Utusan Online - Rencana |
Posted: Kedudukan ulama terancam?Oleh ZULKIFLEE BAKAR ''TUAN Ibrahim dah umum untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Tanda-tanda akan berakhirnya kepimpinan ulama dalam Pas.'' Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh penulis sebaik-baik sahaja seorang lagi pemimpin Pas daripada golongan ulama, Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Keputusan itu bermakna Tuan Ibrahim adalah ulama kedua yang akan mencuba nasib selepas penyandang jawatan juga dari golongan ulama, Nasharudin Mat Isa telah berbuat demikian sebelum ini. Kedua-dua ulama itu bakal 'bertarung' dengan Mohamad Sabu yang dilihat mewakili golongan profesional. Tuan Ibrahim dikatakan mendapat pencalonan yang cukup signifikan sehingga memungkinkan beliau terpaksa memikirkan kembali keputusan awalnya untuk tidak bertanding jawatan berkenaan. Seperti mana kata beliau dalam kenyataan medianya, keputusan itu kerana ''sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.'' Bagi jawatan Timbalan Presiden, Pesuruhjaya Pas Pahang itu dikatakan menduduki tempat ketiga dari segi pencalonan terbanyak selepas Mohamad Sabu dan Nasharudin manakala bagi jawatan Naib Presiden Tuan Ibrahim dikatakan mendapat pencalonan tertinggi iaitu 97 daripada 146 kawasan. Sememangnya demokrasi yang diamalkan oleh Pas memungkinkan sesiapa juga yang mendapat pencalonan berhak untuk bertanding jawatan yang dicalonkan. Tetapi apa yang menimbulkan keresahan di kalangan kelompok pro ulama dalam Pas adalah perpecahan undi yang bakal berlaku. Ia memandangkan perwakilan yang menyokong ulama akan berpecah, satu kumpulan menyokong Nasharudin dan satu lagi kumpulan menyokong Tuan Ibrahim. ''Keadaan ini akan menguntungkan calon daripada golongan pro profesional,'' kata seorang pemimpin Pas kepada penulis ketika dihubungi bagi menyatakan pandangan berhubung keputusan Tuan Ibrahim. Namun begitu, soal perpecahan undi tidak akan berlaku jika perwakilan yang menyokong golongan ulama membuat satu keputusan sahaja. Ia bermakna sama ada mereka menyokong Nasharudin atau Tuan Ibrahim mereka harus memastikan undi dilontar kepada satu calon sahaja daripada golongan ulama dan bukannya dipecah-pecahkan. Melalui cara demikian menurut pemimpin Pas tersebut ia akan mengelakkan undi golongan ulama terbahagi. ''Tetapi janganlah pula mereka melontar undi begitu sahaja tanpa memikirkan perjuangan Pas dari segi jangka masa panjang. ''Maksudnya, kedua-dua calon tersebut perlu dinilai sebaik-baiknya berdasarkan keupayaan dan pengalaman dan paling penting sejauh manakah apabila terpilih di posisi nombor dua dalam parti ia mampu menyumbangkan kepada kemantapan parti,'' kata pemimpin tersebut. Menilai perkara ini, pemerhati politik Pas berpendapat, apabila Nasharudin dipilih berganding dengan Abdul Hadi, Pas dikatakan sudah membuat persiapan untuk mengubah wajahnya daripada sebuah parti yang berimej dipimpin oleh 'tok guru' kepada ulama yang lebih moden dan terbuka. Ia memandangkan Nasharudin mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang dan fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Tetapi seandainya Tuan Ibrahim terpilih ia mungkin akan mewujudkan persepsi bahawa Pas kembali ke zaman kepimpinan ulama 'tok guru' . Namun itulah hanyalah andaian dan ia bukanlah bermakna Tuan Ibrahim tidak layak dipertimbangkan memandangkan dari segi latar belakang politik, beliau bukanlah calang-calang pemimpin. Kehadirannya pada pemilihan 2009 telah menarik perhatian ramai, sikap sederhana dan sentiasa berhemah ketika berbicara telah menerima perhatian perwakilan. Tuan Ibrahim juga dilihat tegas dalam menyatakan pendirian berhubung sesuatu isu. Selain itu salah satu perkara yang tidak boleh dipinggirkan ialah bagaimana wujudnya sentimen atau gerakan yang mahu melihat Nasharudin tidak lagi menjadi Timbalan Presiden Pas yang sekali gus akan memberi kelebihan kepada Tuan Ibrahim. Imej Nasharudin diburuk-burukkan seolah-olah beliau bagaikan 'musuh dalam selimut' bagi Pas berikutan isu kerajaan perpaduan suatu ketika dulu. Malahan Nasharudin juga suatu ketika 'tidak dibenarkan' berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai kerana dianggap 'boneka UMNO' . Sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara terbuka pernah membidas Nasharudin juga dilihat akan memberikan kelebihan kepada Tuan Ibrahim. Turut akan dimainkan dalam kempen pemilihan kali ini termasuklah bagaimana kegagalan Nasharudin memastikan Pas memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Ini belum lagi gerakan terancang oleh puak-puak Erdogan yang dibantu oleh penganalisis-penganalisis politik mereka menganjurkan pelbagai wacana bagi memburuk-burukkan gandingan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Nasharudin. Bagaimanapun Pas perlu bersedia kehilangan salah seorang daripada mereka sama ada Nasharudin atau Tuan Ibrahim atau kedua-dua sekali dalam pemilihan kali ini. Keadaan itu sudah tentulah merugikan kepimpinan ulama di dalam Pas dan sekali gus mampu mengugat kedudukan golongan itu. Sebab itulah, peranan perwakilan yang menginginkan ulama terus menjadi tunjang kepimpinan dan kekuatan Pas amat penting. Hanya mereka yang berhak membuat keputusan yang sebaik-baiknya, satu keputusan yang dibuat bukan kerana dipengaruhi emosi apatah lagi elemen-elemen luaran lain. Mereka perlu faham bahawa ada gerakan terancang untuk menamatkan kepimpinan ulama di dalam Pas dan ia dilakukan atas nama demokrasi dan reformasi. Pada masa ini di blog-blog pro Pas sudah ada suara-suara yang menuntut sudah parti itu melakukan perubahan menyeluruh dalam kepimpinannya dengan istilah, ''Membawa Pas ke amalan politik baru dan progresif. Pas yang tidak lagi menjadi parti lama; parti serban dan jubah.'' Persoalannya, apakah ia bermaksud sudah berlaku satu gerakan untuk menghakis kepimpinan ulama dalam Pas? Hanya masa menentukannya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Belia ubah wajah PutrajayaOleh ZULKIFLI JALIL dan NAZMIL NASIRUDDIN BAHANG kian terasa. Bermula dengan berentapnya ribuan pasukan futsal seluruh negara, himpunan gergasi karikatur, juga layar gergasi menayangkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Barcelona-Manchester United sehinggalah ke aktiviti sukan ekstrem dari Jepun, Sasuke serta aksi kumpulan K-pop dari Korea, Super Junior M - semuanya akan merubah santai hujung minggu anda. Ini semua boleh disaksikan di Putrajaya. Selama tiga hari bermula Jumaat ini, wajah Putrajaya akan berubah sama sekali - lari sekejap daripada urusan rutin biasa yang sibuk dengan pelbagai agensi kerajaan. Semuanya kerana sambutan Himpunan Sejuta Belia dari 27 hingga 29 Mei ini. Dalam sambutan ini nanti, beberapa lokasi akan mula menjadi tumpuan ramai. Ia melibatkan sepanjang Persiaran Perdana dimulai dari Dataran Putra, Presint 1 dekat Masjid Putra hingga Presint 20. Dalam tempoh tiga hari itu, Putrajaya akan didominasi belia dalam penyertaan lebih 200 program. Dan jika anda berkunjung ke Putrajaya saat ini, jelas kelihatan para petugas sedang sibuk memasang khemah, pentas dan gerai-gerai pameran menjelang perhimpunan tersebut. Selain itu ialah kelibat para peserta yang akan mengambil bahagian sedang giat melakukan latihan sebagai persiapan akhir. Apa yang menariknya Himpunan Sejuta Belia kali ini? Ya, sepanjang sambutan nanti, para belia akan mempamerkan potensi diri dengan menyertai acara-acara berbentuk pertandingan, persembahan, mencuba kemahiran, mencari ruang-ruang peluang pekerjaan dan pengajian serta menguji bakat masing-masing. Dalam menjayakan program itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan turun padang untuk bersama-sama golongan itu. Beliau akan menyempurnakan Kemuncak sambutan dengan melancarkan Himpunan Sejuta Belia pada Sabtu dan mengisytiharkan 2012 sebagai Tahun Belia Negara. Perdana Menteri kemudian akan melakukan lawatan dan tinjauan ke sekitar kawasan tapak pameran yang berlangsungnya pelbagai aktiviti, di samping beramah mesra dengan mereka termasuklah ke Kompleks Gelanggang Futsal di Presint 18. Pada awal pagi Ahad itu, Perdana Menteri akan turut serta bersama-sama menonton perlawanan Piala Liga Juara-Juara di layar gergasi di Dataran Putrajaya yang menyaksikan pertemuan di antara kelab Manchester United (MU) dan Barcelona. Sudah pasti ia menjanjikan satu pemandangan penuh kemeriahan dengan gegak-gempita sokongan kepada pasukan kegemaran masing-masing. Penganjuran perhimpunan tahun ini ternyata menampilkan kelainan kerana buat pertama kalinya, artis antarabangsa dari Korea Selatan, kumpulan Super Junior M dijemput hadir untuk menghiburkan para belia. Peluang tersebut tidak boleh dilepaskan terutamanya buat para peminat kumpulan itu. Justeru, silalah menghadirkan diri ke pentas persembahan di Simpang Empat berhadapan Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada malam Sabtu ini nanti. Tidak ketinggalan juga persembahan daripada artis-artis tempatan yang akan turut menggamatkan suasana sambutan Perhimpunan Sejuta Belia itu. Antaranya Fabolus Cats, One Nation Emcees, Kristal, Black dan ramai lagi selebriti tanah air. Secara keseluruhannya, aktiviti sempena Hari Sambutan Belia itu terbahagi kepada 11 segmen utama iaitu Himpunan Sejuta Belia, Modal Insan, Y-Avenue, Malaysia Cergas, MAHA Youth dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Selain itu, ia turut membabitkan aktiviti dalam segmen World Youth Fantasy & Gadget World; Y Central; Karnival Memancing Sejuta Belia; We Care, We Smart, We Young dan Karnival Belia Budaya 1 Malaysia. Kesemua segmen itu membabitkan 80 acara berbentuk pertandingan (41.4 peratus), kerohanian dan keilmuan melibatkan 93 acara (48.2 peratus). Persembahan dan pertunjukkan pula adalah sebanyak 20 acara (10.4 peratus). Aktiviti yang menjadi tumpuan antaranya adalah kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! di Presint 18 melibatkan lebih 20,000 orang akan memenuhi Kompleks Gelanggag Futsal itu. Setakat ini, sebanyak 1,624 pasukan dijadual berentap untuk merebut kejuaraan dalam beberapa kategori dengan jumlah semua hadiah terkumpul melibatkan nilai RM120,000. Selain itu, Konvoi dan Perkhemahan Transformasi Belia yang membabitkan seramai 5,000 belia dari seluruh negara pasti menjanjikan sesuatu yang menarik pada sambutan kali ini. Ia turut disertai Perkhemahan Jambori Pengakap dan Perhimpunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang masing-masing melibatkan 10,000 dan 20,000 penyertaan. KBS pada sambutan kali ini tidak ketinggalan memperkenalkan Sasuke. Sasuke adalah sebuah rancangan TV realiti sukan yang popular di Jepun dan masih bertahan kuat selepas 12 tahun. Ia adalah kali pertama Sasuke diadakan di Malaysia - negara pertama di Asia Tenggara. Dalam program ini nanti, sejumlah 100 peserta akan bersaing dalam cabaran rintangan untuk memenangi gelaran Juara Sasuke Malaysia atau pada sambutan kali ini dikenali sebagai Jaguh Malaysia. Kejohanan Larian Ekiden Run juga akan diadakan melibatkan penyertaan seramai 10,000 orang. Dalam menghangatkan lagi suasana sambutan, berbagai acara lain turut dianjurkan termasuklah pertunjukan wayang pacak; robofair Rakan Muda; himpunan gergasi karikatur; pertandingan pasukan sorak; drag kereta dan motosikal; PC fair; persembahan artis dan lelongan amal. Bagi memupuk kemahiran berniaga di kalangan belia, KBS akan menyediakan ruang niaga yang luas untuk menjual dan mempamerkan produk keluaran mereka. Jika diperhatikan, sambutan Himpunan Sejuta Belia 2011 ini dibuat dalam skala besar kerana ia melibatkan lebih 200 aktiviti berbanding hanya 88 aktiviti tahun lalu. Semua itu memerlukan pelan perancangan dan pelaksanaan yang teratur bagi memastikan segala aktiviti serta program direncanakan berjalan dengan sempurna. Penghargaan dan sokongan wajar diberikan kepada KBS yang mendapat kerjasama daripada 463 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menyertai acara Himpunan Sejuta Belia dan Sambutan Hari Belia Negara ini dalam bentuk penajaan dan sokongan moral. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan