Isnin, 9 Mei 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Semuanya ada di sini

Posted:

Semuanya ada di sini

Semuanya ada di sini

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusann9@utusan.com.my


Orang ramai boleh merasai pengalaman aktiviti sukan lasak serta menggunakan peralatan dan kemudahan sukan terkini di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban.


SEREMBAN 8 Mei - Hanya dalam tempoh dua tahun melalui tiga fasa pembangunan, Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini menyaksikan transformasi dari segi penyediaan kemudahan pelbagai jenis sukan secara komprehensif bagi memenuhi keperluan umum.

Lebih menarik, kompleks itu yang dahulu hanya mempunyai tiga buah bangunan kini diberi 'nafas baru' dengan dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan.

Namun, apa yang lebih membanggakan apabila pusat sukan kondusif itu turut diiktiraf sebagai Kompleks Belia dan Sukan contoh di negara ini oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam erti kata lain, orang ramai yang pernah berkunjung (sebelum dinaik taraf) serta mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke kompleks awam itu pasti teruja dan terkejut dengan pembaharuan yang telah dilakukan.

Menyentuh aspek kemudahan sukan, kompleks tersebut menyediakan ruang kepada umum untuk menjalankan pelbagai aktiviti sukan luar dan dalam bangunan antaranya ialah padang bola sepak, futsal, badminton, tenis, ping pong, sepak takraw, boling padang, petanque dan juga snuker.

Proses menaik taraf itu juga memperlihatkan beberapa kemudahan sukan lasak turut dibangunkan di pusat berkenaan seperti skate park, flying fox, go-kart dan panjat tembok (wall climbing).

Bukan itu sahaja, proses penambahbaikan itu turut meliputi pembinaan kemudahan lain seperti surau, tempat letak kereta, dewan besar, skrin paparan gergasi dan juga taman permainan kanak-kanak.

Pengarah Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali berkata, tujuan utama kompleks sukan tersebut dinaik taraf adalah bagi menyediakan sebuah lokasi khas yang komprehensif lagi kondusif kepada umum untuk menjalankan pelbagai aktiviti khususnya sukan termasuk riadah dan kemasyarakatan.


SKATE park khas untuk remaja beriadah.


''Ini penting kerana saya rasa sudah tiba masanya kita memberikan perubahan kepada kompleks awam ini memandangkan masyarakat kini semakin sedar betapa pentingnya untuk bersukan demi menjaga kesihatan masing-masing.

''Di samping itu, kita juga berharap dengan penyediaan kemudahan yang lengkap di pusat ini, ia akan menarik minat lebih ramai pengunjung ke sini terutamanya di kalangan belia untuk bergiat aktif dalam menjalani aktiviti berfaedah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Katanya, hasrat tersebut penting demi memartabatkan belia masa kini sekali gus membendung penglibatan golongan berkenaan terhadap gejala sosial.

''Mereka sepatutnya memanfaatkan kompleks ini sebaik mungkin kerana pusat ini sebenarnya diwujudkan untuk mereka," jelas Baharudin.

Menurutnya, projek menaik taraf pusat tersebut dijalankan melalui tiga fasa pembangunan yang bermula pada tahun 2009.

''Selain kemudahan sukan, sebuah bangunan utama tiga tingkat turut dibina ditapak kompleks ini yang kini berfungsi sebagai ibu pejabat Jabatan Belia dan Sukan negeri ini.

''Kini semua unit berkaitan jabatan ini sudah berpusat di sini khusus bagi memastikan kelancaran dari segi pengurusan dan operasi jabatan dapat dijalankan dengan efisien," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, satu majlis bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan diadakan pada 9 Mei (hari ini) sebagai tanda jabatan berkenaan memulakan operasi di bangunan baru serta bersempena sambutan Hari Belia Negara 2011 iaitu pada 15 Mei depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Salah ejaan pada maklumat Tun Teja

Posted:

Salah ejaan pada maklumat Tun Teja

Salah ejaan pada maklumat Tun Teja


Penggunaan perkataan heroin dan depending dalam bahasa Inggeris yang salah pada maklumat mengenai Tun Teja di Jasin, Melaka.


JASIN 8 Mei - Makam Tun Teja di Kampung Samak, Merlimau di sini merupakan salah satu monumen sejarah masyarakat Melayu yang terkenal di negeri ini malah sering menjadi tumpuan pelancong asing setiap kali berkunjung ke Melaka.

Bagi menarik kunjungan lebih ramai pelawat, kerajaan negeri melalui agensinya, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sentiasa berusaha untuk mengekalkan kebersihan di sekitar kawasan itu termasuk menyediakan kemudahan landskap yang menarik.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia ke makam tersebut hari ini mendapati imej negeri pelancongan terjejas apabila berlaku kesilapan perkataan pada papan keterangan yang terletak di pintu masuk ke Makam Tun Teja.

Perkataan dalam keterangan yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu silap dan dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta kekeliruan di kalangan pelancong asing yang sememangnya tidak mengetahui latar belakang sejarah masyarakat Melayu.

Ia termasuk penggunaan perkataan heroin berbanding heroine serta depending berbanding defending.

Perkataan bahasa Inggeris yang silap pada papan tanda keterangan sejarah makam itu berbunyi she was able to arouse the heroin spirit among Malay women in depending the country against the Portuguese attack.

Keadaan itu dipersoalkan oleh seorang pelancong dari Kajang, Selangor, Darwin Ismail, 32, yang kelihatan agak terkejut apabila diminta memberi reaksi mengenai perkara itu.

Katanya, kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan Makam Tun Teja merupakan tempat bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong asing termasuk pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan.

"Agak memalukan kerana perkara ini berlaku di kawasan tumpuan pelancong," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, perkataan bahasa Inggeris yang salah pada papan keterangan makam perlu diganti segera dan Perzim perlu memastikan keadaan yang sama tidak berlaku di kawasan tumpuan yang lain.

Rakannya, Ikmal Mohd. Akim berkata, kesilapan perkataan itu agak memalukan memandangkan Melaka terkenal sebagai negeri warisan sejarah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penghasilan penuntut universiti miliki nilai tinggi di pasaran

Posted:

Penghasilan penuntut universiti miliki nilai tinggi di pasaran

Penghasilan penuntut universiti miliki nilai tinggi di pasaran

ALOR GAJAH 8 Mei - Pelbagai bahan pengajaran yang dihasilkan penuntut harus dihebahkan kepada masyarakat kerana ia boleh dijadikan produk komersial.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, pelbagai produk dihasilkan oleh para pelajar bagi memenuhi keperluan akademik mereka dilihat mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Lukisan, ukiran, karya kreatif dan juga produk lain yang dihasilkan oleh para penuntut sangat berkualiti dan merupakan satu kerugian sekiranya tidak dipasarkan," katanya pada majlis perasmian Pameran Tunas Ilham Ketujuh anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) di sini hari ini.

Pada pameran berkenaan, penuntut diploma FSSR tahun akhir mempamerkan hasil seni mereka untuk dipertontonkan kepada orang ramai yang merangkumi seni halus, fotografi, seni reka perindustrian dan reka bentuk grafik dan media digital.

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad.

Dalam perkembangan lain, UiTM cawangan Melaka menyasarkan pengambilan 20,000 penuntut menjelang 2015 dan menjadi kampus cawangan terbesar dalam sistem universiti berkenaan.

Kampus cawangan Melaka kini mempunyai 11,000 penuntut sepenuh masa dengan 7,000 penuntut ditempatkan di kampus Alor Gajah dan selebihnya di kampus Bandaraya Melaka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan