Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Kekangan penolong pengarahOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA WALAUPUN perubahan sistem dan keadaan dalam dunia perfileman di Malaysia semakin ketara, khususnya dari segi bilangan filem yang dihasilkan saban tahun, namun perubahan itu sebenarnya berlaku secara sangat perlahan. Kelembapan perkembangan sesebuah institusi perfileman adalah berkait dengan masalah tenaga manusia yang merupakan salah satu subsistem utama dalam aktiviti pembikinan filem. Mutu tenaga manusia dan kaedah penggunaannya dalam industri perfileman Malaysia bagaimanapun dianggap masih berada pada tahap tidak profesional atau kurang profesional sehingga menjadi kekangan terhadap kemajuannya. Ini diakui oleh pengarah berpengalaman Othman Hafsham. Katanya, industri perfileman Malaysia masih kekurangan tenaga-tenaga mahir seperti penolong pengarah yang terbabit dalam produksi perfileman. Menurutnya, kewujudan penolong pengarah jika ada pun, tahap pengurusan golongan tersebut masih perlu dipertingkatkan. "Industri (perfileman Malaysia) belum mempunyai ramai lagi orang-orang yang berbakat dalam bidang produksi terutamanya penolong pengarah. "Mereka perlu didedahkan dengan masalah produksi sebelum seterusnya dapat melaksanakan tugasan dengan baik. Namun, kebanyakannya masih membuat kerja di saat-saat akhir," katanya ketika ditemui selepas tamat Bengkel Penolong Pengarah Filem/TV di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di Ampang, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini. Tambahnya, kebanyakan produksi kekurangan anggota sokongan tetapi mereka mempunyai kepelbagaian kerja yang perlu dilakukan. Lantas, tenaga yang sedikit itu menyebabkan penghasilan filem kurang bermutu. Tanpa penolong pengarah yang bagus kata Othman, bagaimana industri perfileman mampu menghasilkan pengarah yang hebat, seterusnya menghasilkan filem yang bermutu tinggi. "Jika mahu pertingkatkan filem, perlu ada orang yang bagus dalam industri.Industri perfileman sekarang sedang bergerak. Kita mahu menyaingi negara maju, jadi kena perbetulkan diri sendiri dulu. Pengarah yang hebat datangnya daripada penolong pengarah yang berbakat. "Lagipun, kebanyakan stesen televisyen mahupun pembikin filem hanya mementingkan kewangan dan mengambil tenaga kerja daripada bidang luar seperti akaun dan sebagainya tetapi bukan di bidang produksi," dedahnya yang memberi ceramah mengenai ciri-ciri dan hala tuju seorang penolong pengarah kepada tetamu yang hadir terdiri daripada kalangan pelajar serta krew produksi filem dan drama tempatan. INDUSTRI perfileman Malaysia memerlukan kepada usaha yang lebih gigih dalam menaikkan mutu tenaga kerja dan penggunaannya ke tahap profesional. Kata Othman lagi, pada kebiasaannya permasalahan yang dihadapi oleh penolong pengarah adalah disebabkan cara mereka bekerja. "Mereka ada peningkatan tetapi tidak betul dari segi membuat kerja.Dari segi kawalan krew, penolong pengarah juga perlu berfikir seperti mana pengarah berfikir," tegasnya. Bengkel anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Finas itu turut menjemput pengarah berkaliber, Aziz M. Osman dan juga Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim untuk menyampaikan ceramah mengenai penolong pengarah. Keghairahan Saat diajukan soalan mengenai pemilihannya sebagai tenaga pengajar untuk bengkel penolong pengarah, Aziz yang merendah diri memberitahu, dirinya tidak layak untuk mendidik tetapi boleh memimpin. "Saya mula mengarah pada tahun 1986 dan pada tahun 2011 nama saya sebagai pengarah masih lagi relevan. Saya merasakan diri masih di peringkat belajar kerana medium filem sentiasa ada benda-benda yang baru yang perlu dipelajari. "Untuk bengkel ini, saya hanya memimpin mereka melalui pengalaman yang saya peroleh selama saya menjadi penolong pengarah dan pengarah," kata Aziz. Paling utama, menurutnya lagi, setiap penolong pengarah perlu ada keghairahan untuk bergelar pengarah suatu hari nanti. Selepas itu, mereka perlu ada tanggungjawab yang besar untuk mengendalikan krew dan produksi. "Setiap pembikin filem juga perlu memikirkan penonton terlebih dahulu. Bukannya syok sendiri menghasilkan filem yang diinginkan. Ada agenda dan cerita yang bagaimana yang mahu disampaikan," katanya. Aziz yang juga pengarah untuk filem Azura 2011 itu juga memberitahu, tiada formula untuk mengarah sesebuah filem tetapi setiap penolong pengarah mahupun pengarah perlu mempunyai seni dan kreativiti bagaimana untuk mengarah. Celik teknologi maklumat OTHMAN sedang berceramah tentang ciri-ciri dan hala tuju seorang penolong pengarah. Menurut Ahmad Ibrahim pula, visi dan misi penolong pengarah perlu diterjemahkan kepada golongan yang berkaitan dalam industri perfileman. Katanya, pembikin filem sekarang perlu celik teknologi maklumat (IT). "Filem Hikayat Merong Mahawangsa boleh diambil sebagai contoh sebab ia menggunakan teknologi tinggi," katanya yang juga dikenali sebagai Mat London. Ahmad turut memberitahu, tujuan bengkel itu diadakan adalah untuk mencari pengarah muda yang berkarisma dan berwibawa. "Sekarang ini pengarah-pengarah mempunyai masalah tidak ada penolong pengarah. Jika adapun, kebanyakannya kurang atau tiada pengalaman dan bakat. Penolong pengarah juga mempunyai tanggungjawab yang sama sepertimana pengarah. "Diharap bengkel ini dapat mendidik para-para pelajar mahu pun mereka yang terlibat di dalam produksi supaya menjadi penolong pengarah yang berkualiti," katanya yang mensasarkan dalam lima hingga 10 tahun lagi industri perfileman Malaysia mampu bertukar wajah. Tambahnya, setiap penolong pengarah juga perlu mengikuti perkembangan semasa. "Kalau kita lihat drama-drama dan filem-filem semuanya mempunyai naratif yang sama. "Kalau cerita hantu, tujuan cerita sama dan mungkin yang berubah pun adalah dari segi intipati tetapi tidak disuntik dengan teknologi terkini dan pembaharuan," ujarnya. Mengenai pemilihan para tenaga pengajar, Ahmad memberitahu, Othman dan Aziz merupakan nama besar dan mereka mempunyai pengalaman yang luas di dalam industri perfileman. "Kreativiti mereka untuk menyampaikan mesej itu ada. Othman dan Aziz bukan sahaja boleh mengarah tetapi juga bercakap," kata Ahmad. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan