Ahad, 15 Mei 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Hargai pengorbanan

Posted: 14 May 2011 09:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sebuah rumah untuk setiap isteri. Itu pemberian eksklusif penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob, 50, kepada semua isterinya termasuk bakal isteri keempat, Emi, 24.

Beliau yang dijangka melengkapkan kuota poligami dengan penuntut ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu selepas Aidilfitri ini berkata, rumah berkenaan sebagai hantaran kepada Emi dan hadiah kepada tiga isterinya yang terdahulu.

Menurutnya, pemberian itu bakal menjadi hadiah terhadap segala pengorbanan semua isterinya selama ini.

"Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka. Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini.


"Bukan mudah untuk berpoligami. Setiap hari, ada saja dugaan dan ujian yang perlu dihadapi ketiga-tiga isteri saya. Malah, masyarakat kita rata-ratanya sering memandang isu poligami ini sebagai sesuatu yang negatif.


"Pada masa sama, mereka (isteri) yang menjadi orang kuat di belakang saya sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, sifat rendah diri dan tabah yang diterapkan dalam diri masing-masing menjadikan mereka kuat, dan itu adalah kekuatan bagi saya," katanya dalam temubual bersama wartawan Metro Ahad di sini.

Menurut Salih, dia bercadang membeli rumah baru berkenaan dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang bagi menempatkan setiap isteri dan anaknya.

Buat masa ini, ketiga-tiga isterinya menetap di Kampung Pandan.

"Rumah mereka (ketiga-tiga isteri) masing-masing di sini. Bagaimanapun, tidak ada lagi rumah kosong untuk menempatkan bakal isteri keempat.

"Jadi saya perlu mencari satu kawasan perumahan baru yang lebih luas dan selesa untuk mereka. Saya lebih suka mereka tinggal berdekatan. Dengan cara ini, saya ada banyak masa untuk menjaga dan bersama mereka," katanya.

Sambil berbual, Salih membawa wartawan melihat ketiga-tiga apartmen milik isterinya yang terletak berhampiran di antara satu sama lain.

Apartmen didiami isteri pertama dan kedua dibeli hasil titik peluhnya berkecimpung dalam dunia seni kira-kira tiga dekad lalu, manakala kediaman isteri ketiga disewa.

Tinjauan Metro Ahad mendapati rumah isteri pertama dan kedua diubah suai dengan corak hampir sama seperti hiasan dalaman dan perabot. Begitupun, kediaman isteri ketiga tidak sempat ditinjau kerana kesuntukan masa berikutan Salih ada urusan lain.

Menurut Salih, dia memastikan layanan kepada setiap isteri dan keluarganya sama adil dan saksama supaya mereka mampu hidup aman dan selesa hasil pendapatannya.

"Alhamdulillah, tidak ada satu pun yang kurang. Jika seorang mendapat kereta, yang lain juga dapat. Ini yang cuba saya terapkan terhadap keempat-empat isteri nanti. Syukur kepada Allah, kami hidup selesa hasil rezeki pemberian-Nya.

"Apa yang saya miliki kini menjadi kejayaan bagi setiap isteri dan anak. Jika mahu diikutkan, kejayaan saya adalah kejayaan untuk mereka.

"Saya percaya, ini semua rezeki anak dan isteri. Rezeki saya hanya untuk membeli sekotak rokok. Mungkin jika tidak berpoligami, rezeki saya tidak seperti ini," katanya berseloroh.

Pelawak popular itu kembali mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara selepas akhbar ini secara eksklusif menyiarkan gambar bakal isteri keempat Salih yang berwajah ala Arab pada ruangan muka depan Khamis lalu.

Bagaimanapun, Salih ketika ditanya tarikh sebenar perkahwinannya bersama gadis kelahiran Johor itu masih berahsia dan menjelaskan, semuanya terserah pada takdir dan kuasa Allah.

"Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana saya cuma mampu merancang. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bayi tercampak keluar kereta

Posted: 14 May 2011 09:31 AM PDT

IPOH: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan memeranjatkan anggota bomba dan penyelamat apabila didapati masih selamat dan hanya luka ringan selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki sejurus kenderaan itu terbabas ke bahu lebuh raya.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, bayi terbabit, Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli ditemui menangis di atas jalan raya sebelum diangkat dan segera dihantar ke hospital.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Suriani Abdul Latif, 31, cedera parah dan tidak sedarkan diri manakala adik Suriani, Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang memandu kereta maut di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Abdul Fatah gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang tepi lebuh raya berhampiran Kilometer 290, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Simpang Pulai, di sini.


Suriani ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata, dia tidak sedar apa berlaku kerana tidur sambil mendakap bayinya di tempat duduk depan.


Menurutnya, Fatah yang bekerja sebagai kerani di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim sebelum itu mengambilnya di rumah di Bukit Sri Sentosa, Bukit Beruntung, Selangor untuk pulang bersama-sama di kampung mereka di Manong, Kuala Kangsar.

"Saya hanya tersedar pagi ini di katil hospital dengan kulit kepala terkoyak dan mulut pecah.

"Apa yang saya fikirkan hanya keadaan bayi dan seorang lagi anak saya, Nik Fawas Iskandar Mohd Fazli, 5, yang ketika itu di tempat duduk belakang," kata surirumah berkenaan.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu berikutan adiknya sebelum itu sempat berbual dan menyatakan hasrat melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya tidak lama lagi.

Sementara itu, suami mangsa, Nik Mohd Fadhli Nik Mohd Hasnuddin, 33, yang ditemui di hospital itu berkata, dia dimaklumkan berhubung kemalangan itu oleh anggota polis trafik Ipoh, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Dia yang bertugas sebagai pegawai Rela di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mendakwa ketika itu menjalani kursus dua minggu di Kem Sungai Udang Melaka.

"Akibat terlalu terkejut, saya pitam beberapa minit sebelum dihantar menaiki kereta oleh rakan setugas ke hospital di Ipoh bagi melawat isteri dan dua anak.

"Paling merunsingkan saya ketika itu adalah keadaan bayi perempuan saya. Saya dimaklumkan dia melambung keluar dari kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan raya," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana bayinya terselamat dan hanya mengalami keretakan kecil di belakang kepala selain luka ringan di dahi.

"Namun saya diberitahu doktor bahawa seorang lagi anak saya, Nik Fawas patah kaki kiri selain retak pada belakang tempurung kepala, menyebabkan pendarahan dalaman," katanya.

Menurutnya, sebelum itu dia rasa tidak sedap hati dan tidak membenarkan isteri dan anaknya pulang ke kampung, namun isterinya tetap mahu meneruskan hasrat itu.

Dua lagi anaknya, Nik Nur Farah Aliya , 4, dan Nik Nur Farahana, 2, berada di kampung ketika kejadian.

Sementara itu, jenazah Abdul Fatah dituntut ahli keluarga di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun jam 1 pagi semalam untuk dikebumikan di kampung halamannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan