Utusan Online - Timur |
- Perkampungan Bukit Wan bersih, ceria
- Tingkatkan apresiasi seni dalam masyarakat
- 2,000 dapat Netbook 1Malaysia
Perkampungan Bukit Wan bersih, ceria Posted: Perkampungan Bukit Wan bersih, ceriaOleh FAUZI MOHD
KUALA TERENGGANU 23 Mei – Bukit Wan yang mengambil sempena nama tokoh setempat yang dikenali sebagai 'Wan Seman' merupakan salah sebuah perkampungan tradisional, terletak kira-kira 28 kilometer dari pusat bandar raya. Wan Seman, dikatakan seorang berdarah pendekar serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang agama tertarik dengan kawasan itu ketika bersampan menyusuri Sungai Nerus, lalu akhirnya merintis penempatan di situ. Dengan struktur tanahnya yang berbukit dan subur, ia menjadi tumpuan untuk dijadikan kawasan dusun buah-buahan oleh penduduk sekitar dan dengan perubahan masa, penempatan penduduk mengambil alih sebahagian daripada kawasan itu. Bukit Wan masih lagi dikenali sebagai salah satu kawasan pertanian dalam mukim Batu Rakit, begitu juga suasana kehidupan penduduknya yang sepakat dan harmoni yang menjadi kelebihannya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Chek Harun Ismail (gambar), kampungnya mempunyai hampir 600 orang penduduk dengan 110 buah rumah. Katanya, bagi memudahkan seliaan dan pengurusan, kampung itu dibahagikan kepada empat zon dengan setiap zon berusaha membentuk sebuah komuniti kampung yang lengkap. Melalui kesepakatan penduduk, ia ditunjukkan menerusi perusahaan kecil berasaskan keupayaan mereka termasuk pembuatan ragi dan juadah ubi gadong, ternakan di samping aktiviti kebudayaan yang diwarisi, memeriahkan suasana. ''Persaingan ke arah penyediaan lebih banyak kemudahan, keselesaan buat penduduk, membawa banyak kebaikan buat semua termasuk dengan keadaan kampung yang bersih dan ceria. ''Penduduk turut sama mengindahkan laman dan kediaman sendiri serta sekitar kampung," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampungnya, baru-baru ini. Sikap yang mereka tunjukkan itu dihargai apabila kampung itu menjuarai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat negeri 2010 Kategori Kampung Luar Kawasan Operasi baru-baru ini. Kemenangan tersebut membolehkan JKKK itu menerima RM100,000 bagi menjalankan projek dan wang tunai RM10,000 di samping bakal berpeluang melawat Australia tahun depan. Kemenangan itu suatu yang besar maknanya bagi JKKK Bukit Wan dalam menggerakkan kegiatan bersifat sukarela tanpa mengira masa dan disahut oleh penduduk. Sebelum ini, Kampung Bukit Wan turut memperoleh tempat ketiga bagi Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri 2009 dan tempat ketiga Anugerah Kebersihan dan Pengurusan Kubur Daerah Kuala Terengganu 2010. ''Di sini juga wujudnya taman herba yang mempunyai lebih 90 spesies, taman rekreasi air terjun Bukit Wan dan dusun buah-buahan yang merangsang aktiviti agro pelancongan. "Ia diusahakan sendiri oleh penduduk kampung dengan bantuan beberapa agensi kerajaan serta perhatian wakil rakyat di sini," katanya. Kampung itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Wan, klinik desa, pusat asuhan kanak-kanak, sekolah pondok al-Madini dan masjid. Dengan bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pertanian dan mempunyai kawasan tanah yang luas, sektor pertanian seperti tanaman kelapa sawit dan ternakan ayam merupakan antara pekerjaan utama penduduk kampung. Bagaimanapun menurut Chek Harun, perkembangan semasa dan tahap pendidikan anak kampung yang semakin bertambah baik, maka keadaan statistik pekerjaan penduduk kampung juga turut berubah. "Sudah ramai penduduk kampung dari generasi baru telah berkecimpung dalam sektor kerajaan dan swasta serta dalam bidang perniagaan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Tingkatkan apresiasi seni dalam masyarakat Posted: Tingkatkan apresiasi seni dalam masyarakatPelajar-pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka gembira selepas berjaya menyiapkan projek akhir mereka semasa Pameran Diploma (Simbiosis) di UiTM Kampus Kuala Terengganu, di Primula Beach Resort, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 23 Mei _ Universiti Teknologi Mara (UiTM) disaran menganjurkan pertandingan seni lukis dan seni reka melibatkan penyertaan masyarakat umum bagi mencungkil lebih ramai bakat baru dan meningkatkan apresiasi seni itu. Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, ia dapat mengangkat nilai sesuatu karya dan juga imej para pengkarya bagi menyemarakkan perkembangan seni itu yang boleh dijadikan kerjaya dan suatu industri. "Pertandingan merupakan batu loncatan untuk mewujudkan lebih ramai pereka seni dan kraf yang inovatif dan kreatif dalam industri yang kian berkembang," katanya. Beliau berucap merasmikan Pameran Diploma (Simbiosis) pelajar tahun akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kampus Kuala Terengganu di Primula Beach Resort di sini, baru-baru ini. Pameran Simbiosis yang disertai oleh 39 orang graduan itu berlangsung selama tiga hari. Hadir sama, Pengarah Kampus UiTM Terengganu, Prof. Madya Tengku Yusoff Tengku Mahmud dan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Dr. Mustaffa Halabi Azahari. Katanya, melalui pertandingan itu juga, industri tersebut dapat dikembangkan ke peringkat global, sekali gus dapat mempromosikan para seniman dan nama negeri itu di mata dunia. "Ia juga boleh membuka minda pereka seni dan kraf untuk pelbagaikan serta memperkayakan reka bentuk yang moden dan terkini," katanya. Katanya, kemahiran dalam penghasilan produk seni dan kraf perlu diberi penekanan khusus termasuk pendedahan kepada golongan belia untuk menceburkan diri dalam industri itu. "Saya yakin produk kita boleh dijadikan cenderahati yang cukup eksklusif oleh pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara sekali gus sebagai duta bagi mempromosikan hasil seni kraf tempatan dan antarabangsa," katanya. Beliau berkata, promosi dan pengiklanan dari sudut grafik dan tekstil tidak kurang pentingnya untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara. ''Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha murni pelbagai pihak termasuk UiTM dalam melahirkan graduan yang berkelayakan serta berkualiti dalam bidang seni lukis dan seni reka dan berharap lebih ramai pelapis seni budaya akan lahir di negeri ini," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: 2,000 dapat Netbook 1MalaysiaOleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR Ilias Husain (tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Teknik, Bachok, kelmarin. BACHOK 23 Mei – Seramai 2,000 pelajar menerima sumbangan komputer riba atau Netbook 1Malaysia yang melibatkan peruntukan RM2 juta, dalam usaha membantu masyarakat di daerah ini celik teknologi maklumat (IT). Netbook berkenaan yang disumbangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) merupakan sebahagian daripada 1.2 juta komputer di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang diagihkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Sumbangan fasa kedua ini menyaksikan pertambahan 500 pelajar berbanding fasa pertama seramai 1,500 orang yang telah menerima Netbook masing-masing pada November tahun lalu. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, keutamaan diberikan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mereka daripada keluarga kurang berkemampuan. "Agihan Netbook ini tidak sama bagi setiap sekolah, mengikut keperluan dan kriteria yang telah digariskan," katanya pada majlis penyampaian Netbook berkenaan di Sekolah Menengah Teknik, Bachok di sini, semalam. Hadir sama, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Adnan Abdul Rahman; Ketua Unit Sekolah Rendah (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pelajaran Negeri, Drs. Amran Mustapha dan Pegawai Pelajaran Daerah, Saupi Majid. Ilias berkata, kerajaan amat peka terhadap kepentingan akses kepada teknologi maklumat dalam kalangan pelajar, terutama yang kurang berkemampuan bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan akademik. Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa pelajar terlibat supaya sentiasa membuat pemantauan agar kemudahan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak-anak mereka. "Kemudahan teknologi maklumat seperti itu perlu dimanfaat dengan perkara yang berfaedah, bukan untuk perkara negatif seperti melayari laman sesawang yang merosakkan akhlak, memfitnah dan sebagainya," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan