Utusan Online - Timur |
Posted: YPM wujudkan Anjung IlmuOleh TENGKU FAUZIAH NGAH DUNGUN 2 Mei – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) mengenal pasti 14 kawasan luar bandar di seluruh negara untuk diwujudkan pusat Anjung Ilmu pada tahun ini dengan anggaran kos sebanyak RM1.1 juta. Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Prof. Dr. Abdul Shariff Hamid (gambar) berkata, anjung ilmu yang diwujudkan itu merupakan sebuah pusat penyelidikan dalam pembelajaran bagi membantu masyarakat luar bandar mendapat maklumat dengan lebih cepat dan tepat. Katanya, melalui projek tersebut, YPM akan menyediakan kemudahan komputer dan program pembelajaran dengan menggunakan kaedah e-learning untuk membantu pelajar. "Sehingga kini, tiga kawasan di Sarawak dan Sabah telah diperkenalkan dengan program berkenaan yang dimulakan Mac lalu sebagai program perintis dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan institusi pengajian tinggi awam,'' katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penutup Program Pandu Puteri Turun Padang oleh Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor di Padang Astaka Seberang Dungun di sini, kelmarin. Selain itu katanya, YPM juga akan memperkenalkan alat pembelajaran e-block atau mesin pembelajaran muda yang dihasilkan menggunakan teknologi Brazil kepada pelajar sekolah rendah. "E-block merupakan satu kaedah pembelajaran dengan menggunakan pen drive yang memberi tumpuan kepada subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik,'' ujar beliau. |
Posted: Mara penuhi impian IzamuddinOleh SAPEE MAT JUNUS Kilang pembuatan batu-bata yang berupaya menghasilkan sehingga 24,000 unit dalam sehari. – utusan/Sapee Mat Junus DUNGUN 2 Mei – Izamuddin Idris, 41, amat meminati bidang hartanah dan dia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan sejak kecil, akhirnya berpeluang menimba ilmu di institusi pengajian tinggi. Dia mengikuti pengajian luar kampus sambil mengutip pengalaman di syarikat- syarikat pemaju perumahan di Kota Bharu. Setelah hampir 10 tahun bekerja sebagai pegawai pemasaran di tiga buah syarikat, dia memberanikan diri untuk berdikari bagi memenuhi impiannya. Dengan bantuan serta bimbingan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), dia terus melangkah jauh dan mengembang rangkaian perniagaannya. Selain sebagai pemaju perumahan, dia juga memiliki pusat jualan perkakasan rumah dan binaan (hardware), kilang bata dan pusat latihan. ''Semasa makan gaji, saya telah melihat potensi dalam bidang pembinaan ini begitu cerah, justeru dalam diam-diam saya telah belajar selok-belok bidang ini namun yang menjadi halangan pada waktu itu adalah modal. ''Oleh itu, pada tahun 2003, buat permulaan, saya menjual rumah di Kota Bharu, lalu kembali ke sini, tempat kelahiran ayah saya untuk memulakan perniagaan bersama isteri," ujarnya. Izamuddin menubuhkan syarikat SIZ Hardware dan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif manakala isterinya, Roslina Mat Husin, 39, selaku Pengarah Kewangan dan mereka berdua memulakan usaha awal dengan bantuan ayah dan abangnya dengan membina lima unit rumah teres dua tingkat. ''Bila rumah-rumah itu berjaya dijual, kami teruskan dengan 16 lagi unit disusuli fasa kedua dengan tujuh unit rumah teres satu tingkat dan empat unit kedai pejabat dua tingkat, manakala tujuh lagi unit rumah teres dua tingkat masih dalam pembinaan. ''Semasa dalam proses menyiapkan projek, akhirnya pihak kami dapat menyakinkan bank untuk membantu menyalurkan pembiayaan," katanya, di sini baru-baru ini. Kata Izamuddin, menyedari kos bahan mentah akan menjejaskan keuntungan, maka dia telah mengemukakan permohonan pinjaman kepada Mara bagi membuka sebuah kedai hardware. "Alhamdullilah, saya memperoleh RM300,000 bagi modal permulaan untuk membuka premis hardware. "Pada awalnya, kedai itu beroperasi di sebuah premis yang disewa tetapi kini telah berpindah ke Batu 50, Jalan Paka iaitu di bangunan empat tingkat milik sendiri yang turut menempatkan pejabat operasi,'' katanya. Bidang pembinaan ini sememangnya luas dan banyak cabang rezeki. Maka, Izamuddin turut mengusahakan pembuatan batu-bata bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual. "Rupanya rezeki saya sememangnya terletak dalam bidang pembinaan ini. Berdikit-dikit saya berjaya melunaskan pinjaman permulaan daripada Mara. ''Setelah selesai pinjaman, saya bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan, maka sekali lagi saya membuat permohonan pinjaman dengan tujuan bagi membina kilang bata simen, kilang bata konkrit ringan dan kilang simen siap bancuh di kawasan perindustrian Batu Tujuh. ''Pada hari ini, kilang tersebut berupaya mengeluarkan sehingga 2,000 blok bata konkrit ringan dan bata simen sehingga 24,000 unit dalam sehari. ''Mara juga membantu saya mendapatkan jentera pengepam pasir yang kini beroperasi di Kampung Padang Pulut bagi menampung keperluan kontrak bekalan bahan itu bagi projek Lebuh Raya Pantai Timur," ujarnya. Berdasarkan pengalaman dan prestasi Izamuddin, pihak Mara telah melantik syarikatnya sebagai sebagai pusat bertauliah bagi melatih kontraktor, usahawan, belia-belia teknik memasangkan bata konkrit ringan terutama untuk bangunan tinggi. Menurutnya, apa yang dicapai sehingga ini mungkin tidak tercapai jika tiada bantuan daripada Mara. "Saya bersyukur dan berterima kasih dengan Mara kerana memberi kepercayaan dan bimbingan sehingga impian yang saya cita-citakan akhirnya tercapai,'' katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
RM2.5 juta untuk Hulu Terengganu Posted: RM2.5 juta untuk Hulu TerengganuHULU TERENGGANU 2 Mei - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM2.5 juta bagi pembangunan prasarana di daerah ini, tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diagihkan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membiayai projek pembinaan jalan-jalan kecil, menurap dan memperbesarkan jalan sedia ada. Selain itu, peruntukan tambahan RM300,000 disediakan bagi kawasan DUN Kuala Berang untuk projek pembinaan jalan di Padang Setenga dan membina surau baru di Felda Bukit Bading (DUN Ajil) bernilai RM150,000. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (gambar), berkata, kerajaan negeri juga sedia meluluskan projek pembinaan longkang di kawasan Kuala Ping, tetapi kosnya belum ditentukan lagi. "Kita akan sediakan segala prasarana ini untuk meningkatkan keselesaan penduduk," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di sekitar daerah ini, di sini hari ini. Selain itu, Menteri Besar berkata, projek pembinaan stesen bas baru bandar Kuala Berang akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan ia dibina segera kerana keperluannya agak mendesak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan