Utusan Online - Timur |
- Saya tidak simpan dendam - MB
- Cabar mat rempit sertai sukan permotoran
- Pemuda menyamar anak Exco Kelantan didakwa
Posted: Saya tidak simpan dendam - MBOleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
SETIU 20 Mei - Perpaduan di kalangan barisan kepimpinan UMNO negeri kini di tahap semakin baik dan membolehkan momentum jentera parti terus dipertingkatkan dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membayangkan keadaan itu berdasarkan kesepakatan dan kesediaan yang ditunjukkan hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bergerak bersamanya kini. "Kita sedang mempersiapkan jentera ke arah pilihan raya dan di Terengganu, usaha ini dilakukan sepanjang masa melalui pelbagai gerak kerja," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, di sini hari ini. Ahmad turut menepis gembar-gembur yang terus dimainkan setengah pihak kononnya konflik dalaman parti masih berlarutan apatah lagi ketika soal pemilihan calon semakin menjadi perhatian. Beliau menegaskan tidak berdendam dengan sesiapa sahaja yang sebelum ini dikatakan sukar menerima kepimpinannya, malah akan terus membuktikan bahawa sikap itu tiada padanya. Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, tidak timbul soal sesiapa sahaja yang dikatakan tidak disenanginya sukar berpeluang untuk kekal sebagai calon. Beliau menarik perhatian bahawa mereka yang akan dipilih bukan berasaskan pertimbangan peribadinya tetapi kepentingan rakyat, parti dan negeri. "Bagi saya tiada masalah. Perasaan saya tidak penting tetapi perasaan rakyat dan juga parti lebih penting. Kalau saya menang tetapi BN kalah buat apa," ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, keputusan itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersandarkan penilaian pelbagai bahawa bakal-bakal calon benar-benar boleh memenangkan parti. | ||
Cabar mat rempit sertai sukan permotoran Posted: Cabar mat rempit sertai sukan permotoran
HULU TERENGGANU 20 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar kalangan mat rempit menyertai sukan permotoran secara profesional bagi memenuhi minat mereka dan tidak 'membunuh diri' di jalan raya. Katanya, kerajaan negeri tidak teragak-agak menyediakan peruntukan, kemudahan dan kelengkapan sekiranya mereka mahu membuktikan kejaguhan sebenarnya dengan kejayaan yang boleh disanjung. "Tidak guna hebat beraksi di jalan raya sehingga membahayakan nyawa diri dan orang lain," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri di Padang Astaka Kuala Berang, di sini semalam. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat. Program selama dua hari itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 10,000 orang dan ia dimeriahkan dengan pelbagai kegiatan yang menarik penglibatan golongan remaja. Mengulas lanjut, Ahmad berkata, jika ramai golongan tersebut tampil menyertai sukan permotoran itu, Terengganu mungkin bakal melahirkan lebih ramai jaguh dalam sukan itu tidak lama lagi. Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian untuk membantu golongan muda agar tidak terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah. Beliau turut mengingatkan golongan belia pada masa kini perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mampu bertahan dengan pengaruh-pengaruh negatif. "Dalam aspek ini, persatuan belia memainkan peranan penting untuk menyediakan pelbagai aktiviti berfaedah kepada mereka," jelasnya. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan membina dua gelanggang futsal baru bagi setiap kawasan DUN di negeri ini untuk memudahkan golongan belia menjalankan aktiviti sukan itu. | ||
Pemuda menyamar anak Exco Kelantan didakwa Posted: Pemuda menyamar anak Exco Kelantan didakwaKOTA BHARU 20 Mei - Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anak kepada Exco Kerajaan Kelantan untuk memperdayakan seorang mangsa membabitkan kerugian bernilai lebih RM1,450 pada bulan lalu. Wan Hazrul Anuar Wan Hussein, 28, dari Taman Uda Murni di sini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Noor Haslinda Che Seman. Dia didakwa menipu dengan menyamar sebagai anak kepada Exco Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan untuk memperdaya mangsa memberikan empat rim tayar dan wang tunai RM1,450 kepadanya di hadapan Maktab Sultan Ismail, Jalan Telipot di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 26 April lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. Noor Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun ini untuk sebutan semula kes tersebut. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Pada 9 Mei lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, polis menahan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pembantu peribadi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin untuk mempengaruhi mangsanya bagi mendapatkan wang atau barangan termasuk set komputer riba. Penangkapan lelaki tersebut yang turut mendakwa sebagai ahli keluarga Takiyuddin dipercayai mampu menyelesaikan enam kes penipuan di sekitar daerah ini membabitkan kerugian bernilai RM24,000. Jelas beliau, lelaki tersebut yang berkelulusan diploma komputer dari sebuah institusi pendidikan, pernah dipenjarakan selama 36 bulan atas tiga kesalahan sama dan baru dibebaskan Ogos tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan