Selasa, 10 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Cabaran UMNO seterusnya

Posted:

Cabaran UMNO seterusnya

Cabaran UMNO seterusnya

PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Potret Presiden UMNO sejak ditubuhkan pada 1946 hingga sekarang. UMNO kini berusia 65 tahun sudah tentu banyak cabaran dan kejayaan diharungi oleh barisan kepimpinannya.


ABAD ke-18 hingga 20, adalah era Barat menghancurkan negara-negara empayar di Eropah seperti Prussia, Timur Tengah, empayar Otthoman Turki iaitu empayar Islam terakhir. Sebelum itu, dalam abad ke-15, Empayar Melayu Melaka di Nusantara dan Empayar Islam di Andalusia (Eropah) ditumpaskan.

Sejak abad ke-19, lahirlah nation states atau negara bangsa seperti Iraq, Syria, Lebanon, India, Pakistan, Arab Saudi, Malaya, Indonesia, Singapura, Australia, Kanada dan lain-lain. Agenda Barat mewujudkan negara bangsa diteruskan dengan menciptakan teori pemerintahan "demokrasi" daripada falsafah Yunani dan Rom untuk diterapkan di negara-negara bangsa yang baru muncul itu.

Tanah Melayu tidak terkecuali mengalami proses penjajahan dan proses menerima konsep sistem politik demokrasi Barat tersebut.

Di situlah, UMNO yang kini berusia 65 tahun sempena 11 Mei 2011 hari ini, muncul di tengah-tengah perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan British!

UMNO berjuang di tengah-tengah masyarakat majmuk ciptaan British semasa menduduki negara ini lebih 120 tahun lalu.

Apabila konsep negara bangsa itu diperkenalkan, kebanyakan negara di dunia baik Asia, Eropah, Amerika atau Australia, majoriti penduduk negara-negara itu adalah satu bangsa, kaum dan budaya yang sama, malah agama.

Hal ini unik bagi Malaysia, yang mempunyai jumlah penduduk bukan Melayu hampir sama jumlahnya dengan kaum pribumi dan berbeza agama, budaya dan bahasa.

Sistem politik demokrasi Barat itu semacam dipaksa untuk dipraktikkan di semua negara bangsa yang dimerdekakan itu, termasuk Malaysia!

Apabila Perang Dunia Kedua dan Perang Jepun tamat pada 1945, di situlah peranan UMNO yang berjaya menyatukan orang Melayu yang sebelum ini berpuak-puak dan pelbagai fahaman ke dalam satu wadah politik Melayu UMNO, yang mana semua penduduk Melayu yang beragama Islam berada di bawah UMNO ketika menentang Malayan Union 1946.

Ketika itu, UMNO dianggap parti sederhana yang berslogan "untuk bangsa, agama dan negara" berbanding parti-parti politik lain seperti Hisbul Muslimin, Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya yang dianggap British sebagai parti kiri, radikal dan revolusioner dan tentunya dihapuskan daripada bergerak dalam politik.

Dalam keadaan serba kekurangan, menjelang 1957, orang Melayu melalui UMNO mengajak parti-parti kaum Cina (MCA) dan India (MIC) untuk berkongsi kuasa dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

British memberikan kemerdekaan atas dasar Perikatan yang dipimpin UMNO yang tentunya banyak mengorbankan hak Melayu sendiri sebagai pribumi negara ini dan menerima perlembagaan baru bagi Tanah Melayu merdeka yang memberi kewarganegaraan dan hak yang sama kepada Cina dan India (kerana British bertanggungjawab membawa Cina dan India ke Tanah Melayu, dan mereka tidak mahu pulang ke negara asal - ini menggusarkan British), dengan beberapa syarat dipersetujui bersama dalam suatu kontrak sosial oleh ketiga-tiga parti tersebut.

Ketika itu, UMNO, MCA dan MIC dianggap mewakili kaum masing-masing berdepan dengan pihak British menuntut kemerdekaan.

Pemimpin Perikatan tidaklah menyangka sama sekali akan wujud parti-parti pembangkang yang agak kuat daripada orang Melayu (Pas), Cina (DAP) dan kini ditambah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggugat Barisan Nasional (BN).

Kerajaan pula ketika itu membenarkan kewujudan parti berlainan ideologi dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara atas dasar "kebebasan bersuara" dan "acuan Barat" tersebut!

Sebenarnya, semacam satu kemujuran sejarah, di mana UMNO berada dalam suasana orang Melayu terpaksa menyokong parti itu, kerana orang Melayu semacam tidak ada banyak pilihan untuk memilih parti yang boleh mewakili dan memperjuangkan kepentingan mereka. Sedangkan di negara-negara lain, rakyat bebas memilih mana parti yang mereka suka kerana penduduknya tidak bersifat majmuk seperti di Malaysia!

Inilah dilema Melayu! Dalam keadaan kemajmukan itu, jika orang Melayu beralih daripada UMNO kepada parti lain, yang terjadi parti itu tidak dapat mempertahankan kekuasaan politik terus berada di tangan orang Melayu. Jika pun berada di tangan Melayu seperti di Perak, ia hanya dianggap "boneka" kepada pembangkang seperti DAP, kerana undi Melayu berpecah! Jika berlaku di peringkat nasional seperti di Perak, sukar diramalkan apa akan berlaku!

Namun, dalam pada orang Melayu tidak banyak pilihan dalam berpolitik, parti UMNO/ BN meneruskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dan rakyat umumnya dan pencapaiannya tidak boleh dinafikan.

Pencapaian ekonomi bukan Melayu juga melonjak naik dari dahulu hingga kini. Itulah Malaysia, politiknya berasaskan kaum, tetapi ekonominya hebat!

UMNO dan Perikatan memenangi kesemua pilihan raya umum (PRU) yang diadakan sejak 1955 hingga PRU 2008.

Dalam meniti era pembangunan, memang terdapat pasang surut dalam perjuangan parti tersebut. Peristiwa paling mengecewakan adalah PRU 1969, di mana UMNO menghadapi kemerosotan undi daripada orang Melayu dan bukan Melayu dengan Perikatan mendapat 76 kerusi Parlimen, pembangkang 37 kerusi; dan berlaku sekali lagi pada PRU 2008 di mana BN hanya mendapat 142 kerusi, pembangkang 80 kerusi.

UMNO yang hampir patah sayap, tetap bertongkatkan paroh, terus menerajui negara sehingga pada 1 Januari 1973, UMNO dan Pas menubuhkan kerajaan campuran.

Saat yang paling manis ini memperlihatkan kedua-dua parti Melayu itu, satu nasionalis (UMNO), dan yang satu lagi Islamis (Pas) bersatu dan membentuk sebuah kerajaan campuran. Perkahwinan Pas -UMNO tidak lama, pada 1977 berakhir dengan perceraian "talak" tiga! Masing-masing mencari haluan sendiri.

Dalam keadaan politik pasang surut, UMNO berjaya mengatasinya dengan pelbagai pendekatan. Misalnya pada 1946, UMNO di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar berjaya menyatukan orang Melayu dengan "Hidup Melayu." Tahun 1957 Tunku membawa wadah "Merdeka." Tahun 1963 Tunku membawa Gagasan Malaysia dan berjaya menghadapi "Konfrontasi Indonesia." Tahun 1969 - UMNO menghadapi pergaduhan kaum tetapi berjaya memulihkan keadaan dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Tahun 1970, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Pada 1973 UMNO dan Pas bergabung mewujudkan kerajaan campuran. Pada 1987, Tengku Razaleigh menentang Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan UMNO diharamkan pada 12 Februari 1988. Pada 14 Februari 1988 UMNO Baru diwujudkan sebagai wadah baru UMNO. Diikuti dengan penubuhan Semangat 46.

Pada 1996 Semangat 46 diserap semula ke dalam UMNO. Pada 1998/1999 sebahagian ahli UMNO keluar mengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO kerana dituduh hendak menjatuhkan kepimpinan Dr. Mahathir dan menubuhkan PKR.

Pada PRU 2008, UMNO mengalami kekalahan yang teruk di mana lima buah negeri ditawan oleh pakatan pembangkang.

Cabaran UMNO kini sangat berat. Yang mendatang belum tahu! Antaranya, DAP tidak hanya menentang UMNO/BN tetapi menentang sebahagian besar kandungan Perlembagaan! Pengundi Cina mula berpaling daripada menyokong MCA dan Gerakan.

Penulis hanya melontarkan persoalan, apakah UMNO sekali lagi terpaksa mengorbankan hak-hak Melayu demi hendak memperoleh sokongan kepada BN dan melayan tuntutan golongan ini?

Ketiga, Pas sukar diajak berunding seperti era kerajaan campuran UMNO-Pas dahulu. UMNO masih menganggap dengan kerjasama Pas, masalah perpecahan sesama Melayu boleh diredakan. Pas memang dikenang banyak memberi sumbangan kepada negara semasa di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda. Antaranya, menyokong gagasan Malaysia, menyokong ISA, menyokong Singapura keluar dari Malaysia dan tentunya semasa Pas berada di dalam kerajaan campuran 1973-1977 dahulu.

Atas dasar itulah UMNO tidak berhenti mengundang Pas untuk berunding ke arah penyatuan Melayu! Masalahnya, Pas dahulu macam benang, sekarang sudah menjadi kain. Dahulu ideologi Islam Pas lain dengan ideologi Islam Pas sekarang. Pas kini mirip fahaman pemerintahan ulama ala-Iran.

Lagi pun Pas sudah mendapat rakan baru iaitu DAP dan PKR. Sebab itu, Pas kini berlainan fahaman dan aspirasinya berbanding semasa era Datuk Asri dahulu.

Dahulu mereka berhasrat hanya mahu menjadi parti pendakwah Islam, soal politik dan menjadi pembangkang adalah soal kedua. Kini Pas mahu "memerintah Malaysia". Tentulah "politik" didahulukan" daripada agenda lain.

Perbezaan fahaman politik UMNO dan Pas kian melebar dan tentunya disebabkan tiada usaha memupuk hubungan antara UMNO dan Pas sejak 1977 hingga kini. Justeru, jarak masa 34 tahun itu tentu sekali membuatkan kedua-dua parti itu mempunyai jurang pendapat yang luas dan haluan berbeza.

Cabaran keempat, adalah bagaimana UMNO hendak memperoleh semula sokongan padu orang Melayu? Dikatakan parti itu sedang melakukan beberapa pendekatan baru. Di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, diyakini akan dapat mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO, begitu juga sokongan bukan Melayu.

Antara langkah-langkah yang sedang diambil adalah memperkenalkan transformasi politik, ekonomi dan sosial. Di bawah transformasi politik, difahamkan agenda untuk mengajak Pas bergabung dengan UMNO masih diteruskan. Ini akan kita analisis kemudian.

UMNO juga telah membuat perubahan drastik berhubung sistem pemilihan pemimpin supaya lebih demokratik. Lebih 160,000 ahli UMNO akan terlibat dalam pemilihan tersebut, berbanding hanya 1,800 ahli sahaja sebelum ini.

Strategi menerapkan beberapa ciri penting untuk dijadikan panduan kepimpinan. Contohnya memilih pemimpin yang amanah, jujur, dedikasi, beragama, berakhlak mulia , mempunyai etika dan sahsiah diri. Semua bakal calon pilihan raya mestilah terdiri daripada mereka yang profesional dalam pelbagai bidang.

Para pemimpin muda yang berkaliber perlu dilatih dari sekarang sebagai persediaan apabila sampai waktunya nanti akan mengambil alih kepimpinan di semua peringkat. Ini mengelakkan parti tidak punya banyak pilihan.

Beberapa tingkah laku yang tidak baik membawa kepada kekalahan BN/UMNO pada PRU-12. Justeru pemimpin-pemimpin UMNO haruslah bersikap tidak mengada-ngada, memahami perasaan dan kehendak rakyat, perlu menerima maklumat dari akar umbi, perlu ada rasa "kekitaan" tidak bersikap angkuh, sombong, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk, bersikap simpati dan "empati" terhadap kesusahan rakyat dan berfikiran terbuka.

Anggapkan kemasukan orang muda dalam parti sebagai "aset, bukan musuh yang mengancam kedudukan; tidak mencantas kepimpinan baru; pemimpin perlu turun padang secara berkala, perlu merapatkan diri dengan masyarakat, jangan terlalu yakin dan selesa dengan prestasi parti."

Budaya politik baru perlu diwujudkan, UMNO sedang dalam proses mengubah mindset daripada budaya politik yang lama kepada budaya politik yang baru; UMNO perlu berwajah baru - wajah yang memberi harapan baru kepada bangsa Melayu ke arah menawan semula hati mereka yang sudah luka, rawan dan tidak keruan sekarang ini.

UMNO sedang dalam proses membuka seluas-luasnya keahlian kepada semua pihak, profesional, pegawai kerajaan, ahli-ahli korporat dan usahawan-usahawan Melayu.

Akhir sekali, UMNO harus menonjolkan budaya politik yang berteraskan kasih sayang dan tolak ansur sesama manusia walaupun berbeza ideologi politik.

Budaya politik baru ini seharusnya berteraskan prinsip agama dan nilai akhlak yang mulia dan tidak terjerat dengan emosi melulu serta fahaman agama yang sempit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cita rasa Melayu Singapura

Posted:

Cita rasa Melayu Singapura

Cita rasa Melayu Singapura

Oleh Azmi Hassan


Calon Parti Pekerja menjalankan kempen ketika bertemu penduduk di GRC Aljunid, Singapura, baru-baru ini. – AFP


PILIHAN Raya Umum Singapura Ke-11 yang baru berlangsung mempamerkan anjakan cita rasa pengundi yang berani memberi kepercayaan kepada calon parti pembangkang yang selama ini begitu sukar memperolehi sokongan pengundi.

Perolehan jumlah undi sebanyak 60 peratus yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah terendah semenjak memerintah Singapura lebih lima dekad yang lepas. Ketika pilihan raya tahun 2006, PAP yang diterajui oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong memperolehi 66 peratus keseluruhan undi.

Merosotnya jumlah undi yang diperolehi oleh PAP dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pengundi terhadap kos sara hidup yang terlalu tinggi dan jurang pendapatan yang begitu ketara di antara golongan mewah dan sederhana. Pengundi yang kebanyakannya pertama kalinya berpeluang mengundi, lebih berani membuat keputusan yang menongkah arus.

Tetapi apa yang lebih menarik untuk dianalisis adalah sikap atau cita rasa pengundi Melayu yang dianggap sebagai kaum minoriti, tetapi mempunyai kuasa penentu di beberapa kawasan mengundi. Walaupun digembar-gemburkan pengundi Singapura yang dianggap matang dan tidak mengundi mengikut kaum, tetapi hakikatnya bangsa calon itu masih memainkan peranan penting.

Sebab itu Singapura terpaksa memperkenalkan konsep Kawasan Pilihan Raya Berkumpulan (GRC) pada 1988 untuk memastikan calon kaum minoriti tidak terpinggir dan mempunyai peluang yang saksama dengan calon kaum Cina.

Ketika pilihan raya 2001, sebahagian besar pengundi Melayu tidak menyokong PAP kerana merasa terkilan dengan sikap kerajaan Singapura yang menyokong kempen memerangi keganasan Amerika Syarikat yang ditafsirkan sebagai kempen untuk menindas umat Islam.

Walaupun PAP memperolehi jumlah sokongan yang begitu padu iaitu sebanyak 75 peratus undi, tetapi sokongan tersebut hanya datang dari satu kelompok pengundi iaitu dari pengundi kaum Cina.

Tetapi keputusan pilihan raya 2006 telah mempamerkan penghijrahan pengundi Melayu yang mana hampir 80 peratus telah kembali ke pangkuan PAP. Malah PAP dikatakan bernasib baik masih mampu memperolehi 66 peratus undi hanya kerana ihsan pengundi Melayu.

Berlakunya perubahan sikap pengundi Melayu dari 2001 hingga 2006 adalah kerana selama lima tahun kaum Melayu bagaikan terpinggir dari arus pembangunan Singapura gara-gara dilabel sebagai penyokong pembangkang.

Bukan menjadi satu rahsia bahawa kerajaan yang diterajui oleh PAP akan menghukum secara tersirat dan sistematik penduduk yang menyokong pembangkang kerana arus pembangunan kawasan tersebut tiba-tiba akan menjadi terbantut atau setidak-tidaknya perlahan.

Menteri Mentor, Lee Kuan Yew telah memberi amaran kepada penduduk Aljunid bahawa mereka mempunyai masa lima tahun untuk ambil iktibar dengan pemilihan yang telah dilakukan. Kekecewaan yang diluahkan Kuan Yew adalah ekoran kekalahan PAP di GRC Aljunid di tangan parti pembangkang Parti Pekerja (WP).

Ramai yang menjangkakan pilihan raya kali ini akan menyaksikan penghijrahan sekali lagi pengundi Melayu kepada pembangkang. Malah sekilas pandang, penambahan jumlah undi sebanyak 10 peratus yang diperolehi oleh pembangkang bagaikan telah mengesahkan persepsi tersebut.

Jangkaan tersebut diperkuatkan lagi dengan saranan Kuan Yew kepada Melayu Singapura agar melunturkan pegangan agama Islam mereka supaya lebih mudah mereka bergaul dengan kaum lain.

Saranan tersebut yang terkandung dalam buku beliau yang bertajuk Hard Truths: To Keep Singapore Going telah mendapat bantahan bukan sahaja daripada penduduk Melayu tetapi juga ahli politik Melayu dari PAP.

Isu penghinaan terhadap pegangan agama Melayu Singapura telah dipergunakan sepenuhnya oleh pihak pembangkang walaupun Kuan Yew telah memohon maaf atas keceluparan beliau. Calon Parti Perpaduan Nasional (NSP) Nicole Seah umpamanya telah memohon maaf bagi pihak Kuan Yew dalam usaha beliau menarik undi Melayu. Beliau yang bertanding di GRC Marine Parade bagaimanapun tewas di tangan kumpulan calon PAP yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Goh Chok Tong.

Sokongan pengundi Melayu terhadap PAP masih utuh seperti mana pola undian pada 2006 dan tidak berlaku penghijrahan kepada pembangkang seperti yang dijangkakan sebelum pilihan raya.

Walaupun PAP tewas kepada WP di GRC Aljunid pada hal kumpulan PAP ini diketuai oleh Menteri Luar George Yeo, tetapi peratus undian yang diperolehi oleh calon minoriti PAP iaitu Zainul Abidin Rasheed melebihi peratus undi yang diperolehi oleh empat rakan PAP beliau.

Malah peratus undi Zainul juga jauh meninggalkan calon Melayu WP iaitu Muhamad Faisal Abdul Manap. Pola pengundian Melayu di GRC Aljunid iaitu kawasan Eunos jelas menunjukkan kaum bumiputera Singapura ini jauh lebih selesa dengan calon Melayu PAP berbanding dengan pembangkang.

Walaupun pengundi Cina tidak memberi sokongan kepada empat calon Cina PAP yang lain, tetapi pengundi Melayu tetap menyokong Zainul walaupun mempunyai pilihan Faisal dari WP.

Begitu juga dengan GRC Marine Parade, penghijrahan ketara berlaku terhadap pengundi Cina yang menyokong parti pembangkang NSP. Tetapi pengundi Melayu tetap bersama PAP walaupun NSP mempunyai calon minoriti Melayu yang agak popular iaitu Mohamad Maliki Osman.

Cita rasa pengundi Melayu Singapura jelas mempamerkan sikap pragmatik apabila berhadapan dengan masa hadapan kaum mereka.

Pengundi Cina tidak gentar memberi undi kepada pembangkang kerana mereka akur PAP tidak boleh menyisihkan kaum Cina kerana mereka adalah majoriti di Singapura.

Tetapi Melayu Singapura adalah golongan minoriti dan sokongan terhadap parti pembangkang sudah tentu dengan mudah boleh dihukum oleh kerajaan pimpinan PAP.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG),

Universiti Teknologi Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan