Isnin, 16 Mei 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Qatar tawarkan RM434 bilion

Posted:

Qatar tawarkan RM434 bilion

Qatar tawarkan RM434 bilion

Oleh Zulkiflee Bakar


Najib Tun Razak memberi penerangan mengenai senarai usahawan Malaysia yang terkandung dalam buku yang diserahkan kepada Emir Qatar, Sheikh Hamad Khaliffa Al-Thani di Emri Diwan, Doha, semalam. Turut sama, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al-Thani (kanan). Najib mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Qatar. – BERNAMA


DOHA 15 Mei – Kerajaan Qatar membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek infrastruktur bernilai lebih RM434 bilion yang kini sedang rancak dilaksanakan oleh negara tersebut.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru syarikat-syarikat Malaysia merebut peluang pembangunan tersebut memandangkan Qatar kini dalam persiapan menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia 2022.

Pendirian kerajaan Qatar yang mengalu-alukan penyertaan syarikat Malaysia itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani dalam pertemuan dengan Najib hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi dua hari ke Qatar di sini, Najib berkata, pada masa ini terdapat beberapa syarikat Malaysia yang berjaya memenangi bida antarabangsa seperti membina bangunan kerajaan dan lapangan terbang antarabangsa Doha.

''Saya telah menyatakan bahawa syarikat Malaysia bersedia mengambil bahagian dalam pelbagai projek infrastruktur yang akan dilakukan oleh Qatar dan pada prinsipnya mereka mengalu-alukan penyertaan tersebut dengan syarat tawaran oleh syarikat Malaysia adalah kompetitif," katanya.

Beliau berkata, salah satu projek gergasi di Doha ialah projek 'The Heart Of Doha'' membabitkan 100 bangunan dan pembinaan stadium dan kompleks sukan.

''Ini juga salah satu projek yang boleh disertai oleh syarikat Malaysia dan pada masa ini nilai projek yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat dari negara kita di Qatar ialah RM21.7 bilion," katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, secara khusus beliau juga membincangkan perkembangan dalam bidang petroleum di mana Petronas dilihat sebagai sebuah syarikat milik kerajaan yang berjaya menjadi pemain global dalam bidang minyak dan gas.

''Ini membuka peluang kepada Petronas untuk berbincang sama ada mereka boleh memperolehi sumber gas dan petroleum dari Qatar dan juga sama ada Petronas dan syarikat petroleum Qatar bekerjasama di negara-negara ketiga atau pun mereka boleh mengambil bahagian terutama sekali dalam industri hiliran minyak dan gas di negara kita," katanya.

Najib berkata, dalam perbincangan tersebut juga ia menyentuh mengenai peluang Qatar melabur di Malaysia dan pada masa ini mereka terlibat dalam projek seperti pembangunan pusat beli-belah Pavillion di Kuala Lumpur di mana 49 peratus projek berkenaan milik Lembaga Pelaburan Qatar.

''Selain itu, syarikat Qatar juga menandatangani memorandum persefahaman dengan 1MDB bagi membangunkan tanah di Sungai Besi.

''Mereka telah sediakan peruntukan sebanyak RM15.5 bilion bagi tujuan berkenaan namun ia belum dapat dilaksanakan kerana masalah tanah memandangkan urusan pemindahan melibatkan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka selesai pertengahan tahun ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tuanku Mizan hadiri taklimat pembangunan

Posted:

Tuanku Mizan hadiri taklimat pembangunan

Tuanku Mizan hadiri taklimat pembangunan


Tuanku Mizan Zainal Abidin (dua dari kanan) dan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menerima taklimat daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bashiruddin Abdul Jamil di Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam. - BERNAMA


ALOR SETAR 15 Mei - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat menghadiri Majlis Taklimat Pembangunan Negeri Kedah, yang merupakan sebahagian daripada program sempena lawatan tiga hari baginda ke negeri ini.

Keberangkatan tiba baginda di Wisma Darul Aman di sini disambut Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Baginda kemudiannya melihat pameran pembangunan negeri sebelum mendengar taklimat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rasli Basir di bilik gerakan, yang antara lain menyentuh visi pembangunan negeri untuk mewujudkan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.

Tuanku Mizan juga dimaklumkan mengenai misi Kedah yang mahu menjadi destinasi pelaburan dan hub pengeluaran makanan di Malaysia, selain pencapaian ekonomi negeri.

Terdahulu, Azizan dalam ucapannya, berkata lawatan Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah memberi gambaran jelas mengenai hubungan erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep demokrasi berparlimen.

"Sebanyak 10 acara rasmi telah disusun bagi menjayakan lawatan rasmi ini.

Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terlibat menggambarkan perpaduan yang erat di kalangan rakyat di negeri ini," katanya.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah tiba di sini kelmarin dan dijadual berangkat pulang petang ini. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belia bersama bina negara

Posted:

Belia bersama bina negara

Belia bersama bina negara

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian daripada para belia yang hadir pada Pelancaran Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2011 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR 15 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh golongan belia untuk bersama-sama kerajaan menjadi rakan kongsi dalam pembinaan negara.

Sambil menyifatkan hubungan kerajaan dan golongan belia ibarat aur dan tebing, Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak juga perlu saling membantu dan berganding bahu untuk mara sebagai sebuah pasukan.

"Bersama-sama, kita membawa negara ke era yang lebih gemilang," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran sambutan Hari Belia Negara Peringkat kebangsaan 2011 di bukit Bintang, di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim.

Selaras dengan hasrat itu juga, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mendekati dan mendengar pandangan golongan belia kerana adanya potensi untuk mendapatkan idea-idea baru yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan negara.

Tambah beliau, dalam hubungan yang konstruktif itu, kerajaan berharap golongan belia juga bersedia memberi pandangan yang membina sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

"Walaupun golongan belia kebiasaannya mempunyai pandangan yang agak kritis dalam membicarakan isu-isu semasa, namun jika ia diajukan secara konstruktif, kita akan dapat melihat sesuatu isu itu daripada perspektif berbeza.

"Mungkin lebih baik daripada pandangan yang biasa kita dengar," ujarnya.

Muhyiddin berkata, dalam usaha bersama-sama memacu kemajuan negara, adalah sangat mustahak untuk golongan belia meningkatkan kecemerlangan diri.

Justeru tambah beliau, golongan belia perlu menggembleng usaha bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merupakan dua senjata utama ke arah kecemerlangan diri.

"Dengan adanya iltizam di kalangan para belia untuk mengamalkan budaya kecemerlangan, saya pasti hasrat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, seterusnya mencapai status negara maju berjaya dicapai," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan