Utusan Online - Utara |
Posted: Yakin capai setinggan sifarOleh ASLIZA MUSA KUALA KANGSAR 8 Mei – Kerajaan negeri yakin sasaran setinggan sifar menjelang 2012 dapat dicapai berdasarkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam membanteras masalah tersebut. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, melalui beberapa pendekatan yang telah dirangka ia membantu memastikan sasaran sifar setinggan mampu dicapai. "Sehingga kini kita telah berjaya menyelesaikan 60 peratus masalah setinggan dan bakinya akan diteruskan sebelum 2012 berakhir. "Saya harap masalah ini (mencapai matlamat setinggan sifar) dapat diselesaikan secepat mungkin dan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membantu menaikkan taraf hidup rakyat di negeri ini," katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini, hari ini. Zambry berkata, antara prosedur atau pendekatan baru yang digunakan adalah penempatan 'in-situ' di mana penduduk terbabit tidak perlu dipindahkan ke tempat lain. Katanya, mereka hanya akan dipindahkan sekiranya tanah yang diduduki diambil balik oleh pemilik dan sekiranya perbincangan yang dibuat dengan pemilik tanah berjaya, kerajaan negeri boleh membeli tanah itu untuk diberikan kepada penduduk yang telah lama menetap di situ. "Usaha ini diharap dapat membantu rakyat hidup dalam keadaan lebih selesa dan berasa selamat selain mengatasi masalah berkaitan pemilikan tanah yang sering berbangkit sebelum ini," katanya. | ||
Jadikan gotong-royong budaya - Raja Muda Perlis Posted: Jadikan gotong-royong budaya - Raja Muda Perlis
PADANG BESAR 8 Mei - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan masyarakat meneruskan budaya gotong-royong yang mempunyai nilai murni termasuk mengeratkan perpaduan di kalangan penduduk, khususnya di negeri ini. Titah baginda, ini dapat dibuktikan menerusi sikap bantu-membantu di kalangan anggota masyarakat sewaktu menjalankan gotong-royong. "Sikap bantu-membantu dan bekerjasama antara ahli masyarakat dapat disemai menerusi gotong-royong sekali gus menyemai hubungan yang baik," titah baginda sewaktu bersama rakyat dalam Program Gotong-Royong Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer sempena Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-68 di Kampung Ngulang Utara, Mata Ayer, dekat sini, hari ini. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Titah baginda, gotong-royong juga boleh menjadi aktiviti riadah kepada masyarakat selain mengindahkan kawasan kediaman dan persekitaran. Program gotong-royong tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), polis dan tentera. Selain gotong-royong membersihkan persekitaran dan masjid di kampung berkenaan, seorang penduduk Abdul Halim Abdul Rashid, 54, menerima bantuan sebuah rumah bernilai RM16,500 sumbangan pihak Baitulmal. | ||
Posted: UMNO Perak jangan lekaKUALA KANGSAR 8 Mei - Ahli-ahli UMNO Perak diingatkan supaya tidak leka dan lalai walaupun terdapat ramalan mengatakan parti kini berada dalam zon selesa dengan sokongan 60 peratus rakyat di negeri ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai senario politik di Perak tidak sepatutnya membuatkan ahli-ahli berasa selesa bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Sebaliknya kata beliau, usaha akan dipergiatkan bagi meraih lebih banyak sokongan rakyat terutama di kalangan masyarakat Cina. "Biarlah mereka buat ramalan dan analisis. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti akan ditafsirkan sebagai angkuh. Tapi ini tidak bermakna UMNO Perak tidak yakin untuk memenangi pilihan raya, cuma apa yang penting kita meneruskan agenda yang ditetapkan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini," katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar hari ini. Pemimpin Zentrum, Dr. Abu Hassan Hasbullah mendedahkan sokongan masyarakat Melayu dan India kepada pihak pembangkang di Perak semakin merosot kerana mereka semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasi oleh Barisan Nasional (BN). Justeru katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, pembangkang sudah tidak boleh bergantung kepada isu tersebut kerana ia sudah tidak relevan dan jika terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada parti. Zambry berkata, UMNO Perak kini berada pada kedudukan paling kukuh dan bersedia menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan hujung tahun ini. "Saya yakin selagi semua ahli bersatu, kita pasti mampu mengorak kejayaan dan mempertahankan pentadbiran BN di Perak," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan