Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Faktor bunuh diri lebih kuatOleh NOOR AZMAH IBRAHIM KUALA LUMPUR 10 Mei - Dua pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dan Dr. Norhayati Ali berpendapat bahawa kemungkinan untuk Teoh Beng Hock membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 lebih kuat berbanding faktor-faktor penyebab kematian lain. Berdasarkan laporan yang disediakan kedua-dua pakar itu, mereka menyimpulkan demikian selepas mengambil kira semua perkara termasuk ketiadaan tanda-tanda pergelutan, kesan darah dan senjata serta keadaan tingkap yang terbuka luas dengan kesan-kesan comot dan berminyak padanya. Walaupun Beng Hock mempunyai emosi yang stabil serta sihat tubuh badan, mereka berpendapat setiausaha politik Exco Selangor itu mengalami dua peristiwa besar pada Julai 2009 yang menyebabkan dia lebih tertekan dan sekali gus menunjukkan keadaan mindanya ketika itu. Peristiwa tersebut ialah tunangnya, Soh Cher Wei disahkan hamil pada 3 atau 4 Julai yang menyebabkan tarikh perkahwinan dipercepatkan kepada 3 Oktober 2009 serta kesibukan membuat persiapan perkahwinan dua minggu sebelum menemui ajal. Begitu juga siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang turut menimbulkan kebimbangan apabila Beng Hock dilihat bertindak memberi peringatan kepada tujuh ADUN dalam tempoh yang sama. Ba'diah yang turut memberi keterangan pada prosiding hari ini bagi menjelaskan beberapa isu dalam laporannya juga berpendapat, sebanyak 27 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan yang dibuat oleh Beng Hock antara pukul 3.35 dan 6.15 petang, 15 Julai 2009 iaitu ketika pegawai SPRM membuat siasatan di pejabatnya menunjukkan dia berada dalam keadaan tertekan dan terdesak. "Beng Hock juga keberatan untuk meninggalkan pejabat SPRM kerana tidak mahu mengambil dokumen yang diminta serta tidak mahu berhadapan dengan ketuanya sebab dia seorang yang suka membantu, menyelesaikan masalah selain setia kepada ketua dan organisasi. "Beng Hock dilihat cemas berdasarkan corak panggilan yang dibuat. Beliau juga berubah sikap semasa di pejabat SPRM apabila berjalan mundar-mandir, tunduk ke bawah, banyak berfikir serta menyesal menyerahkan komputer ribanya kepada SPRM," jelas beliau. Laporan kedua-dua pakar psikiatri itu bagaimanapun turut menyatakan Beng Hock mempunyai faktor-faktor yang menghalang dia membunuh diri walaupun mereka tidak berhak untuk menyatakan dia mungkin ditolak atau diheret ke tingkap kerana tiada bukti sedemikian. Sementara itu, seorang lagi pakar psikiatri forensik, Profesor Paul E Mullen yang dilantik oleh Majlis Peguam Malaysia pula berpendapat, personaliti dan sikap Beng Hock tidak menunjukkan dia seorang yang berisiko atau cenderung untuk membunuh diri. "Saya berpendapat, sebelum ditahan, Beng Hock berada dalam kumpulan berisiko rendah untuk membunuh diri. Sekiranya dia membunuh diri, bagi saya beberapa perkara mungkin timbul sehingga mengganggu kestabilan psikologinya serta menakutkannya sehingga menyebabkan kematian. "Sekiranya ia dapat membantu suruhanjaya, saya boleh memberi nasihat bagi mengurangkan bunuh diri dan mencederakan diri sendiri dalam tahanan. Perkara pertama adalah memastikan pihak berkuasa tidak melakukan tindakan yang mendorong seseorang membunuh diri," katanya dalam laporan beliau. Ba'diah bertugas sebagai Perunding Psikiatri Forensik di Hospital Permai Johor Bahru manakala Norhayati dari Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri Hospital Selayang. Mullen pula merupakan profesor pelawat di Institut Psikiatri, London. Mereka sebelum ini menemubual ahli keluarga Beng Hock serta beberapa rakan sekerja termasuk ketuanya, Ean Yong Hian Wah selain berpeluang meneliti pelbagai dokumen berkaitan seperti kenyataan Beng Hock, laporan bedah siasat termasuk lawatan ke tempat kejadian. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Prosiding suruhanjaya siasat kematian Beng Hock berakhir Posted: Prosiding suruhanjaya siasat kematian Beng Hock berakhirKUALA LUMPUR 10 Mei - Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari lalu berakhir hari ini. Pengerusinya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengumumkan demikian selepas saksi ke-70, pakar psikiatri forensik, Dr. Ba'diah Yahya dari Hospital Permai Johor Bahru selesai memberi keterangan pada pukul 5.30 petang. Pada prosiding hari ini, beliau turut menetapkan 25 Mei ini untuk semua pihak termasuk peguam yang mewakili Majlis Peguam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hujahan bertulis masing-masing. Laporan hasil siasatan suruhanjaya pula akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 24 Jun ini. Cheng Yuen yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan mengakhiri prosiding hari ini dengan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk para petugas media yang disifatkan telah membuat laporan yang tepat sepanjang prosiding berlangsung. Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini. Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Beng Hock selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka. Sepanjang prosiding yang bersidang selama 60 hari itu, seramai 70 saksi telah memberi keterangan termasuk mereka yang tidak dipanggil pada prosiding inkues seperti tunang Beng Hock, Soh Cher Wei; Hian Wah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dan semua pegawai SPRM Selangor yang bertugas pada malam 16 Julai 2009. Prosiding suruhanjaya dibantu oleh tiga pegawai pengendali iaitu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Amarjeet Singh, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa. Majlis Peguam turut menghantar beberapa peguam iaitu Christopher Leong, Cheow Wee dan Edmund Bon manakala SPRM diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah. Selain Cheng Yuen, panel suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom. Suruhanjaya turut melantik penyiasat persendirian warga Britain, Michael Leslie Squires yang membawa kepada beberapa pendedahan baru seperti kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) pegawai-pegawai SPRM, maklumat dari komputer mereka serta ketiadaan bukti menunjukkan Beng Hock akan mendaftarkan perkahwinan sehari selepas dia ditemui mati. Suruhanjaya juga berjaya membongkar beberapa isu seperti penggunaan lesen kontraktor bumiputera kelas F oleh kontraktor yang mempunyai kaitan dengan DAP bagi mendapatkan projek- projek kecil di bawah peruntukan ADUN Selangor. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan