Ahad, 22 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Berpecahkah undi ulama?

Posted:

Berpecahkah undi ulama?

Berpecahkah undi ulama?

Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my

TIMBALAN Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam muktamar ke-57 parti itu pada 3 hingga 5 Jun ini.

Ia bermakna setakat ini, Nasharudin akan bertembung dengan Mohamad Sabu yang sudah menyatakan kesediaannya mencuba kali kedua selepas berbuat demikian pada tahun 2009.

Tiga lagi calon masih belum menyatakan pendirian mereka biarpun sudah mendapat pencalonan iaitu Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa (yang pernah bertanding pada 2009), Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak.

Seorang lagi calon, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub sudah membuat keputusan tidak bertanding.

Walaupun ada lagi dua calon lain, tetapi tumpuan diberikan kepada Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim.

Penulis difahamkan, walaupun ada pandangan Mohamad Sabu mungkin akan memberi laluan kepada Tuan Ibrahim untuk bertanding satu lawan satu dengan Nasharudin, namun ia sekadar harapan.

Ia berikutan penegasan Mohamad Sabu bagaikan membujur lalu, melintang patah pada Sabtu lalu apabila menegaskan,''Tidak kira siapa pun bertanding saya tetap akan menghadapi mereka.''

Dari segi pencalonan, Tuan Ibrahim menduduki tempat ketiga selepas Mohamad Sabu dan Nasharudin.

Jika Tuan Ibrahim mengubah pendirian awalnya iaitu daripada tidak bertanding kepada bertanding, ia bermakna pertandingan di peringkat Timbalan Presiden turut bakal menyaksikan pertembungan antara ulama dengan ulama.

Ramai pemerhati politik Pas melihat jika Tuan Ibrahim bertanding maka akan wujud pertandingan tiga penjuru yang sekali gus akan memberikan keuntungan kepada Mohamad Sabu.

''Ini memandangkan undi golongan ulama akan berpecah dan senario ini pernah dialami oleh golongan profesional pada tahun 2009 apabila Mohamad Sabu dan Husam bertanding menentang Nasharudin bagi jawatan Timbalan Presiden.

''Oleh itu ramai melihat Tuan Ibrahim boleh menjadi penyelamat kepada undi ulama untuk jawatan nombor dua tersebut dengan tidak bertanding,'' kata sumber dalaman parti berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, Tuan Ibrahim berada pada kedudukan terbaik untuk menarik diri memandangkan Nasharudin sudah tidak boleh berbuat demikian.

''Ini kerana adalah tidak wajar seorang penyandang jawatan tidak mahu mempertahankan kedudukannya,'' katanya.

Jika Nasharudin bertanding satu lawan satu dengan Mohamad Sabu ia memudahkan perwakilan membuat keputusan.

Apatah lagi perwakilan sudah diberi tunjuk ajar oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kriteria pemimpin yang wajar mereka pilih.

Antara lain nasihat Nik Abdul Aziz kepada perwakilan ialah, ''Saya minta mereka yang akan membuat undian mengambil kira bahawa orang yang dipilih layak memimpin umat Islam dengan tingkah laku dan kata-katanya, sama ada pemimpin A atau B tidak kira, itu terpulang.''

Namun, pertandingan masih terbuka memandangkan pemimpin-pemimpin yang bertanding mempunyai tempoh sehingga 26 Mei ini untuk membuat keputusan sama ada hendak bertanding atau tidak.

Turut menjadi tumpuan ialah pertandingan di peringkat Naib Presiden yang menyaksikan 14 pemimpin dicalonkan.

Selain tiga penyandang iaitu Tuan Ibrahim, Salahudin dan Mahfuz Omar, turut mendapat pencalonan ialah Azizan, Husam, Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Mohamad Sabu, Mohd. Amar Abdullah, Mohd. Hatta Ramli, Nasharudin, Nik Zawawi Nik Salleh dan Datuk Seri Nizar Jamaludin.

Seorang lagi pemimpin yang dicalonkan iaitu Mujahid Yusof Rawa sudah membuat keputusan tidak bertanding.

Tumpuan sudah pastilah diberikan kepada Tuan Ibrahim, Salahudin, Husam, Azizan, Idris, Nasharudin, Mohamad Sabu dan Nizar.

Tetapi, jika berdasarkan kepada 'tradisi-tradisi' sebelum ini, tiada pemimpin Pas yang bertanding dua jawatan penting dalam satu-satu masa.

Ia bermakna Nasharudin tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden, begitu juga Mohamad Sabu. Tetapi, Tuan Ibrahim akan bertanding jawatan berkenaan jika beliau membuka laluan kepada pertembungan Mohamad Sabu dan Nasharudin bagi kerusi Timbalan Presiden.

Dari segi peluang, sudah pastilah Tuan Ibrahim sentiasa sahaja dilihat berpeluang cerah mengekalkan jawatan Naib Presiden manakala kedudukan Mahfuz dan Salahudin masih samar-samar. Ia kerana saingan dijangka datang daripada Azizan, Idris, Mohd. Amar dan Nizar. Kesemua calon ini dikatakan mempunyai kelebihan.

Mohd. Amar dikatakan pemimpin masa depan Pas Kelantan jika parti itu mahu mengekalkan kepimpinan ulama, Idris dilihat semakin popular sejak menjadi Ketua Penerangan Pas, manakala Nizar dikatakan masih mendapat simpati berikutan isu 'rampasan kuasa' di Perak yang sering beliau mainkan.

Azizan pula dikatakan semakin meningkat namanya berikutan isu kontroversi pajakan tanah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tetapi perwakilan sudah pasti tidak akan menolak penglibatan golongan profesional secara total bagi jawatan Naib Presiden.

Dalam soal ini, walaupun dilihat samar, Salahudin masih mempunyai harapan untuk mengisi salah satu 'slot' Naib Presiden bersama Tuan Ibrahim.

Satu lagi slot mungkin diisi oleh Azizan yang dilihat ada kelebihan memandangkan, perwakilan tidak mahu menghantar isyarat yang salah kepada rakyat jika Menteri Besar tersebut ditolak dalam pemilihan parti.

Namun, setakat ini, Azizan belum menyatakan jawatan apa yang ingin beliau tandingi sama ada Timbalan Presiden atau pun Naib Presiden

Sememangnya jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden memainkan peranan penting untuk Pas menentukan hala tuju parti itu seterusnya.

Ia kerana populariti Pas kini terus berada dalam kedudukan yang cukup tidak selesa berikutan tindakan parti itu yang dilihat semakin 'tenggelam' dalam usaha mempertegaskan perjuangan Islamnya.

Justeru, jika golongan ulama tidak mendapat tempat sewajarnya maka ini akan menimbulkan persepsi bahawa ahli-ahli Pas sememangnya sudah tidak lagi mementingkan perjuangan tersebut demi menjaga persahabatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas sudah tentu tidak mahu keadaan itu berlaku dan ia hanya boleh dilakukan jika golongan ulama diletakkan menguasai posisi utama dalam parti berkenaan di samping dibantu oleh golongan profesional yang baik budi pekertinya, sopan santun tingkah lakukannya dan berhemah dalam berkata-kata.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Asiaspace terus kukuh bersaing

Posted:

Asiaspace terus kukuh bersaing

Asiaspace terus kukuh bersaing

Oleh NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my


ABDUL Ghani Abdullah yakin dengan sokongan semua pihak, syarikatnya akan terus berkembang di masa depan.


SEKIRANYA anda sering memandu ke seluruh negara, terdapat kemungkinan besar anda akan dapat melihat menara telekomunikasi yang mempunyai reka bentuk unik menyerupai sebatang pokok.

Menara berkenaan sebenarnya dibina oleh Asiaspace Sdn. Bhd. (Asiaspace), satu-satunya syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam industri itu sejak 12 tahun lalu. Antara kawasan yang mempunyai menara berbentuk sedemikian adalah Taman Botani dan Taman Wetland di Putrajaya serta Planetarium Negara dan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Penggerak utama Asiaspace ialah Pengerusi dan pengasas syarikat itu, Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Beliau yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom pernah menjadi ahli lembaga pengarah Sirim Berhad, MNI Holdings Berhad dan beberapa syarikat lain yang disenarai di Bursa Malaysia.

Abdul Ghani ialah individu yang mencetuskan idea supaya syarikat telekomunikasi berkongsi menara bagi mengelak bilangan yang terlalu banyak di setiap kawasan.

Idea berkenaan mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mengarahkan beliau membina menara terbabit untuk disewa kepada syarikat telekomunikasi.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Ghani dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini menjelaskan, sehingga ke hari ini pihaknya telah membina 132 menara telekomunikasi di kawasan-kawasan strategik seluruh negara.

''Ia telah disewakan kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi pelbagai jenama seperti Celcom, Maxis, DiGi, umobile, P1 dan yes.

"Kami turut membina menara telekomunikasi untuk kegunaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),'' ujarnya.

Selain berpengalaman dalam pembinaan dan pengendalian menara telekomunikasi, Asiaspace kini maju setapak lagi dalam memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G setelah memperoleh lesen spektrum 2.3 gigahertz (GHz) pada Mac 2007 dan 2.6 GHz pada 2010.

Tiga syarikat lain yang turut diberikan lesen untuk spektrum itu bagi menawarkan 4G berasaskan teknologi akses keupayaan saling mengendali bagi gelombang mikro seluruh dunia (WiMAX) adalah Packet One Networks (M) Sdn. Bhd., YTL e-Solutions Bhd. dan REDtone International Bhd.

4G yang menawarkan generasi keempat teknologi jalur lebar tanpa wayar merupakan pengganti kepada standard 3G dan 2G.

Teknologi 4G boleh memberikan 100 megabit sesaat (Mbps), yang membolehkan album muzik dimuat turun sepantas lima saat atau sejam siaran televisyen dalam masa kira-kira 30 saat.

Pada Ogos 2008, syarikat berkenaan telah memperkenalkan perkhidmatan 4G dengan jenama 'amax' yang berasaskan kepada teknologi WiMAX.

Bagaimanapun berikutan perubahan teknologi maka pihak pengeluar peralatan telah menamatkan sokongan terhadap pembangunan teknologi WiMAX.

Oleh itu, syarikat itu memutuskan untuk menghentikan amax yang berasaskan WiMAX pada September 2010 bagi membolehkannya beralih kepada teknologi 4G lebih canggih berasaskan evolusi jangka panjang (LTE).

Jelas beliau, syarikat itu kini dalam proses untuk memasang LTE ujian di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

4G berasaskan teknologi LTE membolehkan para pengguna memuat turun sehingga 100 Mbps pada telefon mudah alih mereka, berbanding 3G yang membolehkan muat turun sehingga 20 Mbps dan WiMAX sehingga 40 Mbps.

Perkhidmatan 4G berasaskan LTE telah dimulakan secara komersial pada Disember 2009 di Stockholm, Sweden dan Oslo, Norway.

Negara-negara lain yang telah memulakan langkah untuk beralih kepada teknologi LTE ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Australia dan Sri Lanka.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan Asiaspace akan berkembang lebih maju pada masa depan setelah ia dipilih untuk dimasukkan dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) Kementerian Kewangan.

Skim berkenaan yang dilaksanakan sejak 2007 bertujuan membantu syarikat bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, jelas beliau, pihaknya telah meletakkan sasaran untuk mengambil alih semua menara milik sebuah syarikat telekomunikasi tempatan dengan anggaran kos pengambilalihan sebanyak RM400 juta.

Jelasnya, syarikat berkenaan turut meletakkan sasaran untuk membina 10 menara telekomunikasi baru setiap tahun.

''Kita juga merancang untuk mengembangkan operasi pembinaan menara telekomunikasi ke negara-negara ASEAN dan memastikan 25 peratus daripada menara yang dibina menggunakan teknologi hijau menjelang 2014," ujarnya.

Katanya, syarikat itu juga merancang untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dalam memperkenalkan perkhidmatan 4G berasaskan teknologi LTE.

''4G ini akan menggunakan spektrum 2.3 GHz dan 2.6 GHz dengan peralatan dibekalkan oleh Qualcomm Incorporated dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.," katanya.

Tambah beliau, kejayaan syarikat itu untuk mengembangkan operasi adalah berikutan kerjasama baik yang diberikan oleh SKMM dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan