Rabu, 25 Mei 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


NS mahu perluas laluan komuter

Posted:

NS mahu perluas laluan komuter

NS mahu perluas laluan komuter

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Mohamad Hasan melancarkan laluan baru dari Stesen Komuter Seremban ke Stesen Sungai Gadut di Seremban, semalam.


SEREMBAN 24 Mei - Perkhidmatan komuter yang berakhir di bandar ini akan diperluaskan sehingga ke Rembau selepas kerajaan negeri mendapat maklum balas positif di kalangan rakyat yang mahukan ia dibuat segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan mengenai perkara itu sedang diperhalusi dan ia akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk dikaji.

''Kita dapati ramai juga anak negeri ini yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Rembau.

''Ada yang memandu kenderaan sendiri dan berkongsi serta menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan atau meninggalkan kenderaan mereka di Seremban dan menaiki komuter.

''Jadi, kita percaya jika komuter ini dapat diperluaskan sehingga ke Rembau, ia akan meringankan beban mereka," katanya selepas merasmikan perjalanan koc komuter dari Stesen Keretapi Seremban ke stesen komuter Sungai Gadut dekat sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.

Mohamad berkata, selepas dua stesen komuter baru dibuka iaitu di Senawang dan Sungai Gadut, ia menyaksikan penduduk sekitar tidak lagi perlu ke Seremban untuk memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur.

''Ini dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mereka boleh meletakkan kereta di kawasan meletak kenderaan yang luas di dua stesen itu dan terus menaiki komuter ke Kuala Lumpur," ujar Mohamad.

Tambahnya, dua stesen yang sudah beroperasi itu akan mengurangkan kesesakan di stesen keretapi Seremban, lebih-lebih lagi pada waktu pagi dan lewat petang.

Dalam pada itu, promosi perjalanan percuma melibatkan laluan Seremban ke Sungai Gadut akan dilanjutkan sehingga Selasa depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peniaga demonstrasi minta pampasan lebih tinggi

Posted:

Peniaga demonstrasi minta pampasan lebih tinggi

Peniaga demonstrasi minta pampasan lebih tinggi


Sebahagian dari 25 peniaga di Lorong Melaka Raya bersebelahan kompleks beli-belah, Hatten Square (Hatten) mengadakan demonstrasi secara aman di Melaka, semalam.


MELAKA 24 Mei - Kira-kira 25 peniaga di Lorong Melaka Raya bersebelahan kompleks beli-belah, Hatten Square (Hatten) di sini mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut pampasan sewajarnya untuk berpindah dan memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan sebahagian kompleks itu yang masih dalam pembinaan.

Demonstrasi selama hampir satu jam itu digunakan peniaga terbabit untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan terhadap rundingan antara pihak berkuasa tempatan dan syarikat kompleks terbabit bagi membayar pampasan kepada mereka yang telah berniaga di situ sejak tiga tahun lalu.

Seorang peniaga kedai makan, Mahmud Sirun, 47, berkata, kesemua 25 peniaga terbabit menerima notis mengarahkan mereka berpindah daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada April lalu sedangkan kontrak mereka sepatutnya tamat Julai ini.

Menurutnya, dalam notis terbabit, pihak MBMB memberitahu pihak Hatten akan membayar pampasan sebanyak RM300 sebulan selama setahun iaitu sehingga projek bangunan mereka itu siap.

"Dalam satu mesyuarat antara MBMB dan peniaga pula, MBMB juga bersetuju menambah RM500 sebulan tetapi itu pun hanya diberikan kepada sembilan peniaga yang aktif manakala selebihnya 16 peniaga lain hanya mendapat RM300.

"Persoalannya adakah wajar jika MBMB boleh bayar RM500 sebulan tetapi syarikat terbabit cuma bayar RM300 sebulan, sedangkan kami minta kadar RM300 itu dinaikkan kepada RM150 sehari atau RM4,500 sebulan," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga kraf tangan, Masitah Zaini, 32, mendakwa, dia mendapat notis mengosongkan premisnya itu daripada MBMB pada 28 April lalu dan akur dengan notis tersebut selepas dijanji akan mendapat pampasan sewajarnya.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu cuma dapat RM300 sebulan dan tidak berpuas hati dengan nilai pampasan itu yang sememangnya tidak cukup untuk perbelanjaan seharian.

"Kami juga ditempatkan di Taman Rempah sedangkan di sana tiada satu khemah pun kelihatan, bagaimana kami hendak berniaga dalam keadaan tersebut," katanya.

Usaha untuk menyerahkan memorandum lima muka surat itu bagaimanapun gagal dilakukan selepas pihak Hatten enggan menerima memorandum tersebut.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah yang mewakili peniaga untuk menyerahkan memorandum itu kemudian menyerahkannya kepada seorang wakil daripada Ahli Majlis MBMB yang berada di situ.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Swasta diminta sumbang mesin hemodialisis

Posted:

Swasta diminta sumbang mesin hemodialisis

Swasta diminta sumbang mesin hemodialisis


SEORANG jururawat, Nurul Mohd. Sharif mengendalikan mesin hemodialisis selepas majlis penyerahan mesin tersebut kepada pertubuhan kebajikan hemodialisis Hospital Pakar Putra di Melaka, semalam.


MELAKA 24 Mei - Kerajaan negeri menyeru lebih banyak syarikat swasta menyumbang mesin hemodialisis bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan menjalani rawatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sumbangan itu amat penting memandangkan jumlah pesakit daripada golongan berpendapatan rendah yang memerlukan rawatan dengan kadar bayaran yang murah semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Sehubungan itu katanya, kerjasama daripada pihak swasta untuk menyumbang mesin hemodialisis berharga RM45,000 sebuah dijangka dapat mengatasi masalah tersebut.

"Mesin yang disumbangkan akan ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Hemodialisis Hospital Pakar Putra dan setakat ini ia telah mempunyai 38 buah mesin tersebut bagi menampung kira-kira 108 pesakit sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan dua buah mesin hemodialisis yang setiap satu berharga RM45,000 sumbangan Kumpulan AmBank dan Syarikat Magna Healthcare Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AmIslamic Bank Berhad, Datuk Mahdi Murad, Pengerusi Magna Healthcare Sdn. Bhd., Nazifuddin Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra, Radhuana Salleh.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, pertubuhan itu memerlukan sekurang-kurangnya 30 mesin hemodialisis bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Jika ada tambahan 30 mesin lagi, mutu perkhidmatan kepada pesakit dapat ditingkatkan daripada dua kepada tiga shif untuk rawatan kepada pesakit setiap hari," ujarnya.

Katanya, pertubuhan itu mengenakan kadar bayaran RM60 kepada golongan berpendapatan rendah bagi setiap rawatan yang dijalankan.

Sementara itu Mahdi berkata, program yang dijalankan itu adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan AmBank dalam merealisasikan tanggungjawab sosial.

"Kumpulan AmBank bukan sahaja sebagai sebuah institusi kewangan semata-mata tetapi kami juga berperanan dalam menyumbang terhadap pembangunan komuniti yang memerlukan bantuan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan