Utusan Online - Rencana |
Posted: Isyarat kepada Lee Kuan YewKu Seman KU Hussain
Dari sudut matematiknya kemenangan enam kerusi oleh pembangkang dari Parti Pekerja berbanding 81 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura bukan besar. Jurangnya pun sangat jauh untuk memaksa PAP menerima sistem dua parti atau berkongsi dengan pembangkang. Tetapi dari sudut politik dan kebangkitan rakyat di peringkat global serta negara-negara sebelah sini, itu adalah petanda perubahan yang sangat besar. Gerombolan pendesak perubahan menonjol semasa berkempen hingga meletakkan PAP dalam kebimbangan. Suatu yang sangat penting daripada pilihan raya ini adalah isyarat rakyat menuntut perubahan sudah sampai kepada kerajaan. Malah pilihan raya kali ini adalah mercu tanda politik baru dalam sejarah moden Singapura. Setelah PAP tergugat teruk dalam pilihan raya ini, semalam Menteri Mentor dan pengasas PAP, Lee Kuan Yew mengalah kepada suara rakyat dan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan. Turut meletak jawatan ialah Menteri Kanan Goh Chok Tong. Ini merupakan kejayaan besar gerakan generasi muda yang menuntut perubahan. PAP dianggap gergasi di Singapura. Sejak 1965 PAP tidak pernah rasa dicabar. Kalau di Mesir, Presiden Hosni Mubarak yang menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS) pun boleh ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat, apa luar biasanya Singapura? Dalam konteks ini, kemenangan enam kerusi oleh pembangkang bukan mustahil menggerakkan kebangkitan rakyat lebih besar hingga mengundurkan Lee Kuan Yew dari kabinet. Keputusan pilihan raya umum Singapura ke 16 minggu lalu memperlihatkan kemaraan pembangkang yang luar biasa. Maka PAP berhak untuk merasa cemas dengan mercu tanda baru politik ini. Lee Kuan Yew pula tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya. Lalu secara tergesa-gesa dia menyalahkan generasi muda kononnya tidak menghargai jasa PAP membangunkan Singapura. Siapa yang berjasa kepada siapa? Rakyat kepada parti pemerintah atau parti pemerintah kepada rakyat yang memilih mereka? Cara Lee Kuan Yew mengungkit jasanya kepada Singapura memperlihatkan kegagalan menguruskan tekanan kuat daripada pembangkang. Inilah kali pertama Lee Kuan Yew berleter dan terkeluar tajuk. Kemajuan Singapura dianggap sebagai jasa yang mesti dibayar oleh rakyat kepada PAP. Seolah-olah setiap rakyat yang menikmati hasil pembangunan negara berhutang dengan PAP. Cara membayarnya ialah dengan terus memilih PAP, sekalipun dasar parti itu sudah lapuk dan kekayaan negara tidak sampai kepada rakyat. Sebenarnya ini antara antara punca kebangkitan rakyat menuntut perubahan. Maka wajarlah apabila rakyat membalasnya dengan memberi kemenangan enam kerusi kepada pembangkang. Tetapi ini adalah sikap biasa pemimpin di mana-mana negara sekali pun. Mereka selesa dengan kemenangan dan terlena dalam kegemilangan silam. Pemimpin-pemimpin PAP tidak terkecuali tetapi cepat dikejutkan oleh kemaraan pembangkang menjuarai masalah rakyat. Tajam Lee Kuan Yew seorang pemerhati politik yang tajam. Dia boleh membaca kedudukan pembangkang yang akan lebih hebat pada masa akan datang dan PAP tidak mampu menyekatnya. PAP tidak lagi sebuah parti pemerintah yang selesa setidak-tidaknya menghadapi pilihan raya akan datang. Kalau dilihat daripada majoriti, antara enam dengan 81 adalah jurang yang sangat jauh. Tetapi ini menjadi penting kerana pencapaian dan kejayaan terbesar pembangkang berbanding tahun 1991 hanya empat kerusi dan 2006 hanya dua kerusi. Pada pilihan raya umum kali ini, kemaraan pembangkang boleh dilihat apabila bertanding 82 daripada 87 kerusi. Sebenarnya angka-angka ini adalah petunjuk kebangkitan terbesar rakyat yang menolak dasar kerajaan PAP. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah generasi muda yang terputus daripada nostalgia Singapura seperti yang dirasai oleh generasi Lee Kuan Yew. Generasi muda inilah yang akan membentuk alam politik Singapura yang baru masa depan. Mereka menjadi petunjuk bentuk dan hala tuju pendemokrasian politik Singapura. Maka kebimbangan Lee Kuan Yew tentang masa depan PAP itu sangat berasas sama sekali. Ini kerana kesedaran politik generasi muda dibina oleh jaringan maklumat yang lebih luas berbanding generasi lama yang terbius oleh kegemilangan silam Lee Kuan Yew. Kejayaan Parti Pekerja menumbangkan calon PAP yang juga bekas Menteri Luar, George Yeo pada pertandingan Perwakilan Kumpulan Kawasan (GRC) Aljunied adalah pukulan terbesar. Aljunied adalah kawasan selamat PAP. Tetapi kali ini menjadi kawasan panas dengan kebangkitan pengundi muda memainkan peranan dalam politik Singapura. Demokrasi Singapura tidak lebih daripada mengundi. Tetapi tiada demokrasi untuk menuju hari mengundi. Demokrasi itu tidak wujud dalam erti kata sebenar apabila pembangkang akan "dibunuh" dengan pelbagai cara termasuk memperalatkan institusi kehakiman untuk memufliskan pembangkang. Sementara media arus perdana pula dikawal ketat oleh kerajaan dan tidak sedikit pun memberi laluan kepada pembangkang. Sebelum ini kaedah tersebut berjaya melemahkan pembangkang kerana tiada laluan untuk menyampaikan tawaran yang terbaik kepada rakyat. Sekarang pembangkang mempunyai banyak pilihan termasuk menggunakan kemudahan Internet. Untuk menyekat pembangkang, PAP mewujudkan sistem yang dipanggil Perwakilan Kumpulan Kawasan pada 1988. Sistem ini memberi kelebihan kepada PAP untuk menang dalam sesuatu kawasan. Tetapi apabila kebangkitan rakyat berlaku dengan derasnya, sistem yang dibuat untuk memudahkan kemenangan PAP sudah tidak berperanan malah memakan diri. Protes Kemenangan mudah sejak 1965 menjadikan PAP leka dan selesa. Kerajaan meminggirkan kepentingan rakyat terbanyak dan suara protes tidak kedengaran di Parlimen. Kerajaan membuat dasar dengan sesuka hati untuk kepentingan pemimpin-pemimpin PAP. Semua ini memberi kesan secara langsung kepada rakyat seperti kenaikan harga rumah sebanyak 70 peratus sejak 2006, pembanjiran pekerja asing mencecah sejuta orang yang mengambil peluang pekerjaan warga tempatan, sistem pengangkutan yang tidak cekap, kenaikan sara hidup yang mendadak serta jurang kaya miskin yang semakin besar akibat acuan sistem ekonomi neoliberalisme. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan jaringan sosial di Internet, generasi muda berjaya disatukan untuk melancarkan perang perubahan. Laman-laman sosial ternyata memberikan kesan hebat sekalipun media arus perdana menutup peluang kepada pembangkang. Melihat kemunculan muka-muka baru dalam pembangkang, PAP juga mengemukakan banyak calon-calon muda kalangan profesional untuk mengimbangi populariti pembangkang. Masalahnya bukan sahaja soal calon tetapi dasar PAP. Tukar calon tetapi dasarnya sama tentu tidak akan ada perubahan. Meremajakan PAP tidak berhasil kecuali mengubah dasar supaya peka kepada masalah rakyat. Modal kempen PAP ialah pencapaian cemerlang Singapura sebagai negara bebas rasuah, peningkatan 14.4 peratus ekonomi selepas kegawatan 2009. Tetapi Perdana Menteri Lee Hsien Loong terpaksa menerima kenyataan apabila berkata, "Kami mendengar suara anda" merujuk sokongan hebat rakyat kepada pembangkang. Dia juga secara terbuka memohon maaf kerana kerajaan pimpinannya tidak peka dengan permasalahan rakyat. Setidak-tidaknya dia seorang pemimpin yang bertanggungjawab kerana mengakui kelemahan dasar-dasarnya. Hanya Lee Kuan Yew yang gagal melihat sosiopolitik semasa Singapura dari sudut pandangan generasi baru yang lebih terbuka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Menjayakan transformasi ekonomi Posted: Menjayakan transformasi ekonomiDr NOor Azlan Ghazali
Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada April 2009, istilah "transformasi" antara perkataan yang paling kerap diutarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Hampir di mana sahaja, baik forum ekonomi, sosial, pendidikan, malah juga politik, keperluan untuk kita melaksanakan transformasi pastinya diungkapkan. Rakyat dilontarkan dengan satu istilah yang besar ertinya secara bertubi-tubi oleh kepimpinan negara. Secara mudah, istilah ini mempunyai dua gabungan perkataan iaitu "trans" dan "formasi" yang memerlukan kita melaksanakan dua perkara secara serentak. Kita perlu bergerak, berubah atau berganjak dari satu tempat, keadaan, situasi ke satu destinasi yang baru dan dalam masa yang sama mengubah bentuk, struktur, kaedah pengoperasian dalam menguruskan keperluan diri, masyarakat dan juga negara. Saya amat tertarik dengan "keberanian" kerajaan untuk meletakkan transformasi ekonomi ini sebagai satu agenda besar negara. Proses transformasi bukan satu istilah kosong untuk mengejar populariti atau untuk seronok-seronok yang melekakan. Ini adalah satu pertaruhan yang begitu besar dan pastinya menjadi pembayang utama atas kesungguhan kerajaan dalam memajukan ekonomi negara dan juga pengukur kepada kecekapan kerajaan melaksana inisiatif yang diumumkan. Sasaran makro yang dinyatakan dalam laporan Pemandu adalah jelas, pada tahun 2020 Malaysia akan menjadi negara maju yang secara umumnya diukur dengan tahap pendapatan kasar nasional perkapita (GNI perkapita) berjumlah AS$15,000 (RM48,000). Pada tahun 2009, GNI perkapita ialah RM23,700. Ini bererti dalam tempoh sepuluh tahun angka ini perlu ditingkatkan sebanyak 2.03 kali ganda (2.23 kali ganda dalam nilai AS$). Mampukah kita mencapainya? Jawab saya, ya! Akan saya jelaskan bagaimana matlamat ini boleh dicapai. Malaysia mempunyai rekod melaksanakan transformasi ekonomi. Sebelum kita menilai lebih dalam, saya ingin membawa pembaca meninjau kepada satu perkara yang ramai kita terlepas pandang atau tersalah tafsir dan merasakan transformasi ini adalah petanda kita sudah ketinggalan. Sejauh manakah prestasi kemajuan Malaysia berbanding rakan saingan sebaya kita? Mengapakah kita memerlukan satu proses transformasi ekonomi secara besar-besaran? Adakah ini petanda kita ketinggalan di belakang? Ujian ringkas - kali pertama saya menjejak kaki ke Amerika Syarikat ialah pada bulan Jun 1982. Antara soalan yang sering perlu dijawab oleh pelajar Malaysia di Amerika Syarikat pada ketika itu ialah - di mana Malaysia? Malaysia tidak dikenali. Nama Malaysia jarang sekali disebut. Masih ramai yang keliru antara Madagascar, Malawi, dan Malaysia. Hampir tiga puluh tahun berlalu, sejak tiba di Harvard pada Julai 2010 yang lalu, soalan ini tidak lagi kedengaran. Malaysia sudah berada di pentas dunia. Profesor Hausmann, cendekiawan pembangunan ekonomi yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Antarabangsa Harvard, menggunakan Malaysia sebagai negara contoh untuk membincangkan teori Product Space yang dipeloporinya. Menurut beliau, daya saing sebuah negara boleh didasarkan kepada kejayaan beralih dari satu produk kepada produk yang lebih berteknologi dan bernilai tinggi. Malaysia diiktiraf kejayaannya dalam melayari Product Space, mengubah struktur ekonomi dari sebuah negara berpaksikan pertanian kepada negara pembuatan. Peralihan yang berjaya dilaksanakan oleh Malaysia dari tahun 1980-an ke tahun 2000 adalah begitu jelas. Kita mempunyai satu rekod yang amat penting - Malaysia telah berjaya melaksanakan satu transformasi yang begitu besar. Penelitian saya ke atas prestasi 10 tahun kalangan 20 negara yang sebaya dengan Malaysia (10 di atas dan 10 di bawah berdasarkan GNI per kapita) setiap kali kita menjengah ke dekad yang baru jelas sekali menunjukkan bahawa prestasi Malaysia adalah antara yang teratas. Begitu memberangsangkan. Sebagai contoh, ketika memasuki tahun 1980-an GNI perkapita Malaysia ialah AS$1,830 (1980). Dalam tempoh sepuluh tahun, pada tahun 1989, pendapatan perkapita meningkat sebanyak 1.23 kali ganda ke AS$2,250. Untuk dekad 1990-an (1990-1999), pendapatan perkapita meningkat sebanyak 1.41 kali ganda. Dari tahun 2000 sehingga 2009, pendapatan perkapita rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 2.13 kali ganda, dari AS$3,450 kepada AS$7,350. Transformasi ekonomi bukan kerana Malaysia ketinggalan Mengapa saya bangkitkan rekod kemajuan pembangunan negara untuk tiga dekad yang lalu sejak tahun 1980? Pertama, ini menjadi faktor penting bagi menyokong kemampuan kita untuk mencapai sasaran transformasi ekonomi negara. Kita mempunyai rekod yang cemerlang dalam konteks pembangunan ekonomi. Ini adalah tafsiran ekonomi yang kukuh berdasarkan fakta rasmi. Sasaran transformasi kita untuk meningkatkan pendapatan perkapita sebanyak 2.03 kali ganda pada tahun 2020 bukan unjuran lamunan mimpi. Kita boleh mencapainya kerana kita pernah melaksanakannya. Kedua, transformasi ekonomi perlu dilaksanakan bukan kerana kita ketinggalan atau gagal melaksanakan pembangunan ekonomi. Sebaliknya transformasi ini merupakan keperluan untuk kita melonjakkan momentum pertumbuhan ekonomi negara. Analisis saya kalangan 20 negara sebaya menunjukkan hanya Korea Selatan mempamerkan prestasi luar biasa. Pada tahun 1980 Korea Selatan adalah negara sebaya dengan Malaysia. GNI perkapitanya adalah AS$1,810, sedikit lebih rendah dari Malaysia. Namun, sepuluh tahun berikutnya, pada tahun 1989, negara ini telah menewaskan semua negara sebayanya. GNI per kapita Korea Selatan telah meningkat sebanyak 2.78 kali ganda dari 1980 ke 1989. Benar jika dibandingkan dengan kes luar biasa seperti Korea Selatan kita di belakang tetapi ini bukan bererti kita ketinggalan. Perbandingan tidak boleh dibuat berasaskan kes luar biasa. Berdasarkan purata prestasi rakan sebaya, prestasi Malaysia adalah antara yang terbaik. Kita tidak ketinggalan tetapi kita mahukan lonjakkan momentum pertumbuhan ekonomi. Setiap rakyat Malaysia adalah agen kepada transformasi ekonomi Gesaan bertubi-tubi Perdana Menteri untuk kita melaksanakan transformasi ekonomi adalah penting untuk kita semua. Momentum pertumbuhan ekonomi hanya boleh dilonjakkan sekiranya kita semua jelas dengan apa yang perlu kita lakukan. Setiap rakyat Malaysia adalah agen kepada kejayaan pelaksanaan program transformasi ekonomi. Bagi memastikan manfaat transformasi ini bersifat inklusif dan dikecapi semua, setiap komposisi dalam negara, individu, keluarga, komuniti (wilayah-bandar-kampung), kerajaan, firma, industri kecil dan sederhana, akademia, ahli politik dan sebagainya perlu memberi perhatian yang khusus dan jelas ke atas keperluan transformasi ini. Kita tidak boleh bersifat pasif, tunggu-lihat dan mengharapkan kerajaan mengagihkan kekayaan negara. Setidaknya kita mesti mempersoal dan membincangkan - apakah peranan saya dalam menjayakan transformasi ini? Apakah perubahan yang perlu saya lakukan? Persekitaran ekonomi mempunyai evolusinya yang tersendiri. Polisi ekonomi yang penting dan utama satu ketika dahulu berkemungkinan tidak lagi penting dan utama pada hari ini. Kemahiran yang kita hargai satu masa dahulu mungkin sudah lapuk. Struktur persaingan ekonomi global juga jauh berbeza. Pada tahun 1980-an tidak kedengaran nama Brazil, Rusia, China dan India atau BRIC. Hari ini BRIC muncul sebagai kuasa ekonomi besar yang semakin penting dalam ekosistem ekonomi dunia. Aliran pelaburan asing (FDI) dan dasar keputusan yang menentukan lokasi pilihan pelaburan juga ketara perbezaannya. Di tahun 1980-an tawaran kita ialah tenaga pekerja yang murah. Malaysia dan beberapa negara di rantau Asia Tenggara adalah syurga bagi pelabur asing yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran. Hari ini, semua ini telah berubah. Begitu juga Malaysia, kita perlu berubah. Malaysia mesti berubah secara proaktif mendahului rentak evolusi ekonomi global. Usaha mempertahankan polisi silam yang satu masa dahulu penting dan menguntungkan berkemungkinan merugikan. Polisi ekonomi mempunyai hayat kesesuaiannya. Apabila lahir, bayi mula dengan menyusu, kemudian diberi nasi bubur, kemudian nasi biasa, dan ditambah lauk pauk. Begitu juga ekonomi sebuah negara, apabila ekonomi semakin membangun dan maju, sifat ekonominya semakin kompleks. Keupayaan dan keperluannya semakin berbeza. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan