirukan.

Jika Anwar terus mempertahankan perkara yang tidak benar, percayalah hukuman bukan sahaja datang daripada manusia tetapi lebih dahsyat daripada Allah SWT.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Isu Lynas hanya mainan politik pembangkang

Posted:

Isu Lynas hanya mainan politik pembangkang

Isu Lynas hanya mainan politik pembangkang

Oleh ABDUL HIBBAH AL-AHYA


SEBAHAGIAN daripada penduduk Kuantan yang hadir pada sesi taklimat awam mengenai status terkini projek pembinaan kilang pemprosesan bahan kimia milik Syarikat Lynas Corporation Ltd. pada 6 April lalu.


SEJAK 2009 lagi apabila bermula penentangan terhadap pembinaan kilang pemprosesan logam tanah jarang milik Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang hinggalah kini, banyak pihak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan projek ini.

Terbaru 200 orang ahli daripada parti pembangkang berhimpun secara haram di depan pejabat DAP Pahang di Jalan Beserah, bagi menyatakan bantahan terhadap projek berkenaan.

Pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berucap pada perhimpunan itu sama ada dari pusat atau peringkat negeri, menjelaskan lagi tentang sifat sebenar parti politik tersebut.

Sehari sebelum itu, pejabat-pejabat media sama ada cetak atau elektronik di negeri ini telah dihubungi untuk liputan majlis berkenaan. Menyedari kehadiran pihak media khususnya jurufoto dan jurukamera ini, pembangkang menyifatkannya sebagai satu kejayaan sementelah yang turut hadir ialah media cetak 'vernacular' yang sering memberi liputan berbaur simpati terhadap mereka.

Apabila sahaja polis mengarahkan perhimpunan haram itu dihentikan, ketika itulah juga empat orang membuat aksi meniarap mereka. Sudah tentu, itulah photo opportunity terbaik bagi pembangkang dan jurufoto. Bagi menambahkan tarikan, keempat-empat mereka ini yang ketika itu sudah pun dilihat sebagai hero, dengan sengaja bersikap degil lalu membenarkan diri untuk ditahan. Media 'vernacular' memainkan foto-foto tentang kejadian meniarap itu di muka depan.

Kira-kira dua minggu sebelum itu pula, agenda politik pembangkang dalam isu Lynas ini terus menyerlah menerusi kononnya sesi penerangan umum di sebuah restoran di Teluk Chempedak. Pada majlis inilah beberapa penduduk dari Bukit Merah, Ipoh, Perak dan Bukit Koman, Raub turut dibawa sebagai bahan bukti.

Penduduk dari Bukit Merah menceritakan kononnya pengalaman perit mereka akibat radiasi daripada kilang pemprosesan logam tanah jarang dari tinggalan amang bijih timah - Asian Rare Earth (ARE) itu.

Sementara itu, dari Bukit Koman pula, menceritakan penentangan mereka terhadap kilang pemprosesan emas yang menggunakan bahan kimia sianida yang dikatakan membahayakan kesihatan.

Sedangkan, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah memberi taklimat kepada umum bahawa kandungan bahan 'thorium' yang terdapat dalam tanah jarang yang mengeluarkan radiasi di Bukit Merah adalah berbeza dengan yang ada di Lynas.

Kandungan 'thorium' di Bukit Merah itu sebenarnya, adalah 37 kali ganda lebih tinggi daripada logam tanah jarang yang dibawa dari Mount Weld, Australia Barat yang bakal diproses di kilang Lynas di Gebeng.

Apa pula kaitan pemprosesan emas menggunakan sianida di Bukit Koman dengan pemprosesan tanah jarang di kilang Lynas di Gebeng ini, tidaklah pula dapat diduga selain hanya untuk mempolitikkan keadaan khususnya menyemarakkan semangat penentangan terhadap projek Lynas ini dan secara tidak langsungnya, kerajaan.

Umum mungkin tidak menyedari betapa sejak Julai 2009 lagi, wakil-wakil rakyat daripada parti pemerintah dan pembangkang sama-sama mengikuti taklimat mengenai projek pemprosesan logam tanah jarang ini.

Taklimat pada 23 Julai, melibatkan 24 orang termasuklah keempat-empat wakil rakyat parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang meliputi dua masing-masing dari Pas dan DAP, serta ahli Parliman PKR dari Indera Mahkota dan ahli Parlimen Pas dari Hulu Langat.

Parlimen Kuantan yang wakil rakyatnya merupakan punca kepada bantahan projek Lynas ini sejak 2009, sekadar menghantar lima wakil termasuklah seorang doktor yang didakwa pernah merawat lapan pesakit leukemia kononnya akibat terkena pancaran radiasi dari kegiatan ARE di Bukit Merah.

Pada 29 Julai 2009 pula, satu taklimat khusus diberikan pula kepada 12 wakil rakyat serta kepemimpinan Pas negeri dan daerah ini yang turut termasuk wakil rakyat Pas dari Beserah dan wakil rakyat Pas Parlimen Hulu Langat.

Pada pertengahan taklimat itu, wakil rakyat Pas itu yang juga bekas pensyarah dalam bidang sains nuklear, dikatakan mengambil alih peranan bagi menerangkan lagi mengenai hal berkaitan radiasi.

Pada akhir sesi taklimat itulah, pemimpin tertinggi Pas negeri telah menemui serta berpesan kepada seorang pemimpin tertinggi Lynas agar menghubunginya jika timbul apa-apa masalah berkaitan dengan projek tersebut!

Sekiranya wakil-wakil rakyat ini ada bantahan sejak Julai 2009 lagi, kenapa mereka tidak turut melakukannya secara lantang pada lima sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang selepas taklimat Julai 2009 itu?

Kelima-lima persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berlangsung pada Ogos (pada 17 Ogos sahaja) dan November (antara 13 dan 20 November) 2009; serta pada bulan April (antara 19 dan 28 April), Ogos (pada 9 Ogos sahaja) dan November (antara 22 dan 30 November) 2010.

Ekoran laporan New York Times mengenai kononnya bahaya projek Lynas bertarikh 8 Mac lepas (2011), yang disiarkan sepenuhnya pada 10 Mac oleh akhbar The Star dan diserabutkan lagi dengan kejadian gempa bumi disusuli tsunami hingga merosakkan reaktor nuklear di Fukushima, Jepun pada 11 Mac; isu ini menjadi hangat semula.

Hanya selepas kira-kira dua tahun, barulah wakil-wakil rakyat ini bersuara lantang mempertikaikan ia pada persidangan DUN Pahang baru-baru ini yang berlangsung antara 11 dan 19 April lepas.

Maka benarlah kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa rakyat berasa terancam kerana pembinaan kilang tersebut telah disensasikan oleh pembangkang apabila dikaitkan dengan kesan kebocoran radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun akibat kejadian gempa bumi dan tsunami.

Kini, yang terperangkap di tengah-tengah mainan politik pembangkang dalam isu Lynas ini ialah segelintir penduduk termasuk badan-badan bukan kerajaan khususnya yang menggelar diri sebagai penggerak Kempen 'Stop Lynas, Save Malaysia' yang diketuai oleh Vincent Jiam, seorang pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak.

Namun, selepas menyedari isu ini semakin dipolitikkan, segera pula penggerak kempen ini cuba menjarakkan diri daripada parti politik pembangkang dengan tindakan menggugurkan frasa 'Save Malaysia' tetapi kekal dengan 'Stop Lynas' sahaja.

Ini demi membezakan kempen mereka dengan kempen pembangkang yang menggunakan kedua-dua frasa berkenaan.

"Kami tidak tahu macam mana nak panggil media (untuk liputan) pada awalnya. Sebab itu kami perlukan parti pembangkang yang lebih tahu untuk menguruskan hal-hal ini," kata seorang ahli jawatankuasa Kempen 'Stop Lynas' itu semasa penulis temui secara kebetulan di premis perniagaannya baru-baru ini.

Masyarakat atau sekurang-kurangnya penggerak Kempen Stop Lynas mulai sedar tentang agenda politik pembangkang dalam isu Lynas ini. Langkah seterusnya dan terbaik adalah menyediakan medan perbincangan dan pertemuan yang selesa bagi penggerak kempen mendapatkan maklumat sahih daripada kerajaan khususnya pengurusan Lynas tentang butiran projeknya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan