Utusan Online - Selatan |
- Perubahan positif pantai PD
- Banjir melanda Felda Gugusan Raja Alias 2
- Usah kecil hati - Menteri Besar
Posted: Perubahan positif pantai PDOleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
TELUK KEMANG 18 Mei - Destinasi perkelahan di Port Dickson terus rancak dengan kehadiran pengunjung selepas pelbagai kempen dilakukan kerajaan dalam usaha mencapai sasaran empat juta pelancong menjelang hujung tahun 2012. Hasrat itu juga disambut baik oleh orang ramai yang datang ke pantai peranginan terkenal di negara ini, apatah lagi ia kini dinobatkan Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Peniaga, Zalika Mohd. Hadza, 38, berkata, perniagaannya semakin baik lebih-lebih lagi pada hujung minggu, musim cuti persekolahan dan cuti umum. ''Tengoklah, keadaan pantai juga semakin bersih dan ada usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan. ''Kalau kita ke Pantai Saujana, Batu 4 di Port Dickson ini, ia lebih cantik," katanya. Namun begitu katanya, kemudahan tandas di beberapa lokasi mandian awam masih berkurangan dan ada pula yang jauh kedudukannya, begitu juga kawasan letak kereta. Dia berharap banyak aktiviti diadakan pada hujung minggu dan bukan hanya tertumpu pada acara tahunan yang tidak ada kesinambungannya. Tambahnya, banyak yang boleh dilakukan seperti car boot sale di kawasan letak kereta di Batu 4 ataupun bola sepak pantai, sukaneka pantai dan sebagainya yang boleh disertai pengunjung. Dalam pada itu, penjaga tandas awam di Pantai Saujana, Batu 4, Shafie Dahlia, 46, dekat sini memberitahu, ramai pengunjung merungut kerana tandas tidak cukup dan surau pula tidak disediakan di situ. ''Saya segan juga apabila orang tanya di mana surau berdekatan. Saya lihat banyak wakaf tempat istirehat disediakan, tetapi tiada surau berdekatan. ''Binalah surau di kawasan tumpuan ramai khususnya di tepi pantai ini bagi memudahkan umat Islam mengerjakan ibadah sambil berkelah di situ," katanya. Selain itu, Shafie juga memberitahu, terdapat beberapa ekor anjing liar yang sering kali mengganggu kehadiran orang ramai ke tandas berkenaan. ''Saya pernah melihat seorang pelancong dari negara Libya yang dikejar anjing liar ini. ''Pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), tolonglah lihat ancaman anjing liar ini, walaupun saya faham sukar untuk menangkapnya," katanya. Seorang pengunjung, Sharil Baktiah, 31, dari Kuala Lumpur memberitahu, pembangunan di pantai Port Dickson ini telah banyak berubah dan ia semakin menarik perhatian. ''Kawasan pantainya bersih, landai dan paling menarik ada kemudahan tandas dan tempat mandi. ''Saya mengharapkan lebih banyak aktiviti dijalankan di tepi pantai ini, daripada ia sepi begitu sahaja pada hujung minggu. ''Jadikanlah program itu berkala dan bukan hanya tertumpu pada musim tertentu. Aktiviti malam sepatutnya dihidupkan dengan pancaran laser dan persembahan kebudayaan, sebagai tarikan," katanya. Manakala, R. Amarnath, 57, dia datang ke pantai ini bersama keluarga dari Cyberjaya untuk melihat keindahan suasana pantai ini. ''Apabila berada di Port Dickson, rasa tekanan hilang. Saya seronok berada di sini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Banjir melanda Felda Gugusan Raja Alias 2 Posted: Banjir melanda Felda Gugusan Raja Alias 2
JEMPOL 18 Mei - Hampir 10 premis perniagaan dan 14 buah rumah di perkampungan Felda Gugusan Raja Alias 2 dekat sini dilanda banjir kilat dalam kejadian hujan lebat malam tadi. Seorang peniaga, Ayob Sitam, 56, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM1,000 berikutan banjir yang berlaku itu. ''Kejadian banjir kilat yang berlaku itu berpunca daripada longkang berhampiran Pejabat Kesihatan daerah yang rosak dan tidak dibaiki sehingga menyebabkan aliran air tersekat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Ekoran kejadian itu katanya, air melimpah sehingga ke dalam kedai setiap kali hujan lebat. Sementara itu, Mohd. Salem Arumadass, 47, berkata, kejadian itu telah empat kali berlaku dan membawa masalah kepada peniaga di sini. ''Setiap kali banjir, saya terpaksa menanggung kerugian. Barangan yang hendak dijual banyak yang rosak," kata Mohd. Salem yang menjual makanan di situ sejak lima tahun lalu. Dalam pada itu, Nor Azizi Abd. Hadi, 48, pula berkata, pengurusan Felda dan pihak berkuasa tempatan perlu lebih peka dengan masalah tersebut kerana ramai yang yang kami tanggung ini. ''Kami mencari rezeki dengan berniaga di sini. Kalau banjir berlaku disebabkan faktor longkang, kami berasa amat dukacita,'' ujarnya. Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Raja Alias 2 dekat sini, Abd. Razak Md. Isa berharap pihak berkuasa segera mengatasi masalah yang mengakibatkan banjir itu. ''Selain premis perniagaan, terdapat 14 buah rumah juga dilanda banjir yang dipercayai berpunca daripada limpahan Sungai Martiman dekat sini, selain faktor longkang rosak dan tersumbat," tegasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Usah kecil hati - Menteri Besar Posted: Usah kecil hati - Menteri BesarOleh AINOL AMRIZ ISMAIL
SEREMBAN 18 Mei - Sengketa yang berlarutan antara ahli UMNO akan hanya menyaksikan parti dan orang Melayu berpecah, sekali gus meledakkan kehancuran sebuah bangsa, agama dan negara. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tragedi demikian perlu dielakkan sambil menyeru mereka yang merajuk, kecil hati dan meminggirkan perjuangan UMNO dahulunya agar kembali atas nama penyatuan bangsa Melayu dan memacu negara pada masa hadapan. ''Saya sentiasa berhasrat untuk melihat UMNO akan terus kukuh dan kuat. ''Apa yang telah berlaku, kita ketepikanlah. Marilah kita pandang perjuangan lebih besar menyediakan hamparan baik untuk generasi akan datang khususnya untuk orang Melayu dan kepentingan parti keramat iaitu UMNO," katanya. Mohamad berkata demikian dalam ucapan semasa mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Seremban di Jalan Penghulu Cantik, dekat sini semalam. Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail serta kepimpinan peringkat Wanita, Pemuda, Puteri bahagian berkenaan. Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, tiada gunanya menebalkan rasa marah di antara kepimpinan peringkat UMNO bahagian dengan badan perhubungan UMNO negeri atau terhadap dirinya. ''Apa yang lebih penting ketika ini ialah kehadiran saya untuk menghulurkan tangan tanda persahabatan dan mahu bekerjasama dengan kepimpinan UMNO Bahagian Seremban, khususnya dengan Datuk Ishak. ''Marilah kita padamkan apa yang berlaku, jika hendak diikutkan ego dan hati, saya pun ada perasaan yang tidak suka. Namun selepas difikirkan, siapa yang akan rugi kalau bukan orang Melayu sendiri," katanya. Mohamad berkata, selepas pertemuan ini nanti, UMNO Bahagian Seremban diyakini boleh menjadi pemacu bahagian hadapan dalam memperjuangkan parti UMNO keseluruhannya. Pada sidang akhbar kemudiannya, Mohamad melahirkan rasa terima kasih kepada Ishak kerana kehadiran jawatankuasa kepimpinan UMNO Bahagian Seremban yang datang dalam suasana cukup mesra. ''Kepimpinan UMNO Bahagian Seremban kini sudah bersedia untuk menggerakkan jentera pada bila-bila masa berhadapan pilihan raya umum akan datang. ''Dengan keyakinan yang diberikan, kita optimis kerusi UMNO yang tewas seperti Ampangan dan Sikamat akan dapat kita rampas kembali pada pilihan raya umum akan datang," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan