Selasa, 3 Mei 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Bergenang air najis

Posted: 02 May 2011 01:33 PM PDT

Wilayah

PENDUDUK menunjukkan kawasan  kolam takungan najis yang  tidak diselenggara di Taman Indah, Serendah. - Foto Md Fuzi Abd Lateh

PENDUDUK menunjukkan kawasan kolam takungan najis yang tidak diselenggara di Taman Indah, Serendah. - Foto Md Fuzi Abd Lateh

Sistem loji kumbahan Taman Indah tak berfungsi

SERENDAH: Hidup digenangi air najis setiap hari. Begitulah nasib yang dihadapi penduduk Taman Indah dekat sini yang terpaksa berdepan dengan masalah bau meloyakan disebabkan sistem loji kumbahan najis di taman itu gagal beroperasi dengan sempurna sejak tiga tahun lalu.

Paling malang apabila air najis dari tandas milik 40 penduduk di taman yang tidak seindah seperti namanya itu sering melimpah keluar di lantai bilik air rumah mereka sehingga ada antara mereka mengunci terus tandas berkenaan.

Yang pasti, keadaan itu mengundang kehadiran lalat yang banyak dan dikhuatiri menjejaskan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak. Penduduk, R Singaraja, 41, berkata mereka terpaksa menumpang menggunakan tandas rumah jiran atau di stesen minyak berhampiran setiap hari.

Beliau berkata, sejak tiga tahun lalu, penduduk mengumpulkan peruntukan sendiri untuk mengupah kontraktor membersihkan saluran najis di loji berkenaan, tetapi kos tinggi membebankan mereka.

Katanya, jika dulu upah untuk melakukan kerja menyedut najis hanya antara RM500 dan RM600, kini meningkat sehingga mencecah lebih RM2,000.

"Bagaimanapun, yang pasti selepas kontraktor menjalankan kerja membersihkan saluran najis, ia hanya mampu bertahan dua atau tiga hari saja, selepas itu kerja pembersihan terpaksa dilakukan lagi.
"Sampai bila kami harus menanggung masalah ini, sedangkan ia adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan syarikat pengendali sistem pembetungan," katanya kepada Sentral di sini, semalam.

Rakannya, Boon Koon Poon, 53, pula berkata, kemelut yang mereka hadapi itu boleh diatasi sekiranya kolam takungan najis di taman itu diselenggara oleh pihak berwajib.

"Jika penyelenggaraan kolam takungan najis itu dilakukan dengan betul, masalah itu tidak akan berlaku.

"Masalah itu kini menjadi beban kami setiap hari terutama rumah penduduk yang terletak di bawah bukit," katanya.

Sementara itu, Muslim Ibrahim, 57, berkata beban menanggung kos pembersihan saluran kumbahan tidak sewajarnya ditanggung penduduk kerana mereka membayar cukai taksiran.

Katanya, PBT kena bertanggungjawab dan bertindak segera menyelesaikannya.
"PBT tak wajar menyalahkan pihak lain kerana yang menanggung kesannya adalah penduduk," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail ketika dihubungi berkata, walaupun MDHS tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan kerja atau operasi sistem pembetungan, tindakan sewajarnya akan diambil.

"MDHS akan menyelesaikan masalah itu dengan segera. Kita tidak mempunyai kepakaran dalam hal ini, tetapi akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk melakukan kerja pembersihan," katanya.

Menurutnya, pelbagai faktor mengundang masalah itu termasuk isu penyerahan tanggungjawab daripada pemaju kepada MDHS atau syarikat pengendali sistem pembetungan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Masih ada sinar

Posted: 02 May 2011 01:32 PM PDT

Wilayah

Penagih harap C&C 1Malaysia mampu ubah tabiat negatif

JOHOR BAHRU: Walaupun terpalit dengan kepahitan hidup akibat dosa lampau, namun pesakit yang mengalami ketagihan beberapa jenis dadah yang mendapatkan perkhidmatan di Cure & Care 1Malaysia (C&C 1Malaysia) Tampoi di sini, nyata mempunyai harapan baru.

Mereka berharap, masih ada sinar di hujung terowong, untuk pulih daripada ketagihan, selain membuktikan kepada masyarakat dan keluarga bahawa mereka mampu berubah menjadi insan lebih baik di mata orang ramai.

Penagih heroin, Badariah Salim, 53, dari Johor Bahru, yang menagih seawal usia 16 tahun itu, berkata hidupnya punah sekelip mata kerana terpengaruh dengan bekas suami pertamanya yang menagih dadah. Katanya, bermula saat itu, hidupnya berubah apabila menjadi penagih tegar, malah anak kandungnya hasil daripada perkahwinan itu juga turut terbabit dengan najis itu hingga meninggal dunia akibat penyakit AIDS pada usia 32 tahun.

"Hidup saya sungguh menyedihkan, sudahlah ibu dan bapa kandung saya memberikan saya pada keluarga angkat, saya juga menjadi mangsa kerakusan bapa angkat yang sanggup merogol sehingga melahirkan anak luar nikah.

"Malah, saya pernah terlanjur untuk mendapatkan duit bagi membeli bekalan dadah sehingga sanggup melacurkan diri, namun sejarah paling hitam adalah apabila saya menukar agama sejak berkenalan dengan suami kedua," katanya sambil menangis teresak-esak ketika ditemui di sini.

Badariah berkata, keputusan untuk menukar agama adalah perkara yang paling dikesalinya, namun ketika itu dia sama sekali tidak berfikir panjang kerana bekas suaminya yang berasal dari Singapura itu juga turut menjadi penagih dadah.
"Hasil daripada perkahwinan itu dan menganut Kristian selama hampir 20 tahun itu, saya dikurniakan anak perempuan yang kini tinggal di Singapura, namun apa yang saya dikesalkan adalah dia juga menjadi penganut Kristian.

"Saya kecewa kerana memang benar dadah menghancurkan segala-galanya dan saya pasti tidak mahu terbabit lagi dengan najis itu serta berharap masyarakat sekarang tidak membiarkan diri dipengaruhi sesiapa untuk mencuba dadah," katanya.

Seorang lagi penagih yang turut mendapatkan khidmat di C&C 1Malaysia) Tampoi, Aziz Harun, 36, dari Temerloh, Pahang, berkata pengalaman terbabit dengan dadah jenis heroin adalah sesuatu yang paling dikesalkan sepanjang hidupnya.

Katanya, akibat perasaan ingin mencuba dadah pada usia 19 tahun itu merubah segala-galanya, namun dia masih bernasib baik kerana mendapat sokongan keluarga terutama isteri yang masih setia untuk bersamanya melayari perkahwinan yang dikurniakan anak berusia 15 tahun itu.

"Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk berubah keadaan menjadi lebih baik sejak masuk di sini, namun apa yang pasti saya mahu mulakan kehidupan baru di negeri ini dan tidak ingin balik ke kampung lagi kerana ia hanya akan mengingatkan saya pada dosa silam.

"Saya berharap apa yang dipelajari di sini akan membantu saya menjalani kehidupan lebih baik lagi di masa akan datang dan saya bercadang untuk membuka bengkel kereta sendiri sehingga berjaya seterusnya membuktikan bahawa bekas penagih juga boleh berubah," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan