Utusan Online - Utara |
- Mengimbau juadah tradisi
- Keris Taming Sari tarik kunjungan orang ramai
- Warga emas bersyukur atap rumah bocor diperbaiki
Posted: Mengimbau juadah tradisiOleh AZMAN MD.NOOR
SIK 30 Mei - Penyediaan juadah tradisi masyarakat Melayu kebiasaannya mempunyai hubung kait dengan acara tertentu. Namun ada beberapa juadah yang semakin dilupakan kerana acara yang dikaitkan dengan makanan tersebut tidak lagi diamalkan. Ini seperti pulut tanak bersama 'kemeset' yang dihidangkan semasa membuka tanah dan musim menuai padi yang kini sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat kerana bercanggah dengan ajaran Islam. Bagaimanapun baru-baru ini, makanan dan juadah yang sering dihidangkan pada acara itu cuba diketengahkan kembali sebagai warisan masyarakat. Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah baru-baru ini telah mengadakan aktiviti menyediakan juadah-juadah tradisional dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri di daerah ini. Bagi Mohd. Tajuddin, langkah itu penting bagi memberi pengetahuan baru kepada generasi muda tentang warisan lama masyarakat. Katanya, program tersebut adalah untuk mengetengahkan makanan tempatan serta budaya Melayu. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kedah, Kassim Mahmud berkata, antara makanan yang diketengahkan ialah ubi rebus, pulut kuning, pulut tanak dan lauk yang dinamakan kemeset yang suatu ketika dahulu dihidangkan semasa majlis keramaian. Seorang penduduk, Abdul Rahman Teh, 68, antara penduduk lama di kampung itu berkata, juadah tersebut selalunya dihidangkan selepas aktiviti 'pelepas' pada zaman dahulu yang bertujuan memberi perangsang dan motivasi kepada kanak-kanak yang hendak berkhatan. Namun, katanya, aktiviti itu tidak lagi dilakukan pada zaman ini kerana ia kadang-kadang disalah tafsir sebagai khurafat kerana dilakukan dengan cara yang tidak kena. Beliau berkata, penyediaan makanan secara beramai-ramai seperti ubi kayu kukus, pulut tanak dengan ikan masin dan beberapa lauk lain turut membuka minda generasi muda kini bahawa masyarakat Melayu mempunyai banyak juadah yang istimewa. Sebagai contoh, katanya, makanan yang dikenali sebagai kemeset yang dibuat dengan menggunakan umbut kelapa atau umbut kelapa sawit serta digaul dengan rempah adalah juadah yang cukup enak dimakan. "Selain itu, memakan pulut bersama ikan masin juga satu lagi menu yang memenuhi cita rasa penduduk tempatan yang boleh diketengahkan dan dikomersialkan," kata Abdul Rahman. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Keris Taming Sari tarik kunjungan orang ramai Posted: Keris Taming Sari tarik kunjungan orang ramai
KUALA KANGSAR 30 Mei - Keris Taming Sari yang mula dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan di sini, semalam sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-83 berjaya menggamit kunjungan orang ramai untuk melihatnya dengan lebih dekat. Seorang pesara swasta, Khamis Muhamad, 60, yang kini mengikuti pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang penyelidikan berkaitan keris berkata, dia teruja dapat melihat peninggalan sejarah berusia 500 tahun itu. "Saya yakin itulah Keris Taming Sari sebenar kerana tidak ada bukti lain yang meragui akan kesahihannya. "Kehebatannya terserlah melalui pamo (bilah keris) yang cantik selain hulunya bertatah batu delima dan disalut emas sekali gus menampakkan karya seni yang tidak ada tolok bandingnya," katanya kepada Utusan Malaysia. Keris Taming Sari digunakan sebagai salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan keseluruhan sarung keris diselaputi oleh dedaun emas. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah memberi perkenan supaya keris tersebut dipamerkan di galeri itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang sehingga 5 Jun ini. Sementara itu, seorang pelawat dari Taiping, Raymond Mong, 32, pula merasakan, peninggalan keris tersebut wajar dianggap sebagai satu warisan bangsa Malaysia selain ia wajar dipelihara sehingga ke generasi akan datang. Menurutnya, peninggalan berharga tersebut akan lebih dihargai sekiranya sejarah mengenainya diketahui oleh segenap rakyat di negara ini. Dalam pada itu, Roskhan Sabudin, 39, dari Kajang Selangor, pula sanggup datang ke sini semata-mata untuk melihat sendiri dengan lebih dekat akan ketulenan serta kualiti keris berkenaan. | ||
Warga emas bersyukur atap rumah bocor diperbaiki Posted: Warga emas bersyukur atap rumah bocor diperbaiki
BANDAR BAHARU 30 Mei - Sebuah rumah yang atapnya bocor serta dinding berlubang sememangnya sudah tidak selamat untuk diduduki. Namun Asma Man, 78, tidak mempunyai pilihan selain mendiami rumah usang peninggalan arwah suaminya itu walaupun adakalanya dibasahi hujan. Warga emas yang tinggal bersama anaknya, Sabri Mat Desa, 40, di Kampung Paya Semambu, Relau dekat sini tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedaifan hidup selain faktor kesihatan menghalangnya daripada memiliki sebuah rumah yang lebih baik. Bagaimanapun, kehidupan Asma hari ini jauh berbeza. Dia kini hidup lebih selesa selepas mendapat perhatian daripada kerajaan menerusi skim membaiki rumah usang. Warga emas tersebut merupakan salah seorang daripada mereka yang mendapat peruntukan membaiki rumah di bawah program 1Malaysia Development Berhad (1MDB). "Mak cik bersyukur kerana rumah kini sudah selesa dan tiada lagi masalah bumbung bocor. Terima kasih kepada kerajaan dan pihak yang membantu mak cik selama ini," katanya ketika ditemui selepas majlis membaiki rumah yang disempurnakan Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir di sini, baru-baru ini. Sementara itu Abd. Aziz berkata, pihaknya dengan kerjasama 1MDB menyediakan peruntukan lebih RM100,000 untuk memastikan penduduk miskin mendapat pembelaan sewajarnya. "Kita akan cuba membantu mengatasi masalah seperti bumbung bocor atau keadaan rumah daif dalam kadar segera," katanya. Beliau berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Osman Md. Aji bagi mengenal pasti mereka yang layak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan