Khamis, 26 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terselamat dari rentung

Posted: 25 May 2011 11:32 AM PDT

KLANG: Keprihatinan dan tindakan pantas beberapa jiran berjaya menyelamatkan seorang warga emas apabila rumahnya hangus terbakar dalam satu kejadian di Kampung Jalan Kebun, dekat sini, kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Khamsaton Aliman, 83, yang uzur, dikatakan tinggal bersendirian di rumahnya ketika kejadian dan dia dipapah ke surau berdekatan selepas gagal keluar dari rumahnya untuk ditenangkan saudara-mara serta jirannya.


Seorang saksi, Saharuddin Yasir, 48, berkata dia dan beberapa jiran segera memapah mangsa selepas mendapati api semakin marak memusnahkan rumah warga emas itu.

Tiga jentera bomba iaitu dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan satu dari Kota Raja, dengan kekuatan 21 anggota dan pegawai diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Hamzah Buyot bekejar ke tempat kejadian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sangkal dakwaan

Posted: 25 May 2011 11:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menyangkal dakwaan beberapa individu yang menyatakan persatuan itu terbabit menganjurkan Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan dan menjanjikan pekerjaan sebagai pengiring orang kenamaan sebaik menamatkan kursus.

Dakwaan itu timbul berikutan pendedahan 27 individu menyertai kursus berkenaan yang menyatakan ia dianjurkan sebuah syarikat keselamatan milik persatuan bekas polis.


Syarikat berkenaan juga meminta individu yang ingin menyertai kursus berkenaan supaya membayar wang yuran berjumlah RM 2,000 kononnya digunakan untuk yuran pendaftaran dan kos penginapan sepanjang kursus dijalankan.

Presiden PBPM, Shafie Bakri berkata, persatuan itu tidak pernah memiliki syarikat kawalan keselamatan seperti yang didakwa selain tidak menganjurkan kursus itu.


"Tindakan individu atau syarikat menggunakan nama persatuan untuk menganjurkan kursus berkenaan adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik persatuan.


"Saya pasti syarikat berkenaan menggunakan nama PBPM bertujuan meyakinkan orang ramai untuk menyertai kursus dianjurkan dan membolehkan mereka menerima wang RM2,000 sebagai wang yuran dan kos penginapan," katanya.

Shafie turut melahirkan rasa kecewa kerana masih terdapat individu yang begitu mudah terpedaya dengan janji dan tawaran dari pihak tertentu tanpa merujuk terlebih dulu kepada PBPM.


"Saya simpati dengan nasib yang menimpa 27 individu yang ditipu syarikat berkenaan dan berharap kejadian menjadi iktibar kepada masyarakat supaya tidak mudah tertipu.

"Saya nasihatkan sesiapa yang didatangi individu atau syarikat yang mengaku dari PBPM dan menawarkan pelbagai tawaran untuk menyertai kursus atau program supaya merujuk kepada persatuan terlebih dulu," katanya dalam sidang media di Pejabat Persatuan Bekas Polis Malaysia, di sini, semalam. Katanya, individu yang mendakwa ditipu syarikat berkenaan diminta tampil ke pejabat PBPM.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan