Utusan Online - Pahang |
- RM1.2j bantu keluarga miskin
- ADap tingkat penguasaan subjek
- Bayar cukai tanah pada Sabtu, Ahad sepanjang Mei
Posted: RM1.2j bantu keluarga miskin
KUALA LIPIS 10 Mei - Kerajaan memperuntukkan RM1.2 juta untuk membantu seramai 123 keluarga miskin tegar menerusi program Azam Tani di daerah ini pada tahun ini. Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, daripada jumlah itu, 85 penerima terdiri daripada kategori miskin manakala selebihnya miskin tegar. "Peruntukan fasa pertama ini disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). "Dana ini untuk membantu keluarga miskin berpendapatan bulanan bawah RM830 dan miskin tegar berpendapatan bawah RM520 sebulan yang dipilih menyertai program Azam Tani bagi meningkatkan pendapatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Input dan Peralatan Program Azam Tani di sini, semalam. Hadir sama Pegawai Pertanian Kuala Lipis, M. Halimee Mohmad; Pegawai Agama Islam Lipis, Mohd. Fadzli Mat Saman dan Pegawai RISDA daerah, M. Azmi Mohamad. Menurut Mohamad Shahrom, objektif program berkenaan untuk membantu keluarga terbabit menerusi sektor pertanian, penternakan, perikanan, usahawan kecil dan penghasilan produk industri asas tani. Menerusi program itu, jelasnya, setiap keluarga miskin yang tersenarai dalam e-Kasih berpeluang meningkatkan pendapatan isi rumah sekali gus mengeluarkan mereka daripada paras kemiskinan. Justeru itu katanya, setiap peserta akan dibantu berdasarkan minat dan kemahiran mereka menerusi empat komponen yang terdapat dalam program Azam Tani. Sementara itu, Halimee berkata, seramai 18 peserta terbabit dengan kegiatan pertanian manakala 13 lagi memilih untuk melaksanakan bidang penternakan. "Sebanyak RM310,000 diperuntukkan bagi menyediakan peralatan pertanian dengan setiap peserta program menerima bantuan bernilai RM10,000," katanya. Tambah beliau, pihaknya berharap penerima bantuan dapat memanfaatkan peralatan berkenaan dengan sebaik-baiknya terutama bagi memenuhi aspirasi kerajaan negeri merealisasikan kemiskinan sifar pada tahun ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
ADap tingkat penguasaan subjek Posted: ADap tingkat penguasaan subjekMohd. Padil Osman (duduk, lima dari kanan) bersama pelajar dan guru di Bera, kelmarin. BERA 10 Mei - Sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) dalam akhbar Utusan Malaysia amat berguna kepada pelajar terutama sebagai rujukan dan ulang kaji bagi meningkatkan penguasaan subjek Bahasa Melayu, Sains dan Matematik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman berkata, sisipan ADaP juga dapat membantu guru meningkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Katanya, persembahan ADaP yang berkualiti mampu menarik minat dan memudahkan pelajar menguasai sesuatu mata pelajaran. "Saya menaja 4,000 naskah akhbar ini untuk pelajar di lapan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di DUN Kemayan kerana saya dapati kandungan ADaP boleh membantu pelajar menguasai mata pelajaran berkenaan dengan berkesan. "Saya harap guru dapat memanfaatkan ADaP bagi membantu melahirkan pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia," kata Mohd. Padil. Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyerahan cek penajaan Utusan Malaysia dan menutup Bengkel Puisi Tradisional di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bera, di sini, semalam. Bengkel dikendalikan penggiat seni tempatan, Roslan Madun, dihadiri 80 pelajar dan guru dari sekolah menengah di sini. Hadir sama Pegawai PPD Bera, Ramli Awang. Dalam perkembangan lain, Mohd. Padil berkata, novel Interlok menjadi mangsa eksploitasi pihak tertentu untuk kepentingan politik sempit kerana rakyat negara ini tidak memahami fungsi dan peranan sastera. Katanya, Interlok tidak menghina sesiapa terutama kaum India tetapi ia digarap agar para pembaca menghargai perpaduan yang wujud sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Sehubungan itu, beliau menasihati para pelajar supaya menghayati pelajaran Sastera kerana ia mampu mendidik mereka menjadi pelajar dan warganegara yang mempunyai integriti dan jati diri. "Sastera tidak hanya boleh dilihat sebagai mata pelajaran untuk lulus peperiksaan semata-mata kerana ia memainkan peranan yang cukup besar dalam membentuk jati diri pelajar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Bayar cukai tanah pada Sabtu, Ahad sepanjang Mei Posted: Bayar cukai tanah pada Sabtu, Ahad sepanjang MeiTEMERLOH 10 Mei - Orang ramai yang tidak sempat membayar cukai tanah pada hari biasa kini boleh berbuat demikian pada hari Sabtu dan Ahad di Pejabat Tanah Daerah (PTD) di sini, sepanjang bulan ini. Penolong Pegawai Daerah (Unit Hasil dan Kuat Kuasa), Fauzi Jaafar berkata, PTD Temerloh mengambil inisiatif membuka kaunter bayaran bersepadu pada Sabtu dan Ahad supaya pemilik tanah dapat membuat bayaran dengan mudah. Menurutnya, ada pemilik tanah yang tidak dapat membuat bayaran pada hari biasa kerana tinggal jauh dari bandar ini. "Apabila kaunter bayaran dibuka pada Sabtu dan Ahad, tidak ada lagi alasan mereka gagal berbuat demikian," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Fauzi berkata, kaunter bayaran yang dibuka pada Sabtu dan Ahad juga tidak sesak seperti hari biasa dan ia memudahkan orang ramai berurusan. Beliau berkata, dua Pembantu Tadbir Kewangan dan beliau sendiri akan berurusan dengan pelanggan di kaunter pada Sabtu dan Ahad ini. Menurutnya, bayaran hasil tanah yang bermula pada 1 Januari, akan berakhir pada 31 Mei ini dan dengan inisiatif PTD, kaunter dibuka selama tujuh hari seminggu sepanjang bulan ini. Bagaimanapun katanya, kaunter bayaran hasil pada Sabtu dan Ahad hanya dibuka pada pukul 9 pagi dan berakhir 3 petang berbanding hari biasa dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Beliau mengingatkan, mereka yang gagal membuat bayaran hasil tanah boleh dikenakan tindakan denda tunggakan di bawah Kanun Tanah Negara. Dalam perkembangan berkaitan, Fauzi memberitahu, Unit Hasil PTD Temerloh telah berpindah ke bangunan baru bersebelahan pejabat lama dan semua bayaran boleh dibuat di kaunter bersepadu. Sementara itu, seorang pembayar cukai, Muhamad Sabaruddin Abdul Hamid, 39, berkata, kaunter bayaran yang dibuka pada Sabtu dan Ahad sangat memudahkan urusannya. "Inisiatif yang dilakukan PTD Temerloh ini sepatutnya dicontohi semua PTD di negeri ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan