Utusan Online - Timur |
- Projek Jiwa Murni RS bantu masyarakat
- Karnival Halal Kelantan berjaya
- Terengganu perluas guna bahasa Inggeris
Projek Jiwa Murni RS bantu masyarakat Posted: Projek Jiwa Murni RS bantu masyarakatOleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS 30 Mei - Kebiasaannya, pasukan tentera dikaitkan dengan tugas berat dan mencabar dengan menggalas senjata bagi mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara. Meskipun berdepan tuntutan tugas mengawal perbatasan negara, Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (RS) tetap tidak pernah mengabaikan tanggungjawab murni mereka kepada masyarakat setempat. Bagi pegawai dan anggota batalion itu, kepakaran dimiliki turut dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu penduduk kampung melalui aktiviti bergotong-royong. Atas dasar itulah, seramai 20 anggota RS mengerah keringat mereka dengan menjalankan Projek Jiwa Murni bagi membantu penduduk Kampung Perupok, Chetok dekat sini membersih dan menceriakan kawasan persekitaran termasuk surau di kampung berkenaan, baru-baru ini. Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 RS, Leftenan Kolonel Zambery Jefry Darus berkata, selain dapat memupuk kerjasama berpasukan, aktiviti itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pasukan terhadap masyarakat. Menurutnya, pendekatan tersebut dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa tugas tentera bukan sahaja menjaga kedaulatan negara atau bertempur di medan perang, tetapi dalam masa sama turut melakukan kerja-kerja amal. "Kita sentiasa menyahut saranan pihak atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sentiasa bersama-sama orang ramai dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Tambahnya, program itu juga bertujuan membentuk budaya kerja tentera dalam kehidupan penduduk kampung. "Sebenarnya, setiap anggota mempunyai pelbagai kemahiran seperti pembinaan dan kejuruteraan. Melalui aktiviti ini juga, kita akan memperlihatkan cara pasukan tentera melakukan kerja dengan sistematik dan teratur sebagai contoh budaya kerja yang baik kepada masyarakat," katanya. Jelasnya, pasukan akan terus mempergiatkan program jiwa murni untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan bantuan. Dalam perkembangan lain, Zambery Jefry memberitahu, untuk tahun ini pihaknya telah berjaya menyiapkan tiga buah rumah di bawah program berkenaan. "Sebelum ini, kita berjaya menyiapkan dua buah rumah di Jeli iaitu Kuala Balah dan Batu melintang sementara yang terbaru di Pasir Mas," katanya. Dalam pada itu, seorang penduduk Ahmad Yaacob, 52, ketika ditemui berkata, dia berbangga kerana kampungnya terpilih sebagai lokasi projek jiwa murni RS kali ini. "Bagi saya ia satu penghormatan buat kami penduduk di sini. Ini merupakan kali pertama penduduk kampung menerima kunjungan pihak tentera dan berganding bahu melakukan kerja gotong-royong," katanya. Tambahnya, melalui program itu penduduk kampung dapat mempelajari dan berkongsi ilmu pengetahuan dari pihak tentera mengenai selok-belok melakukan kerja secara lebih bersistematik Jelasnya, penduduk sangat terhutang budi dengan bantuan yang diberikan oleh anggota RS kerana membantu membersih dan mengembalikan keceriaan kampung berkenaan. "Saya berharap, program ini akan dapat diteruskan dari masa kesemasa dan kami akan terus memberikan kerjasama sekiranya pihak RS mahu mengadakan program jiwa murni di sini. Semoga hubungan yang dibina ini akan terus berkekalan," katanya penuh harap. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Karnival Halal Kelantan berjaya Posted: Karnival Halal Kelantan berjayaOleh YULPISMAN ASLI KOTA BHARU 30 Mei - Karnival Halal Kelantan 2011 yang berakhir hari ini, berjaya mencapai sasaran apabila menarik kedatangan lebih 50,000 pengunjung. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, dengan kejayaan itu pihaknya bercadang menganjurkan karnival lebih besar pada tahun hadapan dengan melibatkan peserta dari negara ASEAN, sekiranya mempunyai dana dan penaja mencukupi. Beliau berkata, pelbagai program menarik telah diadakan sepanjang karnival tiga hari itu dan mendapat sambutan luar jangkaan daripada pengunjung. Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah uji bakat program Adik-Adikku Musim Ketiga, rakaman Forum Perdana Ehwal Islam dan persembahan dikir barat. Katanya, sebanyak 80 gerai pameran dan jualan produk serta perkhidmatan telah diadakan sepanjang karnival berkenaan yang perasmiannya telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra. "Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan bahawa program ini amat berfaedah, berinformasi dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutama bagi mengisi masa lapang cuti sekolah. "Selain itu, para usahawan juga sangat berpuas hati dengan hasil jualan mereka dan merasakan pelaburan menyewa gerai tidak sia-sia," katanya di sini, hari ini. Karnival halal itu anjuran bersama JHEAIK dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Che Mohd. Rahim seterusnya mengucapkan penghargaan kepada penganjur dan media, terutama akhbar Kosmo! yang telah banyak membantu mempromosikan karnival tersebut sejak sebulan lalu. | ||
Terengganu perluas guna bahasa Inggeris Posted: Terengganu perluas guna bahasa Inggeris
KUALA TERENGGANU 30 Mei - Sifat malu dan tiada keyakinan diri dalam bertutur bahasa Inggeris di negeri ini dijangka dapat ditangani apabila kerajaan negeri akan memperluaskan penggunaan bahasa itu di kalangan pelajar dan guru. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, usaha itu penting memandangkan ramai pelajar yang memperoleh keputusan bahasa Inggeris yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi malu untuk bertutur. Katanya, usaha itu juga selaras dengan hasrat Kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebuah negeri anjung ilmu dengan menggunakan pendekatan modular dalam pembaharuan yang akan dilaksanakan bagi "Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris". "Kerajaan negeri juga telah melaksanakan beberapa program antaranya Program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA), Pusat Latihan Bahasa Inggeris dan Kem Bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu," katanya. Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan program Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) di sebuah hotel di sini hari ini. Ahmad Razif menjelaskan bahawa program seumpama itu mampu membantu guru dan pelajar meningkatkan penguasaan serta pengetahuan mereka dalam bahasa Inggeris selain meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan utama. "Bagi tujuan itu, guru-guru serta pelajar digesa supaya mempelajari bahasa Inggeris kerana banyak manfaat yang dapat diperolehi," ujarnya. Beliau turut berpendapat, bagi menguasai bahasa Inggeris dengan baik sememangnya menuntut pelbagai cara termasuk bertutur dalam bahasa itu seperti dalam aktiviti sukan, muzik dan sebagainya. Malah tambahnya, bahasa Inggeris turut membantu pelajar menimba lebih banyak ilmu pengetahuan serta maklumat dengan cepat, tepat dan pantas. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan